Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ALAM MELAYU: Patah Tumbuh, Hilang Perlu Berganti

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Patah Tumbuh, Hilang Perlu Berganti

Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat. (Gambar: Zulkarnain Anwar/Facebook)

SINGAPURA: Sebagai masyarakat minoriti yang kecil, umat Islam di Singapura sering menyanjung bakti asatizah dan ulama. Mohd Raman Daud menilai ikatan dan pergantungan ini.


Berpulang ke rahmatullah seorang guru agama dan pemimpin masyarakat yang dihormati, almarhum Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, baru-baru ini, bak mencerminkan semacam ‘kehilangan besar’ dalam masyarakat Islam di Singapura.
Ribuan masyarakat menunggu untuk mengiringi jenazah Allahyarham Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat, di Masjid Sultan. (Gambar: Nurhelmy Hakim)
Berusia 69 tahun, almarhum yang lebih dikenali sebagai TM Fouzy, boleh dikatakan antara segelintir asatizah setempat yang dikatakan memiliki ‘karisma’ memikat.

Syarahannya jelas dan lantang. Ramai murid dan pengikutnya yang terkait pula dengan tarekat. Peranannya menonjol sebagai syeh haji-usahawan dan memimpin Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Muslim Singapura (AMTAS).

Beliau juga aktif dalam gerakan kemasyarakatan serta menabur budi di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (PERGAS).
(Gambar: BERITA Mediacorp)
Tidak hairanlah ribuan orang membanjiri Masjid Sultan – melebihi bilangan jemaah solat Jumaat, untuk memberikan penghormatan terakhir mereka kepada almarhum.

Senario itu hampir serupa ketika solat jenazah di masjid itu untuk almarhum Syed Abdillah bin Ahmad Al-Jufri pada 2003.

PERANAN TERAS

Dalam lipatan sejarah Nusantara, termasuk Singapura, peranan guru agama Islam atau kini sering dipanggil asatizah (jamak/plural: ustaz dan ustazah) memanglah ketara.

Boleh dikatakan satu-satunya kitab silam yang menjulang peranan Singapura dalam Dunia Melayu ialah Sulatus Salatin atau lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu. Ia susunan Tun Seri Lanang (bendahara/perdana menteri kerajaan Johor dan kemudian pembesar di Aceh; 1565-1659M).

Misalnya, pendakwah Islam pertama yang cuba merobah kerajaan Singapura ialah Tun Jana Khatib, alim Arab (mungkin asal Yaman) yang telah difitnahkan tetapi ‘hilang ghaib’ apabila hendak dihukum bunuh.

Pulau Jawa atau Kerajaan Majapahit telah dirobah ‘pekertinya’ oleh kehadiran para pendakwah, Wali Songo, dalam abad ke-15M. Malah dalam perjuangan menghadapi penjajahan Barat di belahan dunia ini, nama ulama sering ditonjolkan sebagai pemuka kemerdekaan dari Tuan Guru Yusuf Al-Makassar yang dibuang British sejauh Afrika Selatan sehingga Tok Kenali di Kelantan.

Jelaslah wajah dan jiwa Islam yang membangun tamadun rumpun Melayu memanglah menuntut peranan asatizah atau ulama yang luhur lagi membina. Dan ada satu lagi keistimewaan pada rumpun Melayu sebagai kelompok Muslim terbesar di jagat – para sarjana yang mengkaji Islam sejak zaman penjajah lagi, mendapati rumpun Melayu bersikap “sederhana” berbanding dengan umat Islam di rantau Arab.

ETIKA ASATIZAH

Saya teringat dialog dua sahabat iaitu Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (1924-2016) yang menziarahi ‘abangnya’ Ustaz Ahmad Sonhadji Mohamed (1922-2010) yang sakit – beberapa bulan sebelum berpulangnya Ustaz Sonhadji. Antara lain, mereka menekankan peri pentingnya etika atau akhlak ‘bersederhana’ dalam tindakan baik dari segi amalan budaya mahupun agama. Ini merupakan antara amalan wasatiyyah (وسطية) iaitu sederhana/pertengahan sebagaimana anjuran Quran (Surah Al-Baqarah: 143).

Ustaz Sonhadji merupakan ahli tafsir ketiga di Singapura – selepas Ahmad Hassan (A.Hassan atau Hassan Bandung, 1883-1958) dan Syeikh Abdullah Basmeih (1915-1996) yang berjaya menghasilkan tafsir Quran yang lengkap.

Ustaz Sonhadji berpandangan jauh tentang kehidupan kosmopolitan Singapura dengan menyarankan dialog saling menghormati untuk membina suasana nasihat-menasihati dengan benar dan sabar.

Beliau juga terlibat sebagai anggota jemaah penasihat bagi Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) untuk menyantuni ahli kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI).

Menerusi dorongan Ustaz Sonhadji, muridnya Ustaz Syed Abdillah (1938-2003) juga terlibat dalam tafsir Quran – bermula sebagai mewakili gurunya yang perlu bertugas di Brunei, untuk meneruskan kelolaan ruangan tafsir Quran di radio setempat. Hasilnya: Ustaz Abdillah berjaya membangun dirinya sebagai mufassir meski sayangnya tidak sempat menamatkan seluruh projek tafsir Qurannya.

Generasi asatizah seiring dengan Ustaz Sonhadji dan diikuti Ustaz Abdillah merupakan lulusan daripada Madrasah Aljunied yang pernah dianggap antara institusi Islam yang cemerlang di rantau ini. Sesudah mereka, ramai asatizah di sini telah berpeluang belajar di varsiti Arab, terutama Al-Azhar di Mesir yang dinilai ‘sederhana’ dan juga di Arab Saudi yang dikatakan ‘tegar’ .

Seyogia, Ustaz TM Fouzy dan kalangan rakan sealirannya yang berdarah muda pernah bersikap ‘tegar’, namun ‘dilenturkan’ selepas didampingi asatizah senior (mapan) termasuk Ustaz Sonhadji, Ustaz Abdillah dan Ustaz Hj Ali Hj Mohamed (1948-2023; pengasas RRG). Bahkan, Ustaz TM Fouzy pernah terlibat sebagai pembimbing RRG dan pernah aktif di PERGAS.

Pendedahan ini telah mematangkan beliau sebagai pemimpin masyarakat yang berwibawa.
(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)
OBOR UMMAH

Tidak syak bakti Ustaz TM Fouzy akan dikenang – sekurang-kurangnya perlu dicatat dalam edisi selanjutnya siri Obor Ummah (mungkin Jilid 4) terbitan PERGAS (semoga projek ini diteruskan). Buku ini merakamkan bakti asatizah ternama kita.

Pemilihan nama Obor Ummah menunjukkan betapa runcingnya peranan asatizah sebagai penerang rohani dalam perjalanan yang gelap, bahkan semakin rumit mencabar ekoran ledakan maklumat, terutama dek campur aduk fitnah dan sarat palsu (deepfake).

Kian meningkat kesedaran dan taraf hidup umat Islam setempat serta keteguhan institusi Islam, terutama Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), bermakna laluan asatizah seharusnya lebih terjamin. Titik tolaknya bermula ketika pemerintah bercadang memperkenalkan pendidikan wajib yang antara lain mensyaratkan madrasah yang dikatakan “lemah” agar dirombak demi menghasilkan lulusan berdaya saing. Cerita debar ini cukup panjang (berlaku sekitar tahun 2000 hingga 2002).

PERGAS pimpinan Ustaz Abdillah telah mengambil pendekatan untuk berdialog demi menjernihkan suasana – bak mengeluarkan rambut dari tepung. Ini telah menguntungkan madrasah dan juga mengisi kepentingan nasional. Hasilnya amat jelas – madrasah kian berdaya saing – terpapar pada kejayaan pelajar madrasah yang lulus cemerlang, termasuk dalam peperiksaan bertaraf jagat iaitu International Baccalaureate.

Dengan tertubuhnya Kolej Pengajian Islam (SCIS) oleh MUIS di nusa ini pula, peluang lulusan madrasah untuk berjaya akan lebih menyerlah.

Kemudahan seperti ini meluaskan laluan lulusan madrasah untuk menjadi seperti Ustaz Sonhadji atau Ustaz Abdillah atau sehingga Ustaz TM Fouzy yang memiliki nilai ulama dan keusahawanan.
Dr Maliki dan Allahyarham Ustaz TM Fouzy sewaktu menunaikan ibadah haji pada awal 2024. (Gambar: Facebook/ Dr Maliki)
Seyogia prakarsa atau inisiatif ini bukanlah baharu. Kajian mengenai cendekia Muslim zaman silam menunjukkan dukungan untuk mereka agar dapat menampung pelbagai kemahiran tinggi seperti Ibn Sina (@Avicenna, wafat 1037M) yang dijulang di Universiti Sorbonne, Perancis kerana mencerahkan ilmu perubatan sehingga falsafah. Tegasnya, calon asatizah dan asatizah kita perlu diberi peluang, bimbingan dan sokongan demi membangunkan potensi diri.

Sesungguhnya, dukungan untuk asatizah penting untuk kemaslahatan umat Islam setempat. Kehadiran mereka bak patah tumbuh, hilang (perlu) berganti. Usah kita alpa akan hakikat ini.

MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud. (Gambar: Mohd Raman Daud)
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan