DARI LUAR DARJAH: Tutup Sekolah. Buka Hati dan Minda
Hooray! Murid-murid tentu sudah tak sabar nak “buang buku” sekolah. Peperiksaan sekolah sudah selesai.
Riuh satu kelas! Papan dam dan catur berubah kepada kegiatan selepas peperiksaan yang dianjurkan pihak sekolah.
Keghairahan murid-murid untuk menikmati cuti sekolah tak pernah menurun.
Guru-guru juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat bercuti kepada murid-muridnya dengan menganjurkan acara barbeku di kawasan sekolah sehari sebelum masa percutian sekolah. Dengan wang saku mereka sendiri, murid-murid dibelanja makan dan minum. Acara bebas yang diadakan termasuk menyanyi beramai-ramai di sekeliling unggun api. Ini di zaman 1980-an.
Bagi ibu bapa pula, ada yang garu kepala fikirkan aktiviti apa yang harus diisi untuk anak-anak mereka. Yang mampu tentu sudah buat rencana ke luar negeri. Tak semestinya ke Jepun, Amerika atau Eropah. Kalau harus pakai pasport untuk melancong, itu dikira ke luar negeri juga bukan?
Dulu Dan Sekarang
Saya ingat betul tentang cuti sekolah semasa zaman sekolah rendah. Ibu dan bapa mula hantar saya ke kampung selama dua minggu untuk ‘belajar’ ketika saya di darjah empat. Selama dua minggu di kampung saya tak rasa seperti belajar tetapi berehat dan beraktiviti.
Rumah nenek dikelilingi kebun kopi. Kami bangun sebelum subuh setelah lebih lapan jam tidur nyenyak. Iyalah, rumah nenek cuma dilengkapi lampu pelita. Sebaik-baik sahaja pelita lampu minyak tanah dipadamkan, kami pun masuk tidur.
Selepas subuh kami belajar mengaji. Apabila matahari naik, kami sudah berada di kebun untuk pungut buah dan biji-biji kopi yang gugur di tanah. Manalah saya tak seronok mengutip, untuk satu tin penuh saya dibayar dua ringgit. Terasa diri ini macam orang dewasa kerana dapat bekerja dan dapat gaji! Pernah sekali, saya terpaksa panjat pokok kopi dan bertenggek di situ sehingga nenek datang. Saya mengadu kepada nenek, ada seekor ular hitam yang merayap ke arah saya.
Kebanyakan kita tak ada kebun sendiri. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, destinasi inap desa menjamur di negara jiran. Tinggal pilih saja mengikut cita rasa keluarga.
Menghabiskan masa cuti sekolah dengan cara yang produktif dan menyeronokkan memang penting, supaya pelajar rasa puas dan bersedia kembali ke sekolah dengan semangat baru.
Menjadikan Pelajaran Santai Sebagai Aktiviti Harian
Tanpa gajet atau aplikasi moden, saya banyak menambah ilmu dan pengalaman di kampung. Saya rapat dengan Lek Nasiri iaitu pakcik saya. Beliau ke kebun, saya ke kebun. Beliau lakukan rutin harian, saya tak lepaskan peluang untuk mengalaminya juga.
Setiap menjelang waktu Maghrib, beliau akan hidupkan lampu gasolin (lampu pam).
Sehingga sekarang, disiplin bekerja secara konsisten yang saya pelajari daripada Lek Nasiri menjadi amalan. Sedikit kemalasan akan menjadikan rumah kampung gelap-gelita.
Memang susah pisahkan telefon bimbit daripada anak-anak. Bagi mereka, tak mengapa kalau tak ada sarapan daripada tak ada Wi-Fi. Ada bahayanya. Ketagihan Wi-Fi boleh membahayakan kanak-kanak sekolah dengan mengganggu pelajaran, mengganggu tidur, dan meningkatkan kebimbangan.
Sambungan berterusan menghadkan kemahiran sosial secara bersemuka dan risiko pendedahan kepada kandungan tidak sesuai. Ketagihan sebegini sepatutnya dapat dikurangi semasa bercuti inap desa untuk detoks gajet. Cubalah!
Melibatkan diri dengan keluarga dan kawan-kawan penting untuk kesejahteraan emosi. Tetapkan masa untuk bersama mereka agar hubungan kekal erat dan seimbang dengan tuntutan kehidupan yang lain.
Jangan takut mencuba perkara baharu dan membuka diri kepada pengalaman yang berbeza. Ini dapat memperkayakan hidup dan memberi perspektif yang lebih luas terhadap dunia di sekeliling kita.
Mencari pengalaman yang berbeza dapat memberikan kenangan yang bermakna serta pengajaran hidup yang tidak ternilai. Pengalaman unik juga membantu membina jati diri dan memperkukuh daya ketahanan diri.
Bukan Destinasi Tapi Isi
Salah satu kegemaran saya ialah berbasikal. Setiap cuti sekolah pantai Taman Pasir Ris berubah menjadi seakan-akan sebuah kampung. Khemah-khemah didirikan berderet-deret. Selain dilengkapi ruang rehat dan tidur, kelengkapan memasak juga tersedia. Yang hadir bukan sedikit malahan beramai-ramai. Pernah saya mendekati sebuah keluarga yang sedang berkhemah semasa cuti kerana pengisian perkhemahan mereka agak menarik.
Saya perhatikan tiga orang kanak-kanak sedang melakukan perkara yang berbeza. Seorang di tepi pantai untuk mencuci bekas makanan dan minuman. Seorang lagi membimbit kantung plastik berisi air bersih. Kanak-kanak yang ketiga pula sibuk mengemas di persekitaran tapak perkhemahan. Ayah mereka kelihatan menunggu mata kail mengena ikan!
Semasa bersantai sambil minum kopi, sosok ayah berusia kira-kira 40-an tahun, menerangkan bahawa mereka tidak ada kampung seperti orang lain. Namun begitu, suasana dan peluang untuk bergotong-royong dan mengeratkan hubungan kekeluargaan tidak boleh dilepaskan.
Beliau mengambil masa selama tiga bulan sebelum berkhemah untuk bawa anak-anaknya berbincang tentang program percutian akhir tahun itu.
Mereka merancang kelengkapan bersama-sama, membeli dan menyiapkan keperluan bersama-sama. Anak-anaknya menerima tugasan masing-masing dengan hati terbuka dan tak sabar untuk melaksanakannya.
Merancang dan menjayakan program perkhemahan hujung tahun di pantai Taman East Coast, mengalih tumpuan anak-anaknya daripada rasa sedih dan kemurungan akibat kehilangan seorang ibu akibat penyakit barah.
Lebih daripada itu, bagi anak-anaknya, mereka memahami bahawa tugasan-tugasan yang menjadi tanggungjawab mereka itu pada suatu ketika dahulu adalah tugasan harian arwah ibu mereka. Ibu mereka telah meninggalkan mereka, tetapi semangat ibu mereka kekal selama-lamanya. Bergenang air mata saya.
Waktu dahulu di Rumah Tinggi,
jadi kenangan tinggal seblok,
sidai di galah sini dan sana;
Tidak perlu belanja tinggi,
isikan dengan program yang elok,
cuti sekolah lebih bermakna.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.