ALAM MELAYU: Orang Melayu dan Kelapa

Seorang pembekal utama buah kelapa di Pulau Pinang dakwa mengalami kerugian puluhan ribu ringgit menjelang perayaan Thaipusam. (Gambar: iStock/Berk Ucak)
Kos sambutan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Syawal tahun ini bagi rumpun Melayu/Islam dijangka naik lagi dan antara sebabnya dikaitkan dengan kenaikan harga kelapa (كلاڤ ).
Menurut laporan media baru-baru ini, tuaian buah kelapa merosot mendadak sehingga 80 peratus sejak tahun lalu. Hal ini dikaitkan dengan fenomena El-Nino iaitu gelombang haba udara yang menjejas pelbagai tanaman sedunia.
BANYAK GUNA ASAL TROPIKA
Kegunaan pohon kelapa kepada orang Melayu seperti faedah pokok kurma kepada orang Arab. Begitulah pengamatan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@Cikgu Ariff, 1924-2016) kepada saya ketika berbincang tentang pepohonan Alam Melayu.
Kelapa atau dikenali juga sebagai nyiur adalah tumbuhan yang mudah ditanam di tanah gembur berpasir. Pohonnya boleh serendah 3 meter atau setinggi 30 meter (yang tinggi sering dipanggil ‘nyiur’) dengan hasil antara 30 hingga 75 biji kelapa setahun – bergantung kepada jenis dan variasi.
Lazimnya, pohon kelapa berbatang kurus, berbuah dan pelepahnya sepanjang empat hingga tujuh meter.

Yang jelas, kelapa adalah antara pepohon tropika, terutama di persisiran (sepanjang pantai). Oleh kerana buah kelapa ringan dan timbul, pokok kelapa mudah tersebar oleh arus laut ke jarak yang jauh. Hal ini dikaitkan pula dengan peribahasa – benih yang baik, dibuang ke laut menjadi pulau.
Ketika Singapura dibuka British, antara tanaman yang popular ialah pokok kelapa seperti yang dijayakan usahawan wanita, Hajah Fatimah Sulaiman (1754-1852; pengasas Masjid Hajah Fatimah di Beach Road) yang membuka estet ladang kelapa sejauh Katong.
Kelapa dikenali sebagai pokok seribu guna kerana pelbagai kepentingan kepada masyarakat Melayu sejak silam lagi. Ia meliputi perubatan, minuman dan makanan, adat dan tradisi, permainan, bahan binaan serta kraf tangan.
PENGUBATAN
Dari segi pengubatan, kelapa kaya dengan khasiat dan zat yang penting yang diperlukan tubuh manusia seperti vitamin, serat (fibre), potasium dan antioksidan. Air kelapa dikatakan mujarab bagi penyakit seperti demam campak (measles) ataupun keracunan makanan dan apabila menghidap alahan (alergi) terhadap makanan atau ubat tertentu.

Wanita Melayu dahulu sering menggunakan santan (susu kelapa) sebagai produk kecantikan dan dicampuri bahan lain supaya lebih berkesan penggunaannya. Ia dikatakan dapat menyingkir dan menggantikan sel kulit yang mati dengan lebih cepat.
Daripada isi atau daging kelapa (dipanggil ‘kentos’ atau ‘tombong’), boleh diperolehi minyak kepala dara (virgin coconut oil) yang memiliki khasiat besar untuk kesihatan. Air kelapa kian popular sebagai air isotonik semula jadi yang kaya zat galian (mineral) untuk mengatasi masalah lesu dan muka pucat.
Dari segi makanan dan minuman pula, isi kelapa parut dijadikan sebagai inti ataupun penyalut kuih-muih untuk menambahkan selera dan dijadikan hiasan supaya kuih-muih tersebut lebih menarik.
Santan selalunya dijadikan bahan utama makanan tradisional Melayu kerana rasa lemak serta keunikan perisanya. Santan menjana juadah seperti kari, bubur, dan nasi pulut serta kuih-muih dan pengat.
Pernah ada tengkarah tentang santan kerana kononnya antara punca wanita Melayu menjadi gemuk. Maka santan digantikan dengan susu tetapi kurang ‘enak’ kesannya. Kini santan kembali popular kerana ada bukti saintifik akan faedahnya, tetapi perlulah berpada-pada menikmatinya.

Tandan kelapa pula dibelah dan akan mengeluarkan cecair manis yang dipanggil nira. Apabila disimpan cukup lama, nira boleh bertukar menjadi cuka ataupun tuak (bahasa Tamil: todi) yang memabukkan. Nira juga diproses menjadi gula Melaka atau gula Jawa.
Kelapa tua diproses untuk dijadikan minyak masak untuk makanan harian dalam pelbagai jenis kuih-muih. Minyak daripada sabut kelapa diproses untuk dijadikan minyak pelita.
ADAT
Dahulu, kelapa biasanya akan digunakan dalam majlis cukur rambut atau adat potong jambul bagi bayi yang baru lahir. Adat ini dilakukan pada hari ketujuh setelah bayi dilahirkan. Sebiji kelapa muda akan dipotong bahagian kepalanya dengan potongan berkelok-kelok (siku seluang) untuk dijadikan penutup. Airnya dibuang dan diganti dengan sedikit air sejuk. Kemudian kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil.
Biasanya kelapa itu dihias dengan melilitkan rantai emas atau perak di kelilingnya. Rambut bayi yang dicukur akan dimasukkan ke dalam kelapa tadi. Akhirnya kelapa tersebut ditanam di sekitar halaman rumah bersama sepohon anak kelapa atau seumpamanya sebagai memperingati masa anak itu dilahirkan. Adat ini telah digantikan dengan adat cukur rambut dan tahnik secara Islam.
Daripada daun pokok kelapa atau janur, terhasil anyaman ketupat yang dirintis Sunan Kalijaga dalam abad ke-16M. Ketupat menampung falsafah tasawuf. Gubahan janur pula pernah dipanggil ‘Indobana’ yang turut dipopularkan oleh Almarhum Hj Sukaimi Ibrahim (wafat: 2000) di Singapura.

Dahulu, ibu hamil berlenggang perut. Antara lain, buah kelapa diguling atas perut hingga ke kaki ibu hamil untuk mengetahui jantina bayi dan membetulkan kedudukan bayi agar tidak songsang.
TEMPURUNG DAN BATOK
Terdapat beberapa permainan tradisional Melayu berasaskan kelapa. Permainan tarik upih menggunakan daun kelapa untuk menarik penumpang yang duduk di atasnya. Bagi permainan boling padang pula, buah kelapa dijadikan bola boling untuk menjatuhkan tin. Lari tempurung pula menggunakan tempurung kelapa yang dibelah dua dan seterusnya diikat tali di bawah telapak kaki pemain yang berlumba lari bergilir-gilir.
Sebagai kraf tangan, tempurung kelapa boleh diukir serta diwarnakan dan kemudian dijadikan sebagai barang perhiasan. Batang kelapa boleh dijadikan senduk, sudip dan lain-lain. Batang kelapa juga boleh diproses menjadi kayu untuk kegunaan industri binaan dan perabot sehingga dijadikan titi (jambatan kecil) serta bahan pembinaan untuk rumah seperti papan, dinding dan lantai.
Tempurung kelapa boleh dijadikan bahan bakar – diproses menjadi arang teraktif untuk pembuatan ubat nyamuk. Serbuk sabut kelapa boleh dijadikan baja untuk pertanian.

Pemuzik pahlawan Indonesia, Ismail Marzuki (1914-1958) menjulang kelapa menerusi lagunya yang dianggap nyanyian wajib di Indonesia – ‘Rayuan Pulau Kelapa’, yang antara seni kata atau syairnya:
Tanah airku aman dan makmur
Pulau kelapa yang amat subur
Pulau melati pujaan bangsa
Sejak dulu kala
Oleh itu, apabila terpandang pohon kelapa, ingatlah pesan Cikgu Ariff: Orang Melayu wajar merenungi pohon kelapa yang “seribu guna” – indah nun jauh dipandang, melambai-lambai ditiup bayu dan turut memelihara alam (meneguh pantai atau tebing sungai daripada mudah terhakis air).
LAPORAN BERKAITAN:

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.