Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Penakatan Bahasa Melayu SG - Dini, Kini dan Lini

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Penakatan Bahasa Melayu SG - Dini, Kini dan Lini
Dr Mohamed Pitchay Gani berkongsi mengenai sastera di Singapura. (Gambar: NLB)
SINGAPURA: Bahasa Melayu dikatakan berusia sekitar dua alaf dan terus berkembang. Kekalkah ia dalam suasana Bahasa Inggeris yang amat dominan di Singapura? Mohd Raman Daud menyelami persoalan ini.

Kekalkah Bahasa Melayu Singapura (BMS) pada masa depan?

Saya sering dikemukakan soalan begini, termasuk dalam satu forum mengenai 100 tahun kelahiran Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad pada 2 September tahun lalu di NLB.
Related article image
Poster Siri Ceramah Anjung Warisan, Kilauan MAS Pemikiran Progresif Seorang Pendeta. (Gambar: NLB)
Dahulu sebelum kini (dini), Bahasa Melayu merupakan pengantar utama di rantau ini. Sejak Singapura merdeka (1965) hingga kini, BMS hanyalah secara rasmi sebagai Bahasa Kebangsaan dan warisan atau jati diri yang dipelihara menerusi perundangan (Perlembagaan dan Dasar Dwibahasa) sehingga peranan institusi.

Demikian pengamatan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad atau lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Ariff (juga Dr MAS, 1924-2016) dalam satu forum anjuran Institut Townsville pada awal 2000. Beliau berkongsi pelantar bersama Prof Madya Dr Shaharuddin bin Maaruf, pemangku ketua (1996-2007) Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Saya pula diundang sebagai pengacara forum itu.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Raman Daud)
Related article image
Profesor Madya Dr Shaharuddin bin Maaruf. (Gambar: Facebook/Mohamed Imran Mohamed Taib)
Dr MAS telah menampilkan konsep masa ‘dini’ (dulu sebelum kini), ‘kini’ (‘sekarang ini’ bak tercatat dalam ‘Kamus Dewan’) dan ‘lini’ (selepas ini, ciptaan beliau sendiri) dalam mencirikan laluan masa BMS. Menurutnya, ada semacam formula (rumus) bagi penakatan BMS:

BMS = f(sejarah ikatan rantau, dasar pemerintah, pengaruh globalisasi, serta sikap generasi muda).

ZAMAN DINI

Para sarjana Barat dari Valentjn dari Belanda sehingga Raffles (pembuka loji British di SG pada 1819), telah memperakui bahawa Bahasa Melayu (BM) sebagai lingua franca rantau ini.

Lama sebelum itu, I-Tsing (@ Yi Jing, 635 - 713M), seorang rahib Buddha dari China, turut mencatatkan kepentingan BM selain Bahasa Sanskerta sebagai bahasa pengajian ketika belajar di Palembang (pusat saringan di rantau ini, sebelum melanjutkan pengajian di institut utama agama Buddha di Nalanda, India).
Related article image
Rahib Buddha dari China, I-Tsing (@ Yi Jing, 635 - 713M). (Gambar: Wikipedia)
BM digunakan secara meluas sejak Empayar Sriwijaya diasaskan (650M) yang berkembang di rantau ini sehingga dikatakan pernah menyerang Sailan (Ceylon atau Sri Lanka) dan selatan India. Sejak itu, BM tertinta sebagai bahasa pengantar rantau ini, terutama di kawasan pelabuhan dan pesisir.

Selepas Sriwijaya merosot (antara lain akibat kesan serangan kerajaan Chola dari India), muncul Singapura sebagai pusat tamadun yang dibuka oleh Sang Nila Utama, menurut sarjana Aceh, Teuku Iskandar (1924-2012).

SRIWIJAYA

BM di Singapura Lama (sepanjang abad ke-14M) menjadi bahasa perdagangan dan komunikasi antara pelbagai bangsa, menurut dapatan Prof John N Miksic (1946 - 25 Okt 2025) dalam buku terkenalnya, 'Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300-1800' (2013).
Related article image
Buku 'Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300-1800' (2013). (Gambar: NLB)
Dapatan inilah yang merubah catatan sejarah Singapura yang asalnya bermula dari zaman Raffles (1819M) tetapi kemudian sejak kehadiran Sang Nila Utama (1299M).

Bukti BM Kuno ditemukan di Sumatra, Jawa dan Bangka. Batu pahat bertulisan (batu bersurat) atau prasasti yang ditemui itu menggunakan aksara Pallawa (asal selatan India) dan istilah Melayu Kuno campur istilah Sanskerta.

Singapura Lama juga mempunyai batu bersuratnya (@ The Singapore Stone) tetapi sayangnya, masih belum dapat dibaca.
Related article image
Batu bersurat (@ The Singapore Stone). (Gambar: Muzium Negara Singapura/Wikipedia/Jacklee/CC BY-SA 3.0)

Contoh:

  • Prasasti Kedukan Bukit (682M) menceritakan perjalanan dan penaklukan oleh (raja) Dapunta Hyang. Antara catatan berpahat itu:
    "...svasti śrī śaka varṣātīta 604 ekādaśī śuklapakṣa vulan vaiśākha dapunta hiyaṃ nāyik di samvau mangalap siddhayātra..." (Ertinya: "Swasti Sri! Pada tahun Saka 604 yang telah berlalu, hari kesebelas paro-terang bulan Waisakha, Dapunta Hyang naik perahu untuk memperoleh siddhayatra (perjalanan suci/kesaktian)."
  • Prasasti Kota Kapur (686M) berisi sumpah dan kutukan ke atas mereka yang derhaka (berkhianat) terhadap Sriwijaya:
    "...yam māmmaṃ sumpah ini nipahat di velāña yam vāla çrīvijaya kalivat manāpik yaṃ bhūmi jāva tida bhakti ka çrīvijaya." (Ertinya: “.sumpah ini dipahat pada waktu (angkatan) perang Sriwijaya telah lewat, yang menaklukkan bumi Jawa yang tidak setia kepada Sriwijaya."

Pelbagai ungkapan dari zaman Melayu Kuno ini merupakan bukti tulisan silam penggunaan Bahasa Melayu, yang menjadi cikal bakal (genesis) Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia moden.

BM KLASIK

‘Sejarah Melayu’ (nama asal: ‘Sulalatus Salatin’) ditulis dalam gaya Bahasa Melayu Klasik, yang dicirikan oleh penggunaan kosa kata istana, struktur ayat yang panjang dan berbelit, serta penggunaan partikel seperti "maka", "arkian" dan "hatta". Ia dikatakan bermula sejak zaman Empayar Melaka (1400-1511M, diasaskan Parameswara @ Iskandar Shah iaitu raja terakhir Singapura Lama).

Related article image
Buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). (Gambar: Mediacorp)

Berikut beberapa contoh ungkapan teks dari ‘Sejarah Melayu’:

  • "Adapun akan perihal Singapura itu, konon asalnya sebuah negeri, nama Tumasik, diperintah oleh seorang raja, namanya Sang Nila Utama, anak Raja Palembang."

Kata-kata seperti "adapun" (kata pangkal ayat) dan "konon" (menandakan cerita lisan atau tidak pasti).

  • "Maka Baginda pun hairan, seraya bertitah, 'Hai segala menteri, dari mana datangnya gerangan tempayan ini?'"

Contoh ini menampilkan penggunaan "maka" sebagai penanda wacana dan "bertitah" sebagai perbendaharaan kata istana (raja berkata/bercakap).

  • "Arkian, syahdan, beberapa lama antaranya, maka Sultan Mansur Syah pun mangkatlah."
"Arkian" (juga ditulis ‘arakian) dan "syahdan" adalah partikel naratif klasik yang digunakan untuk menyambung atau memulakan babak baharu dalam penceritaan.

"Mangkatlah" adalah istilah istana yang bererti ‘mati’ atau ‘wafat’ (kata Arab).

BM Klasik berkembang antara abad ke-15 hingga ke-19M. Tulisan Munsyi Abdullah bin Abdul Kadir (1796 - 1854) yang diangkat oleh para sarjana Barat sebagai ‘Bapa Kesusasteraan Melayu’ (moden) masih dipengaruhi BM Klasik.
Related article image
Abdullah bin Abdul Kadir (1796-1854) adalah seorang tokoh yang sering disebut-sebut dalam sejarah kesusasteraan dan pemikiran Melayu. (Gambar: NLB)
ZAMAN KINI

Bahasa Melayu moden di Singapura terpapar pada tulisan Mohamed Eunos Abdullah (MEA, 1876 - 1933) yang menjadi pengasuh (editor) ‘Utusan Melayu’ (1907-1914) versi dari akhbar Bahasa Inggeris, ‘The Singapore Free Press’ (1835 - 1962). Eunos anak saudagar Minang, yang lahir di sini serta dididik di sekolah Melayu dan Raffles Institution.
Related article image
Mohammed Eunos Bin Abdullah (1876-1934). (Gambar: Facebook/Asiapac Books)
Menurut Dr MAS, MEA wajar dianggap ‘Bapa Kewartawanan Melayu’ kerana tulisan dan pengaruh besarnya, terutama menerusi pembentukan badan separa politik, Kesatuan Melayu Singapura (1926 - 1960) yang merintis pembelaan hak (maruah) dan keutamaan pendidikan Melayu sebagai peribumi.

Golongan wartawan dan guru Melayu merupakan elit suatu ketika dahulu. Merekalah yang menentukan corak BM moden, ujar Dr MAS. Sebutan dan ejaan ‘rekayasa’ Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) telah digunakan di Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) sejak 1930-an.

Memandangkan ada variasi pada penggunaan BM di pelbagai bahagian Asia Tenggara, berlaku percubaan untuk membakukan ejaan ruminya. Ini rekayasa Zainal Abidin Ahmad, editor ‘Fajar Asia’ sebuah terbitan intelektual dalam zaman Pendudukan Jepun (1942 - 1945). Demikian jelas Dr MAS dalam wawancara projek ‘Sejarah Lisan’ Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia, pada awal 2000. Saya menemaninya ketika itu.
Related article image
Encik Zainal Abidin Ahmad. (Gambar: Facebook/Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu)
Namun Zainal Abidin Ahmad (@Z.A. Ahmad, 1911 - 1983) bukanlah bahasawan ternama, ‘Pendeta’ Za’ba (1896 - 1973). Editor ‘Fajar Asia’ itu dikenal pasti oleh perisikan Jepun sebagai seorang nasionalis dari Sumatra dan telah dibawa bersama isterinya, ke Singapura. Dr MAS pernah menemuinya beberapa kali.

Menurut Dr MAS, BM menjadi penting sebagai ‘bahasa penjalin’ semua kaum dalam zaman menuntut kemerdekaan selepas Perang Dunia Kedua. Maka itu, ia dinatarkan (singkatan ‘naik taraf’) sebagai Bahasa Kebangsaan (BK).

“Apabila Singapura hendak merdeka tetapi disyaratkan penjajah British agar menyertai Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak demi membentuk Malaysia, BM menjadi amat penting untuk menyatukan semua kaum,” ujar Dr MAS ketika mengenang ramai pegawai awam bertungkus lumus belajar BM dalam pertengahan 1950-an dan awal dekad 1960-an.

Setelah berpisah dari Malaysia, Singapura yang merdeka (1965) telah menetapkan Inggeris sebagai bahasa kerjanya sedangkan BM hanyalah secara simbolik sebagai BK dan satu daripada empat bahasa rasmi. Ini bak peribahasa: ‘sekali bah, sekali pantai berubah’.

“Saya amat terkejut sehingga dirawat di hospital dek serangan jantung setelah Dewan Bahasa dan Kebudayaan Kebangsaan ditutup pada 1969. Ketika itu, saya dan kawan-kawan seperti Masuri SN sehingga Ramli Abdul Hadi (ketua bahagian Berita Melayu Radio dan Televisyen Singapura) memang amat hampa. Tapi apa boleh buat? Ini hakikat politik,” ujar Dr MAS.

Namun mujurlah ada Dasar Dwibahasa dan tekad politik untuk membolehkan BMS terus hidup. Dan tentulah “kesedaran mendalam” orang kita sendiri, tambah Dr MAS.

“Namun, generasi muda lebih selesa berbahasa Inggeris. Dek selesa inilah yang boleh melupakan kita untuk bersikap sayang dan amalkan bahasa ibunda sendiri,” jelas Dr MAS.

Sahabatnya, Hj (Cikgu) Suratman Markasan (1930-2024) pernah sebak di depan majlis ketika mengenang nasib BM.
Related article image
Hj (Cikgu) Suratman Markasan (1930-2024). (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)
MASA LINI

BMS dijangka terus berubah, tetapi biarlah teratur, harap Dr MAS. “Kini saya tak faham percakapan sesetengah anak muda kita,” katanya berseloroh. “Itulah sebabnya kita perlu pastikan BMS sentiasa ada standard atau baku iaitu tidak menyimpang dari landasan bahasa serantau baik di Indonesia mahupun di Malaysia,” katanya.

Dr MAS tidak sempat menelusuri teknologi kecerdasan buatan (AI). Namun beliau pernah menjangkakan bahawa teknologi bersifat ‘neutral’ dan sekadar wahana (vehicle) tetapi sikap manusialah yang menentukan apakah sesuatu, termasuk bahasa, diperlukan atau digugurkan.

“Umumnya, manusia dinilai jati dirinya pada bahasa, budaya dan anutannya. Penanda jati diri Melayu adalah pada amalannya berbahasa dan berbudaya Melayu serta beragama Islam. Jadi, ketetiga ini perlu seiring dan seimbang,” tambahnya.

Selain menciptakan dengan ilmu sendiri, kosa kata (perbendaharaan kata) sesebuah kaum sangat bergantung kepada tamadun yang mempengaruhinya. Bagi rumpun Melayu, ini bermula dengan Hindu/Buddha, diikuti Islam, kesan penjajahan Barat dan terkini, penyejagatan atau globalisasi.

Misalnya, ketika Seminar Pameran Aksara anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 2007, mahaguru ternama, Prof Muhammad Naquib Al-‘Attas berpendapat pengaruh Islam telah “menyuci dan mengangkat martabat” BM.
Related article image
Profesor Muhammad Naquib Al-‘Attas. (Gambar: Facebook/Dr HA Hellyer)
Dengan Bahasa Inggeris begitu ‘ampuh’ dalam sosioekonomi dan teknologi sejagat, maka dipercayai BM termasuk di SG, juga akan terpengaruh oleh trend keinggerisan.

Hal ini sudah lama diinsafi oleh kalangan perancang bahasa. Sekadar contoh, Prof Anton Moeliono (1929 - 2011), ketua Pusat Bahasa Indonesia (PBI), amat menyedari kesan ‘rugi’ pengambilan kata asing terutama Inggeris ke dalam Bahasa Indonesia.

Beliau gigih dalam menerapkan kata ambilan serumpun seperti ‘pantau’ dan bukan ‘monitor’ yang disarankan Prof Sutan Takdir Alisjahbana, ketua pertama PBI.
Related article image
Profesor Sutan Takdir Alisjahbana. (Gambar: Wikipedia)
Laluan BMS, hujah Dr MAS, akan ditentukan oleh sikap orang Melayu di sini – dari pimpinan dan elit Melayu, guru Bahasa Melayu, ibu bapa dan pelajar sehingga penggiat bahasa dan persuratan Melayu. Amat prihatin akan masa depan BMS, Dr MAS telah mewariskan khazanah intelek, teladan dan ‘wakaf’-nya (derma) menerusi Endowmen Pengajian Melayu di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU). Beliau juga pendiri Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Taman Warisan Melayu – dua institusi penting dalam memartabatkan BMS.

Persoalan masa depan yang mencabar – apakah anda pembaca serta seluruh warga Melayu Singapura sayang dan bangga dalam mengamalkan Bahasa Ibunda demi memelihara kesuburannya?

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita