Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

analisisBERITA: Antara kesan tarif AS terhadap pekerja, pekerjaan anda...

Ekoran kegenjotan sistem perdagangan dunia sekarang disebabkan ancaman dan perang tarif dari Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri Lawrence Wong sudahpun mengeluarkan amaran, bahawa Singapura mungkin mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ekoran kegenjotan sistem perdagangan dunia sekarang disebabkan ancaman dan perang tarif dari Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri Lawrence Wong sudahpun mengeluarkan amaran, bahawa Singapura mungkin mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini.

Yang pasti, pertumbuhan ekonomi Singapura menurutnya akan terjejas teruk.

Persoalannya, sejauh manakah ini akan menjejas rakyat Singapura dan kesannya terhadap pekerja dan pekerjaan?

KESAN PERANG TARIF TRUMP

Dalam ucapannya di Parlimen pada Selasa (8 Apr) mengenai kesan perang tarif oleh pentadbiran Trump, PM Wong memberi amaran ia mempunyai kesan ke atas ekonomi global.

Pertumbuhan ekonomi Singapura, menurut beliau, akan terjejas teruk dan diramal tumbuh lebih perlahan.

Keyakinan perniagaan dan pengguna sudahpun terjejas akibat tarif.

Syarikat-syarikat juga bimbang bahawa ini akan menyebabkan permintaan daripada pelanggan akan semakin berkurangan.

Jika ekonomi menjadi perlahan, ini akan bermakna bahawa jumlah pekerjaan atau peluang pekerjaan juga akan berkurangan.

Salah satu natijahnya bagi pekerja ialah kenaikan gaji bagi pekerja akan berkurangan.

Jika syarikat terjejas teruk dan menghentikan operasi, ini akan bermakna bahawa akan berlaku lebih banyak pembuangan pekerja.

Yang jelas, laluan di hadapan dijangka akan lebih sukar, lebih-lebih lagi jika kemelesetan ekonomi dunia berlaku.

BONUS RENDAH, GAJI TIDAK NAIK

"Saya fikir mungkin dari segi bonus rendah atau tiada kenaikan gaji. Kalau ada tarif, ada gangguan atau tidak, pekerjaan akan tetap terjejas bagi golongan-golongan daripada industri-industri tertentu," kata Naib Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Abdul Samad Abdul Wahab.

Ada kemungkinan lulusan universiti juga berdepan cabaran memperolehi pekerjaan, tambah beliau.

Namun buat masa ini, Encik Samad berpandangan bahawa perang tarif itu tidak akan banyak menjejas golongan masyarakat biasa.

"Kita sudah lihat sepanjang berdekad lalu bagaimana pemerintah Singapura memastikan bahawa rakyatnya tidak terbiar dengan cabaran-cabaran kerana mereka sentiasa menghulurkan bantuan kepada golongan tertentu," kata beliau.

BANTUAN JANGKA PENDEK

PM Wong yakin bahawa langkah-langkah yang diumumkan pada Belanjawan 2025 mampu memberi sokongan terhadap sebarang tekanan jangka pendek buat masa ini.

Ini termasuk baucar bagi membantu isu kos sara hidup seperti baucar CDC, baucar SG60 dan rebat U-Save, serta skim kewangan bagi membantu golongan yang menganggur secara tidak sukarela.

Bagi syarikat-syarikat pula, rebat cukai pendapatan korporat akan memberikan sedikit sokongan dalam jangka pendek, dan dalam jangka panjang, terdapat skim untuk meningkatkan daya penghasilan dan membantunya beralih ke pasaran baharu.

PEKERJAAN, INDUSTRI YANG BOLEH TERJEJAS

Sesetengah penganalisis menyatakan, perang tarif itu mungkin memberi kesan sampingan terhadap aktiviti perkapalan, logistik dan hab kewangan Singapura.

Jelas, sesetengah jenis pekerjaan kelihatan lebih berisiko terkena tempiasnya.

Dalam soal masa depan pekerjaan, Encik Samad berkata ia terletak pada diri para pekerja sendiri.

Bermakna, pekerja perlu sedar dan mengambil langkah yang perlu.

BAGAIMANA JIKA ANDA DIBUANG KERJA?

Encik Samad menasihatkan bahawa jika anda pekerja, anda perlu sentiasa mencari kemahiran baharu dan meningkatkan diri kerana anda tidak tahu bilakah pekerjaan anda akan terjejas.

Pekerja juga perlu bersedia jika mereka hilang pekerjaan. Iaitu ada bantuan daripada Belanjawan 2025 yang diberi kepada para pekerja jika mereka dilepaskan daripada pekerjaan, kata beliau lagi.

Ini termasuk menikmati elaun semasa menjalani latihan peningkatan.

"Maka saya sarankan kepada para pekerja di sana, untuk mencari kemahiran yang membolehkan kita mendapatkan pekerjaan.

"Jangan setakat mencari kemahiran baharu, pergi meningkatkan kemahiran, mempelajari ilmu tetapi ia tidak menjaminkan apa-apa," nasihat Encik Samad.

Yang penting, kata Encik Samad, para pekerja perlu berfikiran terbuka dan meraih kemahiran yang diperlukan dalam landskap ekonomi baharu.

"Maka pekerja... harus mencari manakah kemahiran diperlukan daripada bidang-bidang ataupun industri-industri yang masih lagi hendak, memerlukan pekerja."

KEWANGAN - UBAH SUAI GAYA HIDUP

Di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi sekarang, Encik Samad berkata para pekerja dan keluarga-keluarga tempatan juga perlu memikirkan tentang langkah mengubah gaya hidup.

Ini sebaga persiapan, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

"Kita tahu rakyat Singapura ramai yang suka beli iPhone, gunakan iPhone, yang salah satu daripada Amerika Syarikat. Dan mungkin itu akan menjejas dari segi harganya - ia mungkin naik. Hendak membeli sesuatu dari segi bantuan yang ada, apakah kita punyai dari segi kewangan kita, di mana kekuatan kewangan kita.

"Kita harus menilai perbelanjaan kita. Apakah kemahuan atau keperluan yang menjadi keutamaan dalam kehidupan kita, dengan cabaran-cabaran yang akan datang?" nasihat Encik Samad.
Sumber : BERITA Mediacorp/AI/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan