KOMENTAR: Adakah pemergian Siti Sarah yang mengubah sikap rakyat M’sia terhadap COVID-19?
Pemergian penyanyi Siti Sarah baru-baru ini menjadi tumpuan ramai dan kes jangkitannya juga menarik perhatian kepada betapa pentingnya vaksinasi bagi kaum wanita yang hamil.

(Gambar: Agensi berita)
BERITAmediacorp: Pemergian penyanyi Siti Sarah baru-baru ini menjadi tumpuan ramai dan kes jangkitannya juga menarik perhatian kepada betapa pentingnya vaksinasi bagi kaum wanita yang hamil. Peningkatan mendadak lagi ketara pada jumlah kes jangkitan COVID-19 dan angka korban akibat koronavirus di Malaysia juga telah membawa perubahan kepada sikap rakyat negara itu, terutama sekali dalam kalangan mereka yang menetap di luar bandar dan kawasan pedalaman.
Industri hiburan Malaysia digegarkan dengan berita pemergian artis dan anak seni yang meninggal dunia akibat COVID-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini, termasuk sepupu dan rakan karib Yuna, Amilya Saila Aminoddin, penyanyi Joyce Leelyn dan baru-baru ini Siti Sarah Raisuddin pada Isnin (9 Ogos).
Pemergian Siti Sarah khususnya sangat menyedihkan. Kesnya mendapat liputan meluas media tempatan dan luar negara, bukan saja kerana beliau adalah seorang penyanyi yang amat popular tetapi juga kerana beliau sedang sarat mengandung ketika diuji positif COVID-19.
Apabila paras oksigennya merosot dengan begitu ketara pada minggu lalu, beliau dimasukkan ke unit jagaan rapi. Para doktor menjalankan pembedahan Caesarean untuk menyelamatkan kandungannya. Cahaya matanya, Ayash Affan, selamat dilahirkan namun Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya tiga hari kemudian.
Pemergian Siti Sarah meningkatkan lagi kesedaran ramai terhadap bahaya COVID-19, khususnya dalam kalangan mereka yang sebelum ini memandang enteng atau menafikan sama sekali bahaya koronavirus itu.

(Gambar: AFP)
Kesedihan dan keprihatinan yang mendalam dicurahkan di lelaman media sosial. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bahkan Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong turut menyampaikan ucap takziah.
Ramai warga Malaysia akhirnya tersentak dan menyedari betapa mudahnya virus yang mudah berjangkit itu boleh membawa maut kepada sesiapa saja tanpa mengira usia atau status sosial.
Suami Siti Sarah, pelawak Shuib Sepahtu, akur bahawa beliau sepatutnya lebih memandang serius terhadap virus itu sejak dari awal lagi. Siti Sarah belum divaksin. Shuib kini menggalak orang ramai supaya segera mendapatkan suntikan vaksin sebaik saja mampu berbuat demikian, dan seperti Yuna, beliau juga menekankan betapa pentingnya untuk menggunakan oksimeter bagi memantau kesihatan orang tersayang yang dikuarantin.
Siti Sarah bagaimanapun bukanlah satu-satunya ibu hamil yang kehilangan nyawa akibat pandemik ini. Siti Aishah Mohd Zamri, seorang jururawat berusia 26 tahun yang hamil dan kandungannya meninggal dunia pada Jun setelah dijangkiti koronavirus daripada seorang pesakit di Labuan.
Pada Februari pula, seorang jururawat di Kuala Lumpur tewas kepada jangkitan koronavirus namun mujur bayinya dapat diselamatkan.
Antara Mac hingga Jun tahun ini, 3,396 ibu hamil diuji positif COVID-19; dengan 70 daripada mereka meninggal dunia pada 2021, dedah Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu (11 Ogos).
COVID-19 MEREBAK KE KAWASAN PEDALAMAN
Kematian Siti Sarah menarik tumpuan segenap masyarakat kerana ia memperlihatkan betapa dahsyatnya kesan jangkitan wabak ini. Sikap dan tanggapan rakyat semakin berubah selepas Malaysia terhumban ke dalam krisis menyusuli gelombang penularan terbaru ini.
Bagaimana seseorang masih mempertikaikan bahaya COVID-19 di Malaysia dan betapa pentingnya vaksinasi menjadi misteri sedang jumlah kes harian kekal pada tahap yang mencecah paras rekod.
Antara 17,000 dengan hampir 21,000 kes dilaporkan setiap hari dalam tempoh seminggu yang lalu, dengan rekod 360 kematian dicatatkan pada 8 Ogos. Lebih 1,095 pesakit sedang dirawat dalam unit jagaan rapi termasuk separuh daripada mereka yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Meskipun Lembah Klang menjadi tajuk berita kebelakangan ini disebabkan oleh lonjakan kes jangkitan, perkembangan yang lebih membimbangkan adalah penularan virus ke kawasan-kawasan pedalaman dan luar bandar Malaysia.
Untuk membendung penularan, sebilangan masyarakat Orang Asli di merata Semenanjung Malaysia dan juga di kawasan pedalaman timur Malaysia, dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang melarang perjalanan ulang-alik ke kampung.

(Gambar: Lim Huey Teng/REUTERS)
Sesetengah kampung pula mengambil inisiatif untuk menyekat kemasukan orang luar. Sungguhpun kebanyakan masyarakat Orang Asli dianggap terlindung daripada penularan pandemik, terdapat laporan tentang penduduk seperti di kampung Batang Padang, Perak, yang pulang dari bandar-bandar berdekatan di mana mereka bertugas sebagai pekerja kilang dan kemudian diuji positif lalu menjangkiti penduduk kampung halaman masing-masing.
Kelompok-kelompok jangkitan Orang Asli juga berpunca daripada upacara pengebumian, di mana anggota keluarga yang terjangkit menyertai perhimpunan seumpama itu untuk memberikan penghormatan terakhir, seperti di Mukah, Sarawak yang mencetuskan 600 kes baru.
Di mukim Tanjung Kupang, yang terletak 22 kilometer dari bandar terdekat, dan di bawah Linkedua ke Singapura, terdapat lebih 480 kes aktif dan beberapa kematian dicatatkan sejauh ini.
Meskipun mukim tersebut menempatkan masyarakat nelayan sejak sekian lama, dan para petani dan nelayan sepatutnya terlindung daripada penularan COVID-19, anak muda yang bekerja di kilang-kilang atau pelabuhan berhampiran telah merebakkan koronavirus itu di kampung mereka.
Di sebatang jalan raya di Taman Desa Paya Mengkuang, pesakit-pesakit COVID-19 dibawa keluar dari hampir separuh daripada rumah-rumah di situ oleh Kementerian Kesihatan dalam tempoh dua minggu yang lalu untuk dikuarantin.
Ini mungkin sebahagian daripada masalah yang lebih meluas dan membimbangkan. Kedah dan Kelantan, yang mempunyai penduduk yang sebahagian besarnya menetap di kawasan luar bandar, juga mencatatkan lebih 2,000 kes baru pada 12 Ogos, dengan kebanyakannya merangkumi kelompok-kelompok jangkitan di tempat kerja. Johor dan Sarawak tidak jauh ketinggalan. Penularan koronavirus kink semakin merebak.
ANJAKAN MINDA & SIKAP
Kesan teruk COVID-19 diragui sebilangan rakyat ketika Malaysia baru-baru dilanda pandemik.
Ramai penduduk luar bandar tidak dapat memahami mengapa jumlah jangkitan dan kematian akibat COVID-19 begitu tinggi di pusat-pusat bandar. Mereka juga menolak vaksinasi disebabkan oleh teori-teori subahat dan maklumat palsu yang tersebar luas sehingga mencetuskan kebimbangan.
Sekarang apabila mereka dapat menyaksikan sendiri betapa mudaratnya kesan penularan koronavirus di kampung halaman mereka, sikap mereka semakin berubah. Mereka sekarang bersikap lebih berwaspada. Vaksin kini dianggap sebagai satu-satunya ikhtiar untuk menjaga keselamatan mereka. Para penduduk yang saya temui kini bertanya mengapa mereka belum dihubungi untuk divaksin.
Mereka yang pada suatu ketika dahulu enggan percaya bahawa mereka dalam keadaan berbahaya dan berkeras mahu mengadakan perjumpaan keluarga kini bersikap lebih berhati-hati.
Sekarang saya lebih kerap mendengar penduduk-penduduk yang menegur sesiapa saja yang cuba mengelakkan janji temu vaksinasi.
“Dengan bercakap-cakap tentang virus ini, anda seolah-olah mendoakan agar virus itu akan merebak ke sini. Jika anda tidak bercakap mengenainya, ia tidak akan menular di sini. Jangan membesar-besarkannya,” saya pernah ditegur.
Kini selepas setahun, perbualan yang lebih kerap didengar berkisar dengan kata-kata waspada. “Berhati-hati jika anda ke bandar. Jangan pergi terlalu kerap, kita tidak tahu siapa yang dijangkiti virus. Ia sangat mudah berjangkit.”
Orang ramai kini lebih cenderung menegur mereka yang melanggar syarat kuarantin atau bersikap sambil lewa terhadap COVID-19.
REAKSI BERCAMPUR-CAMPUR TERHADAP PELONGGARAN SEKATAN
Sedang kerajaan mula mengumumkan sekatan-sekatan yang dilonggarkan bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dan juga bagi mereka yang sudah lengkap divaksin, pada minggu ini, orang ramai memberikan reaksi yang bercampur-campur.
Meskipun masyarakat-masyarakat luar bandar yang sangat terkesan oleh sekatan perjalanan 10 kilometer mengalu-alukan pelonggaran itu atas sebab-sebab kewangan, tercetus pula suatu kebimbangan. Ramai yang khuatir mereka yang berada di tempat-tempat dengan bilangan jangkitan yang tinggi seperti di Selangor dan Kuala Lumpur boleh bergerak dengan bebas. Ini kerana mereka yang sudah divaksin sepenuhnya masih boleh menjangkiti orang lain.
Di mukim Tanjung Kupang, penduduk tempatan yang saya temui seolah-olah tidak percaya bahawa mereka boleh membuka semula gerai makan, bergerak dengan bebas atau duduk makan di kedai jika sudah divaksin sepenuhnya. Mereka berkata ramai yang sedang menunggu untuk divaksin tetapi masih belum mendapat janji temu.
Secara keseluruhannya, meskipun masih terdapat keraguan terhadap keberkesanan vaksin, orang ramai rata-rata akur bahawa vaksin mendatangkan peluang terbaik untuk keadaan kembali seperti biasa.
Selepas melihat begitu ramai keluarga terjangkit, dikuarantin dan menderita angkara COVID-19, kegusaran atas penutupan ekonomi kian mereda. Bahkan sesetengah penduduk kini menggesa agar kilang-kilang ditutup. Meskipun perit dari segi kewangan, mereka sedar bahawa langkah sedemikian dapat membantu membendung penularan.
Sama ada perubahan sikap itu tercetus akibat pemergian Siti Sarah atau penularan koronavirus di kampung mereka sendiri, hikmahnya terletak pada sikap yang kian berubah: Pemahaman lebih jelas tentang COVID-19 dan kesedaran tentang pentingnya untuk mengorak langkah pencegahan yang mampu dilaksanakan.
Sekarang terpulanglah kepada pihak berkuasa untuk memastikan agar vaksinasi dapat ditawarkan kepada para penduduk di luar Lembah Klang dan Sarawak, di mana sebahagian besar dos vaksin sudah dihantar sejauh ini.
Ini lebih-lebih lagi dengan penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit dan merebak dengan pantas ke kawasan-kawasan pedalaman. Bagaimana pula dengan kemunculan varian-varian baru?
MENGENAI PENULIS:

Dr Serina Abdul Rahman adalah Zamil Pelawat ISEAS - Institut Yusof Ishak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.