ALAM MELAYU: Pembela Masyarakat Antara Kita
Dalam sidang media sempena 100 hari pertamanya menyandang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, menggariskan budi bicaranya demi memajukan umat Islam Singapura.
Dr Faishal menyifatkan perbincangan dengan golongan muda sebegini penting bagi mempersiapkan masyarakat untuk masa hadapan. (Gambar: MENDAKI)
Dalam tempoh 100 hari sejak menyandang jawatan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, telah menampilkan dirinya sebagai ‘pembela’ masyarakat.
Syabas! Namun perjalanannya masih jauh lagi dalam memacu kemajuan untuk lima bidang yang beliau kenal pasti dengan menyatukan seluruh umat Islam, termasuk kaum India Muslim.
PEMBELA
Konsep ‘pembela’ amat luas. Terasnya ialah sikap tenggang rasa (empati), ikhlas, tabah dan pintar seorang insan untuk membela kumpulan, negara sehingga umatnya (pengikutnya). Lazimnya, ia dikaitkan dengan para nabi (Hadis: 124,000 orang) sehingga tokoh tertentu seperti Mahatma Gandhi (1869-1948) sebagai ‘Bapa Kemerdekaan India’. Bahkan ada konsep pembela sebagai ‘juru selamat’ (saviour) yang terkait dengan doktrin Kristian.
Sekadar renungan: Kitab, ‘Sulalatus Salatin’ (@’Sejarah Melayu’ susunan Tun Seri Lanang, 1565-1659) memaparkan raja sebagai ‘penyelamat’ dan juga ‘perosak’. Raja zalim kerana gagal memiliki sifat-sifat terpuji sehingga binasa kerajaan atau negeri.
Peristiwa Singapura dilanggar todak berlaku sesudah seorang pendakwah dari Perlak/Pasai, Tun Jana Khatib, difitnahkan sehingga dihukum bunuh, walaupun mayatnya tidak ditemui. Ketika serangan todak, terpapar sifat Raja Singapura yang jahat, bodoh dan sombong sehingga mengorbankan rakyat yang disuruh berbentengkan tubuh. Tiga ciri tadi dipendekkan menjadi ‘jadong’ oleh Prof Syed Hussein Alatas (1928-2014).
Maka muncul Nadim (anak pembesar Sang Rajuna Tapa) yang menegur agar batang pisang dijadikan benteng. Terselamatlah Singapura.
Tetapi dek pembesar yang juga jadong serupa rajanya, Nadim difitnahkan sebagai licik kerana bercita-cita merampas kuasa apabila dewasa kelak. Maka, Nadim yang berusia 10 tahun dirantai dan dicampak ke Selat Singapura.
Sang Rajuna Tapa yang sebelum ini ‘kehilangan’ anak perempuannya (kakak Nadim) yang dipaksa menjadi gundik raja, tidak tertahan hati sehingga membuka gerbang perkubuan Singapura yang membolehkan tentera Majapahit menyerang.
Cerita klasik ini menunjukkan sebab utama jatuhnya sebuah kerajaan kecil yang pernah perkasa bukan kerana serangan luar tetapi ‘nilai buruk’ (jadong) pada diri pimpinan dan peminggiran kehadiran ‘pembela’ bijaksana yang jujur walaupun hanyalah anak kecil.
PENYELAMAT SELANJUTNYA
Dari lensa sejarah orang Melayu di sini, memang terdapat para penyelamat yang lain, termasuk Habib Noh Alhabsyi (1788-1866) yang tiba di sini pada usia 31 tahun -- selepas sahaja Thomas Stamford Raffles menjejakkan kakinya untuk membuka loji bagi Kompeni Inggeris Hindia Timur. Pengaruhnya cukup besar sehingga kini dan makamnya terus dikunjungi termasuk oleh kalangan bukan Muslim.
Walaupun Munsyi Abdullah Abdul Kadir (1796-1854) pernah dicemuh sebagai ‘paderi’ dan ‘pengampu Orang Putih’, namun jasanya amat besar sebagai perintis percetakan Melayu dan penyedar tentang sikap jadong para pembesar Melayu.
Dalam zaman menuntut kemerdekaan, Singapura yang pernah menjadi pusat percetakan, muzik, perfileman sehingga cendekiawan Melayu serantau (1850-1960) juga mempunyai ramai ‘penyelamat’. Antara sasterawan paling prolifik tentulah Harun Mohd Amin (1908-1986) yang karyanya mendapat sorotan penterjemahan UNESCO.
Beliau kekal sebagai anak watan teguh walaupun mendapat tawaran untuk bermastautin di negara-negara jiran. Dan jejak langkahnya diikuti oleh para penulis seperti Dr MAS dan Dr Masuri Salikun (@ Masuri SN) yang pernah berpesan, “...andai kami tidak berteguh di sini, siapa nak selamatkan masyarakat kita?”.
RAHSIA TERDEDAH
Mutakhir ini, warga Singapura disajikan dengan pelbagai ‘rahsia’ yang sudah didedahkan (declassified) selepas puluhan tahun sempena sambutan SG60. Antara lain, tentulah kisah laluan watan ini yang diceraikan daripada percantuman dengan Persekutuan Malaysia.
“Kita nanti lihat siapa yang lebih berjaya walaupun kita tanpa hasil bumi, hanya akal dan kegigihan,” katanya.
Beliau antara yang merintis atau menaungi penubuhan Majlis Pelajaran Melayu, Persekutuan Silat Singapura (PERSISI), Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), Federasi Gasing Singapura (FEDEGASI) dan selanjutnya.
Sesudah merdeka, semangat Melayu Singapura yang melemah dibakar semula oleh gagasan sebuah Sekretariat Melayu oleh Hj Shaari Tadin, mungkin guru Melayu pertama yang meraih ijazah, dan kemudian menyandang jawatan Setiausaha Parlimen Kanan. Menyedari batas orang politik, beliau tidak meneruskan niatnya untuk menjadi Presiden Majlis Pusat Pertubuhan-Pertubuhan Budaya Melayu (1969-2024).
Namun kelemahan Majlis Pusat yang senantiasa kekurangan dana dan kepakaran, terutama dalam menjayakan rancangan pendidikan Melayu, antara lain, disedari oleh Mansor Hj Sukaimi (1943-2008, berkhidmat sebagai Anggota Parlimen, 1976-1984). Beliau telah menghasilkan sebuah makalah panjang untuk Seminar Kepimpinan Belia Majlis Pusat pada 1977.
Selanjutnya menerusi Seminar Kelas Bimbingan pada 1978, beliau menyarankan penubuhan sebuah yayasan pendidikan yang kemudian dilancarkan sebagai Majlis Pendidikan Anak Islam (MENDAKI) pada 1982 oleh Perdana Menteri Lee Kuan Yew yang mengiktirafkan isu Melayu sebagai isu nasional.
HAKIKAT SG60
Baru-baru ini dalam satu pertemuan santai tengah hari di Masjid Ba’alwie, mantan Menteri Dr Ahmad Mattar, menyifatkan kesan penubuhan MENDAKI yang disokong PM Lee, bak penerobos yang amat membina:
“Tak pernah kita terbayang betapa sekarang sudah ramai anak Melayu boleh meraih ijazah kepujian kelas pertama sehingga doktorat. Padahal Banci Penduduk 1980 menunjukkan bilangan siswazah Melayu hanya beberapa puluh sahaja.”
Tidak syak, kejayaan sesebuah watan kerana kegigihan para penyelamatnya yang sanggup berkorban jiwa dan raga demi penakatan jangka panjang.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.