KOMENTAR: Abdullah Munshi pemikir dan peneraju zamannya & mengapa pengabaian Bahasa Melayu ibarat menolak ilmu
Abdullah bin Abdul Kadir (1796-1854) adalah seorang tokoh yang sering disebut-sebut dalam sejarah kesusasteraan dan pemikiran Melayu.

Abdullah bin Abdul Kadir (1796-1854) adalah seorang tokoh yang sering disebut-sebut dalam sejarah kesusasteraan dan pemikiran Melayu. (Gambar: NLB)
Beliau yang mendapat gelaran Munshi adalah guru bahasa Melayu yang menjadi terkenal pada awal abad ke-19. Tokoh kelahiran Melaka ini telah menghasilkan puluhan karya dan penerbitan sewaktu beliau berkhidmat secara sambilan dengan beberapa pegawai British dan pedagang di Singapura.
Karya-karya utama yang dihasilkan beliau antaranya: Syair Singapura Terbakar (1830); Kisah Pelayaran Abdullah (1838); Hikayat Abdullah (1849). Beliau telah mengusahakan lapan karya asli, menyunting dua naskah lama, menterjemahkan Hikayat Panca Tanderan dari versi Tamil ke bahasa Melayu.
Beliau turut membantu dalam mengusahakan majalah dan kamus, menterjemah dan mencetak buku teks sekolah, serta menyunting risalah Perjanjian Baru yang dikomisi oleh mubaligh Kristian.

Kedua, beliau menyinggung persoalan bahasa, bersangkutan cara belajar bahasa, kepentingan bahasa untuk kemajuan bangsa dan pemerosakan dan pengabaian bahasa, serta variasi bahasa yang wujud.
Beliau memberi kita ungkapan akan perlunya berbicara tentang kemajuan bahasa kita sendiri, seperti mana ilmu sosiolinguistik tekun menghuraikannya hari ini.
Ketiga, dari kritikan dan gagasan yang beliau anjurkan, menunjukkan bahawa penggunaan bahasa beliau yang jelas itu bertolak daripada orientasi pemikiran yang diteguhkan oleh kepedulian moral-etika sehingga unsur inilah yang menjadikan karya beliau terus relevan dibincangkan sehingga ke hari ini.
Pengabaian Bahasa Melayu adalah Pengabaian Ilmu
Abdullah mempunyai penghargaan besar kepada bahasa Melayu yang malangnya beliau perhatikan tidak dipedulikan oleh masyarakat Melayu pada zamannya itu.
Bagi Abdullah, dengan penguasaan bahasa yang baik, barulah bangsa itu dapat menguasai ilmu. Bahasa membina peradaban dan kemajuan:
"Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan dan kekayaan itu membawa kepada kebesaran, maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah dalam dunia ini masing-masing adalah dengan harganya iaitu dapat dinilaikan oleh manusia: melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya."
Abdullah telah menyinggung pengabaian orang Melayu, bukan saja tentang ilmu tetapi juga ketidakpedulian untuk mempelajari bahasa mereka sendiri:
"tinggal dalam bodohnya itu sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri, dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya itu....bukankah segala bangsa-bangsa yang lain dalam dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya, melainkan orang Melayu?”

Dalam sebuah risalah yang ditulis oleh Abdullah tentang cara penulisan surat yang betul, Abdullah telah menyentuh tentang ungkapan-ungkapan atau konvensi yang terpakai. Baginya, bahasa yang berjela-jela mencacatkan makna dan kejelasan isi surat yang ingin disampaikan.
Sebagai seseorang yang mencintai ilmu, Abdullah berasa peri pentingnya penguasaan bahasa. Beliau menasihatkan:
"...maka jikalau hendak menjadi pandai dalam bahasa Melayu, maka hendaklah kiranya tuan berjinak-jinak dengan hikayat-hikayat bahasa Melayu, kerana ada dalamnya itu tersembunyi beberapa benda-benda yang mulia."
Abdullah menegur sikap sesetengah orang Melayu yang berpendapat bahawa mereka tidak perlu menguasainya kerana bahasa itu memang milik mereka, digunakan dan difahami umum.
Sebaliknya beliau memerhatikan bahawa kemajuan bangsa Eropah itu kerana terlebih dahulu mereka membangunkan bahasa mereka sehingga dikuasai ilmu dan lain-lain kepandaian. Sayangnya, inilah yang tidak terdapat dalam masyarakat kita. Sehingga beliau mengibaratkan sebegini:
“Bermula bahasa Melayu ini bukankah seperti hutan rimba besar keadaannya, penuh dengan semak-samun....Maka daripada zaman adanya bahasa itu sampai sekarang ini adakah seorang pun yang bernafsu hendak membetulkan atau mengaturkan jalannya atau hukumnya."
Mengkritik Feudalisme Melayu
Abdullah yang hidup pada awal abad ke-19 menyaksikan bermulanya keruntuhan negeri-negeri Melayu yang dibelenggu oleh perang dan persengketaan dalaman, serta kemasukan Kompeni Inggeris yang mahu bertapak dan mendirikan monopoli ekonomi mereka di daerah ini.
Begitulah yang tercatat dalam Kisah Pelayaran Abdullah, yakni catatan pelayarannya ke Pahang, Terengganu dan Kelantan. Beliau bukan saja merakam keadaan hidup masyarakat di negeri-negeri tersebut tetapi juga membuat renungan peribadi. Yang menarik tentunya berkenaan sebab musabab kemunduran rakyat Melayu yang beliau kaitkan dengan kepimpinan feudal Melayu yang zalim sehingga rakyat hilang ikhtiar dan keyakinan untuk memperbaiki hidup dan bukan pula kerana mereka itu tidak mahu bekerja atau malas.
“Maka adalah pada sangka sahaya, bukannya dari sebab perompak, karena belum pernah sahaya dengar khabar negeri besar-besar yang hilang perniagaannya dan kekayaannya oleh sebab perompak, dan bukan tanah-nya, karena negeri Pahang tanahnya terlalu gemok; dan bukan-nya sebab kelalaian orang-nya sahaja, karena belum pernah ada negeri di dalam dunia ini yang lalai orangnya sekalian, jikalau boleh ia mendapat untong dengan kerja tangan-nya, dengan ketentuan labanya, serta senang hatinya, maka jikalau kira-nya satengah bahagian juga orang yang dalam sabuah negeri yang sehari-hari ada menchari kehidupannya dengan rajinnya, lagi dengan pekerjaan yang setiawan, nischaya menjadi besar dan kayalah negeri itu."
"Maka pada sangka sahaya, inilah sebab-nya menjadi miskin negeri Pahang itu. Maka sekalian orang yang duduk dalam negeri itu sentiasa dengan ketakutan akan aniaya dan loba raja-raja dan orang besar. Maka adalah fikiran mereka itu, ‘Apa guna rajin kita itu? Maka jikalau kita mendapat sedikit wang atau makanan, nischaya dilobakan dan dirampas oleh orang besar itu’.”
Abdullah bukan pakar pembangunan bukan pula ahli sosiologi, tetapi Abdullah dengan kejernihan fikiran mampu mencari sebab musabab mengapa sebuah negeri dan rakyatnya mundur. Jelas bukan kerana kemalasan ataupun dilanggar musuh ataupun negeri yang tandus, tetapi disebabkan oleh kepimpinan yang zalim sehingga rakyat tidak lagi ada inisiatif untuk menghasilkan mata pencarian yang lebih.
Abdullah Menyaksikan Teknologi
Satu lagi contoh kepedulian bersungguh Abdullah adalah berkenaan pemerhatian beliau tentang kapal asap api yang singgah di Singapura pada 1841.
Kapal asap api Sesostoris ini menggemparkan masyarakat tempatan yang belum pernah melihat kapal laut yang bergerak tanpa layar. Abdullah sendiri kagum sehingga beliau mengambil kesempatan untuk menaikinya apabila dijemput dengan beberapa orang putih yang lain. Tetapi Abdullah menaiki bukan setakat menengok-nengok melainkan mahu mencatatkan demi menerangkan bagaimana kapal asap itu berfungsi.
Ini sekali gus menepis tanggapan orang ramai kononnya kapal sebesar itu adalah dijana oleh kuasa jin atau sebagainya, yang bagi Abdullah, hanya disebabkan cetek ilmu.
Akhirnya tersempurna dalam karyanya Cerita Kapal Asap yang sebenarnya juga sebuah teks Melayu yang pertama menjelaskan segi-segi teknologi Barat.
Sempat pula Abdullah, menyeru kepada pemimpin Melayu agar berfikiran jauh untuk mencari dan membangun kepandaian ini.
“Syahdan maka jikalau ada raja-raja Melayu atau orang kaya-kayanya yang hendak mendapat kapal asap itu...Maka pada mula-mulanya janganlah engkau hendak membuat sendiri sebab tiada ada kepadamu tukangnya yang pandai dan tiada pula perkakasnya dan tiadalah jalannya sekali-kali kepadamu melainkan cubalah beli satu kapal asap kecil-kecil itu dahulu....barangkali bolehlah perlahan-lahan bolehlah engkau mendapat tukangnya dalam bangsamu sendiri atau barangkali engkau menyuruhkan budak-budak atau anak-anakmu pergi belajar serta menaruh rumah tempat berbuat itu dalam negerimu adanya.”
Begitulah Abdullah, setiap sudut penulisan beliau pasti termuat kritikan dan seruan untuk pembaikan dan kemajuan.
Dari penulisannya Abdullah banyak digerakkan dengan nilai dan kesadaran Islamnya yang menitikberatkan adil, akal, usaha dan ilmu.

Beliau merujuk kepada Tajussalatin sebuah kitab etika yang terkenal di rantau ini demi mempertegaskan akan penting keadilan ditegakkan.
Jasa Abdullah kepada dunia pemikiran dan kesusasteraan Melayu sungguhlah besar.
Banyak kalungan telah diberikan kepada beliau, sama jua dengan hentaman yang ditujukan terhadap beliau.
Ada yang mengecam beliau sebagai tali barut Inggeris, malah ada yang menyifatkan beliau sebagai “Abdullah Paderi” kerana bekerja dengan mubaligh Kristian.
Semua tudingan ini sangatlah tidak berasas sekiranya kita sanggup membaca pemikiran beliau dengan cermat dan adil.
Kritikan yang Abdullah buat dalam karya-karyanya bukanlah untuk menghina dan menjatuhkan bangsa Melayu.
Beliau menulis dan menyinggung persoalan atas nama mahu mengingatkan pembaca Melayu termasuk kepimpinan Melayu akan tanggungjawab kepimpinan bangsa untuk memastikan kebajikan rakyat terjamin.
Kepada para pembesar Melayu beliau mengatakan sedemikian:
“jikalau disampaikan Allah kiranya hikayatku ini ke dalam tangan raja-raja, maka apabila didengarnya perkataan yang benar ini, maka hubaya-hubaya janganlah kiranya tuanku murka akan patek. Maka jikalau kiranya murka juga tuanku, adalah seperti perumpamaan: seekor kuman di benua China kelihatan pada matanya, tetapi seekor gajah bertengek di atas hidungnya ia tiada sedar adanya. Dan lagi, sahaya memohonkan ampun; maka adalah sahaya ini telah biasa dalam adat-adat Inggeris. Maka adat itu meluluskan yang boleh sahaya menegorkan kelakuan raja-raja yang tiada berpatutan, dengan tiada kena hukum bunuh atau rampas, adanya.”
Tentunya Abdullah yang hidup di dalam negeri-negeri Selat berani untuk menegur penguasa Melayu.
Yang penting dapat kita tarik dari kenyataan ini adalah keberanian moral Abdullah.
Inilah seorang guru bangsa yang menulis dan mengajar atas kesadaran dan kesaksian bahawa sesuatu yang lebih baik harus diusahakan dan itu memerlukan nilai dan amal yang menghargai akal, ilmu, adil dan berperikemanusiaan. Itulah Munshi yang berjasa besar kepada kita.
MENGENAI PENULIS:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.