ALAM MELAYU: Sastera Gedung Idea, Membaca Gerbang Dunia
Para relawan menemani kanak-kanak membaca. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)
- Dr Azhar Ibrahim Alwee menekankan peranan membaca dan sastera dalam membina budaya dan tamadun masyarakat di Singapura serta rantau Melayu.
- Artikel ini membincangkan manfaat membaca, termasuk memperluas ilmu, membina imaginasi, dan memperkukuh nilai kemanusiaan.
- Cabaran utama budaya membaca ialah pengaruh digital, kurang ikon membaca, dan sikap anti-intelektualisme dalam masyarakat.
- Penulis mencadangkan pengukuhan ekosistem membaca melalui perpustakaan, program sastera, dan tokoh teladan untuk memupuk minat membaca.
Buku menjadi mercu pencapaian budaya literasi yang membolehkan ilmu pengetahuan disimpan, dibaca, ditafsir, diedar dan dihargai.
Buku dan membaca sekali gus menjadi budaya kemanusiaan yang paling unggul dalam sejarah.
Membaca memperkenalkan kita kepada pelbagai perkataan. Membaca buku membawa kita mengenali dunia. Membaca sastera menyampaikan kita ke imaginasi manusia yang tiada batas.
Seorang pemikir semasa zaman kegemilangan Islam, Al-Jahiz (776 - 868 M) mengatakan âMembaca itu adalah mengisi satu lagi pemikiran orang lain ke dalam dirimu sendiriâ.
âSebuah buku itu akan senyap apabila dikau memerlukan kesenyapan, dan ia melafaz tatkala dikau mahu ia berbicara. Tidak pula ia mengganggu saat dikau sibuk, tetapi di saat dikau kesepian, ia menjadi temanmu yang baik. Ialah taulan yang tidak akan membohongimu mahupun memujimu, dan ialah teman yang tidak pernah bosan kepadamu.â
Itulah buku yang mendampingi kehidupan manusia sehingga meraih kemuliaan dan kemanfaatan.
Dunia sastera dan ilmu pastinya memerlukan pembaca yang tekun dan berminat. Tanpa bacaan, tidak ada ilmu yang dapat digarap. Tanpa bacaan tidak ada sastera yang dapat dinikmati.
Vaclav Havel (1936 - 2011) pernah menyatakan bahawa pencapaian ilmu bagi sesuatu bangsa adalah âpencapaian sasterawannya, tradisi perbukuannya dan gedung ilmunya.â
Dalam sastera terukir lembaran sejarah dan memori serta harapan ke depan. Juga dalam sastera terlantun ungkapan dan perlambangan yang dapat menggetarkan sisi estetis kita.
Dalam sastera, kita dibawa ke imaginasi tentang rencaman kehidupan, lokalitas sesuatu budaya dan zaman, selain dapat ditelusuri nilai-nilai yang dominan, mahupun yang bercanggah.
Namun karya sastera tidak bermakna apa-apa sekiranya ia tidak dibaca.
Membaca Beragam, Fikiran Rencam
Budaya membaca yang membangun pasti terangkul bahan bacaan daripada karya sastera, selain bidang-bidang lain.
Sering kali daripada bakat terbaik dalam sesebuah masyarakat, terlahir para penulis atau sasterawan.
Keunggulan sesebuah masyarakat dengan budayanya malah sering dikaitkan atau diukur dengan para sasterawannnya yang hebat.
Pendek kata, tanpa sastera yang hebat, budaya kita tidak memiliki seri dan semangatnya.
Ikhtiar membaca sayugia menyampaikan kita kepada kelebihan ini:
âMembaca tekun, sampai terpegun
Membaca cermat, peka kalimat
Membaca banyak, bahasa melunak
Membaca dalam, menguat faham
Membaca ghairah, bersuluh faedah
Membaca sering, ilmu mengiring
Membaca padu, ilham bermutu
Membaca bersungguh, hujah mengutuh
Membaca tepat, pengetahuan merapat
Membaca terasuh, keluarga kukuh
Membaca membudaya, bangsa berjayaâ
Menggalakkan Pembacaan Sastera
Inilah tantangan paling hebat. Membaca karya sastera memerlukan stamina dan konsentrasi yang tinggi, dan memiliki selera dan kemampuan membaca simbol, metafora dan pesanan.
Juga diperlukan wadah pengenalan kepada sastera dan struktur dukungan agar minat membaca karya sastera terus berkelanjutan.
Sebagai contoh, program membaca sastera di perpustakaan awam, sorotan karya sastera dalam akhbar, lantunan puisi dari siaran radio, dan kedai buku yang menjual karya sastera.
Paling penting, dalam konteks kita, dukungan perpustakaan untuk mempergiatkan budaya membaca, khasnya karya sastera. Sesi pembacaan dramatik (dramatic reading) wajar diperluaskan, sehingga tampil ikon-ikon dalam masyarakat yang boleh menjadi teladan.
Ini bermakna ranah sastera memerlukan ekologi yang padu. Yang paling penting adalah penulis yang berbakat besar, sebagai sosok intelektual dan seniman yang peka, peduli dan penukang karya yang hidup, halus dan bagus.
Apakah yang boleh ditawarkan oleh sastera?
- Sastera menawarkan perspektif hidup
- Sastera menjelmakan realisme yang diceritakan
- Sastera membingkiskan ilmu, sejarah, pengalaman
- Sastera menguji cara kita menanggapi nilai kerana kita harus menilaikan dan mempertimbangkan isu yang diangkat dalam karya tersebut
- Sastera bisa sahaja membekalkan harapan atau visi ke depan, di saat kita terperuk oleh nihilisme (fahaman yang menolak semua nilai dan kepercayaan sedia ada) dan alienasi
- Sastera yang ditulis dalam bentuk buku membawa kita kepada budaya membaca dan dari situ lahir peradaban manusia
Malah renaisans (kelahiran semula)sastera pada sesuatu budaya, diharap akan dapat menghakis kepercayaan karut, kejahatan, dan kejahilan.
Membaca Masuk Ke Gerbang Dunia
Bayangkan orang yang tidak membaca. Pasti ilmu pengetahuannya menjadi terhad, sukar ia mendapat petunjuk dan panduan, tidak peka kepada keperluan semasa dan masa hadapan, dan ketinggalanl dalam banyak perkara.
Paling ketara, bahasa ungkapan dan tulisannya akan kaku, serta daya inteleknya tidak bisa dicabar atau diasah.
Apakah yang boleh diraih melalui membaca?
- Membaca Mengenali Dunia
- Membaca Melafaz Kata
- Membaca Menyeri Bahasa
- Membaca Menyuntik Rasa
- Membaca Mengilham Daya
- Membaca Fikiran Bergaya
- Membaca Membangun Bangsa
- Membaca Menelusuri Baharu dan Lama (Sejarah)
Sesungguhnya, membaca boleh membawa kita membumi dengan realiti, tetapi juga boleh membawa kita ke imaginasi dan angan-angan. Imaginasi yang baik membawa kepada visi jitu.
Persoalan yang lebih genting daripada mengapa kita mesti membaca ialah:
(a) Apakah yang dibaca dan
(b) Bagaimanakah kita membacanya?
Membaca bahan yang tidak bermutu menjadikan minda kita kaku, rancu dan dungu.
Membaca bahan yang bernas, pemikiran kita akan bertambah luas dan lugas, dan wawasan tergagas.
Budaya membaca sudah ada pada kita, cuma ia melalui rentak pasang surut.
Sistem persekolahan kita yang terbangun, pasti diraih daripada pembacaan dan pelatihan yang bagus.
Kita membaca untuk cemerlang dalam pendidikan sekolah. Tetapi kita tidak membaca di luar keperluan sekolah.
Kita kini membenarkan mesin membacakan untuk kita. Dengan kecerdasan buatan (AI), kita semakin kurang membaca buku. Kita membaca dari skrin dengan pelbagai macam gangguan.
Membaca dalam tradisi agama sangat diutamakan. Keimanan bukan setakat keyakinan tapi harus ditempuh dengan jalan ilmu, dan jalan ini memerlukan akal, dan wadah membacanya mestilah dari Kitab Suci, kumpulan hadis, kitab tafsir, risalah hikmah, riwayat teladan, hukum-hakam dan lain-lain.
Tantangan Membaca
Sedang kita membicarakan kelebihan dan keperluan membaca, wajar kita melihat rintangan dan halangan yang menggagalkan budaya membaca daripada membangun subur dalam kalangan kita.
Pertama, tarikan dunia digital dan hiburan sehingga kita banyak melihat skrin layar (baik TV atau telefon bimbit), dengan upaya membaca semakin mengecil dan pendek waktu membaca. Ini melumpuhkan stamina kita membaca.
Sikap anti-ilmu ini membawa kesan parah kerana bukan sahaja buku tidak dibaca, tetapi penjanaan dan penghasilan ilmu juga akan terencat.
Ketiga, tiada tokoh budaya dan masyarakat yang boleh menjadi ikon membaca. Ikon sebegini boleh menjadi pemimpin dan teladan agar budaya membaca menjadi menarik sebagai gaya hidup, khasnya dalam kalangan anak muda.
Ini juga sangat rapat dengan ekologi buku. Sekiranya terdapat toko buku yang menarik, pemasaran yang baik, serta pesta buku dan bacaan yang berkala, serta tampilnya pula kumpulan membaca di merata ruang awam, ini semua akan membangunkan suasana cinta membaca.
Betapa lagi sekiranya ada pencipta seni, yang mampu mengalihkan dari wadah buku ke layar perak ataupun dipentaskan dan difilemkan.
Membaca Membangunkan Peradaban & Budaya
Dalam gerakan peringkat nasional, antara ikhtiar awal yang dimulakan ialah kumpulan membaca yang kemudian disebut sebagai Taman Siswa (1922) di Jawa dan Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura (1959).
Saya mengakhiri tulisan saya dengan ungkapan madah yang saya susun begini:
Siapa membaca menjadi raja
Pada ilmu pengetahuan ia berpunya
Pada pengalaman jadi miliknya
Terang hati jadi takhtanya
Siapa membaca menjadi pujangga
Pada renungan ia bertapa
Pada hikmah ia mewarta
Ciptaan alam ia merasa
Siapa membaca menjadi guru
Pada dirinya ilmu berpadu
Pada masyarakat tekad menyatu
Alam kehidupan dilihatnya seru
Siapa membaca menjadi hukama
Pada keadilan ditegak sama
Pada semua dipandang merata
Kehidupan dinilai baik buruknya
Siapa membaca menjadi saudagar
Pada usaha ia membugar
Pada teroka ia menggemar
Mana yang untung cepat dilamar
Siapa membaca menjadi siswa
Pada ilmu itulah dunia
Pada kehidupan segala manusia
Itulah dicari sebab dan makna
Siapa membaca menjadi insan
Pada tulisan dicari pesan
Pada pengalaman ditarik kiasan
Melafaz budi mempelita kemanusiaan.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.