Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Srikandi Negeri Jauhari, Srikandi Yang Meneladani

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Srikandi Negeri Jauhari, Srikandi Yang Meneladani

Dari kiri: Khatijah Sidek, Azah Aziz dan Ibu Zain. (Gambar: Sumber web)

Diterbitkan : 11 Aug 2025 12:51AM
SINGAPURA: Dalam sejarah, penampilan dan pembangunan wanita memberi petanda betapa proses pembangunan itu bukan berada pada jalan yang tepat dan bagaimana pembangunan merangkul kaum wanita yang umumnya hampir separuh daripada jumlah penduduk sesebuah masyarakat.

Keberadaan wanita dalam proses pembangunan boleh menjadi ukur tara sejauh mana pembangunan negeri atau masyarakat itu berkembang pesat dan bermakna. Sebaliknya kalau kaum wanita masih terkebelakang dalam pelbagai bidang, ini memberi isyarat betapa perancangan pemodenan itu tempang dan pincang.

Johor adalah negeri Melayu pertama yang secara sedar menggerakkan proses pemodenan, yang direncana oleh elit pemerintahnya.

Kesedaran untuk menggerakkan pemodenan itu umumnya bukan lahir dari pencerahan intelektual yang mengaju dan mengkonsepsikannya.
Sebaliknya ia lahir daripada kebijakan kepimpinan yang pragmatik dan strategik. Terungkapnya kekata Johor Bahru bukan sekadar nama tempat yang baharu dibuka tetapi mencerminkan suatu aspirasi baharu untuk membangunkan sebuah negeri dan masyarakat yang maju dan sejahtera.

Menarik diperhatikan bagaimana proses pemodenan Johor yang dimulakan sejak pertengahan abad ke-19 telah melahirkan sejumlah cerdik pandai Melayu, baik lelaki dan wanita. Ini membuka jalan kepada lebih banyak peluang dan penampilan wanita dari negeri itu sendiri.

Terbangunnya sekolah membenarkan lebih banyak anak perempuan mendapatkan pendidikan selain kegiatan penerbitan Melayu yang menghasilkan penambahan bahan bacaan.

Dengan pembangunan ekonomi dan meningkatnya jumlah Melayu yang terpelajar, jumlah kelas pertengahan dalam kalangan Melayu bertambah.
Suasana Yang Menggalakkan

Terbangunnya kaum wanita sangat bergantung kepada beberapa faktor.

Di satu sisi, beberapa tokoh wanita tampil hasil daripada proses pemodenan yang sedang berlangsung.

Pertama, suasana masyarakat yang terbuka membenarkan kaum wanita untuk mendapatkan pendidikan ataupun bekerja.
Kedua, wujudnya kepimpinan dalam masyarakat yang menggalakkan, malah menggubal dasar hak wanita untuk mendapatkan pendidikan dan diberikan peluang untuk berjaya.

Ketiga, semakin lenturnya beberapa tradisi dan pemikiran lama yang mengongkong dan membataskan keterampilan dan pergerakan wanita.
Pemodenan Johor

Pemodenan Johor, khasnya dalam bidang pendidikan membenarkan berdirinya sekolah, dan secara bertahap-tahap menyaksikan peningkatan anak-anak perempuan Melayu mendapatkan pendidikan.

Suasana politik yang berkobar semangat kebangsaan, merangkumi aktivis politik wanita untuk sama menuntut hak peribumi atau kemerdekaan Malaya.

Wanita Johor mendapat akses pendidikan secara beransur-ansur sejak dari awal terbangun sistem persekolahan di Johor. Tertubuhnya Sekolah Perempuan Bandar Tinggi pada 1918, menjadikan ia sekolah perempuan pertama di Johor dan masih berdiri sehinggi kini.
Peranan Wanita Diseru Disusun

Dalam menggerakkan sistem bahan bacaan mestilah sudah terbina. Ahmad Ya’qub al-Johori menghasilkan buku Kitab Adab Perempuan pada 1926, yang diterbitkan hasil daripada terjemahan dari teks Arab.

Ia direncana untuk pembacaan pelajar di sekolah perempuan. Isinya rata-rata dalam bingkai kefahaman tradisionalis, walaupun skop pembangunan anak-anak perempuan termasuk hal-hal seperti perkahwinan, kebersihan diri, pelajaran dan menguruskan perbelanjaan rumah tangga.

Ini berbeza dengan sebuah lagi buku berjudul "Risalah Seruan Kepada Jenis yang Lembut, Perempuan-Perempuan", yang diterbitkan pada 1935 di Muar. Karya saduran ini diusahakan oleh Dato’ Abdullah bin Abdurrahman, asal Johor Bahru. Ia berdasarkan karya Sayyid Muhammad Rashid Rida, seorang pelopor pembaharuan Mesir, pemasyhur majalah Al-Manar.

Dalam kalangan guru dan penulis sastera Melayu di Johor, Abdullah Sidek dan Shaharom Husain memberi perhatian kepada hal ehwal dan kebajikan wanita dan perempuan. Abdullah Sidek menyinggung tentang amalan yang membatasi peluang anak-anak perempuan mendapatkan pendidikan. Sebagai seorang guru, Abdullah Sidek menegur ini tanpa basa basi:

“Selagi kaum bangsa kita memandang bahawa kanak-kanak perempuan itu laksana suatu barang pingitan dan tidak diberi bergerak-gerak jauh sedikit dari kerongkong dapur, maka selama itulah juga mereka tertinggal di belakang perempuan-perempuan bangsa lain dalam segala kemajuan.”
Malah beliau terang-terangan menolak poligami kerana baginya bermadu itu pasti suatu yang menderita untuk seorang isteri.

Beliau juga mengkritik agar jangan dipandang serong pada wanita yang bekerja di luar rumah. Termasuklah wanita yang bekerja sebagai pelayan di kedai makan kerana rata-rata yang bekerja itu demi mendapatkan pendapatan halal.

Shaharom yang minat pada sejarah telah memilih watak juang pada seorang tokoh perempuan, yakni Tun Fatimah yang hidup pada zaman Melaka. Novel Tun Fatimah diterbitkan pada 1948 dan versi dramanya pada 1964. Beliau menjelaskan:

“Saya mengarang Tun Fatimah sebagai menyahut seruan Datuk Onn bin Jaafar yang telah berkali-kali dibuatnya agar kaum wanita Melayu keluar beramai-ramai berganding bahu dengan kaum lelaki bergerak dalam badan politik, terutama Pergerakan Melayu Semenanjung Johor yang kemudiannya menjadi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar atau UMNO) untuk menumbangkan Malayan Union, mencipta Persekutuan Tanah Melayu dan menegakkan kemerdekaan. Maka saya mencarilah seorang tokoh wanita Melayu yang boleh dijadikan lambang perjuangan wanita Melayu untuk dijadikan teladan kepada masyarakat. Dengan itu diharapkan wanita Melayu tampil ke hadapan bersama-sama berjuang dan mempertahankan tanah air, bangsa dan kedaulatan serta keutuhan Islam, agama rasmi negara. Kaum wanita juga berhak ikut berjuang dan berjihad.”
Srikandi yang Meneladani

Lebih penting daripada yang disebutkan di atas ialah peranan wanita sendiri di negeri Johor yang menyahut seruan untuk pembaharuan dan kemajuan.

Seawal 1920-an, tampil tokoh seperti Ibu Zain yang bukan sahaja menjadi guru tetapi giat menulis dalam majalah. Dalam sebuah rencana berjudul “Kewajipan Perempuan” beliau menyeru:

“Kaumku yang disayangi dan dicintai! Tidakkah ingin tuan-tuan hendak mencuba mengubah keadaan kita yang amat rendah dan daif di mata dan di hati kaum laki-laki kita? Bahawasanya mustahil kita dapat keluar daripada penjara kehinaan itu melainkan kita memiliki ilmu yang sebenar dan yang bersetuju dengan kefardhuan kita perempuan serta kita tunaikan kewajipan kita dengan segeranya. Masa itu baharulah termulia kita di pemandangan dan di perhatian manusia sama ada laki-laki atau perempuan dan kembalilah hak kehormatan kita yang tak berlebih kurang dengan kehormatan laki-laki.”

Perempuan harus berani mencuba dan harus mengambil peranan bagi kesejahteraan keluarga dan bangsa. Beliau tegaskan:

“ada pun kita perempuan ini bukannya berhala atau semata-mata perhiasan bagi laki-laki tetapi yang sebenar-benar kitalah puak yang mesti mengatur rumah tangga dan menyenggara isi rumah kita dengan aturan dan penyenggaraan yang munasabah yang tiada beberapa bezanya dengan peraturan negeri, dan kitalah jua kaum yang mesti mengeluarkan undang-undang rumah tangga serta melengkapi dia dengan kelengkapan yang berguna dan molek bagi keselamatan dan keamanan isi rumah kita. Bahawa seorang perempuan yang boleh memajukan dan mengamankan rumah tangganya dengan sempurna dan selamat itu samalah berat dan besar jasanya seorang menteri atau raja yang memerintah dan memajukan sebuah negeri dengan sempurna dan selamatnya adanya.”

Rencana ini diterbitkan dalam Lembaran Guru (November 1926), sebuah penerbitan di Johor Bahru.
Related article image
Ibu Zain. (Gambar: Lobak Merah)
Ibu Zain (1903-1989) ialah seorang pendidik yang kemudian menceburi politik dan dilantik sebagai pemimpin dalam bahagian Wanita UMNO. Beliau terkenal sebagai penggerak pendidikan perempuan. Beliau diperingati dengan hikmah pesan: “Agama dididik, moden dibela. Dunia dikelek, akhirat ditatang.”

Ibu Zain (nama sebenarnya Zainun Sulaiman), kelahiran Melaka, berkerjaya dan berkeluarga di Johor. Pada 1921, beliau menjadi guru di Muar, sampailah dilantik sebagai nazir sekolah-sekolah perempuan di Johor. Beliau memimpin kesatuan guru perempuan dari 1930-1949.

Majalah Bulan Melayu diterbitkan di bawah kepimpinan beliau yang bermatlamat untuk menyalurkan bahan pelajaran dan kesedaran kepada masyarakat Melayu.

Bukan sahaja majalah ini dijalankan umumnya oleh kaum wanita, tetapi juga yang paling lama diterbitkan di Johor iaitu sehingga tahun 1941.

Menariknya, penerbitan majalah aktif di Johor seperti Bulan Melayu, Jasa dan Lembaran Melayu membenarkan penulisan dan suara wanita mendapat tempat.

Ibu Zainlah yang menggembleng tenaga wanita untuk mengukuhkan UMNO semasa tahun-tahun awal penubuhannya.

Beliau menyandang jawatan sebagai Ketua Wanita dari 1950-53. Kemudian jawatan ini disandang oleh Khatijah Sidek, seorang lagi tokoh wanita yang terkenal dengan kelantangannya dalam berpolitik.
Related article image
Khatijah Sidek, seorang tokoh wanita yang terkenal dengan kelantangannya dalam berpolitik. (Gambar: Soscili)
Malah Khatijah Sidek yang berasal dari Sumatra, yang suatu ketika menetap di Johor Bahru sangat akrab dengan Ibu Zain. Dalam memoirnya, ditulisnya sedemikian:

“Ibu Zain sayang kepada saya. Beliau saya anggap sebagai ibu angkat saya kerana beliau sendiri mahukan saya menganggap dirinya seperti ibu saya di kampung. Malah beliau pernah meminta supaya anak sulung saya Malahayati diambilnya sebagai anak angkat supaya beliau dapat memberikannya peluang meneruskan pelajaran. Saya rasa cadangannya itu ikhlas. Saya juga ikhlas dengannya kerana saya menganggapnya sebagai ibu saya.”

Khatijah Sidek malah meminta Ibu Zain lebih bertegas bila berdepan dengan ahli-ahli politik lelaki yang baginya masih kental dengan sikap yang patriaki.
Selepas Perang: Wanita Sebagai Wartawan dan Pengarang

Maka tidak hairanlah dengan suasana zaman dan rumah di mana seorang anak perempuan yang bernama Adibah Amin dibesarkan. Beliau adalah anakanda kepada Ibu Zain. Nenda beliau, Munshi Sulaiman ialah seorang guru dan ilmuan yang disegani.

Adibah melanjutkan pendidikan di Universiti Malaya di Singapura. Beliau menamatkan kajian Latihan Ilmiah di Jabatan Pengajian Melayu pada 1957. Beliau mengkaji novel-novel Ahmad Lutfi (Edrus) berkenaan pemikiran beliau tentang pendidikan dan kebebasan wanita.

Selepas tamat pendidikan, beliau sempat menjadi guru sekolah dan bergiat dalam dunia penulisan. Bagi Adibah:

“Ilmu itu juga tidak dijadikannya perhiasan semata-mata. Ilmu itu digunakannya untuk membaiki keadaan sekitarnya. Ini dilakukannya tidaklah dengan cara riuh-rendah dan menunjuk-nunjuk”.
Adibah kemudian menjadi wartawan yang berwibawa dan pernah dibimbing oleh Usman Awang dan A Samad Ismail. Beliau malah menjadi penulis berbakat yang berdwibahasa, menghasilkan pelbagai penulisan.

Antara tema penulisan yang menjadi keutamaan beliau ialah soal emansipasi wanita. Dalam perkara ini beliau menjelaskan dengan tuntas:

“Soalnya, dulu pernah saya tulis dalam satu sajak, sajak kecil, yang digunakan untuk satu Hari Wanita, yang kita hendak bukan kesamaan, tapi kesamarataan. Sebab lelaki dan wanita tetap berbeza. Saya tak mahu jadi lelaki. Kalau orang upah pun saya tak mahu. Saya bangga dengan kewanitaan saya, dan saya pelihara sifat-sifat wanita itu. Misalnya, kelunakan kami bukanlah kelemahan, kelunakan kami ialah kekuatan. Dan saya tidak mahu bersaing dengan orang lelaki, saya hendak bekerjasama, kerana 'women's liberation' di Malaysia pun kalau nak kira betul-betul orang lelaki juga yang memulakannya, Syed Sheikh Alhadi dengan bukunya Faridah Hanum, dan sampai sekarang ramai orang lelaki yang mempertahankan dan memperjuangkan 'women's liberation'. Jadi di Malaysia saya tidak nampak apa-apa permusuhan antara dua jenis ini.
Related article image
Adibah Amin. (Gambar: Sumber web)
Pastinya Adibah tidak seorang. Ada beberapa penulis wanita asal Johor yang terkedepan membawa agenda hak dan kebajikan wanita. Antaranya Anis Sabirin, Khatijah Hashim, Zawiyah Nawawi dan Azah Aziz.

Seperti Adibah, Azah Aziz kelahiran Johor Bahru, berpengalaman bekerja di Singapura. Beliau pernah menjadi Setiausaha di Jabatan Pengajian Melayu, di kampus Bukit Timah.

Azah bernikah dengan Prof Diraja Ungku Aziz dan berpindah ke Kuala Lumpur. Beliau juga sempat menjadi wartawan dan aktif dalam kegiatan kebajikan.

Beliau tampil sebagai wanita berkerjaya yang menjadi 'connoisseur' untuk busana tradisional dan kraf tangan Melayu, selain minat menyusun pantun dan buku kanak-kanak.

Beliau yang lahir dari keluarga bangsawan Johor, pernah disebut oleh Zaharah Nawawi sebagai “Kartika di Langit Seni.”
Related article image
Azah Aziz. (Gambar: Sumber web)
Berseri Perempuan Jauhari

Johor yang menyaksikan sebuah negeri Melayu yang pesat melalui pembangunan telah melahirkan sejumlah cerdik pandai Melayu, termasuk daripada golongan wanita.

Paling jelas, dengan penglibatan wanita dalam proses pembangunan, ia akan merancakkan tingkat kemajuan dan kebajikan. Namun ini memerlukan proses kesedaran dan kefahaman yang utuh.

Maka kita diperingatkan oleh renungan berguna daripada Anis Sabirin, yang juga pernah belajar di Universiti Malaya di Singapura, yang merenung tajam akan peri pentingnya berdepan dengan proses perubahan dan pembaharuan:

“Perubahan memang selamanya menimbulkan gelisah dan keraguan. Orang selalu sangsi dengan perkara-perkara baru, kerana mereka menganggap bahawa kebiasaan lama itu adalah lebih baik dan sesuai. Kecaman-kecaman terhadap perubahan merupakan suara dari unsur-unsur yang konservatif dalam masyarakat yang takut akan pembaharuan. Tetapi saya percaya tidak ada sekatan yang akan dapat menghalang segala perubahan yang bakal datang dan sedang berlaku sekarang, kerana perubahan adalah salah satu hukum alam.”

Harapan dan peringatan ini sememangnya diperlukan dan dalam proses pemodenan yang sebenarnya banyak masyarakat membangun masih berdepan, harus mendapat keutamaan dan perhatian yang bersungguh-sungguh.

Hanya Jauhari Mengenal Budi
Juga Srikandi Menggalas Bakti.
Related article image
MENGENAI PENULIS
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita