ALAM MELAYU: Ranjau Pelipur Lara Nusa
Bidang lawak Melayu di Singapura dikatakan kian kelam. Namun menekuni memoir Husin Saaban, mungkin ada sinar di balik mendung.
Encik Husin Saaban membuat persembahan bersama rakan-rakannya Encik Yusof Bai, Encik Hamzah Adon dan Encik Alias Kadir. (Gambar: Husin Saaban)
Membelek memoir Husin Saaban, ‘Moga Ceria’ (Jamiyah, 2023) terpapar betapa sukar dan mencabarnya ranjau yang perlu dilalui oleh pelawak nusa untuk sentiasa dihargai peminat.
Allahyarham Yusnor lebih dikenali sebagai penulis seni kata lagu, tetapi pernah aktif sebagai pelawak dan dramatis dalam dekad akhir 1950-an dan 1960-an termasuk di Radio Singapura. Sayangnya, beliau tidak sempat menyiapkan memoirnya. Karya terbesarnya, ‘Muzik Melayu Sejak 1940-an’ turut saya bantu selaku penyunting.
PUSAT HIBURAN
Menurut Allahyarham Yusnor, Singapura merupakan kota kosmopolitan yang terawal mempunyai ‘industri hiburan’ di Alam Melayu, selain menjadi hab kecendekiaan dan percetakan Melayu. Peranan penting nusa ini memancar antara 1850 hingga 1960. Banyak bakat, termasuk penggubah muzik Zubir Said, dari rantau ini yang mencari rezeki di sini.
Industri bangsawan yang melibatkan pelbagai kaum muncul sejak 1880-an. Ia kemudian digantikan dengan perfileman (mulai filem ‘Laila Majnun’ pada 1932). Para pelakon bangsawan, termasuk pelawak kelahiran Singapura seperti Aman Belon (nama sebenar Abdul Rahman bin Salim, 1892-1965) ‘beralih’ ke layar perak. Lazimnya dalam bangsawan perlu ada selingan lawak.
“Hakikatnya, pelawak penting walaupun peranannya dianggap ‘selingan’. Tanpa lawak, dunia lebih banyak menangis,” tutur Allahyarham Yusnor, berfalsafah. Namun bukan mudah membuat orang tertawa, apatah lagi berdekah-dekah. Sama ada dibuktikan secara saintifik atau tidak, dikatakan ‘tawa sebagai ubat paling mujarab’ untuk sihat atau dapat menakat.
Singapura boleh dikatakan ‘beruntung’ kerana hampir setiap dekad, ada sahaja bakat lawak yang luar biasa. Misalnya, dalam industri perfileman, nama Wahid Satay (nama sebenar Abdul Wahid bin Ahmad, 1930-2023) dijulang sebagai pelawak serba boleh menerusi filem-filem keluaran Cathay Keris pada 1950-an sehingga awal 1970-an.
Semasa Zaman Emas Filem Melayu di Singapura, pelawak S Shamsudin (nama sebenar Shamsudin bin Dali, 1929-2013) menyerlah bersama Aziz Sattar (anak Bawean, 1925-2014) dalam filem siri ‘Bujang Lapok’ arahan P Ramlee (1929-1973, turut berlakon). Dalam Facebook The Straits Times, wafatnya S Shamsuddin turut menarik ucap takziah para peminat bukan Melayu.
Seorang lagi pelawak anak watan ialah Alias Congo (nama sebenar Alias bin Said, 1932-1972) yang pernah diam di Kampung Pacitan, Kembangan. Antara babak terkenal lakonannya sebagai Apek bawa bendera dalam filem ‘Madu Tiga’ (arahan dan dibintangi P Ramlee). Setelah rumahnya dijilat api yang turut membakar keretanya, bantuan datang mencurah-curah. Begitu sayang orang kampung padanya.
PASCA ZAMAN FILEM
Menerusi memoirnya yang menderetkan kisah kelahirannya sehingga profesinya sebagai ‘pegawai perhubungan’ di Jamiyah Singapura, Husin Saaban (1953 - ) berpendapat bakat pelawak boleh tumbuh dan terus diasah selagi ada peluang dan ruang.
Husin terus menyerlah menerusi pendedahan yang lebih gah seperti peraduan Raja Lawak anjuran Astro di negara jiran Malaysia.
BANGUN JATUH
Boleh dikatakan ‘detik emas’, Husin dan rakan-rakan lawaknya adalah ketika kumpulan ‘Unsangkarable’ dan beberapa yang lain berlumba-lumba menghiburkan peminat tanah air pada akhir 1990-an sehingga awal dekad 2000-an. Antara jaguh lawak ialah Ishak Ahmat, yang sanggup melepaskan kerja teknisyen untuk menjadi pelawak penuh, tetapi meninggal dunia pada usia 50 tahun, ketika projek telefilem di Jakarta pada 2006.
“... Sekarang dah berubah. Selain faktor umur dan kesihatan pelawak yang semakin berusia, kita tak boleh harapkan peluang beraksi seperti dulu. Dah tak boleh cari makan dengan berlawak. Orang dah tak beli DVD. Untuk pementasan, siapa nak buat? Lebih-lebih dalam keadaan COVID-19. Kita perlu tukar strategi kalau nak terus dapatkan tempat dalam persada komedi.”
CARI MAKAN
Untuk cari makan di kota termahal di dunia, pelawak nusa tidak dapat bergantung kepada imbalan berlakon sahaja. Memang tidak mencukupi.
Mahu tidak mahu perlu ada ‘pelan induk’ bagi profesi pelakon atau penghibur tanah air. Bukankah kita ‘Kota Kebangkitan Seni’ di tropika seperti dalam Pelan Induk Nasional? Selain menyediakan ‘ruang’ secara zahir atau menerusi wadah siber demi menyerlahkan bakat dan sebagainya, mereka perlu ‘digajikan’ sebagaimana Wahid Satay dan S Shamsudin menerusi industri seni (filem atau televisyen/radio setempat).
Bahkan perlu bagi mereka mempunyai insurans tunjangan (annuity) untuk hari tua mereka atau apabila sakit terlantar. Memang hal-hal ini merupakan tanggungjawab peribadi. Sayangnya, pelawak sebagai insan seni sering ‘alpa’ dalam urusan begini.
Memoir Husin Saaban diakhiri dengan ‘akhir ria’ (happy ending) iaitu kisah majlis kahwin anaknya, Raihan. Hakikatnya, kisah pelawak tidak selalunya gembira walaupun mereka bertungkus lumus membuat kita tertawa.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.