Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Pustaka, Buku dan Pesta Ilmu

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Pustaka, Buku dan Pesta Ilmu

Budaya ilmu terkait langsung dengan budaya penulisan, perbukuan dan perpustakaan. (Gambar: Nur-El-Hudaa Jaffar)

SINGAPURA:

Dari Bukulah kita mengenal dunia
Dari Bukulah kita melafaz kata
Dari Bukulah berhadir sejarah bersama
Dari Bukulah kita bergerak dan bersuara


Bayangkan alam tanpa buku
Akan ngeri betapa sayu
Kerana manusia tak tahu menahu
Gerangan apa di sekeliling berlaku


Buku adalah wadah tamadun
Sudah wujud berkurun-kurun
Ditulis disalin turun temurun
Dengan ilmu kita berbudi anggun
Setiap peradaban dunia bangga akan budaya ilmunya. Budaya ilmu terkait langsung dengan budaya penulisan, perbukuan dan perpustakaan.

Kota-kota besar dunia tersergam dengan perpustakaan. Kota Baghdad yang pernah menjadi pusat imperium Islam dari abad ke 8 sehingga 10 Masehi, juga adalah pusat ilmu yang menempatkan perpustakaan yang diperkirakan sebagai yang terbesar di dunia pada ketika itu.

Penghasilan ilmu pastinya memerlukan perpustakaan yang lengkap. Tanpa perpustakaan yang gemilang, penghasilan ilmu tidak akan cemerlang.

Perpustakaan tidak akan dapat dibina selagi budaya ilmu sesuatu masyarakat atau tempat itu tidak terbangun atau lembab.

Pola pemikiran yang saintifik dan rasional akan giat mengumpul, menyusun dan mewujudkan sistem ilmu dan maklumat.

Inilah antara asas pembinaan ilmu, sebelum ia masuk ke tingkat analisis, transformasi dan aplikasi.

Perpustakaan adalah gedung ilmu, baik sebagai simpanan buku-buku ilmu pengetahuan, maklumat, rujukan serta arkib.
Related article image
Perpustakaan Awam Ang Mo Kio pada 2 Julai 2025. (Gambar: CNA/Ang Hwee Min)
Hari ini perpustakaan semakin menggalas sebagai pemain utama dalam menggerakkan wacana awam dan kegiatan kemasyarakatan. Saban minggu ada forum karyawan, program membaca anak-anak untuk ibu sampailah ke majlis ilmu dengan diundang pembicara daripada pelbagai bidang dari semasa ke semasa.

Kegiatan sastera pastinya menjadi salah satu keutamaan, sehingga para penulis sering mendapati karya mereka dibicarakan, puisi mereka dibedah dan dilantun, ataupun mereka sendiri diundang dalam forum dan ceramah.

Di Singapura kita beruntung kerana wadah bagi menggalakkan minat membaca direncana dan ditampung dengan sangat baik.

Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) memainkan peranan sangat proaktif dalam menggalakkan budaya membaca.

Belek sahaja program yang diadakan oleh Perkhidmatan Perpustakaan Bahasa Melayu. Hampir setiap minggu program bagi menggalakkan minat membaca untuk semua peringkat usia dijalankan.

Malah unit ini juga menjalankan program “The Malay World Series,” yang bertujuan untuk memperkenalkan wacana budaya, sastera dan seni Nusantara ke rakyat tempatan yang berbahasa Inggeris.

Termaklum unit ini juga yang menggerakkan projek pendokumenan tokoh-tokoh Melayu Singapura. Projek ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura ( NUS).

Berderet lagi inisiatif NLB untuk menggalakkan minat membaca, kajian dan pemanfaatan optimum sumber-sumber perpustakaaan sedia ada.

Antara yang menarik ialah Lee Kong Chian Research Fellowship (Biasiswa Penyelidikan Lee Kong Chian) yang menawarkan biasiswa penyelidikan bagi mereka yang mengkaji tentang topik-topik yang berkaitan dengan Singapura, sekali gus memanfaatkan sumber-sumber yang tersimpan di NLB.

Inilah sisi produksi ilmu pengetahuan yang kian aktif digerakkan oleh perpustakaan selain dunia akademi, dan pusat penyelidikan.
Related article image
Pesta Buku Melayu Singapura 2023 di Wisma Geylang Serai. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)
Pesta & Pameran Buku

Setiap tahun kita ada pameran buku yang dianjurkan demi memberi dukungan kepada penerbit tempatan selain memberi peluang kepada penerbitan besar dunia menjadikan Singapura sebagai sebuah hab buku antarabangsa untuk rantau ini.

Tahun lalu, Pesta Buku Melayu Singapura diadakan di Wisma Geylang Serai (WGS). Penganjurannya penting agar masyarakat Melayu terbiasa dengan budaya pemerolehan buku, selain berpeluang mendekati para penulis dengan lebih dekat.

Yang penting ia memberi kesempatan kepada para penerbit tempatan seperti Pustaka Nasional dan Unggun Creative untuk memperkenalkan penerbitan mutakhir mereka, selain koleksi buku yang sedia ada.
Related article image
Pesta buku menjadi peluang untuk penulis dan penerbit tempatan berkongsi karya baharu. (Gambar: Mediacorp)
Related article image
Tujuh naskah buku kanak-kanak dan remaja hasil karya penulis Singapura dilancarkan di The Pod, Bangunan Perpustakaan Negara (NLB) pada 19 Julai 2025. (Gambar: Lembaga Perpustakaan Negara)
Di Johor Bahru, Bazar Buku Antarabangsa Johor digerakkan oleh Perpustakaan Johor. Tahun ini ia berlangsung dari 2 hingga 3 Ogos di Paradigm Mall, Johor Bahru.

Dewasa ini pesta buku tahunan di pelbagai kota besar dunia menampilkan keistimewaan tersendiri. Pesta buku terbesar di dunia, seperti di Frankfurt, Abu Dhabi, London dan New Delhi, membawa penulis dan penerbit dari pelbagai pelosok dunia.

Kini pesta buku benar-benar menjadi pesta budaya dan kesenian kerana melibatkan pelbagai jurusan budaya, seni dan sastera selain industri penerbitan.

Sememangnya, pameran buku menjadi salah satu kalender budaya yang dinanti-nantikan setiap tahun.

Di Malaysia, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dinantikan setiap tahun kerana potongan harga yang lumayan ataupun baucar buku yang diberikan kepada pelajar.
Related article image
Suasana di Pesta Buku Melayu Singapura 2023. (Gambar: Mediacorp)
Pesta Buku Beri Petanda

Kecergasan dan sambutan terhadap pesta buku memberi beberapa petanda.

Pertama, ia menghimpunkan penulis, penerbit dan pembaca dalam suatu pertemuan. Besar kecil pesta buku akan memperlihatkan jaringan kebudayaan yang wujud.

Kedua, dengan diadakan secara tahunan, penulis dan penerbit bekerja keras untuk menghasilkan karya baharu. Penerbit yang berdaya maju memastikan karya-karya baharu diterbitkan.

Malah keberlangsungan hayat syarikat penerbitan bergantung kepada berapa banyak buku baharu yang ditawarkan setiap musim atau tahun.

Ketiga, tampilnya syarikat penerbitan yang buku terbitannya dibaca ramai, ataupun mempamerkan penerbitan atau koleksi langka yang dicari-cari. Industri buku yang kuat boleh memberi isyarat betapa penghasilan intelektual dan budaya cergas atau sebaliknya,

Keempat, budaya membaca buku yang sudah terbangun sehingga pesta buku menjadi tempat di mana buku didapatkan, buku baharu diperkenalkan, ataupun bersua dengan para penulis.

Di saat beginilah para kolektor termasuk perpustakaan membuat pemerolehan buku, khasnya daripada penerbit yang jangkauan pengedarannya tidak meluas.

Kelima, dengan pameran buku dapat terjalin kontrak hak penerbitan, atau terjemahan karya. Di sinilah penerbit besar dan kecil memeterai kontrak komersial.
Related article image
Para relawan menemani kanak-kanak membaca. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)
Keenam, bagi mereka yang berminat menjejaki trend membaca dalam masyarakat, pesta buku adalah salah satu cara yang membenarkan kita menjejaki trend tersebut.

Buku-buku yang terpamer dan terjual laris boleh menandakan kecenderungan idea yang sedang berkembang atau bertahan dalam masyarakat.

Perlu ditegaskan bahawa buku yang popular tidak semestinya tinggi mutu dari segi penilaian moral dan intelektual.

Lain perkataan, daripada trend membaca dapat kita kesani jenis buku apa yang dominan sehingga dapat kita tebak kecenderungan idea atau ideologi tertentu.

Contohnya, dengan gemencarnya karya sastera popular dapat kita andaikan betapa paradigma sastera yang berteraskan kemasyarakatan dan kemanusiaan semakin meleset dalam pemerhatian pembaca.

Juga dengan kuat dengungan politik kanan yang semakin populis, kita saksikan lebih banyak karya yang bersifat eksklusif, malah terang-terangan bersifat cauvinis pada inti dan gayanya.

Karya-karya yang popular naik daun bukan sahaja kerana permintaannya tetapi juga kerana penawarannya atau pembekalnya.

Penghasilan buku tergantung bukan sahaja kepada struktur dan sumber yang ada. Sama pentingnya adalah iklim intelektual yang membolehkan produksi ilmu dan kebudayaan berlangsung.

Ini pula berkait rapat dengan tingkat kebebasan dalam berkarya atau berkreativiti. Sering kali dalam suasana yang tidak membendung hak bersuara, penghasilan ilmu akan gemencar dan lancar.

Sebaliknya apabila ada sekatan pemikiran atau hegemoni ideologi tertentu, ia akan membantutkan produksi ilmu.

Raikan Pesta Buku, Raikan Ilmu

Pesta atau pameran buku wajar ditanggapi sebagai temasya ilmu, betapa sisi komersialnya tidak boleh dinafikan.

Pendek kata, pesta buku selain institusi perpustakaan boleh, dan telah menjadi penggerak untuk memperkenalkan buku-buku dan para penulis.

Pembaca harus diperkenalkan dari semasa ke semasa dengan karya baharu atau penulis baharu. Karya baharu seyogia mencetuskan ilham, kesedaran dan semangat baharu.

Karya lama yang mencapai taraf “klasik” juga harus mendapat perhatian dalam pesta sebegini. Ini dapat menjamin penerusan tradisi ilmu.

Itulah kuasa buku dan ilmu kerana ia memberdayakan cita dan harapan kepada perorangan dan kelompok.

Apabila budaya membaca semakin teguh, pemerolehan buku juga semakin kerap sehingga menjadi suatu gaya hidup.

Di sinilah pesta atau pameran buku akan mendapat sambutan.

Dalam masyarakat yang tahap pembacaannya rendah, pemintaan buku pastilah rendah. Peminjaman buku di perpustakaan turut sama rendah.

Di mana dunia hiburan mendominasi, maka kecenderungan bacaan popular juga kuat rentaknya.

Inilah antara cabaran dalam banyak masyarakat hari ini.

Mungkin sahaja kita mempunyai tingkat bacaan yang memuaskan, namun ini belum tentu menjurus kepada literasi kebudayaan dan kemasyarakatan yang boleh kita banggakan.

Namun ini bukan takdir mutlak. Perancangan merubahnya ke tahap yang lebih baik tidaklah mustahil.

Yang harus dipastikan ialah ikhtiar galakan agar budaya membaca dapat terus digerakkan untuk semua peringkat usia.

Sekolah sahaja tidak mencukupi. Media massa juga harus memainkan peranan, selain kepimpinan memberi teladan dan menyusun kebijakan yang praktikal.

Justeru itu, program galakan membaca harus berserta dengan memastikan bahan bacaan yang kreatif dan kritis sama terganding.

Bukan sahaja bahan bacaan yang rencam wajar digalakkan tetapi juga mutu pemikiran yang ditawarkan haruslah tinggi, berisi dan berwawasan.

Inilah semua yang harus kita pertimbangkan di saat banyak penulisan kian tersembab menjadi karya asal cerita, beralun bahasa tetapi kontang makna sosialnya, atau berapi dengan dabikan narsistiknya, lantas mudah melecehkan yang lain kerana bukan jenisnya.

Menggerak Budaya Ilmu

Sekadar minat untuk membaca tidak mencukupi.

Kondisi ekonomi yang baik membolehkan pembelian buku, serta lebih ramai penulis yang boleh menumpukan kerjaya sebagai penulis profesional.

Ini pastinya meningkatkan mutu karya. Semua ini saling bergantung antara satu sama lain.

Ekologi membaca, dan menulis karya memerlukan rangkaian dukungan, institusi, gerakan dan dasar pemerintah. Sumber dan kepakaran yang digembleng akan menjana penghasilan yang memuaskan.
Related article image
Buku-buku perpustakaan yang disusun di atas rak. (Gambar fail: NLB)
Cuba kita jejaki serangkaian rentetan ini. Perpustakaan menggalakkan minat membaca. Lantas ia memerlukan buku-buku bagus dalam koleksinya agar orang awam dapat memanfaatkannya.

Buku-buku pula didapatkan daripada syarikat-syarikat penerbitan. Buku-buku ini ditulis oleh bermacam penulis.

Mereka pula tampil daripada pelbagai punca dan saluran. Ada yang mendapat geran menulis. Ada pula lahir dari bakat dan terpanggil untuk menulis, mengajar dan berbagi.

Ada tercantum sebuah syair terkarang pada 1931, berjudul “Ilmu Pengetahuan.” Yang terbit dalam majalah Jasa di Johor Bahru. Walaupun tidak tertera gerangan penulisnya, namun ia berguna sebagai peringatan kepada anak bangsa:

“Menjadi cantik atau jelita
Bukanlah berhias intan permata
Hanya pengetahuan di dada kita
Budi bahasa pula berserta

Yatim bukanlah kematian bapa
Melainkan jika dadanya hampa
Menuntut ilmu lalai dan alpa
Kitab bacaan dibuat lupa


Ilmu pengetahuan di dada kita
Ibarat shamsu di langit rata
Menerangi seluruh alam semesta
Lenyap semua gelap-gelita

Jika serata pendekatannya budi
Ibarat sunting bertatah pudi
Semua orang menaruh sudi
Kasih sayangnya kukuh bersendi.”


Pendek kata, suasana yang mesra ilmu, budaya dan seni dalam sesebuah masyarakat menjadi faktor besar yang menggalakkan penulis berkarya, dan orang awam pun terpanggil membaca.

Ia kemudian disambut oleh penerbitan (yang menyediakan karya), perpustakaan (yang menggalakkan budaya membaca) agensi seni budaya dan sastera (yang mendanai kegiatan) dan institusi pendidikan yang melahirkan generasi yang celik membaca dan mempunyai selera intelektual untuk membaca dan menulis.

Kesimpulannya, tidak akan maju dunia penulisan, penerbitan dan perpustakaan sekiranya budaya ilmu lesu dan mundur. Ia diberatkan lagi dengan budaya membaca yang rendah.

Raikanlah pesta buku, makmurkanlah perpustakaan, raikanlah penulis kita, sokonglah penerbitan yang berfikiran maju, dan serukanlah kepada yang berwenang agar budaya membaca, menulis dan menerbit terus direncana, dimajukan dan diperluaskan.
Related article image
Presiden Tharman Shanmugaratnam (tengah) bersama-sama presiden sebelumnya Puan Halimah Yacob (kanan) dan Dr Tony Tan (kiri) melancarkan perpustakaan 'pop-up' yang menampilkan buku-buku yang menjadi inspirasi presiden Singapura. (Gambar: Mediacorp)
Teladan kepimpinan simbolik dan berinspirasi. Usaha mempamerkan buku bacaan terpilih dari Presiden Tharman Shanmugaratnam, dan dua mantan Presiden yakni Dr Tony Tan dan Puan Halimah Yacob, sangatlah menarik.

Ia memberi isyarat bahawa budaya membaca harus tersemat dan subur pada setiap peribadi. Membaca juga sangat memperlihatkan afiliasi kebudayaan dan cakerawala pemikiran seseorang.

Mengiktiraf budaya buku seumpama menyalakan sumbu peradaban. Membaca mencerahkan sinaran ilmu yang terpancar untuk kebaikan bersama.

Maka itu, buku layak diraikan, bukan ditakuti.

Membangunkan ilmu ialah menerangkan kemanusiaan dan kealaman yang lebih membangun ke depan.

Itulah tugas peradaban yang tidak boleh ditangguh dan dilengahkan.

Buku yang rapi dibaca untuk pendidikan
Di sekolah permulaan melafaz bacaan
Dengan buku kita sama berkenalan
Sebuah dunia yang terimpi dan kenyataan

Buku disaran bacaan perpustakaan
Banyak acara disusun diserukan
Muda dan tua membudaya bacaan
Itulah tanda bangsa berkemajuan

Bukulah peneman jadikan manusiawi
Siapa yang membaca akan dianugerahi
Kebahagiaan dalaman tercurah alami
Kesempurnaan faham luaran dan maknawi.


MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita