Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Suku Abad Bahasa Melayu Tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Suku Abad Bahasa Melayu Tinggi

Dr Syed Harun menyertai Cik Rahayu Mahzam untuk menerajui FA3 dalam mendampingi belia Melayu/Islam. (Gambar: BERITAMediacorp)

SINGAPURA: Data Banci Penduduk menunjukkan penggunaan dan kefasihan Bahasa Ibunda masyarakat Melayu di sini kian menurun. Apakah pendekatan Bahasa Melayu Tinggi sebagai strategi bijak? Mohd Raman Daud mengupas persoalan ini.

Apakah kelak anak-anak ini bakal menggantikan (para almarhum) Pendeta Muhammad Ariff Ahmad dan rakan-rakannya seperti Masuri Salikun dan Suratman Markasan sehingga jurubina-sasterawan Isa Kamari dari segi bahasa, sastera dan budaya Melayu?

Itulah antara isi sembang saya dengan Cikgu Sazali Sahri – dua kali. Pertama, ketika beliau mengetuai Program Bahasa Melayu Elektif untuk sekolah menengah (EMAS) di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang pada 2005. Kedua, sewaktu beliau bertugas di Raffles Institution (RI) dalam rangka rancangan institusi itu menjadi pusat EMAS yang keempat pada 2023. Program Bahasa Melayu Elektif (MLEP) di peringkat maktab rendah/pra-universiti telah ditawarkan di RI pada 2020.
Related article image
Program EMAS di Sekolah Menengah Anderson. (Gambar fail: Facebook/Anis Qurratu'aini)
Diam tak diam, masa berlalu. Tahun ini dwiprogram tadi menyambut jubli perak dalam sebuah majlis khas di Maktab Rendah Tampines Meridian pada 19 Julai lalu. Diserikan Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan (MOE), Encik Ong Kong Hong, majlis itu telah melancarkan e-buku, ‘Menyusur Akar Menyulam Budi’ yang berisi rampaian rencana dan catatan kenangan. Kalangan guru dan alumni (bekas pelajar program) telah berhimpun dalam acara bersalut kerinduan.

BELA BAHASA IBUNDA

Singapura merupakan segelintir negara yang unik dengan warisan Bahasa Ibundanya iaitu tiga diangkat sebagai bahasa rasmi – Melayu (BM, yang juga Bahasa Kebangsaan), Mandarin dan Tamil. Bahasa rasmi keempat Inggeris (BI) merupakan warisan penjajah tetapi dijana sebagai bahasa kerja demi penakatan Singapura di peringkat sejagat.

Dengan adanya Dasar Dwibahasa sejak 1967, bahasa-bahasa ibunda (termasuk yang lain daripada tiga tadi) telah dapat dipelihara. Namun dek pengaruh besar Inggeris, tiga Bahasa Ibunda kian merosot penggunaannya. Hal ini sudah dijangka oleh kalangan pakar bahasa. Dengan adanya desakan golongan pencinta bahasa dan tekad politik, maka Singapura gigih memastikan Bahasa Ibunda tetap terpelihara menerusi kempen sehinggalah rancangan khas seperti EMAS-MLEP.

Saya masih ingat tentang antara sorotan Jawatankuasa Semakan Kurikulum dan Pedagogi Bahasa Melayu pimpinan Prof Madya Hadijah Rahmat pada 2004/2005. Ketika itu EMAS-MLEP baru pada tahap lima tahun pertamanya. Antara lain, jawatankuasa ini menggesa agar seluruh konsep membangunkan penguasaan Bahasa Melayu terarah kepada falsafah insan ‘Arif Budiman’ iaitu memupuk insan yang bukan sahaja beroleh ilmu tetapi berakhlak indah.

Namun, sesudah suku abad, tentulah wajar EMAS dan MLEP disemak agar rancangannya lebih berkesan. Ini memandangkan kepesatan teknologi terutama dengan meluasnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai ‘pembantu’ kepada pelajar.

SEJARAH RINGKAS

Berdasarkan catatan MOE, EMAS dilancarkan pada tahun 2000 dengan 124 pelajar menengah di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, manakala MLEP pula bermula dengan hanya 19 pelajar di Maktab Rendah Tampines.

Kini, EMAS telah berkembang merangkumi kira-kira 370 pelajar dengan empat pusat (Sekolah Menengah Anderson, Sekolah Menengah Tanjong Katong, Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang, dan Raffles Institution.

MLEP pula kini ditawarkan di lima maktab rendah (Jurong Pioneer, Maktab Rendah Kebangsaan, Tampines Meridian, Yishun Innova dan Raffles Institution) yang kini menampung lebih 100 pelajar.
Related article image
Para pelajar MLEP di bengkel pengayaan (Gambar: MOE)
Dwiprogam ini sarat dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa dan sastera sehinggalah lawatan sambil belajar ke negara-negara serantau serta menyediakan biasiswa khas. Tidak hairanlah hanya ‘pelajar terpilih’ yang dapat menyertainya.

RANGSANGAN BAHASA

Perdana Menteri Pengasas, Lee Kuan Yew (1923-2015), merupakan tokoh utama yang meletakkan batu asas Dwibahasa kerana menyedari peri pentingnya setiap warga Singapura memiliki jati dirinya. Beliau anak Baba Peranakan memang fasih berbahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin. Dilaporkan beliau dapat memperhalusi Bahasa Melayu dengan bimbingan budayawan, Cikgu Mahmud Ahmad (1906-1976). Jejak langkahnya diikuti oleh ketiga-tiga anaknya yang pernah belajar BM dengan Cikgu Mohd Amin Shafawi (1936-2020).

EMAS-MLEP membuktikan faktor rangsangan bahasa dari segi dasar dan pelaksanaan pemerintah memang ada dari segi rancangan di sekolah rendah sehingga maktab rendah sehinggalah program Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) serta agensi seperti Majlis Seni Kebangsaan (NAC).

Namun apakah ada rangsangan dalam suasana tempat kerja dan di rumah? Jawapannya: Tidak. Ini kerana Banci Penduduk sejak enam dekad menunjukkan bahawa kebiasaan berbahasa Inggeris telah menghakis penggunaan Bahasa Ibunda secara bertahap-tahap.

Dalam kes Bahasa Melayu: dari pertubuhan, masjid sehingga rumah dan sembang antara kawan – Bahasa Inggeris lebih menonjol. Bahkan kian banyak kelas agama menerusi Bahasa Inggeris.
Related article image
Salah seorang penceramah di Program Latihan Kesedaran Dakwah anjuran Darul Arqam. (Gambar: Instagram/darularqamsg)
Kesannya: tontonlah video di media sosial seperti YouTube dan Facebook – kebanyakan dialog Melayu Singapura lebih cenderung diinggeriskan. Selitan Bahasa Melayu berlaku “asal jangan tak ada” untuk menunjukkan pelaku atau peristiwa itu melibatkan orang Melayu. Suasana mutakhir inilah yang antara lain menyebabkan sesepuh tamadun Melayu di nusa ini, Hj Suratman Markasan (1930-2024) sentiasa sebak ketika berucap di khalayak ramai.

Oleh itu, ada jurang besar antara suasana dalam kelas EMAS-MLEP dengan hakikat keseluruhan suasana di Singapura.

Jelasnya, para pelajar ini mendapati kian terhad ruang dan peluang untuk mengasah bakat Bahasa Melayu mereka. Oleh itu, mereka perlu diberikan lebih banyak daya galak menarik seperti skim bimbingan (mentoring scheme) untuk menghasilkan karya sastera sewaktu cuti sekolah dan mendapat geran untuk melaksanakannya. Dengan ini, mereka sudah ditanamkan azam dan kebangkitan daya untuk dapat mengarang atau terlibat dalam persembahan seni budaya Melayu.

Selanjutnya sesudah tamat maktab rendah, kemajuan mereka dalam menjayakan Bahasa Melayu perlu terus dipantau dan digalakkan. Alumni (ikatan bekas pelajar EMAS-MLEP) wajar dibentuk secara rasmi agar mereka mempunyai lejangan (momentum) untuk berkarya, terlibat dalam kegiatan bahasa dan sastera di dalam dan luar negara dan sebagainya.

Cakap mudahnya, suatu Pelan Induk perlu dilakar untuk golongan lulusan EMAS-MLEP sebagai suatu gerakan jangka panjang dalam rangka menggilap bakat ke arah membentuk diri sebagai tokoh sehebat para pendahulu yang disebut pada awal tulisan ini.

Pelan Induk ini perlu melibatkan MBMS, agensi pemerintah yang lain, badan-badan persuratan dan seni budaya Melayu setempat sehingga jabatan bahasa Melayu di tiga universiti setempat. Ini demi menjadi ‘keterpaduan’ usaha yang menyeluruh lagi mampan dalam jangka panjang.
Related article image
Pengerusi baharu Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dr Syed Harun Alhabsyi di acara Fiesta Bahasa 2025 pada 26 Julai 2025. (Gambar: Mediacorp)
Antara lain, pengerusi baharu Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Bahasa Melayu (MLLPC), Dr Syed Harun Alhabsyi yang juga bakal Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara mulai Oktober), turut mengungkapkan gambaran ke arah ini:

"Kami juga ingin menjadikan Bahasa Melayu lebih hidup, lebih penuh emosi, lebih berakar budaya dan lebih relevan dalam kehidupan seharian masyarakat kita terutamanya bagi kalangan pelajar-pelajar kita.

"MLLPC juga akan terus memanfaatkan teknologi-teknologi digital dengan lebih strategik lagi dengan secara lebih fokus bagi menyokong pembelajaran Bahasa Melayu kita," ujarnya.

Ya, siapa tahu dalam kalangan lulusan EMAS-MLEP itu kelak mungkin ada yang mencapai ketinggian mutu karya yang boleh dicalonkan untuk Hadiah Nobel bagi Sastera dan sebagainya.
 
Inilah impian yang wajar kita miliki kerana Singapura memang sudah agak lama dianggap Dunia Pertama tetapi belum meraih pencapaian taraf bahasa/sastera atau seni yang setara.
Related article image
Kelas Bahasa Melayu PEPS. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Sajikan impian atau visi ini kepada para pelajar EMAS-MLEP – bahawa setapak mereka memasuki program ini, langkah mereka boleh sejauh menggarap visi tadi.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita