Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Tari Zapin Cerminan Peradaban

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Tari Zapin Cerminan Peradaban

Zapin dipersembahkan di Taman Warisan Melayu. (Gambar: Wikipedia/ScribblingGeek/CC BY-SA 4.0)

Diterbitkan : 06 Oct 2026 10:14PM
MALAY WORLD: Zapin dance as a reflection of civilisation
  • Singapore, Brunei, Indonesia and Malaysia are working together to register Zapin dance on UNESCO's Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity for 2027.
  • The article explains that Zapin originated in Hadramaut, Yemen, and later entered the Malay World through traders and Islamic missionary efforts around the 13th to 14th centuries.
  • The dance evolved according to place, from a male performance to a mixed one, with different names and styles in Sumatra, Riau, Kalimantan, Sulawesi and other regions.
  • In Singapore, artists such as Zubir Abdullah, Som Said and Osman Abdul Hamid support the preservation of Zapin through local works, performances, exercise and cultural activities.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sesudah dua tahun kebaya diiktiraf oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan di Asia Tenggara, kini berlaku lagi kesepakatan Singapura dengan tiga negara jiran iaitu Brunei, Indonesia dan Malaysia untuk tari zapin pula. Mohd Raman Daud menyingkap sekilas sejarah dan perkembangan tari ini.

Manalah boleh saya lupa akan Tari Zapin.

Itulah tari pertama saya bersama tiga rakan sedarjah, termasuk seorang berbangsa Cina, ketika di Maktab Rendah Kebangsaan (NJC). Kami diarahkan membuat persembahan untuk acara sekolah. Kami tiada pilihan dan rasa cemas.

Menerusi bantuan rakan sedarjah juga, Hadijah Rahmat (kini Profesor Madya Emeritus), kami diperkenalkan kepada seorang jurutari lelaki yang sering mengajar di beberapa balai rakyat.
Related article image
Profesor Madya Emeritus, Hadijah Rahmat. (Gambar: BERITA Mediacorp/Syawal Yusoff)
Memandangkan waktunya kian suntuk, kami bersungguh-sungguh berlatih di Balai Rakyat Tanglin. Pada sesi terakhir, saya terlangkah sumbang sehingga, alahai, seluar koyak di punggung!

Itu cerita lebih setengah abad lalu.

KATA SEPAKAT

Kini empat negara - Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura - menampilkan permohonan agar Tari Zapin diiktiraf sebagai warisan dunia tidak ternilai (intangible) untuk kemanusiaan kepada Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Related article image
Para penari Sri Warisan mempersembahkan Tari Zapin. (Gambar: NHB)
Ia adalah seni pertunjukan tradisional Melayu yang menggabungkan unsur tari, muzik, dan adakalanya, nyanyian. Namun ia bukan berasal dari rantau ini.

Asal ‘zapin’ ialah ‘zafin’ (زافين) yang bererti gerakan kaki yang tangkas mengikut rentak pukulan gendang. Ia boleh disusuri asalnya dari wilayah Hadramaut, Yaman di Semenanjung Arab. Namun, ada juga pendapat yang kurang popular iaitu ia mungkin berasal dari Farsi (Iran).
Related article image
Persembahan seni tradisional Zapin. (Gambar: CNA/Alyssa Tan)
Di tempat asalnya (dalam dialek Yaman), tari ini khas untuk penari lelaki sahaja dan sebagai hiburan ringan untuk perayaan. Ia turut tersalur melalui perdagangan antara Alam Melayu dengan Timur Tengah, dikatakan sudah berlalu lebih 1,000 tahun. Antara buktinya ialah antara minuman syurga di dalam Quran ialah ‘kafura’ (كَافُورًا: Surah Al-Insan, ayat 5-6). Ia diperbuat daripada kapur barus yang berasal dari Sumatra. Quran diturunkan pada abad ke-7 Masihi.

CARA MASUK KE ALAM MELAYU

Tari Zapin dikatakan masuk dan diperkenalkan ke Alam Melayu sekitar abad ke-13 hingga abad ke-14 Masihi. Namun tempoh ini juga dikatakan ‘lambat’ kerana kerajaan Islam pertama di Nusantara, khusus di utara Sumatra, iaitu Perlak, didapati terbentuk sekitar abad ke-9 Masihi.

Para pedagang dari Yaman sudah lama mengenali rantau ini - 200 tahun sebelum Islam. Mereka sekali gus menjadi penyebar agama Islam dari Timur Tengah dan turut membawa kesenian ini ketika berlayar ke kota-kota pelabuhan di Nusantara.

Tari ini disesuaikan sebagai media untuk menyebarkan ajaran Islam, terutama pada zaman Wali Songo yang sangat cergas berdakwah melalui seni di Jawa. Muziknya menggunakan alat muzik petik iaitu gambus dan tiga buah gendang kecil (marwas), diiringi syair berunsur Islam yang sarat dengan mesej akhlak mulia.

Kalangan suku kaum Rumpun Melayu telah menyerap tarian ini, iaitu bermula di istana dan kemudian merakyat. Ini kerana dalam tari zapin terpadu nilai kesantunan setempat. Berlaku daya cipta yang memperindah gerakannya agar sesuai dengan adat, budaya, dan jiwa Melayu yang penuh adab.

VARIASI MASA DAN TEMPAT

Seiring waktu, Tari Zapin menyebar luas ke pelbagai pelosok Nusantara dan melahirkan variasi tempatan yang unik di setiap daerah, antaranya:
 
  • Perubahan Penari: Jika asalnya ia ditarikan oleh lelaki, lama-kelamaan zapin turut ditarikan oleh perempuan atau secara campuran tetapi agak menjaga jarak tanpa bersentuhan.
  • Nama Tempatan: Di Sumatra Utara dan Riau, ia masih dikenali sebagai Zapin; di Jambi dan Sumatra Selatan disebut Dana; di Lampung menjadi Bedana; di Kalimantan dikenali sebagai Jepin; di Sulawesi disebut Jippeng, dan di Maluku pula, ia dinamakan Jepen.
Related article image
Bedana dipersembahkan di Lampung. (Gambar: Wikipedia/Deo Bernedy Putra, S.Sos/CC BY-SA 4.0)
Related article image
Setiap wilayah mengembangkan gaya kominuikasi, estetika dan konteksnya sendiri dalam mempersembahkan Zapin. (Gambar: Bernama)
  • Ragam Gerak: Setiap wilayah mengembangkan gaya komunikasi, estetika, dan konteksnya sendiri, seperti Zapin Johor, Zapin Sarawak, Zapin Selangor, hingga Zapin di wilayah Kepulauan Riau dan Brunei Darussalam. Zapin kian dipadukan dalam bentuk drama (membaca cerita) atau taridra.

PERANAN UNESCO

Sebagai badan tertinggi dunia dalam ehwal budaya dan warisan, UNESCO diharapkan dapat mengiktiraf zapin sebagai warisan unik Alam Melayu, walaupun ia berasal dari luar rantau ini. Para pakar budaya berpendapat, iktiraf ini lebih dinilai sebagai penghargaan semata-mata dan bukanlah hak cipta. Ia bertujuan mendorong usaha yang lebih padu dan kental ke arah pelestarian warisan.

Empat negara di Asia Tenggara -Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, dan Singapura - secara rasmi bekerjasama mendaftarkan Tari Zapin ke dalam Daftar Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO untuk tahun 2027. Alasan utamanya meliputi:
  • Warisan Bersama: Zapin membuktikan bahawa masyarakat di lintas batas negara memiliki akar sejarah, perpindahan, dan adunan budaya yang sama sebelum wujudnya perbatasan wilayah moden.
  • Kekuatan dalam Keragaman: Keunikan bentuk, gaya, dan variasi Zapin di negara masing-masing bak ‘nilai tambah’ yang memperkaya khazanah budaya dunia.
  • Simbol Diplomasi & Pelestarian: Pencalonan berbilang negara ini menjadi upaya bersama untuk menghidupkan kembali tradisi, melibatkan para seniman rentas generasi, sekali gus memperkukuh jalinan budaya serumpun di Asia Tenggara.

ZAPIN TELUK BELANGA

Penggubah muzik tanah air yang berbakat besar, Zubir Abdullah, telah memperkenalkan lagu ‘Zapin Telok Belanga’ (Blangah) untuk Festival Zapin Dunia di Bintan.
Related article image
Penggubah muzik tanah air, Zubir Abdullah. (Gambar: Facebook/Zubir Abdullah)
Seni katanya molek dengan ikatan sejarah silam sehingga nama-nama tempat di Singapura. Alunan muziknya cukup memikat. Para penari dari Sri Warisan pimpinan Puan Som Said (penerima Pingat Budaya), telah menampilkan corak tarian yang amat bersesuaian.
Related article image
Cik Som Said. (Gambar: NHB)
Related article image
Pengasas Era Dance Theatre Encik Osman Abdul Hamid. (Gambar: NHB)
Hampir kebanyakan jurutari Melayu Singapura termasuk Osman Abdul Hamid (penerima Pingat Budaya), menyokong usaha Singapura untuk sama membangun warisan zapin dan tentulah dengan sentuhan tempatan.

Tari ada bahasanya. Oleh itu, ada baiknya zapin dipopularkan dari segi senaman bak ala zumba sehingga majlis keramaian rasmi dan tidak rasmi untuk kanak-kanak, sehingga orang tua yang masih bertenaga. Ia memiliki nilai kesantunannya tersendiri. Bahkan peraduan mengarang lagu berirama tradisional termasuk zapin perlu dijayakan menerusi kerjasama Taman Warisan Melayu.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita