Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Setiap Insan Ada Detiknya

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Setiap Insan Ada Detiknya

Dalam tamadun rumpun Melayu, pemilihan waktu untuk majlis besar dikenali sebagai amalan "memilih ketika" atau "mencari hari baik bulan baik". (Gambar hiasan: Canva)

Diterbitkan : 28 Oct 2026 12:09AM
MALAY WORLD: Everyone has their moment
  • In the past, Malay communities chose auspicious times for weddings, journeys, house-building and business by observing nature, using astronomy and following traditional advice, in the hope of ensuring things went smoothly and bringing blessings.
  • The methods included measuring the sun’s shadow, dividing the day into five periods, using the lunar calendar and constellations; full moons and certain Islamic months were also considered suitable, while Piama calculations helped farmers adapt planting to the weather.
  • After Islam was embraced, heritage practices such as the guidance in Kitab Tajul Muluk were aligned with syariah, and beliefs in unlucky days were largely abandoned; colonial influence also shaped differences in the names of the days of the week in Indonesia compared with Malaysia and Brunei.
  • Today, families commonly choose weekends or school holidays to make arrangements easier, while some Malaysian states retain Friday and Saturday as days off; Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad reminds people to plan and then place their trust in God.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Hujung tahun, bersamaan dengan cuti sekolah yang panjang, mendorong ramai orang Melayu mengadakan pelbagai majlis, termasuk mengerjakan haji kecil atau umrah.

Bagaimana detik atau waktu untuk urusan khusus ditentukan? Mohd Raman Daud menyingkap julat masa dalam budaya rumpun Melayu.

Nak ke mana hujung tahun ini?

Begitulah pertanyaan yang kian sering saya terima mutakhir ini sehingga ada kawan bertanya - bagaimana hendak memilih detik, hari dan bulan?

Dalam tamadun rumpun Melayu, pemilihan waktu untuk majlis besar (seperti perkahwinan, berpergian, mendirikan rumah, atau perniagaan) dikenali sebagai amalan "memilih ketika" atau "mencari hari baik bulan baik".

Lazimnya, amalan ini berteraskan hasil pengamatan mendalam terhadap kosmologi (alam semesta), cuaca, serta memanfaatkan astronomi Islam (ilmu falak).

Ini dilakukan dalam kalangan masyarakat istana, bangsawan, atau terpelajar seperti ulama. Adakah amalan warisan ini masih ada lagi?

KETIKA/TIKA

Masyarakat Melayu Dulu (Malayu Lama) dipercayai membahagikan masa harian menggunakan kedudukan matahari, bayang-bayang, dan pergerakan haiwan, serta dikaitkan dengan Ilmu Firasat Waktu.
Related article image
Suatu ketika dahulu, masyarakat Melayu pernah menggunakan bayang-bayang sebagai salah satu cara untuk menentukan waktu. (Gambar hiasan: Canva)
  • Sistem Tapak Bayang: Untuk waktu siang, kayu dicacakkan dan kepanjangan bayang-bayang dihitung dengan tapak kaki untuk menentukan waktu puncak yang sesuai (“12 tapak bayang” melambangkan waktu petang).
  • Sistem Lima Ketika: Waktu harian dibahagi kepada lima tahap (sering dinamakan mengikut pengaruh Hindu-Buddha yang masih terdapat dalam kalendar Jawa iaitu pahing, pon, wage, kliwon, dan legi) dan kemudian disatukan dengan Islam.

Misalnya, Jumaat (penghulu segala hari bagi umat Islam) dan hari Kliwon (Jawa) dianggap hari penting atau keramat.

Setiap ketika mempunyai sifat seperti "ketika baik" untuk melangkah keluar, atau "ketika buruk" yang perlu dielakkan. Di kawasan serumpun lain seperti dalam masyarakat Jawa yang sehingga kini, sistem kalendar dipaparkan pada pengiraan Weton (gabungan hari dan pasaran Jawa).
 
  • Tanda Tuah dan Musibah: Dalam teks ‘Sejarah Melayu’, pemilihan waktu seperti Ahad malam Isnin dipilih kerana petanda kosmik tertentu (diibaratkan sebagai waktu "geroda dikalahkan oleh ular" – bermaksud pihak kecil/lemah mampu mengalahkan pihak besar, memberi petanda kejayaan besar bagi sesuatu rombongan).

BULAN DAN HARI

Pengiraan bulan dibuat berpandukan kitaran fasa bulan (takwim qamari). Sering keputusan besar ditentukan mengikut tarikh dalam kalendar Hijri (Islam):
 
  • Fasa Bulan Mengambang (13, 14, 15 Hari Bulan): Tarikh-tarikh pertengahan bulan Islam (waktu bulan penuh atau purnama) dianggap sebagai waktu terbaik kerana purnama (bulan mengambang) melambangkan rezeki yang penuh, fikiran yang terang, dan keharmonian, menjadikannya tarikh kegemaran untuk majlis perkahwinan.
Related article image
Fasa Bulan Mengambang dianggap sebagai waktu yang baik untuk berkahwin kerana bulan purnama melambangkan rezeki yang penuh, fikiran yang terang dan keharmonian. (Gambar hiasan: Canva)
  • Bulan-Bulan Islam Pilihan: Menurut Islam, setiap bulan itu baik. Amalan seperti upacara mandi tolak bala atau musibah pada bulan Safar (bulan kedua takwim Islam) telah lama dihapuskan.
     

Namun ada tanggapan bahawa bulan tertentu dianggap ‘lebih baik” seperti Rabiulawal (sempena kelahiran Nabi Muhammad SAW) sehingga Jamadilakhir untuk diadakan acara memperingati keputeraan (kelahiran) Baginda.

Related article image
Menurut Islam, setiap bulan itu baik. Namun ada tanggapan bahawa bulan tertentu dianggap ‘lebih baik”. (Gambar: Bernama)
Syawal (meraikan kemenangan puasa), dan Zulhijah sangat popular untuk mengadakan kenduri-kendara.

• Sistem Piama (Pertanian/Cuaca): Khusus dalam penanaman padi (seperti Kalendar Kedah Piama), bulan dikira berdasarkan pergerakan buruj atau bintang (seperti Kaus, Jadyi, Jauza) bagi memastikan benih ditanam pada cuaca terbaik dan mengelakkan musim tengkujuh (hujan lebat).
Related article image
Kalendar Kedah Piama. (Gambar: Facebook/Uda Beka)
JALINAN BUDAYA-SYARIAH

Antara buku atau kitab yang sering dirujuk orang dulu-dulu ialah ‘Kitab Tajul Muluk’ dalam tulisan Jawi susunan alim besar dari Aceh, Shaykh Isma'il al-'Asyi, dan dicetak pertama kali di Makkah pada tahun 1893. Selain rujukan tarikh, ia berisi petua geomansi (seperti aturan memilih tapak rumah) sehingga ilmu dan mencari keserasian (jodoh).
Related article image
‘Kitab Tajul Muluk’. (Gambar: Facebook/Sidratul Muntaha Buku Kitab)
Sejak rumpun Melayu menerima Islam, amalan warisan ini telah disaring bersesuaian dengan syariat Islam.

Sebahagian besar kepercayaan tentang "hari buruk/sial" telah ditinggalkan, namun tradisi memilih hari yang memudahkan urusan keluarga (seperti cuti umum) serta memilih bulan-bulan mulia dalam Islam tetap diteruskan demi mengharapkan keberkahan dan kelancaran majlis.

Dalam zaman peralihan dari amalan lama dan Islam, kononnya (belum terbukti dengan kajian ilmiah) bahawa hari-hari dalam resam kepercayaan Melayu pernah disebut seperti berikut:
 
  • Sepungguk (ditukar Islam menjadi Ahad) – Diibaratkan seperti burung pungguk merindukan bulan (waktu menanti rehat);
  • Cemuran / Cemuras (Isnin);
  • Kejora (Selasa, dikaitkan dengan cahaya bintang Kejora atau Zuhrah yang tampak pada waktu subuh);
  • Payang (Rabu) – Asal usul mengapa beberapa pasar tradisi yang dibuka hari Rabu dinamakan 'Pasar Payang';
  • Matsilau / Mahsilau (Khamis);
  • Rimpun (Jumaat) – Membawa maksud berhimpun atau berkumpul, dan
  • Sejana (Sabtu).

Juga dikatakan hari-hari dalam seminggu disebut mudah sebagai Hari Satu, Hari Dua, Hari Tiga, Hari Empat (Ampat), Hari Lima, Hari Enam (atau Anam), sehingga Hari Tujuh.

PENJAJAHAN BARAT

Apabila kuasa Barat menjajah Nusantara sejak awal abad ke-16 Masihi, berlaku sedikit perbezaan evolusi antara rantau Melayu di Malaysia/Brunei dengan Indonesia.
 
  • Pengaruh Portugis & Kristian: Di Indonesia, hari Ahad digantikan secara meluas dengan perkataan Minggu (berasal daripada bahasa Portugis, Domingo, yang bermaksud Hari Tuhan).

Malaysia dan Brunei pula mengekalkan perkataan Ahad untuk urusan rasmi, walaupun istilah "hujung minggu" atau "seminggu" tetap digunakan.
 
  • Budaya Kerja Sekular: Pada zaman pascamerdeka, susunan hari dalam budaya Melayu disesuaikan dengan sistem bekerja sejagat atau antarabangsa (Isnin hingga Jumaat).

Walau bagaimanapun, beberapa negeri di Malaysia (seperti Kedah, Kelantan, dan Terengganu) masih mengekalkan hari Jumaat dan Sabtu sebagai cuti hujung minggu. Ini adalah satu bentuk penghormatan kepada tradisi Islam yang menetapkan Jumaat merupakan penghulu segala hari.

Sikap pragmatik orang Melayu, terutama yang hidup di bandar, telah mengubah cara pilihan hari dan bulan. Lazimnya, hari majlis perkahwinan berlaku pada Sabtu dan Ahad, terutama ketika cuti sekolah atau cuti umum demi memudahkan urusan ambil cuti.

Saya teringat akan pesan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff 1924 - 2016) tentang memilih detik iaitu waktu, hari dan bulan atau tahun.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ DR MAS atau Cikgu Ariff, 1924 - 2016). (Gambar: Mediacorp)
“Orang Melayu dulu pakai khidmat pawang rasik yang kononnya pakar dalam memilih detik untuk acara tertentu sehinggalah hendak berpergian. Namun dengan perubahan zaman serta bertambahnya ilmu dan kesedaran Islam, kita cuba merancang tetapi selepas itu, serahkan keyakinan bulat atau tawakal kepada Tuhan.”

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita