Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Teka-Teki Karya Melayu Raih Hadiah Nobel

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Teka-Teki Karya Melayu Raih Hadiah Nobel

Encik A. Samad Said (kiri, atas), Allahyarham Suratman Markasan (kanan, atas), Encik Hamka (kiri, bawah) dan Encik Isa Kamari. (Gambar: Facebook/A. Samad Said; BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri; Wikipedia/Vedolique/CC BY-SA 4.0; Isa Kamari)

SINGAPURA: Sejak MASTERA ditubuhkan pada 1995, belum ada satu pun karya rumpun Melayu dicalonkan untuk Hadiah Nobel bagi Sastera. Apakah ia sekadar impian menggebu dalam seminar belaka? Mohd Raman Daud menyusuri liku-likunya.

Pada usia senja ini, rasa-rasanya macam tak sempat saya menyaksikan karya Melayu dinobatkan Hadiah Nobel bagi Sastera.
Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2025 pada Selasa (9 Sep). (Gambar: Mediacorp)
Namun saya gagahi jua mengikuti Seminar Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) ke-29 kelolaan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) di POD Bangunan Perpustakaan Negara Singapura, baru-baru ini.

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) tampak lebih menonjolkan para sarjana sastera dari rantau ini. Di mana erti ‘antarabangsa’-nya? Tak tampak peserta dari luar rantau ini. Tak ketara pula kehadiran penulis serantau dalam seminar itu. Kehadiran penulis setempat segelintir saja.
SAKAT ialah sebahagian daripada program yang diadakan sempena Persidangan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2025. (Gambar: Facebook/Zhulkarnain Abdul Rahim)
KEMBALI KE ASAS

Waima, izinkan saya susuri asal usul gagasan MASTERA. Seingat saya, pada 1994, rombongan dari Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBPM) pimpinan ketua pengarahnya yang bervisi jauh, Datuk Abdul Aziz Deraman (1948 - ), berkunjung ke Singapura.

Berlangsung dialog hati ke hati bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) pimpinan Encik Sidek Saniff, (Menteri Negara Kanan Pendidikan) di Bangunan Kementerian Pendidikan (MOE) di Kay Siang Road.

MBMS (ditubuhkan pada 1993) telah mengalu-alukan gagasan kerjasama serumpun Melayu demi memartabatkan sastera Melayu ke persada sejagat. Bahkan, guru pesara Cikgu Muhammad Ariff Ahmad, selaku Penasihat MBMS, telah mengusulkan akronim ‘MASTERA’. Saranannya disambut baik DBPM.

Ketika itu Singapura terlibat selaku ‘pemerhati’ dalam Majlis Bahasa Brunei, Malaysia dan Indonesia (MABBIM) iaitu sejak 1980-an. Hal yang sama berlaku untuk MASTERA setelah dimeterai Brunei, Indonesia dan Malaysia pada 1995 dan mula bersidang setahun kemudian. Mujurlah dengan akal budi Menteri Negara Kanan Masagos Zulkifli selaku Pengerusi MBMS, Singapura telah menyertai sebagai ahli penuh MASTERA mulai 2012 dan menjadi tuan rumah buat pertama kali pada 2015, diikuti pada 2019 dan terkini, 2025.

Namun, sejak itu sehingga kini, belum ada karya Melayu semasa dari rantau ini yang meraih anugerah terulung sastera dunia itu. Apa halnya?

MUTU KARYA

Penulis Turki, Ferit Orhan Pamuk (1952 - ), penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan 2006 dalam ucapan sempena penganugerahan Nobel, menegaskan: “Penterjemahan merupakan faktor utama yang membolehkan karya saya berada di meja Jawatankuasa Hadiah Nobel.”
Penulis Turki, Ferit Orhan Pamuk. (Gambar: Wikipedia/David Shankbone)
Karyanya telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, termasuk Inggeris. Ini bererti mutu karyanya sehebat karya penerima Hadiah Nobel bagi Sastera pertama pada 1901 iaitu Sully Prudhomme (1839-1907) dari Perancis.

Sejak 2024, 121 pengarang telah dianugerahi Hadiah Nobel bagi Sastera – sekitar 98 pengarang dari negara yang bukan berbahasa Inggeris (berbanding hanya 23 pengarang berbahasa Inggeris dari Amerika Syarikat dan Britain). Apakah faktor yang membolehkan karya mereka disanjung tinggi dengan watikah, majlis khas dan hadiah tunai 11 juta kronor (S$1.511 juta).

Laporan Juri Hadiah Nobel menyatakan bahawa karya Pamuk memaparkan lambang baharu dalam menanggapi perbezaan antara dunia Barat dan Timur. Namun, laporan itu bersandarkan semua terjemahan karyanya.

Daripada 8.2 bilion penduduk dunia, sekitar 90 juta yang berbahasa Turki berbanding dengan hampir 290 juta yang berbahasa Melayu/Indonesia. Karya Pamuk telah mendapat sokongan industri penterjemahan dan tentulah pemasaran serta lobi atau promosi meluas.

Antara novel Pamuk ialah ‘My Name is Red’ (1998) telah diterjemahkan ke lebih 40 bahasa, manakala karyanya seperti Snow (2002), Black Book (1990), Secret Face (1992), New Life (1995) dan The Other Colours (1999) turut diterjemahkan ke lebih 30 bahasa utama dunia.
Karya Orhan Pamuk, Snow. (Gambar: Facebook/Orhan Pamuk)
Tidak syak pencapaian Pamuk bersandarkan ramuan dan tema yang ampuh, khususnya dari segi memahami kesejagatan atau universalisme, selain merapatkan jurang Barat-Timur dalam hampir kesemua karyanya. Tetapi karya-karya Pamuk mungkin tidak diketahui tanpa penterjemahan yang bermutu lagi berkesan.

Penulis bukan Eropah iaitu dari Asia yang pertama meraih anugerah hebat ini pada 1913 ialah Rabrindanath Tagore (1861-1941)menerusi puisi panjangnya, ‘Gintajali’, yang beliau sendiri alihkan ke Bahasa Inggeris. Tagore dari keluarga bangsawan Benggali yang kaya raya, bertuah kerana belajar lama di England dan mengenali sasterawan atasan di Britain yang telah mengutarakan karyanya.

Jepun telah menampilkan dua sasterawannya, Yasunari Kawabata (1899–1972) untuk meraih anugerah ini pada 1968 dan Kenzaburō Ōe (1935–2023) pada 1994. Pada 2017, Kazuo Ishiguro (1954 -) yang berbangsa Jepun tetapi menulis dalam Bahasa Inggeris dan menetap di Britain, telah meraihnya.

Sementara China meraihnya pada tahun 2000 menerusi sasterawan ‘berontak’ yang bersuaka di Perancis iaitu Gao Xingjian (1940 - ) dan Mo Yan (1955 - ) yang masih warganya yang setia, pada 2012.

Nama Korea Selatan telah mengharum dengan kejayaan Han Kang (1970 -) meraihnya pada tahun 2024. Beliau satu-satunya sasterawan wanita dari Asia dengan pencapaian tinggi setakat ini.

POTENSI RUMPUN MELAYU

Dari rantau Melayu, pencapaian pengarang Indonesia, Pramoedya Ananta Toer (@ Pram, 1925-2006) lewat novel bersiri (tetralogi) ‘Bumi Manusia’ (1980-1988) dan ‘Arus Balik’ (1995) pernah diutarakan kepada Akademi Sweden. Namun tuahnya terhalang dek birokrasi dan protes penulis Indonesia termasuk wartawan dan sasterawan mapan, Mochtar Lubis (1922-2004) atas alasan rekod cemar Pramoedya.
Pengarang Indonesia, Pramoedya Ananta Toer. (Gambar: Wikipedia/Lontar Foundation)
Pram dicalonkan sejak penghujung 1980, selepas beberapa tahun bebas daripada tahanan politik di Pulau Buru, Makassar. Rekod penglibatannya dalam Lembaga Kebudayaan Rakyat (LEKRA), bahagian kebudayaan dalam Parti Komunis Indonesia (PKI) dianggap ‘palitan hitam’.
(Gambar: Wikipedia/Vedolique/CC BY-SA 4.0)
Antara lain, beliau dikatakan memfitnah banyak penulis, termasuk pengarang-pendakwah terkenal, Hamka (1908-1981). Anehnya, Pramoedya dikatakan mendesak anak perempuannya dinikahkan oleh Hamka sebagai kadi. Hamka reda dan melaksanakannya.
Sasterawan Malaysia, A. Samad Said. (Gambar: Facebook/A. Samad Said)
Dari Malaysia, A. Samad Said (1935 - ) lewat novel pertamanya, ‘Salina’ (1961, berlatarkan Kampung Kambing di Little India, Singapura) dan ‘Hujan Pagi’ (1987) turut disebut-sebut tetapi belum tampak tuahnya. Yang jelas dua rakyat Malaysia, Mohd Nasarudin Yusof pada 2013 dan Dr Ronald McCoy pada 2017 masing-masing meraih Hadiah Nobel bagi Perdamaian.

TITIK MERAH KECIL

Sejak 1986, berlangsung Pesta Penulis Singapura (SWF) anjuran negara titik merah yang kecil ini secara dwitahunan dan kemudian tahunan (mulai 2011). Usaha ini sejajar dengan pelan nasional, Kota Kebangkitan Seni di Tropika, menurut gagasan Majlis Seni Kebangsaan (NAC). Langkah ini menepati penyerlahan imej Singapura sebagai kota raya urusan ekonomi dunia. Selain itu, Singapura turut membawa para penulis mapannya ke pesta buku antarabangsa seperti di Frankfurt.
Penulis mapan, Encik Isa Kamari. (Gambar: NLB)
Dalam kalangan penulis Melayu di sini, karya Isa Kamari (1960 - ) boleh dikatakan yang terbanyak diterjemahkan, diikuti oleh dua penulis yang telah wafat iaitu Suratman Markasan (1930-2024) dan Mohamed Latiff Mohamed (1950-2022).
Allahyarham Suratman Markasan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
Namun apakah nama Isa sudah dikenali di persada sastera sejagat? Dan bagaimana dengan para penulis yang lain? Semua ini masih menimbulkan teka-teki.

Tentulah kekuatan mutu karya menjadi penentu utama, diikuti dengan usaha penterjemahan yang jitu dan promosi Singapura di pesta buku antarabangsa sehingga menarik kepada pengetahuan juri Hadiah Nobel.

Tetapi adakah para penulis kita cukup terdorong untuk memberikan tumpuan 100 peratus mengasah ketukangan penulisan mereka? Cukupkah sokongan dari segi dana dan bimbingan? Yang nyata: demi penakatan, penulis kita perlu bekerja dan hanya menulis pada sela-sela masa terhad.

Sering untuk dapat membukukan karya mereka, dana yang diperlukan tidak memadai. Bagi penulis muda pula, ada yang perlu ikat perut atau mengemis di media sosial demi membiayai penerbitan karya mereka.
Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim berucap di majlis perasmian Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) 2025 di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB) pada 10 September 2025. (Gambar: Facebook/Zhulkarnain Abdul Rahim)
Oleh itu, MBMS yang kini terlibat dalam MASTERA, perlu menyemak langkahnya demi menyuburkan taman sastera nusa. Dengan suasana dominan berbahasa Inggeris, apakah kelak akan ada penulis berbahasa Melayu pada masa hadapan? Ini persoalan serius yang perlu ditangani dengan bijaksana.

Ada juga yang berhujah bahawa penulis akan tumpul daya ciptanya andai suasana ‘kebebasan’ berkarya tidak berlaku dalam menyelongkar isu-isu kemanusiaan secara kreatif, indah dan mengesankan jiwa. Harap-harap kita sempat melihat ada penulis dari nusa ini meraih Hadiah Nobel. Tambah menceriakan, beliau anak Melayu berkarya Bahasa Ibunda!


MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita