Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Pusat Cetak, Dakwah dan Ulama Pada Titian Sejarah SG

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Pusat Cetak, Dakwah dan Ulama  Pada Titian Sejarah SG
Tulisan khat yang halus serta hiasan muka hadapan berwarna yang indah menjadikan ‘Hikayat Abdullah’ antara karya Melayu bercetak yang paling mengagumkan yang pernah dihasilkan di Negeri-Negeri Selat. (Gambar: NLB)
Diterbitkan : 26 May 2026 11:06PM
SINGAPURA: Kian menyerlah bukti bahawa Singapura pernah menampung pusat serantau bagi percetakan, dakwah dan ulama serantau.

Mohd Raman Daud menyusuri antara dapatan kesarjanaan Dr Ahmad Ginandjar Sya’ban baru-baru ini.

Jaringan ulama ternama telah lama mewarnai suasana Singapura seawal zaman pemodenannya terutama antara 1850 hingga 1960. Hal ini cukup terpapar pada hasil warisan karya mereka, turath (Bahasa Arab: تراث ).

Inilah yang terkesan pada saya yang antara 70 peserta sesi ceramah dua jam padat oleh sarjana pelawat, Dr Ahmad Ginandjar Sya’ban anjuran Rancangan Kajian Masyarakat Berjaya (RPCS), Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS), di Masjid Bencoleen, pada petang 18 Mei lalu.
Related article image
Dr Ahmad Ginandjar Sya’ban. (Gambar: Raman Daud)
Beliau yang terkenal di Indonesia dengan julukan ‘Gus Aceng’, 42 tahun, dinilai antara segelintir cendekia berpotensi besar dalam disiplin pengajian peradaban Islam Nusantara sesudah sarjana tersohor, Almarhum Prof Azyumardi Azra (1955 - 2022). Beliau arif berbahasa Indonesia, Arab serta Inggeris dan juga pakar filologi (manuskrip).

PUSAT CETAK

Menurut pensyarah di Universiti Nahdlatul Ulama (UNUSIA) itu, Singapura menjadi alternatif bagi umat Islam dari Hindia Timur Belanda (nama lama Indonesia ketika dijajah Belanda). Ini berlaku sesudah kerajaan Belanda kian menindas ke atas kegiatan Islam, termasuk haji, yang dinilai sebagai antara bibit menuntut kemerdekaan.

Malah Belanda mengutus orientalis terkenal, Christian Snouck Hurgronje (1857 - 1936) @ Abdul Ghafar/Ghafur untuk menyamar dan menilai kebangkitan Islam (sila rujuk buku Dr Ginandjar, ‘C. Snouck Hurgronje dan Wajah Islamnya’).

Imej Singapura sebagai pelabuhan terbuka (entrepot) kelolaan penjajah British, menjadi kian penting berikutan usaha percetakan yang dirintis kalangan mubaligh Kristian. Antara tokoh yang kemudian menjadi ‘guru’ percetakan, ujar Dr Ginandjar, ialah Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir (1796 - 1854) yang pernah bekerja sebagai penterjemah dan pencetak dengan mubaligh Kristian. Seyogia, Munsyi Abdullah dinilai oleh kalangan orientalis dan pengkaji sastera Melayu sebagai ‘bapa’ sastera Melayu moden.
Related article image
Abdullah bin Abdul Kadir (1796-1854) adalah seorang tokoh yang sering disebut-sebut dalam sejarah kesusasteraan dan pemikiran Melayu. (Gambar: NLB)
menjadi usahawan perusahaan percetakan. Aneh, sedang industri cetak (lithografi) berkembang, usaha menulis dan menyalin manuskrip masih berlaku di Singapura secara kecil-kecilan, ujar Dr Ginandjar.

PERINTIS CETAK

Antara tokoh penting dari Jawa yang terlibat dalam merintis usaha percetakan di Singapura, khususnya di Kampong Gelam atau sekitar Masjid Sultan, pada masa itu, adalah:
 
  • Haji Muhammad Nuh bin Haji Ismail asal Juwana, Jawa Tengah.
  • Haji Muhammad Said dari Semarang, telah mendirikan usaha percetakan kitab dan penerbitan yang kemudian berkembang ke Pulau Pinang pada tahun 1892. Usahanya diteruskan oleh anak-anaknya.
  • Haji Muhammad Siraj(t) bin Muhammad Saleh dari Rembang pula amat cergas menggerakkan dunia literasi di Singapura pada akhir abad ke-19, serta menerbitkan karya tulis dan kitab agama Islam.
  • Haji Muhammad Sidiq yang dibawa oleh ayahnya, Haji Muhammad Siraj ke Singapura untuk mempelajari teknologi dan pengurusan percetakan.
  • Haji Muhammad Ali bin Musthafa, asal Purbalingga yang juga belajar dan bergerak dalam industri penerbitan kitab di Singapura.
Related article image
Katalog buku Haji Muhammad Sirat. (Gambar: NLB)
Related article image
Quran cetakan di Kampong Gelam, 1869M. (Gambar: NLB)
Related article image
Hambalah yang Bernama Shaer Pantun Seloka Adanya, 1900, Singapura, dicetak oleh Haji Muhammad Said. (Gambar: NLB)
Umumnya kebanyakan tokoh tadi asal Jawa Tengah, ujar Dr Ginandjar. Buku-buku terbitan mereka bukan sahaja dalam tulisan Jawi (Melayu), bahkan juga Jawi Pegon (untuk Bahasa Jawa; juga dipanggil Arab Gondol iaitu tanpa tanda).

Dalam zaman itu, daerah Kampong Gelam di Singapura bersemarak sebagai hab strategik bagi para ulama dan santri dari Jawa yang ingin mencetak tafsir, kitab fiqih, dan Al-Quran menggunakan aksara Arab (Jawi dan Pegon), yang kemudian diagihkan ke seluruh Nusantara. Memandangkan kertas cetak yang digunakan berwarna kuning air, maka muncullah istilah ‘kitab kuning’.

Seyogia, terdapat juga pusat-pusat percetakan Al-Quran dan kitab yang sejauh Istanbul di Turki, Kaherah di Mesir dan Bombay di India. Namun faktor kedekatan Singapura dengan Jawa merupakan daya penarik penting, selain penggunaan Bahasa Melayu yang luas dan suasana merangsang atau ‘kondusif’.

Menurut sarjana Australia Ian Proudfoot, peranan Singapura sebagai pusat percetakan rantau ini mulai pudar sesudah Indonesia merdeka pada 1945 dan diikuti dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

ULAMA DAN DAKWAH

Menurut Dr Ginandjar, bukan sahaja para ulama rantau ini, bahkan dari Timur Tengah, telah menziarahi Singapura pada masa lalu, dalam rangka berdakwah, menyebarkan ilmu sehingga menulis serta mencetak karya mereka.

Misalnya, alim dari Yaman, Sayyid Abu Bakar bin Abdullah Al-Aidrus pernah mengajar dan berdakwah serta menerbitkan karyanya menerusi pencetak Athiyyah milik Anbar Ali Al-Junaid pada 1277H/1859M.

Antara ulama serantau yang gigih berkarya seperti ‘Hadis 40’ yang terbit di Singapura ialah Syeikh Muhammad bin Sa’ad bin Arsyad, pendiri madrasah pertama di Singapura iaitu Madrasah al-Shibyan (1905) di Bussorah Street. Ia menggunakan sistem pondok seperti di Jawa. Beliau adalah murid kepada alim ternama, Kiyai Sholeh Darat Semarang (wafat 1903).
Related article image
Slaid PowerPoint. (Gambar: Dr Ginandjar)
Singapura telah menyaksikan kebangkitan aliran progresif Islam yang dipancarkan dari Mesir. Golongan ini dipanggil Kaum Muda yang antara lain pimpinan Syed Sheikh Al-Hadi (1867 - 1934) yang pernah bergiat aktif di Riau dan Pulau Pinang. Karya-karyanya terbit di Singapura dan Pulau Pinang.

Walaupun dianggap seorang tokoh pembaharuan (reformis) yang mengasaskan Madrasah Al-Ma'arif di Singapura, Syeikh Muhammad Fadhlullah bin Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi (1886 - 1964) yang lahir di Pahang Street, tetap teguh dengan ajaran tradisional Islam.
Related article image
Syeikh Muhammad Fadhlullah bin Syeikh Muhammad bin Abdullah as-Suhaimi (1886 - 1964). (Gambar: PERGAS)
Antara lain beliau menulis kitab, ‘Manaqib’ iaitu ajaran ayahnya yang dianggap seorang wali dan pernah mengajar di Wonosobo, Jawa Tengah.

Kajian tuntas Dr Ginandjar ternyata memanfaatkan pelbagai sumber sejauh Universiti Leiden di Belanda, Al-Azhar sehingga Indonesia, dan terkini pula Singapura. Beliau bak menyulam perca-perca yang akan membentuk sebuah lembaran besar yang cukup bermakna tentang sejarah pulau ini sebagai pusat dakwah, cetak dan cendekia Islam yang penting.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita