analisisBERITA: Membezakan "pempengaruh agama" dengan golongan asatizah
Awal minggu ini, masyarakat Islam tempatan tersentak dengan kes seorang “pempengaruh agama” yang dikenakan hukuman penjara hampir 28 tahun dan 24 kali rotan.
Berita ini lebih-lebih mengejutkan kerana sebahagian perbuatan keji itu dilakukan di dalam masjid, dan imej serta pengaruh agama disalahgunakan untuk memuaskan nafsu si "pempengaruh agama" itu.
Serta apakah langkah yang perlu bagi melindungi golongan muda yang banyak bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan kandungan agama?
"Pempengaruh agama ini mungkin biasanya merujuk kepada individu yang mana mereka ini aktif berkongsikan kandungan keagamaan di media sosial dan mereka ini mempunyai mungkin kelompok pengikut mereka tersendiri," kata Naib Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS), Ustazah Dr Nur Alaniah.
Tegas beliau, penting untuk membezakan antara seorang "pempengaruh agama" dengan asatizah atau guru agama yang bertauliah.
"Kerana seseorang yang mungkin mempunyai ramai pengaruh itu dan mungkin dipercayai oleh ramai orang tidak bermakna dia mempunyai kelayakan.
"Bukan pula bermakna kita perlu mencurigai semua pempengaruh agama. Lebih baik untuk masyarakat itu sendiri lebih peka, siapa yang kita ikuti dan jadikan sumber rujukan agama."
KANDUNGAN AGAMA DI WADAH ONLINE RUJUKAN UTAMA GOLONGAN BELIA
Seiring dengan semakin berkembangnya pelbagai platform media sosial, kandungan agama Islam turut meledak di wadah online.
Tanpa perlu modal yang besar, atau proses yang rumit, sesiapa sahaja boleh memuat naik kandungan agama yang mudah diakses warga siber.
Lantas, baik di dalam negeri mahu pun di luar negara, muncul ramai pempengaruh Islam - dan tidak semua terlatih dalam pendidikan agama.
"Bagi pihak mereka yang membuat kandungan, mungkin ini adalah satu peluang, dengan tujuan untuk memastikan bahawa kandungan atau pengajaran Islam boleh disampaikan kepada anak muda kita," jelas Ustazah Alaniah yang juga merupakan seorang Perunding Pendidikan Islam di ANISE Consultancy.
"Walaupun dalam penyampaian boleh santai, tetapi kandungannya tetap serius yang perlu dikaji dan diteliti oleh penyampai.
"Tidak kira sama ada asatizah ataupun bukan asatizah sekiranya mereka ingin menyampaikan. Harus diteliti, harus dikaji sebelum disampaikan," tambah beliau.
Beliau turut akur, tidak semua pempengaruh mengaku bahawa mereka pakar bidang agama.
"Mereka mungkin melihat diri mereka sebagai orang Islam yang ingin berkongsikan tentang kandungan agama.
"Kita juga tidak membataskan, hanya guru agama sahaja yang boleh bercakap tentang agama di media sosial. Jadi memang ini adalah sesuatu yang agak terbuka."
Kajian Pusat Penyelidikan Ehwal Islam dan Melayu (RIMA) baru-baru ini menunjukkan, 71 peratus belia Islam tempatan mengakses kandungan Islam dengan mencarinya di media sosial.
Kandungan yang digemari pula datang dari Instagram, TikTok dan YouTube.
"Kalau kita lihat konteks semasa, apabila mereka mempunyai persoalan termasuk persoalan agama, ruang yang pertama mereka mencari dulu jawapan adalah daripada media sosial. Mungkin TikTok, Instagram atau pun YouTube, juga ChatGPT."
Namun beliau yang kerap mendampingi golongan belia mengingatkan.
"Tidak semestinya semua itu negatif. Kita juga tidak mahu menjadikan sebagai satu naratif bahawa anak muda sekarang ini tidak boleh menggunakan media sosial, ataupun media sosial harus dijauhi. Bukan itu yang kita mahukan."
LINDUNGI BELIA DARI BAHAYA ONLINE TIDAK HARUS SEKAT MINAT PADA KANDUNGAN AGAMA
Lantas, bagaimana untuk mencegah berulangnya kes yang membabitkan "pempengaruh Islam", serta melindungi golongan muda yang hauskan kandungan berkaitan Islam?
Lebih-lebih lagi memandangkan, mereka yang menyediakan kandungan sedemikian di media sosial berada di luar kawalan Skim Pengiktirafan Asatizah atau ARS.
"Sebagai ibu bapa, harus pantau anak-anak kita apabila mereka mula membuka TikTok dan apabila mereka mencari satu panduan. Ibu bapa boleh menjadi yang pertama sebagai sumber untuk mereka bertanya.
"Atau ibu bapa mungkin boleh bertanya dengan asatizah lain, kenal tidak dengan ustaz yang mendampingi anak mereka," saran Ustazah Dr Alaniah.
Beliau turut berkongsi saranan kepada penganjur kegiatan di peringkat institusi: "Mungkin kita boleh adakan satu garis panduan, ataupun langkah perlindungan yang jelas apabila kegiatan yang melibatkan anak remaja kita.
"Contohnya, elakkan keadaan yang boleh membuka ruang kepada interaksi yang tertutup atau pun interaksi berbentuk peribadi."
Menurut beliau, kita mungkin sebelum ini terlepas pandang tentang pengawasan tersebut.
Lantaran itu kita perlu memikirkan tentang ruang lebih selamat untuk anak-anak muda dan remaja dalam mendapatkan kandungan keagamaan.
Bagi beliau, yang penting, semua pihak perlu mengambil hikmah di sebalik insiden tersebut.
"Ia bukan hanya peranan ibu bapa sahaja. Bukan hanya peranan institusi sahaja. Bukan hanya peranan asatizah.
"Tetapi ia adalah sesuatu usaha kolektif untuk memastikan bahawa kita tidak akhirnya, kita tidak mahu menghambat ataupun memadamkan keinginan mereka untuk mendalami ilmu agama," tegas Ustazah Dr Alaniah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.