Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Pembangunan Ekonomi dan Wong Cilik Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Pembangunan Ekonomi dan Wong Cilik Indonesia

Masyarakat kecil berisiko menjadi golongan paling rentan sekiranya pembangunan dilihat semata-mata dari sudut pertumbuhan ekonomi dan pelaburan sahaja. (Gambar hiasan: Canva)

Diterbitkan : 17 May 2026 11:12PM Dikemas Kini : 18 May 2026 12:07AM
SINGAPURA: Profesor Sri Kusumo Kampto Utomo atau lebih dikenali dengan nama Sajogyo (1926 - 2012) ialah seorang ilmuan besar Indonesia yang pernah dipanggil sebagai “Prof Beras” oleh Gus Dur atas kepedulian bersungguh-sungguh beliau dalam mengangkat kebajikan masyarakat petani.

Sajogyo yang berasal dari Jawa Tengah, adalah antara pendiri dan pemula kajian dan pendidikan pendesaan di Indonesia, dengan tegasan bahawa jalan pembangunan itu harus bersikap adil, merata dan manusiawi. Ahalla Tsauro menyusuri sumbangan besar beliau.
Related article image
Profesor Sri Kusumo Kampto Utomo yang lebih dikenali dengan nama Sajogyo. (Gambar: Facebook/Sajogyo Institute)
Ramai yang pasti akan ingat pesan beliau bahawa: “Jika ingin memahami kondisi ekonomi negeri kami, pelajarilah budaya dan sistem budaya dan sistem politik kami.”

WAWASAN SAJOGYO

Inilah yang menjadi salah satu gagasan intelektual penting yang diwariskan oleh Sajogyo.

Baginya, ekonomi bukan semata-mata tentang persoalan angka pertumbuhan, pelaburan, atau statistik makroekonomi. Ia selalu berkaitan dengan manusia, kebudayaan, hubungan kekuasaan dan struktur politik yang membentuk kehidupan sehari-hari masyarakat.

100 tahun setelah kelahirannya, pemikiran Sajogyo terasa semakin relevan untuk melihat realiti kehidupan saat ini.

Di tengah-tengah dunia yang dipenuhi orientasi pertumbuhan ekonomi, industrialisasi, dan modenisasi, banyak negara seperti di Asia Tenggara, khususnya Indonesia, masih mengalami persoalan klasik, yakni ketimpangan sosial, sosiologi desa, konflik agraria, krisis makanan, hingga marginalisasi masyarakat kecil atas nama pembangunan.
Related article image
Pemandangan udara yang menunjukkan sebuah kawasan perumahan di Bekasi, Jawa Barat. (Gambar: CNA/Ridhwan Siregar)
Dalam situasi seperti inilah warisan pemikiran Sajogyo menemui kerelevannya dan berjaya menghuraikan masalah tersebut secara mendalam.

Ertinya, Sajogyo bukan sekadar ahli akademik yang menulis dari balik meja kerjanya.

Beliau adalah intelektual publik yang menjadikan desa, petani, dan masyarakat kecil sebagai pusat perhatian intelektualnya.

Dalam sebuah tulisan reflektif mengenai kiprahnya, Sajogyo disebut bukan hanya sebagai “Bapa Sosiologi Desa Indonesia” tetapi juga sebagai intelektual yang berhasil membina jambatan antara penyelidikan akademik, kebijakan pembangunan, dan praktik lapangan secara partisipatif.

MEMAHAMI ERTI KEMISKINAN

Salah satu sumbangan terbesar Sajogyo terletak pada kajian kemiskinan dan sumber makanan. Pada masa ketika ukuran pembangunan lebih banyak ditentukan oleh angka pertumbuhan ekonomi, Sajogyo menawarkan pendekatan yang jauh lebih relevan dan sesuai dengan kondisi masyarakat.

Beliau memahami bahawa kemiskinan di Indonesia tidak dapat dijelaskan hanya melalui indikator pendapatan yang abstrak dan seragam. Kondisi masyarakat desa memiliki ciri-ciri berbentuk sosial, budaya, dan ekonomi yang berbeza dengan masyarakat kota.

Oleh kerana itu, Sajogyo mengembangkan pendekatan kayu ukur kemiskinan dengan realiti kehidupan masyarakat sebenar, terutama indikator keperluan makanan mereka.
Related article image
Lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia mengalami masalah tumbesaran akibat kekurangan zat makanan yang teruk. (Gambar fail: AFP/Bay Ismoyo)
Beliau menaruh perhatian besar pada kemampuan rumah tangga untuk memenuhi keperluan asas mereka, khususnya konsumsi beras sebagai ukuran minimum kesejahteraan masyarakat desa pada masa itu.

Pada 1972, Sajogyo menerajui tinjauan Program Usaha Perbaikan Gizi Keluarga (UPGK) selama dua tahun dengan melibatkan berbagai institusi perguruan tinggi (universiti) dan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan, Badan Perencanaan Pembangunan Nasional dan UNICEF.

Dari pengalaman tersebut, tepatnya pada tahun 1977, beliau kemudian merumuskan apa yang dikenali sebagai “Garis Kemiskinan Sajogyo”, satu pendekatan bagi mengukur kemiskinan berdasarkan kecukupan makanan yang kemudian mempengaruhi dasar pemerintah.

Pendekatan ini bukan sekadar soal metodologi statistik. Di sebalik tinjauan itu terdapat pandangan moral bahawa pembangunan sesebuah masyarakat harus diukur dari sudut kemampuan manusia untuk hidup secara layak, aman dan bermartabat.

Bagi Sajogyo, kelaparan dan kemiskinan bukan sekadar persoalan mengenai teknik pembangunan tetapi juga cerminan terhadap struktur sosial dan ketimpangan sosiopolitik.

Pendekatan ini berbeza dengan paradigma pembangunan yang dominan semasa era Orde Baru Presiden Soeharto (1966 - 1998), yang cenderung sangat berbentuk teknokratik dan berorientasi pada pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Related article image
Presiden Soeharto. (Gambar: Facebook/Pak Harto)
Pada masa itu, keberhasilan pembangunan sering diukur melalui indikator-indikator makro seperti peningkatan produksi (daya penghasilan), kemantapan ekonomi, atau pertumbuhan pelaburan.

Namun, di sebalik keberhasilan statistik tersebut, banyak masyarakat di kawasan desa tetap hidup dalam kerentanan sosial dan kesulitan ekonomi.

Dalam karya klasiknya 'Modernization Without Development in Rural Java' (1973), Sajogyo menjalankan tinjauan terhadap revolusi hijau.

Beliau menunjukkan bahawa modenisasi pertanian pada masa itu memang meningkatkan produksi (daya penghasilan) pangan, tetapi keuntungan utamanya justeru lebih banyak dinikmati oleh golongan petani atas, sementara petani kecil jatuh ke dalam jurang kemiskinan, kehilangan akses terhadap tanah, dan tetap menjadi buruh tani tidak bertanah.
Related article image
Encik Sajogyo pernah menjalankan tinjauan terhadap revolusi hijau dan memperlihatkan sisi gelap pembangunan, termasuk dalam sektor pertanian. (Gambar: Bernama)
Tinjauan tersebut turut memperlihatkan keberanian Sajogyo dalam melihat sisi gelap pembangunan yang sering dipuji sebagai keberhasilan nasional.

Beliau memahami bahawa pertumbuhan ekonomi tanpa keadilan pengagihan hanya akan memperluaskan jurang kemiskinan dan ketimpangan sosial.

KEBERPIHAKAN KEPADA GOLONGAN LEMAH

Sikap intelektual Sajogyo tidak tumbuh begitu sahaja. Ia bermula dengan perjalanan intelektual selepas bertemu dengan salah seorang guru berpengaruh, W.F. Wertheim.

W.F. Wertheim ialah seorang pakar sosiologi asal Belanda yang banyak menarik perhatian terhadap ketimpangan sosial dan masyarakat era kolonial Belanda.

Dari sini, sikap intelektualnya tercermin dari keberanian untuk melihat pembangunan dari sudut golongan yang paling lemah.

Dalam berbagai refleksi catatan mengenai Sajogyo, beliau sangat prihatin terhadap apa yang disebut oleh Wertheim sebagai 'sosiology of ignorance', kecenderungan banyak kalangan akademik dan elit yang mengabaikan lapisan termiskin masyarakat desa, terutama mereka yang bukan merupakan pemilik tanah.

Pengaruh Wertheim terlihat jelas dalam cara Sajogyo memandang ilmu sosial bukan sekadar alat untuk memahami masyarakat, tetapi juga sebagai wadah untuk memperjuangkan keadilan sosial.

Lantaran itu, perhatian Sajogyo selalu tertumpu kepada mereka yang berada di pinggir struktur kekuasaan seperti buruh tani, petani kecil, dan masyarakat desa yang sering kali diabaikan dalam proses pembangunan.
Related article image
Sajogyo selalu menumpukan perhatian kepada golongan yang berada di pinggir struktur kekuasaan seperti buruh tani dan petani kecil. (Gambar: Bernama)
Baginya, pembangunan yang adil harus bermula daripada sokongan yang dihulurkan terhadap kumpulan atau golongan paling rentan, bukan semata-mata dari segi kepentingan pasaran.

PEMBANGUNAN YANG MEMANUSIAKAN MANUSIA

Sajogyo mengingatkan kita bahawa pembangunan yang terlalu berorientasikan angka atau kadar pertumbuhan, berisiko kehilangan dimensi kemanusiaannya.

Menurutnya, manusia tidak boleh diperlakukan hanya sebagai objek kebijakan.

Salah satu gagasan penting yang beliau terus memperjuangkan ialah pembangunan partisipatif yang memanusiakan kita sebagai manusia.

Pembangunan seharusnya dilakukan dari bawah ke atas, melalui partisipasi warga, bukan sebuah projek yang dipaksakan dari atas ke bawah.

Pendekatan ini terlihat jelas dalam cara Sajogyo mengembangkan sosiologi masyarakat desa Indonesia.

Beliau tidak hanya menekankan pentingnya penelitian terhadap golongan rentan desa, tetapi juga terlibat langsung secara partisipatif bersama mereka.

Dalam pandangannya, pengetahuan tidak seharusnya berhenti di ruang akademik, ia harus mampu berdialog dengan masyarakat dan mempengaruhi hala tuju dasar-dasar yang digubal pemerintah.

Sajogyo menolak logik pembangunan yang terlalu bersifat materialistik (kebendaan) dan birokratik.

Beliau percaya bahawa pembangunan yang manusiawi harus menghormati manusia. Maka itu, beliau selalu menekankan betapa pentingnya untuk mendengar suara masyarakat kecil.

Dari sini dapat dilihat bahawa pemikiran Sajogyo bukan sekadar kajian akademik.

Pembangunan, menurut Sajogyo, harus menjawab pertanyaan yang lebih mendasar, yakni apakah manusia akan menjadi berdaulat atas kehidupannya sendiri?

WARISAN INTELEKTUAL

Di tengah-tengah krisis global yang berlaku sekarang, pemikiran Sajogyo memberikan sumbangan penting bahawa pembangunan tidak boleh dipisahkan daripada keadilan sosial.

Sedang dunia berlumba-lumba membangunkan industri hijau dan ekonomi mampan, masyarakat kecil berisiko menjadi golongan yang paling rentan jika pembangunan hanya dilihat dari sudut pertumbuhan ekonomi dan pelaburan sahaja.

Warisan intelektual Sajogyo akan terus hidup melalui pelbagai kajian, gerakan sosial, dan institusi yang mengembangkan pemikirannya, yakni Sajogyo Institute yang sekarang berpusat di Bogor.
Related article image
Rumah Belajar Malabar 22, Sajogyo Institute. (Gambar: Google Map)
Warisan terbesar Sajogyo bukan hanya terletak pada gagasan, teori atau konsep yang diperkenalkannya.

Warisan terpentingnya ialah cara Sajogyo mengaitkan manusia dengan pembangunan.

Beliau mengingatkan kita bahawa pembangunan yang baik tidak seharusnya mengabaikan rakyat kecil dan menjauhkan diri daripada realiti sebenar.

Pembangunan harus mendengar suara mereka yang paling terkesan, terpinggir dan semakin dilupakan.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Ahalla Tsauro ialah lulusan Sarjana Pengajian Melayu, NUS yang kini calon PhD Université Laval, di Quebec, Kanada.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita