Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ALAM MELAYU: Pemimpin Sejati Pada Hemat Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Pemimpin Sejati Pada Hemat Melayu

Wartawan dan pemimpin penyatu masyarakat, Mohamed Eunos Abdullah (1876-1933), pengasas pertubuhan separa siasah pertama di Dunia Melayu, Kesatuan Melayu Singapura pada 1926.

SINGAPURA: Dalam kehangatan suasana Pilihan Raya Umum (GE2025) di Singapura, rakyat yang kian terpelajar, terutama generasi muda, dikatakan mempunyai ‘cara canggih’ untuk menilai kepimpinan nusa. Mohd Raman Daud menyingkap tunjuk ajar Melayu dari segi kepimpinan.

Bagaimana orang Melayu menilai pemimpinnya?

Demikian tanya seorang sahabat sedang negara ini melalui ‘demam’ Pilihan Raya Umum (GE2025) yang ke-19 (sejak 1948) atau ke-14 sejak merdeka pada 1965.

Dengan menggali warisan sejarah rumpun Melayu menerusi khazanah sasteranya, memang terdapat sejumlah buku/kitab termasuk yang dipanggil hikayat menceritakan kisah kerajaan dan amalan beraja.

Misalnya, kitab Sulat-us-Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu yang dipercayai susunan Bendahara (Perdana Menteri) Johor, Tun Seri Lanang (1565-1659, lahir di Johor dan wafat di Samalanga, Aceh) memaparkan ‘Persetiaan Melayu’.
JANJI SETIA

Persetiaan atau waadat (Arab: وعدات) berlaku antara Sang Sapurba selaku raja (dipercayai raja terakhir Empayar Sriwijaya) dengan Demang Lebar Daun (Demang = ketua bagi 100 penghulu) yang mewakili rakyat.

Antara lain, persetiaan itu menetap agar raja (golongan yang memerintah) dilantik rakyat dengan syarat ia berlaku adil. Jika tidak, rakyat wajar ‘menderhaka’ (memberontak) dan menggantikannya. Jika rakyat derhaka walaupun raja adil, maka rakyat hendaklah dihukum dengan setimpal menurut batas kesalahannya tanpa diaibkan atau dipermalukan.

Sejarah Melayu merupakan satu-satunya buku lama yang mengisahkan kerajaan Singapura yang pernah kuat tetapi runtuh dek sikap buruk rajanya, Paduka Seri Maharaja. Dia dikatakan jahat, bodoh dan sombong (singkatannya: jadong) dan dikelilingi kalangan pembesarnya yang tamak.

Sifat ‘jadong’ diutarakan Profesor Syed Hussein Alatas (1928-2007) dalam kajiannya mengenai zaman feudal (pemerintah beraja dan pentadbiran bangsawan).

Seri Maharaja telah memaksa seorang pembesar, Sang Rajuna Tapa (SRT), agar memberikan anak perempuannya untuk dijadikan gundik. Namun dek hasutan orang istana termasuk dendam permaisuri, anaknya difitnahkan sehingga dihukum sula walaupun SRT sudah merayu.

Dek teramat hampa lagi marah, SRT selaku penguasa keselamatan telah mengarahkan kubu Singapura dibuka sehingga membolehkan Majapahit berjaya menyerang Singapura. Seri Maharaja terbunuh, puteranya (Permaisura/Parameswara) melarikan diri ke Johor sehingga mengasaskan Kerajaan Melaka.

JEBAT-TUAH

Sejarah Melayu juga menceritakan pertarungan Laksamana Hang Tuah (HT) dengan sahabatnya, Hang Kasturi. Tetapi Hikayat Hang Tuah (HHT) menyatakan pertarungan ini antara Tuah dan Jebat. Hakikatnya, ia berlaku dalam zaman raja Melaka terakhir yang jadong iaitu Sultan Mahmud.

Nordin Ahmad sebagai Hang Jebat. (Gambar: sumber web)
Menurut HHT yang dijadikan sandaran bagi filem Hang Tuah (lakonan P Ramlee sebagai Tuah dan Nordin Ahmad sebagai Jebat), punca masalah ialah khianat para pembesar terhadap HT yang semakin disayangi raja kerana kehandalannya. Mereka berkomplot menyatakan Hang Tuah bermukah (menjalin hubungan sulit) dengan seorang gundik sultan. Tanpa usul periksa Sultan memerintahkan Bendahara (Perdana Menteri) menghukum bunuh HT.

Jebat bangkit menderhaka dan melaungkan ungkapan terkenal ini:

“Raja adil, raja disembah; raja zalim, raja disanggah.”

Barulah Sultan Mahmud menyesal dan mengharapkan HT masih ada. Bendahara membuka cerita sebenar. Dipendekkan cerita Tuah berjaya membunuh ‘adik’nya. Setelah itu, Tuah berundur (menghilangkan diri). Melaka kian lemah sehingga dialahkan Portugis.

DITINGGIKAN

Menurut buku Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu (2000) susunan Dr Tenas Effendy (1936-2015): pemimpin adalah orang yang biasa disebut “orang yang dituakan, didahulukan selangkah, ditinggikan seranting”.
Dr Tenas Effendy. (Gambar: erdeka.com)
Ertinya, pemimpin yang baik dan benar adalah orang yang dipandang tinggi ilmu dan akhlaknya oleh masyarakatnya. Namun, hujah Dr Tenas, antara pemimpin dan masyarakat tidak ada pembatas yang menjadi pemisah dan haruslah saling bekerjasama.

Orang begini ibarat “didahulukan dapat diraih, ditinggikan dapat dijangkau, dekatnya tidak beranjak, jauhnya tidak berantara”.

Ertinya, orang ini dipilih masyarakat untuk mewakili rakyat yang yakin akan keupayaannya untuk terus menyantuni masyarakat.

Sekali gus ungkapan tadi menunjukkan sudah ada bayangan konsep ‘demokrasi’ dalam akal budi Melayu.

ANTI-FEUDAL

Oleh itu, apabila zaman menuntut kemerdekaan berlaku di Asia Tenggara, bijak pandai Melayu telah menilai apakah corak kepimpinan yang mereka perlukan iaitu demokrasi dan menolak feudalisme.

Demikian pencerahan Dr Burhanuddin bin Muhammad Nur Al-Hilmi (@ Burhanuddin al-Helmy, 1911-1969) dalam buku kecilnya yang amat berpengaruh, Falsafah Kebangsaan Melayu (1945). Beliau adalah anak Kelantan yang pernah lama aktif di Singapura sejak pertengahan 1930-an (termasuk membuka klinik dan mengajarkan ilmu perubatan homeopati).
Buku Falsafah Kebangsaan Melayu oleh Dr Burhanuddin bin Muhammad Nur Al-Hilmi (@ Burhanuddin al-Helmy, 1911-1969). (Gambar: kawahbuku.com)
Hujahnya, orang Melayu serik terhadap amalan feudal. Ini kerana mereka melihat sikap raja-raja Melayu yang tidak maju dan ‘persetiaan’ antara raja dan rakyat pun telah lama hancur.

Mentelah tanpa usul periksa, nyaris-nyaris raja-raja Melayu di Malaya selepas Perang Dunia Kedua, menandatangani surat perjanjian yang menyerahkan kuasa mereka kepada British. Mujurlah ini dibantah oleh segolongan bijak pandai Melayu.

Namun Malaya yang kemudiannya bersatu dengan Sabah dan Sarawak serta Singapura (untuk tempoh singkat: 1963-1965) untuk membentuk negara persekutuan, Malaysia, yang tetap memelihara tradisi raja Melayu dalam pemerintahannya.

Di Indonesia pula sejak merdeka pada 1945, semua kuasa raja-raja dipudarkan kecuali di Jawa Tengah kerana adanya sokongan Sultan Solo kepada perjuangan kemerdekaan Indonesia. Ini juga termasuk menyerahkan lahan Keraton Yogjakarta untuk menjadi Universitas Gajah Mada.

TUNJUK AJAR

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016), kefahaman orang Melayu mengenai demokrasi mekar di Singapura kerana di sinilah kuasa raja dinyahkan oleh British dan di sini juga terhimpun ramai cendekiawan Melayu yang berpandangan jauh.
Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Raman Daud)
Tidak hairanlah juga, katanya, pertubuhan separa siasah yang pertama di Alam Melayu iaitu Kesatuan Melayu Singapura (KMS) dapat didirikan oleh Mohd Eunos Abdullah dan rakan-rakannya termasuk kerabat diraja Istana Kampung Gelam di Singapura pada 1926.

“Yang utama untuk menjadi pemimpin, seseorang calon Melayu yang masuk politik perlu punya akhlak mulia dan ilmu berguna untuk diangkat atau dipilih sebagai pemimpin,” tegas Dr MAS.

Dan apabila hendak menjadi pemimpin pula, Dr Tenas menurunkan contoh 74 jenis pemimpin baik dan 120 yang buruk terutama dari segi pekerti dan taraf pengetahuan atau ilmunya.

Ayuh kita hayati salah satu daripada 74 jenis pemimpin baik iaitu di peringkat tertinggi pemimpin abdi (servant leader) yang menurut Michael Hart dalam buku terkenalnya, ‘The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History’ (1978) terpapar pada Nabi Muhammad sebagai insan teragung yang hidup zuhud (tidak mengutamakan ganjaran dunia) kerana amat cemerlang dalam bidang agama dan sekular:

Pemimpin menjadi abdi rakyat
Hidupnya menyatu dengan masyarakat
Menjalankan tugas dia taat.

Bekerja rajin beramal kuat
Dengan orang tua-tua dia dekat
Dengan yang muda-muda dia bersifat.

Duduk tegaknya elok tabiat
Sebarang kerja dengan muafakat
Sebarang laku menurut adat.

Dijadikan pemimpin besar manfaat
Negeri sentosa sempurna umat
Orang suka jauh dan dekat
Rahmatnya ada dunia akhirat.


Dijadikan tua dia tepat
Kerana hidupnya bersama umat
Memimpin negeri membawa berkat
Tuahnya banyak maruah terangkat.
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan