Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Usah Ambil Mudah AI-kan Pantun dan Sastera

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Usah Ambil Mudah AI-kan Pantun dan Sastera

Tiga kumpulan pantuan, Kelana Pantun Temasek, Sesaga Pantun Merlion, dan Pantunism, bergabung untuk melestarikan seni tersebut sempena Pesta Penulis Singapura (SWF) 2024. (Gambar: BERITA Mediacorp)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 06 Jun 2026 12:11AM
SINGAPURA: Sejak Kecerdasan Buatan (AI) menjadi agenda nasional Singapura, ia mula diperkatakan dalam bidang kerjaya sehingga warisan seperti dalam ucapan disisip pantun oleh Anggota Parlimen (AP) Muhammad Fadli bin Mohammed Fawzi di Parlimen. Mohd Raman Daud mengupas maknanya.

Ucapan Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Muhammad Fadli bin Mohammed Fawzi, di Parlimen baru-baru ini, telah menyorot warisan Melayu, misalnya, pantun, dipelihara dalam era Kecerdasan Buatan (AI). Ia tampaknya menarik perhatian luas.
Related article image
Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP), Muhammad Fadli bin Mohammed Fawzi. (Gambar: Mediacorp)
Selanjutnya, dapatkah guru dan pelajar Bahasa Melayu (BM) melalui proses penghayatan pantun dalam kelas menerusi teknologi tercanggih ini?

Pandangannya tentulah mencerminkan penghargaan tinggi Encik Fadli pada seni sastera lama. Syabas.

Mentelah beliau menjadi “tersohor”, antara lain, kerana menggubah sendiri pantun dwibahasa (Melayu dan Inggeris) semasa Pilihan Raya Umum 2025 di GRC Marine Parade. Seyogia, seorang lagi AP Melayu (PAP), Cik Hazlina Abdul Halim, juga bermadah dalam ucapannya.
Related article image
Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP), Hazlina Abdul Halim. (Gambar: Mediacorp)
MELAYU ITU PANTUN

Prof Ding Choo Ming (1947 - ) yang pernah lama mengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah mengembara di pelbagai pelosok Nusantara, untuk antara lain, mengkaji pantun. Menurutnya, “kebolehan berpantun masih dipandang tinggi” sebagai pekerti mulia atau budi bicara orang rumpun Melayu.

Jauh lebih lama, kalangan sarjana Barat seperti sasterawan teragung Perancis, Victor Hugo (1802 - 1885, pengarang novel ‘Les Miserables’) dan Henri Fauconnier (1879 - 1973) lewat novelnya, ‘Malaisie’ (Nurani Tanah Melayu) menyifatkan pantun sebagai puisi jiwa asli Melayu yang ulung.
Related article image
Novel 'Malaisie' (Nurani Tanah Melayu) oleh Henri Fauconnier (1879 - 1973). (Gambar: Facebook/Kawah Buku)
Oleh itu, benarlah tanggapan Encik Fadli bahawa pantun bukan sekadar susunan kata, tetapi alat penyampaian mesej yang berkesan dan dekat dengan jiwa masyarakat Melayu.

Gesaan beliau agar warisan ini dilestari dan disesuaikan dengan keperluan zaman pascamoden (era AI) memang wajar. Ertinya, pantun mampu digubah dan disampaikan dalam konteks semasa tanpa kehilangan nilai estetiknya.

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016) dalam buku klasiknya ‘Mari Kita Berpantun’ (2004, Majlis Bahasa Melayu Singapura), pantun cerminan peribadi rumpun Melayu. Ia mempunyai baris pembayang yang bererti ‘beralas dalam berkata dan bertindak’ – inilah teras adab Melayu. Ia mempunyai baris maksud yang menegaskan pendirian dan falsafah.
Related article image
Buku ‘Mari Kita Berpantun’ (2004, Majlis Bahasa Melayu Singapura) oleh Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: NLB)
Memang ada dakwaan bahawa pantun berasal dari China. Namun dakwaan ini tidak menarik perhatian luas. Ia hasil kajian sarjana seperti Profesor Xu You Nian dalam karyanya, ‘Kajian Perbandingan Pantun Melayu Dengan Nyanyian Rakyat Cina’. Beliau menemui persamaan antara bentuk puisi pembayang dan maksud dalam pantun Melayu dengan "nyanyian rakyat Cina" (seperti Shijing), namun secara umumnya sarjana sastera sepakat bahawa pantun adalah kesenian asli Alam Melayu.

Hakikatnya, pantun Melayu memiliki nilai-nilai universal yang membawa kepada peradaban. Apabila pantun dikaji sarjana Barat, baik orientalis mahupun pengarang besar, pantun ternyata dapat diterjemahkan dengan teliti di samping mengekalkan struktur rima, keindahannya tetap dihormati merentasi pelbagai kaum dan budaya.

DAYA AI

AI ialah robot – dicipta manusia untuk memudahkan kerja. Penerobosan terbesar sehingga terciptanya AI di persada sejagat ialah apabila hampir semua bahasa utama dunia dapat ‘diterjemahkan’ secara bersilang. Bahasa ialah wahana yang menampung komunikasi sehingga ilmu.

Secara teknikal, AI dapat menghasilkan apa jua catatan termasuk pantun dengan ‘segera’. Saya telah mencuba AI untuk pantun dua kerat (karmina), biasa (empat baris/kerat) sehingga talibun (16 baris). Tetapi setelah mencuba pelbagai pelantar AI iaitu ChatGPT, Gemini dan Copilot, mutu masing-masing tidaklah sesempurna bak didambakan.

Mengapa?

Hakikatnya, dari segi makna, AI hanya mengikut algoritma data dan bukannya emosi manusia.

Kekuatan AI ialah ia menjadi pemudah cara (facilitator) untuk mencari perkataan yang tepat menurut makna sejajar dengan rentak baris pembayang dan baris maksud secara pantas.

Namun jelas sekali kelemahan AI iaitu ia ‘tandus’ jiwa sebenar pantun. Ini kerana bobot pantun terletak pada "rasa" yang dibina menerusi metafora, dan nilai kearifan tempatan yang lahir daripada pengalaman hidup manusia. AI menyerap data tetapi tidak mempunyai pengalaman atau perasaan peribadi untuk dihayati.

BANTU GENERASI MUDA

AI dapat membantu generasi muda dalam menghayati warisan kerana ia bak jambatan yang berkesan kerana dapat menghimpunkan maklumat. Namun ia hendaklah digunakan dengan cara yang betul iaitu bukan menciplak atau meniru karya asli.
Related article image
Kecerdasan buatan (AI) dapat membantu generasi muda menghayati warisan. (Gambar: Facebook/MOE)
Kita serba maklum tindakan para pengarang Barat menyaman firma AI kerana karya mereka digunakan tanpa pamit, apatah lagi dibayar dengan setimpal.

Dengan AI, boleh berlaku pembelajaran berinteraksi secara satu persatu – suatu yang seseorang guru tidak dapat melakukan untuk setiap pelajarnya dalam kelas 40 orang murid!

Aplikasi atau platform AI boleh digunakan untuk menguji minda anak muda membina pantun dua kerat atau empat kerat secara berdaya saing lagi menyeronokkan.

Sebagai alat sokongan, AI membantu memuluskan proses terjemahan atau memberikan cadangan kosa kata yang lebih puitis, menjadikan proses mengarang pantun tidak terlalu sukar bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan puisi tradisional ini.
AI hanyalah berfungsi sebagai pemangkin dan alat teknologi yang menarik. Namun, usaha memupuk kefahaman mendalam dan mengekalkan jiwa sebenar pantun masih di tangan guru Bahasa Melayu, para penulis sehingga tokoh sastera.

Sewajarnya dengan agenda negara untuk menguasai AI, wajar Majlis Bahasa Melayu, Taman Warisan Melayu serta badan-badan penyokongnya memikirkan secara gigih ‘pelan induk budaya Melayu’ pascamoden. Mentelah Melayu Singapura (SG) rata-ratanya hidup dalam suasana kota dan tidak memiliki ‘pedalaman’ untuk ‘memelihara warisan asli’ (jika ada pun serpihan rumah kampung di Pulau Ubin). Bandingkan pula dengan orang rumpun Melayu di negara-negara jiran – mereka masih mempunyai kampung halaman.

Akhir kalam, Encik Fadli melafazkan pantun berikut dalam menamatkan ucapannya di Parlimen:

Di dewan parlimen bila berpantun,
Eloklah jangan gunakan AI;
Orang Melayu sopan dan santun,
Ilham pujangga takkan diabai.

Sambutan saya:

Eloklah jangan gunakan AI,
Selagi akal budi masih bertakhta;
Budaya tinggi usah diabai,
Barulah hidup boleh melata.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita