ALAM MELAYU: Suara Wanita Global Selatan
Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff (tengah) merasmikan pelancaran buku wartawan veteran Adibah Amin, As I Was Passing (Legacy Edition). Turut hadir ialah adik Adibah Amin, Khalilah Fadzilah Amin (kanan), serta pengerusi jawatankuasa penganjur, Lay Hua (kiri). (Gambar: Bernama)
“Dan kita harus memilih dan memihak kerana dalam dunia kita ini tiada siapa pun yang boleh berkecuali” - Usman Awang
Sastera memainkan peranan penting dalam pembentukan pemikiran masyarakat. Sastera tidak hanya menjadi medium untuk berimaginasi, malah sarat mengandungi pertarungan ideologi serta pencerahan. W.N. Khuzairey mengupas peranan sastera dalam anjakan minda masyarakat.
Sastera juga boleh menjadi dokumen yang merakam peristiwa-peristiwa masyarakat kecil yang tidak tercatat dalam dokumen rasmi penjajah khususnya dalam ranah Global Selatan.
Leluhur awal seperti penyambung legasi ASAS 50’ iaitu Keris Mas mengerti benar peranan sastera dalam masyarakat. Oleh itu, beliau bersungguh-sungguh mengangkat sastera untuk masyarakat yang isinya banyak menitikberatkan konflik-konflik yang dihadapi masyarakat.
Dr Azhar Ibrahim adalah antara penulis yang memicu kembali bentuk Sastera Global Selatan. Dalam penulisan beliau, ada menyatakan bahawa Sastera Global Selatan adalah sebuah bentuk solidariti terhadap negara-negara membangun yang terluka parah akibat penjajahan.
Penting untuk memikir ulang Sastera Global Selatan terutama sekali bagi penulis untuk melahirkan sikap mengambil pendirian lalu memperkuatkan kesedaran juga intelektual dalam mendepani kuasa-kuasa autoritarian yang menekan terutama ketika dehumanisasi sedang rancak dipropagandakan.
Adibah Amin yang Mencerah
Antara penulis wanita awal yang mengangkat Sastera Global Selatan ialah Adibah Amin. Adibah Amin atau nama sebenarnya Khalidah Adibah Amin merupakan seorang ahli akademik, ahli bahasa, wartawan, penulis Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris, dan pelakon Malaysia.
Ketokohan beliau dalam bidang kewartawanan telah mendapat penghargaan tertinggi negara dengan menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Wartawan Negara Malaysia 2024.
Novel berbahasa Inggeris pertama beliau berjudul 'This End of The Rainbow' kemudian diikuti dengan esei-eseinya seperti 'Glimpses: Cameos of Malaysian Life' (2008), 'As I Was Passing' (2006) dan 'As I Was Passing II' (2007).
Kesemua yang beliau tuliskan ini adalah beban kolonialisasi yang dihadapi oleh kebanyakan belahan Global Selatan.
Menyingkap Gagasan Global Selatan Adibah Amin
Salah satu novel tulisan Adibah Amin yang memberikan kesan mendalam terutama kepada proses kolonialisasi ialah 'This End of The Rainbow' (2008).
Tulisan novel ini menjelaskan bagaimana masyarakat tempatan mengalami proses dehumanisasi, diskriminasi dan marginalisasi dari segi representasi dan kehidupan pada waktu kolonialisasi.
Adibah Amin juga cuba menjelmakan perbualan yang sering menjadi dilema bahkan sehingga ke hari ini iaitu antara Jepun dan British, penjajah yang manakah lebih kejam?
Dalam tulisannya 'Tempat Jatuh Lagi Dikenang', Adibah menyedarkan para pembaca bahawa penjajahan tetap penjajahan. Tidak bermakna yang mana satu lebih kejam atau kurang kejam. Sebagai bangsa yang dijajah, dilema ini seharusnya dihapuskan.
Beliau menuliskan menerusi dialog Hanim bersama ibunya:
“Kita nak halau orang putih keluar? tanyaku.
Ibu tersenyum. “Nak persilakan mereka keluar.”
“Orang putih baik, bukan, tak macam Jepun?”
“Baik tak baik, mereka tetap penjajah. Ini negeri kita, kenapa biarkan orang lain perintah. Kita mesti perintah sendiri. Kita mesti merdeka.”
Adibah Amin juga antara penulis sastera yang mengedepankan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakatnya. Setiap penulisannya tidak akan terlepas daripada menyuarakan hal-hal perpaduan dengan anti-rasisme.
Sifat berpendirian ini amat sesuai dengan semangat Sastera Global Selatan. Sudah tentu selepas penjajahan, inilah ideologi yang diwariskan oleh penjajah dan mekar sehingga ke hari ini.
Adibah bukan sekadar mahu menyingkirkan penjajah malah segala idea yang menjajah masyarakatnya turut beliau kritik dalam 'Tempat Jatuh Lagi Dikenang'.
Watak ayah Hanim yang dijelmakan sedikit sebanyak melenturkan pengaruh Busu yang bersikap prejudis lalu mempengaruhi pemikiran Ayu. Hal ini digambarkan dalam dialog Hanim bersama ayahnya setelah menonton perarakan Thaipusam.
"Bai agama apa?"
"Sikh."
"Orang-orang itu?"
"Hindu."
"Aya Sabit?"
"Rasanya Hindu."
"Jadi semuanya nanti masuk neraka?"
"Hanya Tuhan yang tahu, Hanim." Rahsia lagi. Tetapi aku lebih suka bab ini tinggal menjadi rahsia. Aku sedih bila Busu mengatakan dulu bahawa Bai Janggut, Aya Sabit, serta anak-anak mereka semua akan masuk neraka kelak.”
Dua tantangan yang ditimbulkan Adibah dalam menuju cita-cita murni beliau bagi membentuk masyarakat harmoni adalah masalah prejudis dan dendam antara kaum yang terlibat.
Pada tahun 1940-an dan 1950-an, usaha pembinaan negara bangsa yang bersatu padu dan hidup secara harmoni amat sukar direalisasikan kerana wujudnya sisa prasangka hasil propaganda daripada pihak penjajah.
Dari dasar British yang pecah perintah dengan tidak menemukan bangsa-bangsa lain atas alasan ekonomi dan Jepun yang kuat rasa anti-Cinanya telah menumpukkan lagi rasa prasangka masyarakat pada waktu itu.
Sebenarnya isu perpaduan sememangnya isu utama dalam masyarakat Global Selatan. Maka, penting penulisan-penulisan ini diangkat semula untuk memberikan pencerahan, lantas mewujudkan keharmonian dalam kalangan kaum.
'Bangsawan Tulen' (1950) merupakan salah satu tulisan Adibah Amin yang cuba menyelongkar dan memperbetulkan tanggapan-tanggapan tradisi yang menyimpang dalam masyarakat, terutamanya pada mereka yang datang dari kelompok elit.
Di tangan watak-watak muda, Adibah mencoretkan ideologinya yang begitu utuh bahawa setiap manusia itu sama sahaja, tidak ada bezanya, dari pelbagai aspek jika mendapat peluang yang sama.
Sebagai pendokong idea humanisme, beliau menganggap segala idea negatif terutama psikologi feudal akan menggagalkan pembentukan umat yang manusiawi sekiranya jurang perbezaan itu tidak diatasi.
Selain itu, muncul juga kritikan Adibah tentang sikap dan pemikiran masyarakat Melayu pada waktu itu yang dianggap tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam pembentukan masyarakat tanpa mengira darjat.
Oleh itu dalam penulisannya, beliau melontarkan cadangan supaya masyarakat mempunyai pemikiran mandiri dan berani untuk menegakkan jiwa yang merdeka.
Kepedulian Adibah ini wajar diperkirakan kerana psikologi feudal tidak akan merdekakan jiwa dan kemerdekaan yang sebenarnya tidak akan terlaksana.
Kesimpulan
Sastera Global Selatan pada waktu ini amat penting untuk difikir ulang. Penulisan sebegini akan menimbulkan kesedaran terhadap penulis dan pembaca untuk berpendirian terhadap isu-isu kemanusiaan.
Sekiranya sastera mengabaikan kemelut dunia Global Selatan, nescaya karya tersebut sukar untuk berdiri utuh dan akan kurang menawarkan kesedaran nurani terhadap pembacanya.
Akhirnya, sastera hanya tinggal sebuah bacaan tanpa membawa sebarang agenda kemanusiaan. Adibah Amin telah menyalakan obor Sastera Global Selatan, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyambung cahayanya.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.