ALAM MELAYU: Usah Tunang Tak Jadi
Skim bagi pasangan bertunang sudah ditawarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) buat sekian lama. (Gambar hiasan: iStock/klingsup)
Tempah pasangan hidup dan sekali gus rumah (flat)!
Itulah dwiamalan anak saudara seorang kawan saya. Kawan saya tersentak tetapi dijelaskan oleh keponakannya yang bakal bertunang:
“Pakcik, bertunang bermakna tempah atau cup isteri. Tapi saya tak mahu nanti bila dah bernikah, terpaksa tinggal di rumah ibu bapa mentua yang sempit atau ibu bapa saya bersama adik-adik yang lain. Jika tepat waktunya, kami dapat flat bukankah baik?”
PERUBAHAN
Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016), masyarakat Melayu pernah menggunakan ‘pawang rasik’ yang memberikan maklumat apakah jodoh pasangan sesuai. Adat ini kemudian luluh. Gantinya ialah ‘perantara’ (orang tengah) yang memperkenalkan bakal calon isteri kepada keluarga suami.
Zaman berubah kerana pergaulan bebas, maka calon suami atau isteri sudah berkenalan lebih dahulu. Maka pihak bakal suami pula yang menghantar wakil untuk meminang. Jika diterima, proses penantian ke jenjang pelamin itu dinamakan ‘pertunangan’.
KEWAJARAN
Tanpa iringan sirih tunang dan pelbagai perdu seni adat seperti dahulu, majlis perkahwinan Melayu zaman kini memang kian ringkas demi menghemat masa dan kos.
Tentulah menempah isteri (bertunang) dan flat juga dinilai antara falsafah pragmatik Singapura yang kian dihargai atau dituruti oleh orang Melayu juga.
Sudah lama skim bagi pasangan bertunang (fiance-fiancee scheme) ditawarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Ini semua sebahagian rekayasa kehidupan berkeluarga di negara ini.
Memiliki rumah merupakan keutamaan rakyat di mana jua. Apatah lagi di Singapura yang sesak dan sudah sedekad ini dijulang bandar ‘termahal’ dunia. Tanpa subsidi besar pemerintah, kalangan anak muda nusa ini sering terkial-kial untuk berumah tangga. Lainlah jika mereka bergaji besar, sudah ada tabungan besar atau dibiayai ibu bapa.
Permintaan untuk flat Bina Ikut Tempahan (BTO) memang tinggi sebagai rumah pertama yang paling dimampui pasangan muda. Mentelah lagi, harga jualan semula flat HDB terus melangit seperti flat tiga bilik di Queenstown yang mencatat harga jualan tertinggi – hampir S$1 juta!
Penantian memang suatu penyeksaan. Tapi menanti giliran flat BTO membolehkan pasangan muda memanfaatkan masa untuk merancang, menabung dan sebagainya sehinggalah mendapat kunci rumah.
Seyogia, membeli flat BTO adalah serupa dengan membuat keputusan masa depan, kerana flat itu hanya akan siap selepas tiga hingga lima tahun.
Tapi, apa akan terjadi jika pertunangan tidak menjadi?
ADAT BERUMAH TANGGA
Menurut budayawan Almarhum Dr Muhammad Ariff Ahmad dalam adikaryanya, ‘NILAM’ (2007), berumah tangga amat digalakkan dalam kebudayaan Melayu yang bersendikan ajaran Islam. Namun, ada prasyaratnya yang sering dikenakan ke atas lelaki yang lazimnya menurut adat perlu dan wajar bertindak selaku penyara utama keluarga.
- Pertama-tama, sudah cukup umur, mempunyai keinginan syahwat (seks) terhadap wanita.
- Kedua, memiliki kesihatan dan kemampuan untuk beristeri.
- Ketiga, yakin dan berupaya untuk membentuk keluarga sejahtera.
Jika tiga syarat tadi tidak dipenuhi, maka sukarlah seseorang lelaki hendak ‘bertunang’, apatah lagi untuk meneruskan perkahwinan.
Sekadar contoh, terdapat laporan mengenai kesukaran dilalui lelaki biasa di negara-negara Timur Tengah. Antara lain, ini kerana kesukaran mendapatkan pekerjaan sehinggalah kos berumah tangga, termasuk memelihara anak dan perceraian, yang terlalu tinggi. Lantaran itu, ada pemerintah di rantau ini yang memberikan subsidi besar untuk rakyatnya berumah tangga.
KEMAMPUAN
Adat bertunang bukanlah lesen untuk senantiasa bersama bakal isteri sehinggakan boleh terlanjur. Sebaliknya, ia sebenarnya ‘waktu ujian’ untuk merancang rumah tangga yang bakal dibina dan setakat mana keharmonian jalinan menurut lunas Islam. Lazimnya, fakta ini amat ditegaskan dalam skim bimbingan rumah tangga yang perlu dihadiri oleh pasangan Muslim sejak 1980-an.
Umumnya, untuk memiliki flat BTO, gaji bulanan seisi rumah hendaklah antara S$7,000 hingga S$21,000 bagi Flat Fleksi 2 Bilik hingga empat atau lima bilik. Pelbagai subsidi terdapat termasuk bagi pasangan pertama kali membeli flat sehingga kedekatan dengan rumah ibu bapa.
Tapi bagaimana jika tunang tak jadi macam lagu ‘Lanang Tunang Tak Jadi’ (gubahan-nyanyian P Ramlee dengan seni kata Yusnor Ef)?:
Lanang, dik oi, lanang
Hai, lanang muda-mudi
Hantar sirih pinang
Tapi kahwin tak jadi
Lanang, dik oi, lanang
Lanang di Tanjung Bunga
Apa nak dikenang, memang bukan aku yang punya
Apa nak dirisau, sudah nasib orang dah kacau
Putus tunang bermakna memang tiada jodoh walaupun tidak terikat dengan apa-apa. Namun, ada kalanya putus jalinan ini begitu ‘pahit’ seperti pihak lelaki atau wanita menuntut dikembalikan hadiah-hadiah sewaktu melamar dahulu.
Jadi, bagaimana keadaan pasangan bertunang yang terputus itu?
Dalam jawapan pada sesi Parlimen 2023, dinyatakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, terdapat 79 pasangan yang membeli flat di bawah Skim Tunang dan masih belum menyerahkan sijil nikah kepada HDB. Seyogia tempoh ini termasuk musim wabak COVID-19 melanda Singapura dan tentulah menjejas perancangan berumah tangga.
Banyak faktor mendorong pertunangan tidak menjadi walaupun tempoh berkenalan sudah lebih daripada mencukupi. Ia terjejas kerana terbit perasaan tidak sesuai lagi sehinggalah gangguan orang ketiga, kemalangan yang menjejas kesihatan dan sebagainya atau kurang persediaan untuk melayari bahtera rumah tangga.
Hakikatnya, Singapura yang merupakan antara negara yang tinggi kadar penuaannya dan rendah kadar kelahiran, tentulah sudah dan terus memperkasa dasar dan daya galak demi memudahkan rakyatnya untuk berkeluarga. Falsafah ini perlu menjadi ciri negara ini dalam rangka membina tamadunnya sebagai negara kota raya yang berhemah.
PENDIDIKAN
Peri pentingnya rumah tangga perlu diajarkan dalam rangka pendidikan negara, demikian pesan pemuka kelas bimbingan rumah tangga, Almarhum Ustaz Embek Ali (1929-2008). Ini kerana rumah tangga merupakan asas masyarakat. Kukuh rumah tangga, teguhlah masyarakat, dan begitulah sebaliknya.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.