Skip to main content

Komentar

analisisBERITA: Membanteras rasuah di semua peringkat di Malaysia

Mantan Panglima Tentera Darat Malaysia Muhammad Hafizuddeain Jantan hari ini (22 Jan) didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.1 juta.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mantan Panglima Tentera Darat Malaysia Muhammad Hafizuddeain Jantan hari ini (22 Jan) didakwa atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram lebih RM2.1 juta.

Muhammad Hafizuddeain 58 tahun, yang berstatus Tan Sri, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas keempat-empat pertuduhan itu.
Related article image
Mantan Panglima Tentera Darat (PTD) Muhammad Hafizuddeain Jantan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini (22 Jan) sambil diirinngi pegawai SPRM. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Beliau akan dikenakan lagi dua tuduhan lain di mahkamah esok.

Tertuduh merupakan Panglima Tentera Darat Malaysia pertama didakwa di mahkamah berhubung kes pengubahan wang haram berkaitan tender pemerolehan Tentera Darat Malaysia (ATM).

Sementara itu, mantan Panglima Angkatan Tentera, Mohd Nizam Jaafar, juga akan dikenakan dakwaan di Mahkamah Khas Rasuah esok bagi dua tuduhan rasuah.

AGONG SERU RASUAH DIBANTERAS BESAR-BESARAN

Sedang perkembangan mengenai kes disyaki rasuah dalam ATM itu muncul di mahkamah, Yang Di Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim awal minggu ini mahukan amalan rasuah diperangi secara besar-besaran.

Pendedahan kes rasuah melibatkan pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menurut beliau, hanya permulaan kerana ramai lagi individu masih terbabit dalam amalan rasuah di pelbagai agensi kerajaan
termasuk Jabatan Kastam, Imigresen dan Polis Diraja Malaysia.

Selain pertuduhan yang dikenakan ke atas mantan panglima tentera darat berstatus Tan Sri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan, lagi dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar 'Datuk' dijangka didakwa berkaitan rasuah minggu depan.

Semua ini membabitkan tuduhan rasuah berjumlah berjuta-juta ringgit selain isu penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram.

Semua ini menagih persoalan. Sebenarnya, dari mana pembanterasan rasuah itu perlu dimulakan dan apa yang perlu dilakukan untuk memastikan usaha ini berjaya?

INISIATIF DIPN

Kes ini semestinya membuatkan rakyat tertanya-tanya mengenai kewibawaan aset pertahanan negara.

Menurut Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, sudah tentu rakyat mahu kelengkapan pertahanan negara yang terbaik, peralatan yang diterima itu benar-benar mencerminkan piawai yang tinggi.

Namun apabila melibatkan unsur rasuah, ia akan melibatkan kompromi dari segi kualiti barang yang dibelikan, barang yang diselenggarakan dan juga unsur-unsur tidak sihat kepada sistem nilai.

Yang pasti, kerajaan Malaysia nampaknya sudah mula melakukan beberapa gerakan dalam usaha menyahut seruan Agong demi memerangi rasuah.

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semalam (21 Jan) melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) bagi memulihkan keyakinan
terhadap sektor pertahanan yang lebih berwibawa serta berintegriti.
Related article image
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) pada 21 Januari 2026. (Gambar: Bernama)
Semua kontrak yang diluluskan dan belum dimuktamadkan kata PM Anwar, akan diteliti semula. Beliau sudahpun meminta Menteri Pertahanan Malaysia supaya memantaunya dan ia dibawa kepada Kementerian Kewangan.

Prof Awang Azman berkata: "Dasar Industri Pertahanan Negara ini berpotensi bagaimana untuk membasmi rasuah menerusi tadbir urus perolehan yang lebih telus, standard pematuhan yang lebih ketat, penilaian kos politik yang objektif sifatnya dan pemantauan yang lebih tinggi piawainya."

INISIATIF 'ROTATION' KERJA DI KLIA

Satu lagi usaha yang dimulakan ialah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ia mengumumkan langkah melaksanakan pusingan kerja secara menyeluruh atau "job rotation" di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pelaksanaan pusingan kerja secara menyeluruh di KLIA adalah satu langkah yang sangat baik. Satu langkah segera yang praktikal sifatnya untuk memastikan sistem kerja itu lebih cekap sifatnya.

"Pekerja pula akan dapat bekerja dalam setiap unit, diberi peluang dan memastikan elemen rasuah itu dapat dibendung," ujar Prof Awang Azman.

Beliau berpendapat jika terlalu lama dalam sesuatu unit, ini lebih boleh membuka kepada unsur-unsur rasuah.

INISIATIF PERLINDUNGAN BAGI "WHISTLEBLOWER"

Kerajaan Malaysia kini juga melaksanakan satu lagi daya usaha antirasuah.

Iaitu mengenai perlindungan bagi "whistleblower", bermakna menggalak seseorang melaporkan kejadian salah laku atau rasuah tanpa berasa takut.

Dalam hal ini, Prof Awang Azman berpandangan bahawa satu pendidikan perlu diberikan kepada masyarakat awam mengenainya.

Bahawa perlindungan ke atas "whistleblower" ini ada mekanisme dan prosedurnya.

Ia tidak boleh dibuat secara terbuka sehingga menyukarkan pihak berkuasa untuk memberikan perlindungan.

INISIATIF PENUBUHAN 14 MAHKAMAH SESYEN KHAS RASUAH

Di samping itu Badan Kehakiman Malaysia pula mengambil inisiatif
menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah.

Setakat ini, 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah ditubuhkan di seluruh Malaysia dengan matlamat menyelesaikan kes-kes rasuah dalam tempoh satu tahun dari tarikh pendaftaran.

Tetapi Prof Awang Azman berkata, sebenarnya keberkesanan bukan diukur dengan bilangan mahkamah semata-mata.

Ini kerana ia sebenarnya "menuntut pendakwaan yang berkualiti, pengurusan kes yang cekap, hakim yang khusus yang berpengalaman", selain daripada kerjasama rapat antara agensi siasatan PDRM, SPRM, pihak tentera, kastam dan sebagainya.

Latihan pendakwaan yang lebih baik dan lebih berwibawa juga diperlukan kata Prof Awang Azman.

Beliau menambah, kekecepatan menangani kes di mahkamah khas rasuah ini sewajarnya perlu seiring dengan ketelitian agar keadilan itu terpelihara.

ROMBAKAN SISTEM SAHAJA MENCUKUPI?

Namun timbul juga persoalan.

Adakah rombakan sistem penguatkuasaan dan sistem kehakiman saja mencukupi untuk menangani gejala rasuah di pelbagai peringkat di Malaysia?

Bagaimana pula dengan rasuah di peringkat bawahan dan jalan-jalan raya?

"Saya kira betul bahawa rasuah yang berakar umbi tidak dapat dihapuskan hanya menerusi rombakan penguatkuasaan.

"Ia memerlukan perubahan budaya kerja, pembentukan etos kerja yang lebih baik, pemupukan kesedaran, pendidikan integriti di peringkat awal, di peringkat sekolah," tekan Prof Awang Azman.

Beliau percaya latihan etika berterusan juga perlu dilaksanakan dalam sektor awam dan kepimpinan menerusi teladan.

Ini kerana kebanyakan pemberi rasuah itu terdiri daripada kelompok-kelompok mereka yang mempunyai wang besar.

MENGUKUR KEMAJUANNYA

Prof Akademi Pengajian Melayu UM itu juga berpendapat jika ia melibatkan langkah penguatkuasaan dalaman, kemajuan dalam isu rasuah di Malaysia ini dijangka dapat dilihat dalam masa tiga hingga enam bulan lagi.

Jika ia perlukan persetujuan parlimen, maka ia memerlukan memerlukan lagi enam hingga sembilan bulan lagi.

Beliau menambah, PM Anwar sudah pasti mahukan sesuatu yang lebih konkrit untuk memastikan keyakinan rakyat, reputasi negara bukan saja dari kaca mata nasional tapi di peringkat antarabangsa.
Sumber : BERITA Mediacorp/AA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita