KOMENTAR: Abdullah al-Misri & mengapa Hikayat Mareskalek masih relevan hingga ke hari ini

Gambar: Sumber Web
BERITAmediacorp: Sering diperkatakan bahawa sesebuah karya yang ulung menjadi kesaksian sejarah yang berguna kepada setiap sejarah peradaban. Itulah yang dapat kita tarik dari Hikayat Mareskalek, hasil tulisan Muhammad Abdullah al-Misri. Mareskalek merujuk kepada Maarschalk Herman Willem Daendels, yang menjadi Gabenor Jeneral Hindia Belanda pada 1808 sehingga 1811.
Kedatangan Daendels ke Jawa hampir sebuah kisah yang legendaris. Beliau berangkat dengan seorang pengiring saja, dari Eropah ke Jawa dengan perjalanannya dirahsiakan agar tidak ketahuan Inggeris.
Niatnya adalah untuk mengambil alih Jawa agar tidak terlepas ke tangan musuh Belanda dan Perancis, yakni Inggeris.

Muhammad Abdullah al-Misri adalah Arab Peranakan, kelahiran Palembang yang asal-muasal keluarganya dari Kedah. Tidak diketahui tarikh kelahiran, namun tercatat beliau wafat pada 1845.
Pada usia mudanya, beliau berkelana sebagai pedagang dan sesampai di Betawi beliau di bawah naungan Sheikh Abdurrahman Ahmad al-Misri, yang dikatakan telah mempengaruhi cara pandang beliau tentang politik semasa. Beliau akrab dengan komunitas (masyarakat) Arab Hadramaut yang banyak bermukim di kawasan pesisir.
Hikayat Mareskalek yang ditulis beliau ini dipersembahkan kepada Sultan Syarif Qassim dari Pontianak pada 1815.
Sudah menjadi kebiasaan kerajaan yang ternama itu harus selalu ada pujangga, ulama, khatib atau kerani yang menulis untuk raja-raja sebagai kenangan dan penghormatan. Karya ini, senada dengan genre ketatanegaraan, menyebut akan tujuan ia ditulis:
“Ini suatu cetera yang sangat baik diketahui dia, di dalamnya beberapa hikmat dan obat bagi segala raja-raja dan orang yang memerintah negeri, diambil cermin daripada barang yang tersebut di dalam surat ini.”
Tujuan Penulisan
Keistimewaan Hikayat Mareskalek terletak pada tiga segi utama.
Pertama, ia menyampaikan makna dan peri penting memerintah dengan adil dan saksama kerana itu akan diperkirakan Tuhan di hari pembalasan. Dalam hal ini sasaran beliau adalah terhadap penguasa feudal pribumi.
Kedua, menampilkan tokoh yang wujud dalam sejarah Tanah Jawa yakni, dengan mencitrakan Mareskalek sebagai “raja seberang” (penguasa dari luar) yang memerintah dengan ada wawasan untuk maju dan adil, betapa juga ada keterbatasannya.
Ketiga, kritikan ke atas pemerintahan orang kulit putih yang keras dan memeras, sekali gus menjadikan karya ini antara yang awal menyebut akan akal muslihat dan kelicikan bangsa yang datang menjajah.

Persoalannya mengapakah diambil nama Mareskalek sebagai judul untuk Hikayat ini?
Ada dua kemungkinan.
Pertama, karya yang ditulis lima tahun selepas Daendels meninggalkan Jawa, pastinya nama yang memberi ingatan ngeri kepada penguasa dan penduduk tempatan.
Dalam kalangan penguasa pribumi, nama Daendels ini menggetarkan kerana beliau memerintah dengan sangat keras.
Kekejaman Daendels ke atas Sultan Banten dan pembesar lainnya, dengan istana dirompak dan dimusnahkan pastinya menggemparkan para pembesar dan rakyat lainnya. Begitulah juga yang terjadi pada Kesultanan Cirebon, malahan menggugat Kesultanan Mataram di Jawa Tengah.
Kedua, dengan menggunakan nama Mareskalek, diingat kepada yang lain akan tugas raja yang besar, yang bukan saja harus menegakkan keadilan tetapi juga menjaga kebajikan rakyat dan pedagang kerana hanya dengan negeri yang makmur akan terjamin kesejahteraan.

Belajar dari Kepandaian Orang Putih
Diperhatikan al-Misri betapa pemerintah orang putih yang bijak menyusun negeri, sehingga mereka tahu setiap penduduk, sumber dan tanah yang ia kuasai:
“Maka atas yang demikian inilah periksa orang besar, diperintahnya dunia yang di bawah kerajaannya itu. Maka tiada boleh hilang suatu rumah di dalam hutan dan yang di atas gunung, lobang batu dan tepi laut, sekaliannya itu di dalam pengetahuannya sudah tersurat di dalam buku negeri.”
Inilah kepandaian yang ada dalam kalangan pemerintah orang putih dan maklumat ini terus dirujuk, betapa nanti ada pergantian raja orang putih yang dilantik.
Ertinya al-Misri mahu membayangkan akan sistem birokrasi yang teliti dengan segala catatan dan maklumat kerana itulah kunci untuk berkuasa secara berkesan.
Al-Misri sendiri seakan memuji Daendels yang bersungguh-sungguh menghubungkan Jawa Barat dan Timur dengan dibuka tanaman padi dan kopi, diperluaskan ekonomi pasar sehingga keadaan hidup diperbaiki.
Itulah impian Daendels.
Bagi al-Misri, cara pandang seperti inilah yang tidak wujud dalam kalangan pembesar pribumi, betapa beliau juga pasti maklum bahawa Daendels juga telah memaksakan kehendaknya dibina jalan besar itu sehingga ribuan yang mati sewaktu pembinaannya.
Apapun al-Misri menulis bukan untuk memuji-muja Daendels. Hanya digunakan watak ini sebagai saluran suara beliau sendiri untuk menyampaikan amanat dan teguran kepada pembesar pribumi. Namun al-Misri juga menggambarkan Daendels yang besar kepala, angkuh dan langsung tidak menghormati adat istiadat setempat.
Malah al-Misri juga mengkritik secara terang-terangan bangsa kulit putih yang memerintah dengan mengenakan cukai yang sangat tinggi sehingga terpukul kesannya terhadap pedagang setempat. Kerana beliau juga seorang pedagang, pasti tidak terlepas dari tekanan ini.
Yang menariknya, hikayat ini bukan semata-mata berkenaan riwayat hidup tentang Mareskalek atau si Daendels. Tokoh ini dijadikan watak untuk menyampaikan amanat, teguran dan nasihat kepada pembesar pribumi.
Di satu pihak, beliau terasa kagum terhadap cara orang kulit putih memerintah dengan cekap, tapi di satu pihak yang lain, dengan memerintah cara baik itu, mereka telah mempergunakan rakyat terbanyak tanpa mereka sedari. Malah beliau yakin Tuhan kelak akan membalas ke atas bangsa penjajah ini yang telah mengazabkan rakyat Jawa.
Tradisi Cerminan Raja
Di Nusantara terdapat beberapa karya cerminan raja-raja yang beredar, khasnya Tajussalatin. Mungkin saja al-Misri akrab dengan bacaan ini, sehinggakan dalam Hikayat Mareskalek para penguasa dinasihatkan supaya tidak hidup bermewahan dan bermalasan:
"Dan tiada pula seyogyanya bagi raja-raja....senantiasa dengan bermain-main catur dan menembak sasaran dan berburu kerana sesungguhnya segala pekerjaan itu menegahkan dan meninggalkan berbuat pekerjaan yang baik. Dan tiap-tiap pekerjaan itu ada dengan waktunya, maka apabila luput waktunya itu kembalilah kepada kerugian dan kesukaan yang didapat dahulu itu, akhirnya duka pula didapatnya kemudian."
Sekiranya dalam tradisi pemerintahan Islam menyebut akan tiga asas simbolik yang harus dimiliki oleh pemerintah, yakni adanya kalam, dakwat dan kertas, begitulah juga Hikayat Mareskalek, yang menyanjung kepentingan ilmu untuk mengurusi kehidupan ini. Disebut sebegini:
“barang siapa tiada baginya ilmu, maka tiadalah baginya kemuliaan di dalam dunia dan di dalam akhirat…barang siapa tiada mengambil pengajaran akan dirinya ulama dan hukama dan tuha-tuha, maka tiadalah orang itu berkehendak sesuatu kepada Allah taala, maka segala pekerjaan dunianya itu pun tiada boleh betul.”

Kritikan ke atas Penguasa Feudal
Al-Misri memerhatikan kerajaan-kerajaan di Jawa melemah kerana bukan saja tidak terurus baik, tetapi juga kerana yang memerintah dengan bernafsu, sehingga berfoya dan berpesta, memburu dan berjudi, sedangkan para menterinya gila gelaran.
Apabila memerintah sesuka hati tanpa berunding dan bersidang dengan rakyat dan mendapatkan nasihat daripada para ulama, makanya itulah yang membawa bencana kepada negeri.
Jelasnya, al-Misri menggunakan tokoh Mareskalek untuk menyampaikan amanatnya tentang cara pemerintahan yang baik, walaupun Mareskalek sendiri menjadi angkuh sehingga berangan menggelarkan dirinya Susuhunan bagi seluruh Tanah Jawa.
Disebut dalam hikayat ini, yang kononnya Sunan Kalijaga yang muncul dalam mimpi Mareskalek dan murka akan gelaran yang dipakai. Dalam sejarah, sebenarnya perubahan politik besar di Eropahlah dan keputusan atasan pemerintah Belanda-Perancis yang menggantikan Daendels yang dianggap memerintah sesuka hati di Jawa.
Menarik diperhatikan setelah Daendels ditamatkan pemerintahan, al-Misri merakan harapan rakyat Jawa yang tidak tahan dengan Belanda yang keras. Mereka berharap masuknya Inggeris akan lebih baik keadaan. Rupanya salah perkiraaan mereka sebagaimana ditulis al-Misri:
“Maka berkata segala orang Jawa, “Maka sesungguhnya kami meminta doa kepada Allah supaya segera Inggris mengambil tanah Jawa kalau-kalau ada mudah senang sedikit daripada perintah kompeni Wolanda, maka ini terlebih keras perintah Inggris daripada Wolanda”.
Belajar dari Sejarah
Iktibar dari karya al-Misri ini bahawa cerdik pandai setiap zaman harus mencatat peristiwa yang berlaku sambil memberi teguran dan teladan agar masyarakat, khasnya penguasa yang mampu membaca dan memahami sehingga di peringat akan tanggungjawab dan amanah mereka untuk memimpin dengan adil dan saksama.
Cerdik pandai yang menulis dan merakam keadaan dan kegetiran zaman sebenarnya menghadirkan suara peribadi dan suara bangsanya dalam sejarah. Inilah warisan yang berharga.
Sayangnya apabila cerdik pandai tidak lagi menulis dan menyinggung, maka tiada akan terwakil suara dari bangsa dan kelompoknya dan kelak nanti ada pula gerombolan yang licik bestari serta ghairah menulis, menakrif dan menentukan apakah sejarah, budaya, dan peribadi kita.
Moga ini dapat dihindari, seraya berpantun bertabik kepada penulis Hikayat Mareskalek:
Hikayat ditulis sejarah terakam
Sudah masyhur Tuan al-Misri
Kalau yang celik pandai berkalam
Pastikan tersurat mata dan hati.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.