Skip to main content

Komentar

analisisBERITA: Mengapa penting pupuk modal sosial untuk pekerja, belia Melayu?

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 05 Jun 2026 09:28PM Dikemas Kini : 20 Jun 2026 03:46AM
BERITA Mediacorp: Sedang golongan muda mengharungi pasaran pekerjaan yang semakin sengit, perhatian kini beralih kepada peranan modal sosial - iaitu jaringan hubungan yang membuka akses kepada peluang.

Bahkan, menurut satu kajian baharu, ia muncul sebagai faktor penentu yang boleh mempengaruhi mobiliti sosial seseorang.

Apakah yang dimaksudkan dengan modal sosial yang bermanfaat? Bagaimanakah golongan muda dapat memupuknya secara berkesan?

MENGAPA FAKTOR MODAL SOSIAL PENTING DALAM BINA KERJAYA?

Penyelidik sosial yang juga pengasas firma konsultan kajian Nusantara Connect, Dr Mohd Shamsuri Juhari berkata mobiliti sosial belia di Singapura ini memang masih wujud, tetapi laluannya kini agak semakin rumit.

"Dahulu kita sering bayangkan bahawa jika seseorang itu belajar bersungguh-sungguh, dapat kelayakan yang baik dan masuk ke alam pekerjaan, maka kemajuan hidup mereka akan berlaku lebih semula jadi.

"Tetapi hari ini, realitinya tidak semudah itu. Pasaran kerja... lebih tidak menentu, kos sara hidup meningkat dan laluan kerjaya mungkin juga berpecah-pecah, bukan lurus lagi,"
terang pakar sosiologi itu lagi.

Itu jugalah antara rumusan hasil kajian Pusat Penyelidikan Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) yang dibentangkan baru-baru ini. RIMA adalah cabang kajian AMP Singapura.

Dr Shamsuri akur, mobiliti pendidikan dan pekerjaan dalam kalangan masyarakat Melayu menunjukkan peningkatan ketara merentasi generasi.

Namun, dapatan itu menunjukkan bahawa modal sosial masih menjadi faktor penting yang membezakan siapa yang dapat melangkah lebih jauh dan siapa yang perjalanan kerjayanya mendatar.

MENGAPA KELAYAKAN SAHAJA TIDAK MENCUKUPI?

Menurut Dr Shamsuri, kelayakan atau 'credential' itu adalah hanya satu aspek.

Ia boleh dianggap sebagai sesuatu yang membolehkan seseorang itu mendapatkan pekerjaan yang bagus.

"Tetapi apa juga penting adalah apa yang terjadi selepas mendapatkan pekerjaan. Sebab di situlah hidup kita.... realitinya bermula, sebab di situlah kita akan membina keluarga, mungkin ada anak.

"Ini semua adalah tekanan, dan tekanan ini boleh diatasi kalau kita mendapat panduan, dan ini semua boleh kita dapati daripada modal sosial masyarakat,"
jelas beliau.

Kajian RIMA itu mendapati responden yang mempunyai modal sosial lebih kukuh, termasuk akses kepada mentor dan ahli keluarga dalam bidang profesional atau rangkaian industri, lebih mampu mendaki laluan kerjaya.

Sebaliknya, mereka yang kurang akses kepada rangkaian tersebut, lebih bergantung kepada kemampuan sendiri dan kelayakan formal semata-mata.

Yang membezakan pencapaian dua individu sedemikian menurut Dr Shamsuri, terletak kepada rangkaian yang mereka bina dan bagaimana ia dapat dimanfaatkan.

KURANG MAKLUMAT MENGENAI MODAL SOSIAL

Satu masalahnya menurut Dr Shamsuri adalah mereka mendapat maklumat hanya darpada saudara-mara mereka.

Ini termasuk ibu bapa, adik beradik, dan kenalan rapat.

"Itu tidak salah. Tetapi mereka kurang mendapat maklumat tentang peluang seluasnya. Dari sinilah saya rasa 'social network' atau rangkaian sosial adalah sangat penting.

"Melalui interaksi kita dengan orang-orang yang lebih mempunyai sumber, di situlah... kelayakan kita boleh dikenali lebih ramai.

"Di situlah kita boleh belajar bagaimana boleh kita beri lebih pendedahan kepada kelayakan kita, di mana kita akan tahu tempat-tempat yang memerlukan kelayakan kita, di mana kita diajar, diberi panduan bagaimana untuk meningkatkan kelayakan.

"Ini yang saya rasa kurang sikit pada kalangan anak muda kita," tekan Dr Shamsuri.

APA PERANAN BADAN MELAYU/ISLAM DALAM HAL INI?

Lantas, strategi mendekati golongan muda menjadi penting dalam usaha masyarakat membantu mengembangkan modal sosial mereka.

Dr Shamsuri mencadangkan agar badan-badan Melayu/Islam terus berusaha membina peluang dan membentuk kumpulan sokongan demi membolehkan anak muda berkongsi padangan dan pengalaman dengan rakan-rakan sebaya.

Ini selain mewujudkan program pementoran yang tersusun, pendedahan kepada industri dan latihan amali.

Cara kita mendekati golongan muda ini sangat penting kata Dr Shamsuri, untuk kita menarik minat dan perhatian mereka.

Ini supaya mereka juga datang untuk berkongsi.

"Bila ada interaksi dua hala begini, ini adalah sesuatu yang paling berkesan, untuk memberi aspirasi, untuk memberi motivasi."

Golongan yang kurang berjaya kata beliau mungkin akan mendapat inspirasi bahawa mereka juga boleh berjaya.

"Jika mereka diberi panduan, diberi pendedahan tentang peluang yang ada, yang luas, mereka akan setapak keluar daripada apa yang dikatakan zon selesa," ujar Dr Shamsuri.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita