Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Tradisi dan Makna Lebaran

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Tradisi dan Makna Lebaran

Umat Islam seluruh dunia menyambut ketibaan Syawal dengan bermacam-macam cara dan gaya, berdasarkan warisan dan adat resam masing-masing. (Gambar: Canva)

SINGAPURA: Umat Islam seluruh dunia menyambut 1 Syawal dengan bermacam-macam cara dan gaya, berdasarkan warisan, adat resam, dan kelaziman masing-masing.

Di Nusantara, 1 Syawal dikenali sebagai Hari Raya Puasa atau Aidilfitri. Di Jawa, perkataan lebaran digunakan untuk merujuk kepada hari kebesaran ini.

Walaupun bentuk sambutan Hari Raya Aidilfitri berbeza-beza disebabkan oleh budaya dan amalan masing-masing, inti dan makna yang dikaitkan dengan Aidilfitri sudah banyak dirungkai dalam tradisi pemikiran dan agama Islam.

Daripada sambutan Hari Raya, dapat dilihat kecenderungan budaya kita dan bagaimana masyarakat kita masih kuat berpegang kepada adat resam dan warisan budaya yang diturunkan turun-temurun kepada generasi masa kini, umpamanya dari segi pakaian busana tradisional Melayu yang dikenakan sepanjang Hari Raya, persediaan masakan hinggalah ke kuih-muih.

Related article image
Sambutan Hari Raya Adilfitri seakan-akan tidak sempurna tanpa juadah seperti ketupat dan aneka kuih Raya. (Gambar: Canva)
Related article image
Masyarakat Melayu lazimnya mengambil kesempatan mengeratkan hubungan antara satu sama lain sempena Aidilfitri. (Gambar: Canva)

Terdapat juga istilah "berjalan raya" iaitu bersilaturahmi yang menggalakkan kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan handai taulan.

Selain budaya dan warisan yang dilestarikan, yang paling penting untuk kita renungkan ialah Hari Raya adalah masa dan kesempatan untuk kita memperdalam kerohanian dan melaksanakan tuntutan amalan dan ajaran Islam.

Aidilfitri adalah hari kemenangan kepada umat Islam, khasnya yang menyempurnakan ibadah puasa.

Hari kemenangan ini bukan sahaja setakat mencapai kesempurnaan menjalankan ibadah puasa, dan melakukan ibadah-ibadah lain seperti bertarawih dan bersedekah, serta membaca Al-Quran dan memperbanyak sedekah dan membayar zakat dan fitrah. Menyambut Lebaran sebaliknya harus menjadi lembaran terpuji demi membersihkan diri kita daripada dosa, dan menambahkan pahala. Ia adalah hari 'pembersihan', saling maaf-bermaafan, dan sedia berkongsi rezeki dengan orang lain, di samping membantu meringankan kesusahan dan beban mereka.

Related article image
Sambutan Lebaran seharusnya menjadi satu lembaran terpuji demi membersihkan diri daripada dosa. (Gambar: Canva)

Di sebalik keghairahan untuk menyempurnakan semua ini, maka tidak jarang pula kita melihat sesetengah persiapan sambutan Hari Raya sampai berlebih-lebih dan bersikap boros. Adakalanya, perbelanjaan kita sempena Hari Raya melebihi perbelanjaan biasa, dengan memasak atau menyediakan makanan yang kadarnya lebih daripada yang diperlukan.

Dalam masyarakat Melayu, dari semasa ke semasa kita akan mendengar seruan agar sambutan Hari Raya diraikan dalam kesederhanaan supaya mendapat keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Seruan seperti ini pernah bergema dalam majalah Bintang Malaya, yang mula diterbitkan pada 1939. Majalah ini umumnya menyorot penulisan mengenai kemasyarakatan dan keagamaan.

Ia kemudian dihimpunkan dan dibukukan menjadi Pedoman Berhari Raya. Naskhah ini diterbitkan pada 1941 sebagai satu panduan kepada masyarakat Melayu/Islam memahami makna hakiki sambutan Hari Raya, dan bagaimana ia sewajarnya disambut, dan apa pula yang mesti dihindari.

Naskhah ini turut menyelitkan penjelasan di sebalik sambutan Hari Raya dalam masyarakat kita termasuk zakat fitrah, malam Lailatul Qadar, khutbah Hari Raya dan sebuah cerpen bertajuk "Hadiah Hari Raya."

Buku ini adalah hasil susunan Sidang Pengarang Bintang Malaya. Ia diterbitkan semula oleh Akademi Jawi Malaysia pada 2024 dan diterjemahkan oleh Chong Kok Hong.

Related article image
Buku ‘Pedoman Berhari Raya’. (Gambar: Facebook/ILHAM Books)

Satu bab dalam buku ini yang berjudul, "Keadaan Umat Islam Sekarang Berhari Raya" menggambarkan bagaimana Aidilfitri disambut di Makkah, Mesir dan rantau ini. Ia turut merakam sambutan Hari Raya di Semenanjung Malaysia, iaitu bagaimana orang Melayu di Muar menyambutnya:

"Seperti biasa, dimulakan jamuan makan pagi Raya bersama keluarga, berjemaah solat Aidilfitri, ziarah ke kubur dan kemudian berkunjungan ke rumah saudara, tetangga dan sahabat. Namun di Muar dan Batu Pahat ada sedikit kelainan:

"Mereka berziarah ke tiap-tiap rumah dengan beramai-ramai atau berpuak-puak satu kampung atau satu mukim, umpamanya setelah naik ke sebuah rumah itu mereka bermarhaban dengan ringkas kemudian diiringi dengan sedikit ucapan Hari Raya."

Pendek kata, seruan yang dibuat adalah supaya jangan sampai umat Islam tersasar daripada landasan asal.

"Maka hilang dan terhapuslah segala faedahnya dan hikmah-hikmah yang terkandung di dalamnya, maka tertinggallah Hari Raya itu zahirnya atau nama sebutannya sahaja, tetapi hakikat yang sebenar telah terhapus atau dikatakan hari kesukaan dan keriaan nafsu sahaja, bukannya hari keriaan yang dikurniakan Tuhan."

Mensyukuri Nikmat

Setiap pagi Aidilfiri, umat Islam akan bertakbir dan bertahmid. Dalam tradisi Islam, selepas takbir, ia harus disusuli dengan tasyakur. Imam Al-Ghazali, seorang pemikir Islam yang terbilang, membentangkan tiga aspek tasyakur iaitu ilmu, hal, dan amal.

Ilmu berkenaan kesedaran kita atas nikmat yang Tuhan sudah anugerahkan kepada kita.

Hal merujuk kepada sikap kita yang harus sentiasa bersyukur atas apa yang diberikan kepada kita dalam hidup ini.

Amal pula menggunakan segala yang ada pada kita untuk melakukan kebaikan kepada diri sendiri dan orang-orang di sekeliling kita. Takbir yang bererti melafazkan kebesaran Tuhan, wajar disuguhkan dengan tasyakur yang bermatlamat untuk berkongsi nikmat yang dianugerahkan kepada kita bersama dengan orang lain.

Ulasan Jalaluddin Rakhmat, seorang pemikir Islam asal Indonesia, mengenai perkara ini, baik diperturunkan:

"Kita bagikan kebahagiaan kita kepada orang lain. Makin banyak orang ikut merasakan nikmat yang kita peroleh, makin bersyukurlah kita. Anda menjadi orang kaya yang paling bersyukur bila kekayaan anda dapat dinikmati orang banyak. Kelebihan rezeki yang anda peroleh tidak anda gunakan untuk barang-barang konsumptif yang hanya berfungsi untuk meningkatkan harga diri. Anda tidak menikmatinya sendiri. Anda serahkan sebahagian rezeki anda untuk menolong 'pasien' (pesakit) yang tidak sanggup membayar biaya rumah sakit, memberikan biasiswa kepada anak cerdas yang tidak mampu, atau meringankan penderitaan orang miskin. Anda telah menyebarkan nikmat kepada orang lain. Inilah tasyakur dalam amal."

Related article image
Encik Jalaluddin Rakhmat. (Gambar: Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia)

Secara tuntas beliau mengingatkan: "Puasa dimulai dengan menahan makan, dan diakhiri dengan memberikan makanan kepada orang lain. Bukankah itu semua menunjukkan bahawa amal seorang Muslim selalu dimulai dengan membesarkan Tuhan, dan diakhiri dengan mendatangkan manfaat kepada sesama manusia."


Berbagi (berkongsi) kebahagiaan dan mencari kerahmatan itulah yang menjadi lambang Lebaran yang sewajarnya kita berpegang teguh. Kalau kita perhatikan inilah waktu berbagi kepada mereka yang memerlukan.

Dalam konteks masyarakat berbilang kaum, pada jiran tetangga bukan Melayu, kita berikan masakan Raya dengan ketupat atau setidak-tidaknya sebalang dua kuih.

Terangkum semua ini adalah tuntutan bagi umat Islam yang berkemampuan untuk menunaikan ibadah zakat dengan matlamat untuk menyejahterakan umat Islam lain yang terlantar.

Itulah juga yang ditegaskan oleh intelektual Muslim Indonesia, Nurcholish Madjid, dalam sebuah ceramah bahawa "fungsi zakat sebagai perwujudan dimensi kemanusiaan yang memiliki nilai sangat penting bagi menegakkan sebuah tatanan sosial".
Related article image
Dr Nurcholish Madjid. (Gambar: Facebook/demokrasi.id)
Tambah beliau, sepanjang Aidilfitri, "berkenaan dengan membelanjakan harta, orang beriman juga dianjurkan agar memperhatikan kesejahteraan orang tua dan kerabat. Setelah mengeluarkan zakat fitrah, haruslah diikuti dengan mengeluarkan zakat yang lain, yakni zakat mal atau harta. Jadi, zakat fitrah berfungsi sebagai sarana penyucian diri, sementara zakat mal sebagai sarana penyucian harta.
Related article image
Lembaran merupakan peluang untuk berbagi kepada mereka yang memerlukan. (Gambar: Canva)

Dengan itu, kita harus memastikan Aidilfitri benar-benar disambut dalam suasana serba fitri atau suci, zahir dan batin.

Sesungguhnya pada bulan Ramadan dan Syawal ini, kita berbuat amal bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk membantu orang-orang yang memerlukan. Inilah hari besar yang sebenar-benarnya menjadikan kita berjiwa besar.

Bak madah dari Bahasa Arab, "Bukanlah Aidilfitri bagi orang yang pakaian dan perabot rumahnya serba baharu, tetapi Aidilfitri adalah bagi orang yang beriman dan ketaatannya bertambah".

Itulah Lebaran yang bermatlamat untuk membangunkan keimanan, kesejahteraan dan kemanusiaan.

MENGENAI PENULIS

Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita