Buku "The Food of Singapore Malays: Gastronomic Travels through the Archipelago" serlahkan warisan makanan, jati diri Melayu

(Gambar: Wardah Books)
BERITAmediacorp: Buku yang dewasa ini sering disebut-sebut, malah ramai yang merebut untuk mendapatkannya adalah hasil ilham Encik Khir Johari, nama yang tidak asing dalam lapangan warisan Singapura.
Buat julung-julung kalinya, buku gastronomik Melayu Singapura terhasil dengan adunan berbilang disiplin sehingga menjadikan buku ini memiliki kekhasan genre yang unik.
Malah tidak keterlaluan untuk menyebut buku setebal 624 halaman ini adalah 'tour de force' hasil kegigihan penulis sebagai pencinta dan pendukung warisan.
Buku yang ditulis dalam bahasa Inggeris ini mengandungi 4 bahagian, dengan 16 bab keseluruhannya tersusun dalam tema-tema yang ranum difikirkan.
Dalam buku ini tersaji tema-tema sejarah, geografi, cara hidup dan linkungan alam, perdagangan bahan makanan, variasi selera, tata sajian, alatan pada hidangan, dan banyak lagi yang pastinya akan membuat pembaca teringat akan makanan yang pernah dirasai, dicicipi atau mengidamkannya.
Menarik juga, diselang-seli dalam buku ini resepi-resepi makanan, ada yang selalu kita ketemukan, mahupun ada yang jarang disedia, ataupun sudah langka.
Buku setebal ini adalah hasil ketekunan yang cermat, malahan cukup diperah dari pelbagai sumber dari catatan teks-teks Melayu klasik sehinggalah buku masakan kontemporari. Boleh dibayangkan dari susunan yang kaya ini, suatu peraman yang cukup lama sehingga hasilnya menjadi masak, manis, lemak, ranggup dan segar.
Lembaran demi lembaran kita akan berselera dengan pemaparan foto dan ilustrasi yang hidup warnanya, dengan carta dan susun naratif yang jelas dan berimbang.
Hasilnya wajar kita sebutkan sebagai luar biasa, kerana tergabung unsur-unsur sejarah sosial, gastronomi, wacana ilmiah, resepi makanan, pengalaman peribadi, yang kesemuanya tersaji dengan imbangan dengan sukatan naratif yang tidak menjelakkan langsung.
Dengan penyuntingan yang telaten pada buku ini, kemutuan yang tinggi terhasil.
Lihatlah saja nota kaki dan rujukan sumber yang disebut, termasuklah daftar indeks yang sangat membantu para pengkaji khasnya.
Menyusun sejarah dan memori wajar dan penting di saat adanya keghairahan untuk menyenaraikan warisan budaya, sama ada di peringkat negara mahupun antarabangsa.
Namun buku ini dihasilkan bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan itu. Ia lahir dari kesadaran, kecintaan dan kepedulian bahawa perlu dikaji, dikumpul, disusun dan ditulis tentang warisan dan sejarah sesuatu komuniti.
Inilah kekuatan penulis yang pengalaman luasnya dalam dunia pendidikan di luar negara, sangat mahir dalam ketukangan menulis, terakrab pada rencah-rencah ilmu, bacaan dan kajian. Satu lagi kekhasan buku ini adalah pengalaman penulis sendiri sama ada dari linkungan keluarga dan taulan, ditambah perjalanan jauh beliau ke merata pelusuk Nusantara.

Itulah juga perjalanan yang membenarkan beliau merakam, membandingkan dan menjejaki susur galur berkenaan sesuatu kelaziman dan ketukangan masakan kita. Dalam bahasa ilmiah, inilah “kerja lapangan” yang akan memasakan kajian dan kesimpulan.
Menurut Encik Khir, beliau sejak dari kecil dihidupkan dengan semangat ingin tahu sambil memerhatikan ibundanya berbagi kepandaian sebagai guru masakan. Dalam linkungan seperti itu, sedari awal beliau telah terdedah dengan langgam makanan dan hidangan, yang terangkum di dalamnya cara pemerolehan bahan, persiapan, persembahan hidangan, peralatan terpakai dan jenisan makanan yang mengikut kesesuaian waktu dan tempat untuk dinikmati.
Semua ini terangkum dengan tersusun dalam buku ini, selari dengan penjelasan penulis: “Untuk kita memulihara apa yang kita miliki, kita perlu mendokumenkannya. Kadangkala untuk mendokumen, kita terlebih dahulu perlu merekonstruksi.”
MAKANAN MELAYU SINGAPURA
Kawasan pesisiran Selat Melaka, terkenal dengan terhimpunnya pelbagai bangsa dan budaya, yang setiap dalam rangka waktu sejarah membaur dan saling belajar dan memperkaya warisan masing-masing. Begitulah juga di dapur masakan Melayu Singapura. Sebagaimana Encik Khir menyimpulkan:
“Pulau kita bukan saja penerima dari ceruk pelusuk Kepulauan ini. Ia adalah gelanggang dapuran yang kreatif, menghidangkan pelbagai tafsiran akan peri makna sesuatu kelazatan, dan melaluinya itu, pada makna menjadi Melayu.”
Betapa tidak, buku ini bukanlah semata-mata buku masakan yang sudahpun banyak diterbitkan. Sebagaimana tercatat di jaket buku: “Ini bukan buku masakan. Ia adalah cerita tidak tertulis pada sesuatu bangsa.” Buku ini selain menjadi rakaman saksi sejarah, juga hadir membikin sejarah, ataupun “menghidangkan” sejarah di saat kelupaan dan penepian yang cepat berlangsung di persekitaran kita.
Menurut Toh Puan Noor Aishah, dalam kata sambutan khas di jaket buku ini, tampilnya buku ini dari jerih-payah penyelidikan Encik Khir akan menjadi obor penerang kepada generasi akan datang. Pastinya itu sukar dinafikan.
Dari hamparan hidangan masakan kita, Encik Khir mengulit pelbagai kaitan pada dunia makanan dan masakan, sehingga mengakar ke flora dan fauna, pertanian dan perkebunan, alatan dan pemukiman.
Kampong Gelam mendapat perhatian khas, betapa Encik Khir sendiri dibesarkan di Gedung Kuning. Itulah daerah yang menjadi ladang terhimpun makanan, masakan dan hidangan Melayu Singapura, sehingga ke hari ini.
Dengan nada tulis yang menyuntik, berlapik dengan penegasan yang mahu memperbetulkan pelbagai persepsi dan salah tahu di sekitar makanan di Alam Melayu, maka kita akhirnya terkenyang dengan perspektif yang kaya, disegarkan dengan rempah ilmu yang pelbagai, dihalwakan dengan cerita dan pengalaman peribadi dan kumpulan, serta dicuci mata dengan foto-foto yang semuanya hidup bagi memperkuatkan naratif dalam buku ini.
Sekiranya pernah kita mendengar dari mulut emak-emak kita yang sedang masak mengungkap “naik minyak”, membaca buku ini pasti akan membuat kita “naik sedap” dek isinya yang terbingkai masak, kupasan yang berlapik dan yang dibumbu oleh pengalaman dan kenangan manis penulis.
Perjalanan Encik Khir di sekitar kepulauan Riau, yang suasana budayanya seiras dengan Melayu Singapura, mengingatkan keterikatan budaya yang pernah kita miliki dalam sejarah.
Pendek kata, buku ini sebenarnya sesuai untuk semua yang prihatin dan cinta pada budaya dan sejarah bangsa, Yang pasti, ia mencelikkan mata, membuka selera bahawa makanan, masakan dan hidangan kita adalah sebahagian daripada khazanah peradaban dunia yang wajar kita bangga akannya.
Seperkara yang sangat menyelerakan pembaca juga, khasnya yang minat kepada sejarah, adalah gugus-gugus maklumat yang tersisip cantik dalam buku ini.
Maklumat yang segar dan garing tentang dunia makanan teradun dengan baik, dimolekkan dengan pelbagai cerita sisipan, antaranya berkenaan ayahanda Presiden Yusuf bin Ishak, yakni Tuan Ishak bin Ahmad yang pernah bertugas mengepalai Pejabat Perikanan pada zaman kolonial, selain rangkaian daftar jenisan ikan, sayuran, malahan alatan nelayan.
Sisipan sebegini adalah maklumat penting waktu kita cuba mencantum-cantum rentetan sejarah.
Pernah terungkap dari William Shakespeare bahawa alunan muzik itu adalah makanan cinta. Tidak keterlaluan dari buku ini, senada dengan ungkapan tersebut, sejarah makanan kita yang terhidang ini sembari memaknakan kejatidirian kita.
Kepada Encik Khir, saya tabik usaha besar ini sebagai sumbangan tidak ternilai, seraya mengucapkan:
Terimakasih daun keladi
Budimu Tuan berzaman menyeri
Perjalanan gastronomik Encik Khir yang beliau berbagi dalam buku ini memang tepat pada masanya diterbitkan, dengan membuka selera membaca kita kepada hal-hal warisan, sambil kita bercita dengan ulaman kebanggaan dan harapan.
Dengan sirih pantun saya titipkan moga menjadi pemanis pada ulasan ini:
Nakhoda pujangga dagang santeri
Risalah disusun ilmu disidang
Sejarah bangsa santapan budi
Baik ditulis agar terpandang

MENGENAI PENULIS:
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura (NUS). Selain kesusasteraan klasik dan moden Melayu, fokus penyelidikan beliau adalah wacana penulisan kritikal dan pembangunan intelektual Melayu-Indonesia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.