Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Mohon Maaf Menyongsong Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Menerusi media sosial, timbul trend memohon maaf seawal Syaaban iaitu beberapa minggu sebelum Ramadan. Padahal, budaya bermaafan lazimnya dalam Syawal. Mohd Raman Daud menyingkap peralihan ini.
Antara poster ‘maaf’ Muslim dari Internet.
Belum pun tiba Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Puasa untuk bermaaf-maafan, ramai orang sudah bermedia sosial untuk memohon ampun seawal dalam bulan Syaaban.

Macam aneh bin ajaib! Bukankah ini terlalu awal atau dini? Dan apakah ia akan menjadi ‘adat’ kelak? Atau ia sekadar amalan ikut-ikutan dan bakal pudar (fading norm).

MEMBARIS UCAP MAAF

Antara ratusan contoh barisan kata maaf menjelang Ramadan di ruang siber, termasuk poster atau risalah, adalah seperti berikut:

1. Umum
• Semoga di bulan penuh barakah ini, kita dapat menjalani ibadah dengan hati yang bersih. Mohon maaf lahir dan batin.
• Sebelum Ramadan tiba, mari saling memaafkan agar ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

2. Keluarga
• Ayah dan Ibu, mohon maaf atas segala kesalahan anakmu ini. Semoga Ramadan kali ini penuh berkat.
• Tiada kata seindah bahasa dalam kita saling memaafkan. Semoga Ramadan kali ini membawa kebahagiaan bagi keluarga kita.

3. Sahabat
• Sahabatku, jika ada luka yang pernah ku berikan, mohon dimaafkan. Selamat melaksanakan ibadah puasa.
• Tiada insan yang sempurna, begitu juga diriku. Mohon maaf atas segala kesalahan yang pernah terjadi.
(Gambar: sumber web/berita99)
ERTI MAAF

Menurut Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (kedua-dua online), ‘maaf’ bererti:

1. Pembebasan seseorang daripada hukuman (tuntutan, denda, dan sebagainya) kerana suatu kesalahan; ampun: minta --;

2. Ungkapan permintaan ampun atau penyesalan: -- , saya datang terlambat;

3. Ungkapan permintaan izin untuk melakukan sesuatu: -- , bolehkah saya bertanya.

Maaf diambil atau diserap daripada kata Arab – ma’afu atau ma’fu (kata dasar ‘afa’). Antara sifat/nama indah Allah SWT ialah Al-‘Afwa iaitu Yang Maha Memaafkan.

Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad @ Dr MAS (1924-2016) berpendapat sifat atau sikap ‘pemaaf’ mencerminkan antara ciri jati diri orang Melayu sebagai insan bertatasusila lagi santun.

Lazimnya, kata Dr MAS, orang Melayu yang budiman itu merendah hati (BUKAN merendah diri = Inggeris: inferior) demi menjaga hati orang lain, termasuk keluarga, sanak saudara, sahabat handai, jiran atau masyarakat.

Tambahnya lagi: “Orang kita sering tidak mahu menyakiti hati orang lain. Oleh itu, dalam majlis, sering pengacara mohon maaf sebelum menyampaikan hasrat secara lisan atau bertindak. Atau sebelum tidur, orang kita sering memberi maaf dalam hati atas kesalahan semua orang terhadap dirinya.”

Sering kata asal Melayu iaitu ‘ampun’ seerti atau sinonim dengan ‘maaf’. Namun, dari segi penggunaan tampak ‘ampun’ lebih berat darjah atau timbangannya daripada ‘maaf’. Misalnya:

1. ‘Pengampunan’ penguasa. Contoh ayat: Dollah terlepas daripada tali gantung kerana kesalahan dadah menerusi Pengampunan Diraja sempena Hari Keputeraan Sultan..

2. “Ampun tuanku, sembah patik beribu-ribu diampun.” Ayat ini sering terdapat dalam dialog hikayat atau cerita Istana apabila rakyat menemui raja.

‘Ampun’ juga digunakan dalam maksud “sungguh” atau “amat’ seperti ayat berikut:

3. “Minta ampun... sedapnya masakan awak,” kata pengacara radio dan ahli masakan Melayu, Asmah Laili (1940-2019) dalam rancangannya di stesen radio WARNA.
(Gambar: sumber web)
KESAN MEMAHAMI HADIS

Menurut sebilangan ulama di dalam dan luar negara yang dipetik media massa, trend tadi mungkin tercetus dek pemahaman sebuah hadis terkenal. Ia diriwayatkan secara berasingan oleh dua Sahabat, Abu Hurairah (r.a.) dan Jabir (r.a.) dan kedua-duanya dinilai sahih.

Ringkasnya: Pada suatu solat Jumaat, ketika Rasulullah SAW menaiki tiga anak tangga mimbar, Baginda menyatakan tiga ‘amin’ (moga diperkenankan Allah SWT) dan salah satu ‘amin’-nya ialah:

“Ketika aku menaiki tangga pertama, (Malaikat) Jibrail datang kepadaku dan berkata: ‘Celakalah seorang hamba yang mendapati bulan Ramadan namun dosanya tidak diampuni’. Maka Aku pun berkata: Amin.”

Hadis tadi dirakamkan oleh Ibn Hibban dan Ibnu Khuzaimah. Dipengaruhi ulasan tentang hadis sedemikian di media sosial, maka mungkin kalangan Muslim menilainya sebagai pendorong untuk “membersihkan” dosa diri sebelum memasuki bulan suci Ramadan.

Tetapi menurut kalangan ulama termasuk Almarhum Ustaz Abdillah Ahmad Aljufri (1938-2003, jangan menanti menjelang Ramadan atau Syawal untuk mohon maaf dengan tulus kerana Islam mengajarkan umatnya agar segera minta ampun jika berbuat salah/silap seperti dalam Surah An-Nisa’, ayat 17 dan Surah Ali Imran, ayat 133-134.

Ramadan menampilkan tiga sinar/kurnia besar Ilahi kepada umat Islam iaitu menghayati Al-Quran yang mula diturunkan dalam bulan ini, tuntutan berpuasa (wajib) dan Malam Lailatulqadar (malam rahmat yang lebih baik daripada seribu bulan).
Gambar hiasan. (Gambar: Masjid MABA/Unsplash)
MELAYU

Dalam karya klasiknya ‘Lembaga Budi’, Prof Hamka (1908-1981), antara ulama dan sasterawan ternama rantau ini, menilai ‘budi’ sebagai jiwa dan pekerti Melayu. Ia sarat dengan rasa rendah hati yang serupa dengan sifat tawaduk yang dituntut Islam demi memelihara salam (kedamaian) dan keihsanan sesama manusia dan perpaduan.

Maka itu, orang Melayu budiman sering rela menjadi pemaaf daripada menaruh dendam atau menagih jasa orang untuk dibalas baktinya. Awas, adakala berlaku hal ekstrem atau melampau pada baik hati orang Melayu yang mencecah darjah berkorban apa sahaja walaupun tidak munasabah (tidak masuk akal) bak diperi dan diperingat orang tua-tua dulu: ‘anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran’.

Peribahasa tadi dijulang sinis dalam sajak Sasterawan Negara Malaysia, Dr Usman Awang (1929-2001), ‘Melayu’:

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan;
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"


Dengan trend mohon maaf berlaku sebelum Syawal, apakah para pelakunya sedar tentang hal-hal di atas? Atau mereka lakukan tanpa fikir atau ikut sedap hati? Tepuk dahi tanya akal, tepuk dada tanya selera.
Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita