Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

BELASUNGKAWA: Mengenang ‘Ibu Pertiwi’ Noor Aishah Dalam Lembaran Sejarah Nusa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bagi kalangan Generasi Perintis dan Merdeka nusa ini, wajah tenang Puan Noor Aishah memancarkan ‘Wanita Pertama’ yang tersemat dalam kenangan abadi watan ini. Mohd Raman Daud melalui liku-liku perjalanan wanita waja ini.

Dalam kalangan Muslimah yang belajar agama bimbingan Ustaz Hj Ali Hj Mohamed (1947-2023) di Masjid Khadijah, memang terasa kehadiran Puan Hajah Noor Aishah yang mudah tersenyum, tenang dan mesra penampilannya.

Walaupun dikenali sebagai balu Presiden pertama Singapura, Hj Yusof Ishak (1910-1970), beliau sentiasa tampak selesa bersama dan berbakti kepada masyarakat. Begitulah antara keunggulannya.
Puan Noor Aishah. (Gambar: Fatimah Imran)
WANITA PERTAMA

Pada usia baru 26 tahun pada Disember 1959, beliau telah diamanahkan sebagai Wanita Pertama Singapura. Meski agak segan silu dan bersuara lunak dengan pendidikan sekolah rendah Melayu dan tidak fasih Bahasa Inggeris, hatinya cekal.

Tanpa buku pedoman untuk menunjuk ajarkan cara menjadi Wanita Pertama atau mentadbir Istana, apatah lagi penasihat atau pembimbing, beliau bangkit menghadapi pelbagai cabaran. Ketenangannya amat luar biasa di sebalik latar nusa yang ketika itu dicengkam gelora ombak kemerdekaan dan ketidakpastian.

Istana yang dahulunya didiami ‘tuan dan mem’ British berubah dengan sentuhan Singapura. Beliau gigih belajar Bahasa Inggeris sehingga akhirnya dapat bertutur dengan fasih serta memberikan ucapan dan mengadakan majlis untuk menyambut dif-dif (tetamu khas) terhormat dari luar, terlibat dalam pelbagai pertubuhan sukarela dan masyarakat.

Atas jasa gemilangnya, maka pada 1964, pemerintah mengurniakannya Pingat Bakti Cemerlang atas pelibatan cergas lagi beriltizam dalam kebajikan masyarakat.
Puan Noor Aishah. (Gambar: SWHF)
LATAR DAIF

Noor Aishah binti Mohd Salim dilahirkan pada 21 Mei 1933 di Selangor. Beliau diambil sebagai anak angkat oleh Mohd Salim Jusoh dan isterinya, Fatimah bte Ali, yang bekerja sebagai pelakon bangsawan.

Sewaktu kecil, beliau pernah tinggal di Pulau Pinang. Pada usia tujuh tahun, beliau dihantar ke Sekolah Melayu Kampung Jawa yang jaraknya sepenanak nasi dari rumahnya.

Namun dek serangan tentera Jepun pada hujung tahun 1941, sekolah itu terpaksa ditutup dan beliau terhenti belajar. Apabila dibuka semula pada April 1942, ibunya melarang Noor Aishah meneruskan persekolahannya kerana suasana Pendudukan Jepun ketika itu amat berbahaya.

Walaupun hampa akan tindakan orang tuanya, Noor Aishah gigih menimba ilmu dengan belajar memasak dan menjahit dengan mengamati ibunya dan para wanita di kampungnya. Dek kemiskinan, beliau turut membantu ibunya menyiapkan nasi lemak dan berjaja.

Sekitar 1949, tanpa pengetahuan, HM Shah (abang iparnya), menunjukkan foto Noor Aishah kepada Yusof bin lshak, antara pengasas dan juga pengarah utusan akhbar milik orang Melayu, Utusan Melayu yang dilancarkan di Singapura.

Pada usia 39 tahun, Yusof masih membujang kerana terlalu sibuk menjayakan akhbar itu. Yusof tertawan dek foto akan keayuan Noor Aishah. Maka satu pertemuan diaturkan di Pulau Pinang.

Di sebuah taman awam, Noor Aishah bertemankan kakaknya dan di satu sudut pula HM Shah dan Yusof. Setelah beberapa kali memandang dari beberapa jarak, Yusof terpikat. Dipendekkan cerita, urusan nikah dilaksanakan segera dan mereka diijabkabulkan pada 20 November 1949. Ketika itu, Noor Aishah berusia 16 tahun.
Puan Noor Aishah bersama Presiden pertama Singapura, Yusof Ishak. (Gambar: SWHF)
CABARAN

Selama sedekad, alam rumah tangga mereka santai sahaja. Mereka tinggal di sebuah kampung tanpa bekalan elektrik dan air pili. Mereka dikurniai tiga anak.

Setelah Yusof berundur rasmi dari Utusan Melayu yang ‘dibeli’ oleh Parti UMNO, mereka berpindah ke Gombak (dalam kawasan ibu kota Persekutuan Tanah Melayu iaitu Kuala Lumpur). Yusof menanam anggerik untuk menyara hidup sehinggakan seorang anak perempuan sulongnya dinamakan Orkid Kamariah. Dua lagi anak mereka ialah Dr Imran bin Yusof dan Zuriana.

Di Singapura dalam 1950-an, gelora siasah amat mencengkam terutama setelah pulau ini meraih pemerintahan sendiri dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya menerajui negara. Perlembagaan menuntut seorang ketua negara iaitu Yang di-Pertuan Negara – untuk menggantikan Gabenor Inggeris yang dilantik kerajaan penjajah British.

Ketika itulah, Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew yang disokong rakan-rakan kabinetnya memilih Yusof sebagai seorang tokoh Melayu yang layak untuk menyandang tugas besar tadi. Selaku bekas penasihat guaman kepada Utusan Melayu, Encik Lee mengenali Encik Yusof.

Pada 2 Disember 1959, Encik Yusof Ishak telah mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Negara. Bermula kehidupan baharu baginya, Noor Aishah dan tiga anak mereka menghuni Melati, sebuah rumah di pekarangan Istana.
Puan Noor Aishah. (Gambar: Facebook/Amrin Amin)
PENYINAR PERTIWI

Dengan sentuhan budinya yang lunak, Noor Aishah telah merobah suasana Istana daripada kediaman penguasa penjajahan menjadi singgahsana unggul Singapura.

Digantikan sudu garpu dan pinggan mangkuk yang dulunya berjata British dengan lambang Singapura. Menu juadah warisan Inggeris dirobah menjadi selera Asia, maka tampillah rendang (menggantikan daging lembu panggang), muncul pula epok-epok yang meminggirkan pai.

Ilmu dan kemahirannya sebagai jurumasak telah mengangkat mutu hidangan di Istana sehingga mengundang pujian bertali arus. Suasana Istana yang bernada kolonial bertukar menjadi kesentosaan Asia.

Malah di luar Istana, beliau bertungkus lumus membantu suaminya dalam pelbagai keperluan rasmi. Beliau menjadi penaung kepada sejumlah pertubuhan termasuk Palang Merah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Persatuan Pandu Puteri, Persatuan Tunanetra (cacat penglihatan) sehingga Persatuan Tunarungu (cacat pendengaran).

Beliau membantu PPIS dan Pandu Puteri untuk memiliki rumah persatuan masing-masing dengan menulis surat merayu sokongan pemerintah. Pada 1970, demi mengenang budinya selaku Presiden Asia pertama Persatuan Pandu Puteri selama sedekad, beliau dikurniai anugerah tertingginya, Laurel Leaf Award.

Di penghujung khidmatnya sebagai presiden, kesihatan suaminya merudum selepas serangan jantung pada 1968. Selain menjaga suaminya, beliau telah menampung lebih banyak tanggungjawab termasuk menyampaikan Anugerah Hari Kebangsaan. Selepas pemergian suaminya pada 1970, Parlimen memutuskan untuk memberikannya wang persaraan seumur hidup – satu-satunya Wanita Pertama diberikan sanjungan ini.

Antara lain, sebahagian kisah hidupnya terpapar dalam buku tulisan Kevin Y.L. Tan, ‘Puan Noor Aishah: Singapore’s First Lady’, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong pada Julai 2017.

Pada 2018, namanya ditintakan dalam Dewan Kemasyhuran Wanita Singapura.

MENGENANG BAKTI

Sebelum wabak COVID-19 pada 2020, segelintir tokoh di Singapura termasuk dua mantan Anggota Parlimen Melayu iaitu Hj Wan Hussin Zoohri dan Hj Yatiman Yusof telah cuba menampilkan sebuah persatuan yang memupuk warisan Puan Noor Aishah.

Memang wajar wanita waja ini dianggap ‘Ibu Pertiwi’ bagi Singapura atas pengorbanan dan akhlak mulia yang dipaparkannya. Warisannya perlu dikenang dengan sebaik-baiknya.
MENGENAI PENULIS
 
Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan