Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

JENDELA 2025: Pembelajaran sekular, pengajian Islam SG bakal bersifat lebih inklusif, mudah diakses

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pembelajaran sekular mahupun pengajian Islam di Singapura kian bergerak ke arah sifat inklusif dan mudah diakses, selain menitikberatkan keseimbangan dan pembangunan holistik.

JENDELA 2025 kali ini membentangkan perubahan dasar, pembaharuan dan gagasan dalam sektor pendidikan yang akan memanfaatkan kedua-dua anak didik dan tenaga pengajar.

DSA PERSIAPAN AWAL PENDIDIKAN

Membuat persiapan awal menjadi prinsip yang diterapkan Encik Mohammad Azmi Abdul Talib dalam pendidikan anak-anaknya.
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Berbekalkan prinsip inilah, beliau mendorong keempat-empat orang anaknya untuk memasuki Skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) melalui sukan ‘floorball’ demi menjamin tempat dalam sekolah menengah.

Dengan anak sulung Encik Azmi, Muhammad Darwish Aiman, menjadi pencetus minat sukan ‘floorball’ dalam keluarganya sejak sekolah rendah lagi, Encik Azmi cukup beruntung kerana bakat semula jadi anak-anaknya tidak memerlukan beliau untuk 'berbelanja lebih' bagi mendaftar mereka ke dalam akademi khas untuk menajamkan kemahiran anak-anaknya bagi DSA.
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Sungguhpun demikian, beliau tidak menafikan bahawa terdapat segelintir ibu bapa yang sanggup melabur wang ke dalam akademi sukan semata-mata untuk melihat anak-anak mereka menempah tempat awal dalam sekolah menengah yang diinginkan.

"Kelab-kelab ini akan mengeluarkan testimonial bahawa budak ini daripada kelab ini, dia main bagus, jadi cikgu atau jurulatih di sekolah ini akan membaca testimonial dia, kira macam resume yang bagus.
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
"Testimonial daripada guru-guru yang mendampingi sekolah rendah yang membimbing mereka masing-masing ini dan juga daripada kelab ini akan memberi ‘weight’ (kelebihan) untuk mereka masuk DSA," kata Encik Azmi.

MOE SEMAK SEMULA DSA

Bagi menangani keprihatinan mengenai 'ketidakadilan' ini, Kementerian Pendidikan (MOE) sedang membuat semakan terhadap skim DSA bagi memastikan sekolah memberi tumpuan kepada pembangunan pelajar, menjadikan proses pemilihan bersifat objektif dan telus, serta skim itu dapat terus diakses keluarga berpendapatan rendah.

Sejak diperkenalkan pada 2004, DSA telah menyaksikan peningkatan 11 peratus pada jumlah pelajar yang diterima masuk antara 2019 hingga 2023.

Jumlah ini juga dijangka meningkat, memandangkan lebih banyak aliran disediakan bagi DSA di luar bidang sukan dan seni.

Ketelusan proses itu jugalah yang dititikberatkan penyelidik akademik Dr Wan Rizal Wan Zakariah dalam penilaian DSA.

Beliau, yang juga anggota Jawatankuasa MOE COMPASS, berkata: "Kita perlu mengadakan satu penilaian yang saya rasa yang terbuka di mana kita mendapat pendapat daripada pakar-pakar, pendapat daripada ibu bapa seumpamanya."

"Tujuan DSA ini bukan sahaja melihat kemahiran mereka atau bakat mereka di dalam sukan atau seni.
(Gambar: BERITA Mediacorp)
"Sebenarnya kita melihat dari segi keseluruhan bagaimana anak-anak ini, anak murid kita ini dengan bakat-bakat yang tersebut ada juga nilai seperti kepimpinan, ada juga dikatakan karakter kerana kita mahu pembangunan holistik bagi mereka," tambah beliau.

Meskipun timbul persaingan sengit untuk memasuki DSA, Encik Azmi tetap yakin pelajar berbakat sekalipun daripada keluarga berpendapatan rendah akan dinilai sewajarnya.

"Tak semestinya kerana daripada kelab, kerana ada wang, mereka dapat memasuki DSA sesenang-senangnya. Kalau mereka ada kemahiran semula jadi dan kesungguhan sendiri, jadi mereka boleh dipilih," kongsi Encik Azmi.

GARIS PANDUAN BAHARU RINGANKAN BEBAN KERJA GURU

Itulah hakikat yang perlu diterima sesetengah ibu bapa, yang kadangkala mempunyai jangkaan tinggi terhadap anak-anak mereka serta pihak sekolah.

Guru-guru sekolah juga sering kali menerima tempias jangkaan tinggi ibu bapa, yang kerap menghubungi guru mengenai soalan remeh selepas waktu sekolah serta menambah beban kerja kepada mereka.

Ini pernah dialami sendiri pendidik veteran dan Pengetua Sekolah Menengah Yuan Ching, Encik Shawal Hussin, yang mempunyai pengalaman luas selama 30 tahun dalam sektor pendidikan.
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
"Sekarang generasi baharu ibu bapa, pada pandangan saya, mereka makin ‘demanding’, makin lebih memperhatikan apa yang guru buat, apa yang sekolah buat. Ada yang baik, ada yang bagus. Tetapi kadang-kadang sampai terlampau sikit," jelasnya.

Tanggungjawab mengurangkan beban guru juga dipikul pengetua sekolah dalam menjaga kemaslahatan mereka untuk terus memberi kesan positif kepada para pelajar.

Pengetua Sekolah Rendah Ang Mo Kio, Encik Farizal Umar Effendi berkongsi: "Kejayaan sesebuah sekolah adalah di tangan guru-guru yang komited, berdedikasi dan mahir. Jadi untuk saya, pertumbuhan profesional dan kesejahteraan mereka adalah penting.

"Sebagai pengetua sekolah, saya harus memberikan ruang dan masa untuk mereka mengimbangi tumpuan di rumah dan juga di sekolah dari segi profesional."

Had baharu yang ditetapkan pada Oktober lalu dalam Garis Panduan bagi Kerjasama Sekolah-Rumah MOE termasuk guru tidak perlu mengongsi nombor telefon peribadi mereka dan juga tidak perlu menjawab mesej berkaitan kerja selepas waktu sekolah.

Tujuannya untuk mengelak jangkaan dan kelakuan tidak munasabah daripada pihak berkepentingan yang menjejas kesejahteraan guru, justeru membolehkan guru mempertingkatkan diri dengan mengasah dan menimba kemahiran baharu serta mempunyai lebih banyak masa peribadi.

"Dengan mengurangi beban-beban dan memberi mereka nafas baharu, saya rasa ini adalah penting kerana keletihan ini bukan dari kerja satu dua tahun.

"Selalunya mereka sudah bekerja lama dan untuk memberi mereka peluang untuk belajar ilmu baharu, mengalami pekerjaan yang baharu, ini adalah penting untuk kesejahteraan mereka," kata Dr Wan Rizal, yang juga Penasihat Kesatuan Guru Singapura (STU).

PENGETUA BAHARU TERAJUI 46 SEKOLAH

Kesejahteraan guru juga memerlukan kerjasama antara guru dengan pihak sekolah, termasuk pengetua sekolah.

MOE baru-baru ini melantik 22 pengetua baharu, menjadikannya 46 sekolah dipimpin oleh pengetua yang baharu pada 2025 bagi membolehkan sekolah-sekolah meraih manfaat daripada perspektif baharu.
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Encik Shawal berkongsi: "Visi saya adalah mengubah sekolah menjadi tempat yang selamat untuk pelajar-pelajar belajar dan memaksimumkan potensi mereka untuk tidak takut mencuba dan gagal untuk meneroka dan tidak takut mengambil risiko, terutama untuk mereka siap bagi cabaran dan juga peluang yang ada di abad ke-21."

Yang jelas, pengetua sekolah yang baharu harus peka kepada keperluan guru serta pelajar demi mengukuhkan lagi sistem pembelajaran di sekolah.

Dr Wan Rizal menambah: "Pemimpin sekolah yang baharu, bagi saya penting untuk mereka memahami kepentingan keseimbangan, kepentingan kesejahteraan mental seumpamanya untuk para guru dan juga anak murid kerana ini adalah satu faktor yang penting untuk generasi yang baharu.

"Saya juga rasa untuk pengetua sekolah yang baharu mereka juga perlu adakan bukan sahaja visi untuk masa depan yang akan datang tapi juga yang kini."

VISI KOLEJ PENGAJIAN ISLAM SINGAPURA

Visi masa depan bagi pendidikan Islam juga mendapat sorotan dengan Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bakal ditubuhkan tiga tahun lagi.

Namun perancangannya sudah giat dijalankan dengan lebih banyak kemas kini akan diumumkan tahun ini sedang Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir memulakan Jawatankuasa Panduan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pula dalam Panel Penasihat SCIS.

Ini bagi melengkapi asatizah masa hadapan dengan keupayaan untuk menyediakan bimbingan agama bagi masyarakat Muslim dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan agama.

Meskipun bakal memberi keutamaan kepada pelajar madrasah tempatan, masih wujud keprihatinan mengenai pengajian di SCIS kelak.

Setiausaha Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Naib Pengerusi Insititut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Ustaz Fathurrahman Dawoed berkata: "Satu dari sudut kos, kita tak pasti lagi, mungkin kos belajar di negara sendiri itu lebih tinggi daripada luar negara.
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
"Tapi keprihatinan yang mungkin lebih utama adalah adakah pendidikan atau pengajian agama, kurikulum pendidikan agama itu yang ditawarkan di Singapura itu dapat menyaingi kurikulum yang ada di universiti-universiti yang ternamalah, seperti Al-Azhar dan sebagainya. Jadi, adakah kualiti pengajiannya sama ataupun ia lebih rendah."

Menyentuh tentang keprihatinan orang ramai, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menjelaskan: "Tujuan kami adalah supaya yuran yang dibayar oleh pelajar nanti harus lebih murah daripada menghantar pelajar tersebut ke luar negeri dan sekali gus kami akan mengadakan apa sahaja subsidi yang dapat dilakukan supaya mereka yang tidak mampu akan dapat bantuan yang seharusnya."

SCIS bakal memberi peluang kepada penuntut untuk mendapatkan ijazah sarjana dan program pertukaran di tiga universiti luar negara iaitu Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan dan Al-Qarawiyyin di Maghribi.

Ini selain peluang mengikuti beberapa modul di kampus Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).

Ustaz Fathurrahman menambah: "Saya fikir ada sebahagian pelajar tetap akan ada yang ingin dan terbuka untuk belajar di dalam negara.

"Ini sebab, satu, dari sudut keselamatan. Kita tak pasti lagi kalau di luar negara itu keadaannya bagaimana dan sebagainya. Lebih-lebih lagi dengan konflik yang ada."

Memandang ke hadapan, tidak kiralah sama ada bagi pembelajaran sekular mahupun pengajian Islam, pendidikan di Singapura kian bergerak ke arah sifat inklusif dan mudah diakses selain menitikberatkan keseimbangan dan pembangunan holistik.

Bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya sebagai negara dengan pendidikan menyeluruh, Singapura juga kian mencapai wawasannya sebagai hab pengajian Islam bertaraf dunia.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan