Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Nama Timangan Orang Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Nama Timangan Orang Melayu
Amalan memberikan nama dan timangan kepada anak bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat Melayu/Islam. (Gambar hiasan: Canva)
Diterbitkan : 29 Aug 2026 10:38PM Dikemas Kini : 29 Aug 2026 10:41PM
SINGAPURA: Amalan memberikan nama dan timangan kepada anak masih berlaku dalam masyarakat kita.

Apakah ini elok diteruskan atau dipinggirkan sahaja? Mohd Raman Daud menyusuri ringkas amalan ini merentas zaman.

Memberikan ‘nama timangan’ (Inggeris: nickname) boleh dikatakan terdapat dalam banyak kaum, menurut kalangan sarjana bidang sosio-onomastika. Rumpun Melayu tidak terkecuali.

Baru-baru ini, tular berita berpulangnya seorang balu tokoh terbilang yang dikenali nama timangannya sebagai ‘Wan Enchon’.

Istilah ‘timang’ bermaksud mengangkat bayi atau mendukung sambil menghayun-hayunkannya sebagai tanda kasih sayang.

‘Timangan’ pula bermakna ‘anak kesayangan’ atau nama manja yang diberikan selain nama asal lahir.
Related article image
'Timangan' bermakna ‘anak kesayangan’ atau nama manja yang diberikan selain nama asal lahir. (Gambar hiasan: iStock)
‘Timangan’ juga boleh bermaksud nama yang diberikan sebagai ‘penghormatan’ atau ‘menolak sial atau bala.

Ini antara dapatan budayawan nusa, Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016) kepada penulis.

Makalah ini berdampingan dengan makalah terdahulu penulis pada 18 Julai 2024 di ruangan ini.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016). (Gambar: NAC)
EVOLUSI

Menurut Cikgu Ariff, nama orang Melayu sering ditentukan oleh kepercayaan sejak zaman animisme (memuja roh benda-benda), Hindu-Buddha (abad ke-2 Masihi) dan Islam (sejak abad ke-9 Masihi) serta globalisasi (pengaruh Barat dan perhubungan antarabangsa).

Proses kesedaran dan penghayatan Islam pada rumpun Melayu berlaku secara beransur-ansur atau evolusi. Oleh itu, terdapat amalan lama yang mengaitkan ‘tuah’ (lawannya: sial) kepada seseorang bayi yang baru lahir, jelasnya.

- Nama alam pernah digunakan seperti nama bunga untuk wanita - Melati, Mawar, dan pokok yang kuat ‘Jati’ untuk lelaki.

Apabila agama Hindu-Buddha memasuki rantau ini, nama raja ditukar kepada Bahasa Sanskrit seperti Sang Sapurba dan Nila Utama.

Ketika Islam tersebar, banyak raja telah menggugurkan nama Hindu-Buddha dan mengambil nama Arab-Quran. Misalnya, raja pengasas Samudera Pasai (kerajaan Islam awal di utara Sumatra pada abad ke-13 hingga ke abad 16M), Meurah Silu (atau Merah Silu yang bermakna ‘semut merah yang besar’) telah menggunakan nama Sultan Malik al-Saleh (juga dieja: Malikussaleh).
Related article image
Sultan Malik al-Saleh. (Gambar: Instagram/hmpsski_uinsuka)
Amalan raja (kemudian bergelar ‘sultan’) diikuti rakyatnya, terutama di kawasan pusat kerajaan dan pesisiran. Tetapi yang tinggal di pedalaman, perubahannya mungkin agak lambat. Demikian pendapat budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (1936 – 2015). Nama ‘Tenas’ ialah singkatan Tengku Nasaruddin Said Effendy bin Tengku Said Umar Muhammad Al-Jufri.
Related article image
Pak Tenas Effendy. (Gambar: YouTube/Gahara)
Antara tujuannya adalah untuk merakyatkan diri sebagai seorang pengkaji masyarakat dan adat, ujar Pak Tenas kepada saya.

Lazimnya golongan diraja atau bangsawan mempunyai nama yang panjang demi mencerminkan ‘kehebatan’ atau ‘kemuliaan’ mereka.

Namun bagi rakyat jelata, lazimnya nama yang dipilih itu ‘mudah’, iaitu ringkas atau senang disebut.

Awang Dan Dayang

Nama ‘Awang’ (bagi lelaki) dan ‘Dayang’ (perempuan) amat sering digunakan di Tanah Melayu sehingga ke Brunei.

Misalnya, nama hulubalang Melaka yang ditawan penakluk Portugis, Afonso de Albuquerque, (1453 – 1515) ketika menyerang Melaka ialah ‘Awang’. Namanya menjadi Henrique O Negro (Henrique Yang Hitam) atau Henrique de Malacca -- malim utama pelayaran Ferdinand Magellan untuk mengelilingi dunia.

Antara hikayat (cerita rakyat lama) yang terkenal ialah ‘Awang Sulung Merah Muda’ berasal dari Kelantan. Ia menceritakan pengembaraan seorang anak diraja menempuh pelbagai ujian hidup untuk membina namanya.

Di Brunei, ‘Awang’ dan ‘Dayang’ serupa dengan gelaran ‘Encik’ dan ‘Cik’. Teringat kisah seorang tokoh yang bernama Awang dari Semenanjung yang dibubuh namanya menjadi ‘Awang Awang bin ….” dalam pertemuan sastera di Brunei. Beliau menolaknya kerana ‘awang-awang’ bererti ‘ruang kosong antara langit dan bumi’

Timangan - Pembeza Nama

Setelah kedatangan Islam yang merobah kepercayaan majoriti rumpun Melayu, nama Arab-Quran - dari nama indah Allah, Nabi Muhammad (mempunyai lebih 200 nama seperti Mustafa), malaikat, para nabi, Sahabat Rasulullah sehingga wali diguna pakai oleh orang Melayu.

Nama yang paling sering digunakan ialah Muhammad, Ahmad, Abdullah, Abdul Rahman dan Abdul Rahim.

Singkatan ‘Ahmad’ menjadi ‘Mat’ (seharusnya ‘Mad’) sehingga anak Melayu sering dipanggil ‘Mat’ sahaja.

Dan lawan Mat bagi wanita pula ialah ‘Minah’ (singkatan ‘Aminah’ iaitu sempena nama ibu Nabi Muhammad).

Dek begitu banyak yang bernama Ahmad di kampung, maka timbullah nama timangan seperti Ahmad ‘Panjang’, Ahmad ‘Tinggi’ dan sebagainya.

Proses penyingkatan nama juga berlaku dalam masyarakat Melayu, misalnya Abdullah menjadi ‘Dol’ atau ‘Dollah’; Abdul Rahman menjadi ‘Deraman’; Muhyiddin menjadi ‘Maidin’ dan sebagainya.

Untuk perempuan, Zawiyah diringkaskan menjadi ‘Joyah’, Hasnah (Senah), Zubaidah (Bedah) dan seterusnya.

Adakalanya orang Melayu menempatkan gelaran kedudukan seseorang dalam keluarga pada nama timangan, misalnya Ahmad sebagai anak yang sulung, dipanggil Long Ahmad. Pernah ada seorang perintis lombong bijih timah di Larut, Perak yang bernama Long Jaafar (1790 - 1857).
Related article image
Long Jaafar (1790 - 1857). (Gambar: Facebook/JAGAT IMPAK)
Ada pula orang dahulu kala yang tidak dikenali nama sebenarnya tetapi pekerjaannya. Misalnya, ‘Wak Cantuk’ (cantuk = bekam) yang mengamuk kerana dihina di Kampong Gelam pada dekad 1850-an, tidak diketahui nama asalnya. Kononnya, dia orang Bugis tetapi mengapa dipakaikan gelaran ‘wak’ (ertinya paman dalam Bahasa Jawa)?

Nama asal Arab-Quran juga boleh didialekkan. Misalnya, Salleh dijawakan menjadi Aleh, begitu pula Amin disengaukan (nasalized) menjadi Ngadimin atau Ngatimin.

Nama Rahman Hussin dibaweankan menjadi Makmang Koceng. Yusuf pula sering dipanggil ‘Usop’ atau ‘Ucop’.

SIAL, TUAH DAN GLAMOR

Orang Melayu percaya ada nama yang agak ‘berat’ sehingga membawa penyakit, atau nama itu tidak serasi dengan seseorang.

Ini juga antara faktor pembentuk nama ‘timangan’ yang diharap mengelak musibah atau ‘sial’ dan membawa tuah.

Pada suatu masa, nama ‘Buang’ sering digunakan dengan kepercayaan ‘musibah’ (kecelakaan) si anak dapat tersingkir atau dibuang.

Pernah ada seorang guru Melayu di nusa ini yang bernama ‘Pungot bin Buang’. Ada pula kata ‘Buruk’ digunakan sebagai nama.

Ada pula kalangan ibu bapa yang memberikan nama anak dengan menegaskan kejantinaan seperti ‘Jantan’ (lelaki) atau ‘Dara’ (perempuan).

Saya masih teringat seorang Muslimah berumur dalam rombongan haji pada 1997. Agak kelu lagi malu untuk menyapanya. Lazimnya jemaah haji yang tidak elok namanya akan mendapat ‘nama baharu’ di Tanah Suci.

Menurut Cikgu Ariff, dengan kian menghayati Islam, orang Melayu menggunakan nama indah untuk anak mereka. Namun sering si anak mungkin lalai ‘menghayati’ nama indah itu sehingga bertindak yang mencemarkan namanya sendiri.

Itulah sebabnya, orang Turki, misalnya, dikatakan amat memelihara nama Nabi Muhammad, sehingga sekadar mengambil nama ‘Mehmet’ sahaja. Wallahu ’alam.

Seniman besar P. Ramlee (1929 - 1973), berdarah bangsawan Aceh dan lahir di Pulau Pinang, telah mencorak nama bintang filem atau penyanyi sezamannya agar molek (glamour).

Nama asal beliau ialah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh. Antara lain, beliau merobah nama seniwati air mata, ‘Bulat’ (atau Buntat) binti Ahmad menjadi Neng Yatimah.
Related article image
Seniwati Neng Yatimah. (Gambar: Instagram/kebaya.societe)
Related article image
Seniman P. Ramlee (1929 - 1973) dan biduanita Saloma (1935 - 1983). (Gambar: Facebook/Made In Ipoh)
Nama isteri ketiganya, biduanita Salmah Ismail ditampilkan menjadi Saloma (1935 - 1983). Sementara anak didiknya dan juga penulis lirik terkemuka, Cikgu Mohamed Noor Mohamed Yusof (1937 - 2025) diberikan nama pena Yusnor Ef dengan pesan “…pakai nama ini, nanti kau naik.”
Related article image
Penulis lirik terkemuka, Cikgu Mohamed Noor Mohamed Yusof (1937 - 2025). (Gambar ihsan: Reeta Yusnor Ef)
Kerap juga nama timangan lebih menonjol daripada nama sebenar.

Misalnya, sejarawan ‘tak sengaja’ (accidental historian) Muhammad Yusuf bin Adil (1907 - 1976), lebih dikenali dengan nama timangannya sejak di bangku sekolah dan di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) iaitu ‘Buyong’ bin Adil.
Related article image
Buyong Adil (1907-1976). (Gambar fail: BERITA Mediacorp)
Dengan adanya Internet, kian mudah memilih nama. Namun waspadalah akan kaitan nama dan timangannya.

Yang terpenting: pilihlah yang indah dan bermakna agar si pemakai menjadi ‘manusia berguna lagi mulia’, pesan Pak Tenas.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita