ALAM MELAYU: Silat Berbudaya dengan Kudrat dan Tekad
Gerak tangkas kuat berlipat
Batin mengukuh yakin berpepat
Langgam budaya cukup bersifat
Sewaktu bermajlis dibuka berkat
Bila bersukan tanding berligat
Itulah seni silat mengangkat martabat
Silat adalah warisan budaya yang berkesinambungan dari generasi ke generasi. Bentuk seni mempertahankan diri ini tumbuh dan bercambah di merata Nusantara.
Dalam masyarakat tradisional, seni mempertahankan diri sangat diperlukan apabila linkungan keamanan tidak terjamin, sedangkan para pelaku yang membuat kacau adakalanya sukar dibendung.
Jadi perlu kepandaian bela diri.
Dahulu para pahlawan dan perajurit harus menguasai ilmu persilatan. Yang pandai bersilat pastilah pandai juga bermain senjata. Bermain keris menjadi penentu betapa pahlawan itu handal atau sebaliknya.
Silat itu makanya adalah alat dan seni mempertahankan diri. Ia bukan praktis (amalan) membangunkan kekuatan untuk mengalahkan lawan, jauh lagi menggunakan kekuatan itu untuk menzalimi dan menganiaya orang lain.
Ia juga bukan kekuasaan untuk diperaga, tetapi ilmu yang harus tegap di dada. Dalam pencirian pahlawan Melayu yang ranggi dan berani, memiliki kepandaian bersilat menjadi tanda kesatriaan yang sempurna.
Hang Tuah yang tangkas bermain senjata pastinya jaguh dalam gerak-geri persilatan. Itulah yang digambarkan dalam Hikayat Hang Tuah.
Dari gerak-gerik persilatan terpancar bukan kemampuan membela diri, tetapi boleh pertimbang dengan lekas dan berhemah akan gerak lawan dan gerak tawan. Silat dengan jurusnya tersendiri boleh mempersiapkan kekuatan dalaman. Apabila ia dijana dan dipelihara dengan baik, ia hanya perlu tergerak (atau terpencak) apabila tepat waktu dan keperluannya.
Maka silat bukan seni pamer diri, jauh lagi kuasa untuk mengganas dan berculas. Wajar apabila silat ini seperti tergambar dalam bidalan menyebut tentang menjaga maruah agar hidup berani dan ada pendinding yakni iman dan budi.
Sebagaimana terpancar dalam syair lantunan Pak Tenas Effendy:
Lawan olehmu kerja maksiat
Tegakkan syarak dirikan adat
Kalaupun mati membawa manfaat
Wahai anakanda keraskan hati
Lawan olehmu sifat yang keji
Musuh datang usah dikaji
Matipun engkau dalam terpuji
Wahai anakanda tegakkan maruah
Lawan olehmu hasut dan fitnah
Bela olehmu orang yang lemah
Supaya hidupmu membawa faedah.”
Ertinya silat yang pada sihat batinnya ada pendinding dalaman, yang membolehkan pembersihan jiwa, menjadikan seseorang itu kuat peribadi, berhemah tingkah laku dan peka akan silang dan rintang.
Silat dan Peredaran Zaman
Dalam peredaran zaman, silat sudah berubah peranan dan kegunaan. Kalau dahulu, silat sebagai pendinding keamanan dan keselamatan diri, sekarang ia juga ditambah menjadi penyemat kebudayaan, selain sebagai praktis riadah jasmani ataupun terkhusus menjadikan silat sebagai olahraga.
Silat yang dahulu dituntut dalam perguruan yang hanya boleh diperolehi daripada tunjuk ajar mahaguru silat, kini berubah menjadi bentuk perguruan yang agak lebih terbuka, diajarkan dalam sesi latihan bertahap, yang diadakan di sekolah, balai rakyat ataupun pusat sukan.
Di kampus-kampus institut pengajian tinggi (IHL), kumpulan-kumpulan silat ditubuhkan yang menarik penyertaan kedua-dua siswa dan siswi. Ia memberi tanda bahawa seni ini tidak didominasi lagi oleh kaum lelaki.
Hari ini, silat juga banyak terselit dalam langgam tarian Melayu. Sehinggakan penari tarian Melayu tradisional diperkirakan harus sama tangkas bersilat, setidak-tidaknya mampu membuka bunga silat.
Dalam perguruan silat terdahulu, sering terdapat kaitan antara silat dengan ilmu batin yang harus dituntut oleh si pesilat. Ia diajarkan oleh mahaguru silat, dengan segala macam tuntutan amalan, bacaan mantera, dan perlu pula mempersembahkan “pengeras”.
Dipercayai bahawa pembersihan jiwa akan membenarkan kekuatan dalaman dan luaran.
Kepercayaan seperti ini masih berterusan di beberapa tempat. Pada masa yang sama, perguruan silat yang moden, yang dikategorikan sebagai sukan atau olahraga, semakin luas penerimaannya dalam masyarakat.
Pengurusan baharu dalam menggerakkan kegiatan silat adalah fenomena abad ke-20, dengan tumbuhnya persatuan-persatuan silat, dengan tradisi persilatan masing-masing tumbuh di pelbagai tempat.
Inilah yang membolehkan pemasyarakatan kegiatan silat berlaku dengan lebih pesat dalam masyarakat.
Di Singapura sahaja ada beberapa persatuan silat yang masih aktif bergiat. Dr Mohamed Effendy dari Universiti Nasional Singapura (NUS) telah menyenaraikan beberapa perkumpulan silat di Singapura dengan jurus masing- masing.
Antaranya Silat Seni Gayong PASAK, Persatuan Seni Silat Setia Hati (ESHA), Bandangan Asli, Seligi Tunggal, Amanca Temasek, dan banyak lagi.
Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) yang berpusat di rumah gelanggangnya di Bedok, adalah mercu tanda perkembangan dan kemajuan seni dan olahraga silat di Singapura.
Persilatan Dalam Filem Melayu
Dalam era moden, penonton filem Melayu mendapat banyak pendedahan kepada silat. Malah pelakon lelaki utama dalam filem-filem Melayu harus mampu bersilat.
Banyak filem yang berunsur cerita purba dan jelata menampilkan adegan beradu silat dan bermain keris.
Sampaikan dalam filem Nasib Si Labu Labi (1963), diselitkan Tari Silat, dengan penarinya bergerak ala silat. Biduanita Saloma menyanyikan, antara baitnya:
Bersopan santun berbudi bahasa
Tidaklah hanya pandai bermanja
Berani pula ke medan laga.”
Hari ini silat sebagai seni bela diri semakin mendapat sambutan, termasuk dalam dunia kajian ilmiah.
Latihan bagi menguatkan jasmani dipelajari oleh anak-anak di balai rakyat dan pusat kebudayaan, menjadi tawaran selain taekwando.
Di Malaysia, silat ditawarkan sebagai salah satu kegiatan ko-kurikulum. Di Singapura, pusat pengajian tinggi seperti NUS dan Politeknik Singapura memiliki persatuan silat masing-masing. Pendedahan seperti ini juga membolehkan pengembangan bakat-bakat baharu yang menanti masuk ke dalam silat olahraga.
Silat Olahraga Mendunia
Silat olahraga pula menyumbang kepada pembangunan sukan di negara masing-masing. Contohnya, Sheik Farhan Sheik Alau'ddin mengharumkan nama negara kerana berjaya merangkul pingat emas dalam Sukan SEA dan Kejuaraan Pencak Silat Sedunia.
Juga diajarkan membuka bunga silat yang menjadi salah satu persembahan silat berseni sewaktu pembukaan majlis, termasuk menyambut pengantin berarak.
Hari ini, orang yang pandai bersilat, sekali gus boleh terkalung sebagai orang yang berseni, berolahraga, dan seharusnya mantap pada sisi jasmani dan rohaninya.
Menariknya dalam masyarakat Melayu, dengan taraf ekonominya bertambah baik, semakin ramai anak mudanya tertarik dengan seni silat.
Di Singapura, balai-balai rakyat di merata negara ini mengadakan banyak kelas latihan silat.
Pastinya ia memberi semangat kepada perkumpulan dan pengamal silat.
Silat Gayong Di Layar Perak
Tahun ini 'Gayong' membawakan kisah seorang guru silat yang terkenal yakni Datuk Meor Abdul Rahman (1915-1991). Beliau asal Perak dan pengasas Silat Gayong. Dalam riwayatnya, beliau pernah berhijrah dan bekerja di Singapura sebelum Perang Dunia Kedua.
Di Singapura, beliau pernah bekerja di kem tentera laut British, sampailah menjadi pegawai polis. Yang paling menarik ialah hubungan beliau dengan penduduk Pulau Sudong. Di sinilah silat gayong diajarkan sehingga tradisi persilatan ini masih berkesinambungan dalam kalangan pengamal silat di Singapura.
Pada Sabtu ini (29 November 2025) akan berlangsung ceramah budaya anjuran Yayasan Warisan Melayu Singapura yang akan menampilkan Faisal Ishak sebagai pembicara undangan.
Siri tahunan Cendekiawan Lestari ini diadakan dengan tumpuan menampilkan anak negeri Singapura yang telah menempah nama di persada penyiaran serantau. Tahun lalu, Datuk Khairul Anwar Salleh tampil sebagai penceramah undangan.
Dengan terbitnya filem Gayong, penampilan Faisal Ishak sangat bertepatan, yang pastinya akan berkongsi tentang kerjanya dalam dunia penyiaran selain mengemukakan proses pembikinan filem ini. Ia akan berlangsung di POD, Perpustakaan Negara pada pukul 11.00 pagi.
Budaya silat dalam sejarah telah dan akan terus membawa percambahan dalam kegiatan dan produk kebudayaan. Dengan silat, tumbuh persatuan dan liga pertandingan, menjadi pula silat olahraga, terserap dalam tarian Melayu, sehingga lahir alunan muzik dan busana tersendiri.
Sesungguhnya inilah jenis budaya yang hidup, yang berdenyut memberi semangat, mengilhamkan cinta kepada bangsa dan sejarahnya.
Apabila W S Rendra menguntumkan puisi berjudul “Silat di Dalam Kehidupan,” ia sangat membingkis renungan yang mendalam. Dilantunkannya:
Keluwesan tak ada batasnya.
Tak ada kuda-kuda
Yang bisa digempur,
Karna itu geseran lebih utama.
Keunggulan geseran
Terletak pada keseimbangan.
Rahasia keseimbangan
Adalah kewajaran
Wajar itu kosong.
Membentur bisa diukur.
Menempel sukar dikira.
Mundur selangkah,
maju delapan langkah.
Kosong dan isi bergantian
Menurut keadaan.”
Ayuh bertekadlah kita bersilat dan berbudaya dengan ungkapan adat yang berbisik:
“Pusaka jangan beranjak, bangsa jangan sampai hilang.”
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.