KOMENTAR: Ada Apa Dengan Kaki?

(Gambar hiasan: iStock)
SINGAPURA: Erti ‘air basuhan kaki’ menarik perhatian ramai mutakhir ini sejak terdedah kisah para pengikut sebuah ajaran sesat mengamalkan minum air cucian kaki pemimpin mereka. Ia juga dikaitkan dengan amalan lama menghormati ibu di Jawa. Mohd Raman Daud menyingkap erti ‘kaki’.
Baru-baru ini, timbul berita heboh mengenai amalan minum air basuhan kaki yang kononnya didakwa membawa tuah atau ‘barakah’. Ini dilakukan ke atas jemaah yang baru balik haji sehingga ke pemimpin sebuah gerakan sesat yang terbongkar baru-baru ini.
Umumnya, kalangan ulama di rantau ini telah menghukumkan amalan sedemikian sebagai bercanggah dengan Islam lagi memudaratkan. Ia dihukumkan haram.
Namun mengapa ia berlaku dalam suasana pasca moden dengan capaian ilmu yang kian mudah? Adakah ia mencerminkan ‘kedangkalan’ pemahaman agama umat Islam rantau ini?

AMALAN SILAM
Antara amalan orang Melayu zaman dahulu ialah memastikan basuh kaki demi menjaga kebersihan.
Sebelum naik tangga untuk memasuki rumah, seseorang perlu mencedok air dengan menggunakan tempurung kelapa (batok). Air tempayan biasanya tadahan air hujan.
Kini sudah hilang amalan tadi. Tempayan dan penyedok batok jika ada pun sekadar bahan sejarah di muzium.
Membersihkan ‘kaki’ merupakan tatatertib atau disiplin kerana lazimnya orang dulu-dulu ‘berkaki ayam’ iaitu tanpa alas kaki seperti sepatu. Seyogia, jalan di kampung biasanya jalan kecil atau denai yang adakala lecak atau berlumpur dek hujan.
ANGGOTA RENDAH
Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016), orang Melayu dulu (OMD) menyifatkan bahagian tubuh atas – dari kepala sehingga ke pusat sebagai ‘atas’, tetapi dari bawah pusat sehingga jari kaki pula dianggap ‘rendah’.
Kaki adalah bahagian ‘hina’ atau ‘rendah’ bagi orang Melayu. Namun, bagi sesetengah kepercayaan seperti Hindu-Buddha yang pernah dianuti oleh sebahagian rumpun Melayu dahulukala, ‘kaki’ ibu sehingga pemimpin dianggap ‘mulia’ dan wajar untuk tunduk menyentuhnya.
Dengan kemasukan Islam secara damai sebagai agama dan cara hidup di rantau ini, berlakulah semacam ‘penyaringan’ amalan-amalan tadi. Konsep adat Melayu ialah ‘adat bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah’. Ertinya, mana-mana aspek adat (istilah Arab: budaya/resam) yang bercanggah dengan Islam (Quran dan Hadis) itu dinyahkan.
Membasuh kaki (termasuk dalam amalan berwuduk) sebelum masuk ke masjid atau ‘rumah Allah’ bagaikan memberi erti sucikan dahulu diri yang sentiasa diselimuti debu-debu dosa sebelum mengadap Allah Yang Maha Esa.
MEMULIAKAN RAJA
Selanjutnya, terdapat konsep menjunjung institusi atau lembaga raja dengan ungkapan berikut yang terkait dengan ‘kaki’:
“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda” (dari bahasa Sanskerta) sering kedengaran dalam upacara diraja.
Menurut Kamus Dewan dan laman Kata Malaysia, 'duli' bermaksud kaki, debu atau abu. Ungkapan 'Maha Mulia' pula merujuk kepada Allah SWT. Justeru, kata-kata “Duli Yang Maha Mulia” bukanlah mengagungkan sultan setaraf Tuhan, tetapi lebih kepada menggambarkan kedudukan seorang raja di sisi Tuhan yang Maha Kuasa. Ertinya, raja sebagai bayangan Tuhan di bumi.
‘Paduka’ pula bermaksud alas kaki, kasut atau capal. 'Seri Paduka Baginda' melambangkan pengharapan agar sultan dapat menjadi 'penyeri capal’ Rasulullah s.a.w dengan memerintah secara adil dan saksama.
Konsep ‘capal’ Rasulullah pula dikaitkan dengan perjalanan baginda menemui Allah dalam peristiwa agung, Israk dan Mikraj. Ketika bertemu Allah, Rasulullah masih bercapal! Ini melambangkan kemuliaan yang Allah kurniakan kepada Rasulullah sebagai ‘abid’ (hamba)-Nya.
AMALAN CEMAR
Tindakan beberapa wanita di Indonesia yang minum air basuhan kaki pasangan suami isteri baru pulang dari menunaikan haji telah diselar kalangan ulama di Indonesia. Misalnya, Prof Kiai Haji Yahya Zainul Ma'arif (@Buya Yahya) menilainya sebagai amalan yang bercanggah dengan Al-Quran dan sunnah. Ia dihukumkan haram.
Harian Metro bertarikh 6 Julai tahun ini, memetik pensyarah Fikah Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff berkata, amalan ini dianggap fasidah (rosak) kerana bercanggah dengan Islam yang mengutamakan kesucian (air bersih).
Mengenai amalan para pengikut minum air basuhan kaki pemimpin ajaran sesat pula, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menilaikan perbuatan itu sebagai khurafat. Ia merupakan antara ciri kesesatan pada sebuah kumpulan kultus, tegasnya.
AIR KAKI IBU
Memang ada hadis sahih membawa maksud agar anak menyantuni emaknya kerana ‘syurga’ di bawah dua telapak kaki ibu. Berpandukan hadis ini dan sentuhan adat setempat, maka muncullah upacara atau ritual khas membasuh kaki ibu dan meminum air basuhannya.
Contohnya: Atlet angkat berat Indonesia, Encik Rizki Juniansyah, telah mengharumkan nama negaranya setelah merangkul pingat emas dalam acara angkat berat kategori 73 kilogram di Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, antara lain kejayaannya dibantu dengan 'ritual' mencuci kaki ibunya dan kemudiannya meminum air basuhan kaki ibunya itu.
Ibunya, Yeni Rohaeni juga adalah atlet angkat berat dan begitu juga ayahnya, Mohammad Yasin yang juga bekas atlet angkat berat nasional (rujuk: Berita Harian Malaysia, 10 Ogos 2024).
Di sesetengah tempat di Jawa, amalan membasuh kaki ibu dan meminum air cuciannnya dikatakan masih kuat berakar. Misalnya, calon bupati (bahasa Jawa: pegawai daerah) untuk kawasan Jember, Encik Abdussalam, telah melaksanakannya (rujuk akhbar Kompas, 9 Dis 2020) di depan umum.
Malah ada yang melakukan upacara sedemikian selepas melaksanakan ibadah solat Aidilfitri di tangga surau (langgar)! Kononnya, amalan ini membuat si anak terus taat dan tawaduk atau merendah hati – bertentangan dengan kisah Si Tanggang (@Malim Kundang atau Nakhoda Manis) yang tidak mengakui akan ibu kandungnya yang miskin dan hina.
ANGGOTA PENTING
Walaupun ‘kaki’ dinilai anggota ‘rendah’, namun ia amat penting sebagai lambang kekuatan manusia. Budaya Melayu menggalakkan pemakanan dan senaman untuk meneguhkan kaki seperti ‘jurus’ dan ‘kuda-kuda’ bak pencak silat.
Banyak ungkapan bersandarkan ‘kaki’ yang ‘neutral’ sifatnya seperti kaki gunung (bahagian bawah gunung), kaki kain (bahagian kain sarung yang di sebelah bawah) sehingga sifat buruk manusia – kaki buli (orang yang suka menyakiti, menganiayai atau menakuti orang yang lemah), kaki judi (orang yang suka berjudi) sehingga kaki botol (ketagihan minuman keras).
Dalam perubatan Melayu tradisional, menilai kekuatan ‘kaki’ diperlukan untuk memastikan seseorang itu sentiasa sihat, cergas dan cerdas. Selain memakan herba atau jamu, ada urutan untuk menguatkan kaki agar dapat berjalan sehingga dapat memecut (berlari cepat).
Pendeta Muhd Ariff Ahmad mewariskan sekuntum sajak mengenai kekuatan kaki iaitu ‘Jalan’:
Jalan... jalan
Jalan dan jalan
Jangan berhenti separuh jalan;
Biar sampai ke hujung jalan
sampai matlamat jalan kesampaian,
atau sampai tak boleh jalan!
*sumber: Sumbangsih MAS – Koleksi Puisi-Puisi Pilihan, NLB 2012.)
MENGENAI PENULIS


Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.