ALAM MELAYU: Mereka Yang Sangsikan Peribahasa
Relevan lagikah peribahasa Melayu?
Itulah antara soalan 30 tahun dahulu ketika saya mengasuh ruang rencana akhbar setempat. Ia sering diajukan oleh kalangan guru Bahasa Melayu sehingga mahasiswa.
Maka saya cuba menjawabnya, termasuk menyertakan penjelasan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad @ Cikgu Ariff. Misalnya, perlukah peribahasa digunakan dalam konteks moden sedangkan ia dihasilkan dalam zaman silam; apa beza simpulan bahasa, kiasan dan perbilangan serta sebagainya.
Baru-baru ini, dalam sembang kedai kopi dan pinggiran masjid, soalan-soalan tadi rupa-rupanya masih bergema lagi. Ramai yang bingung mendengar peribahasa ‘biar mati anak, jangan mati adat’ atau ‘rezeki secupak tak boleh jadi segantang’ dan sebagainya.
Teringat akan pesan Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 6 Disember 1924 - 23 Mac 2016) yang berkata: “Peribahasa ibarat hadis untuk orang (rumpun) Melayu.” Beliau rumuskan sedemikian selepas lama mengkaji peribahasa termasuk menghasilkan buku ‘Mutiara Bijaksana’ (ASAS’50, 2011).
Menurut Pendeta Dr Za'ba (Zainal Abidin bin Ahmad, 1895 - 1973), peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Tidak diketahui pasti jumlah peribahasa Melayu. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia (DBP), terdapat lebih 1,000 peribahasa dalam pelantar atau platform mayanya.
Dewasa ini dikatakan buku ‘Peribahasa Melayu: Penelitian Makna Dan Nilai’ (UPM, 2011) susunan Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan, setebal 841 muka surat menampung 5,737 kuntum peribahasa. Ia dikatakan kumpulan peribahasa ‘paling lengkap’ sejauh ini.
Namun menurut Dr Tenas Effendy (1936 - 2015), budayawan besar Riau, di kawasan Riau-Lingga sahaja terdapat sekitar 10,000 peribahasa tetapi banyak yang belum terkumpul.
Umumnya, setiap masyarakat di dunia mempunyai peribahasa masing-masing. Ia merupakan ‘kata-kata’ warisan daripada orang tua-tua. Hakikatnya masih terbatas kajian mengenai peribahasa Melayu.
PROSES ALAMIAH
Kebanyakan peribahasa yang merangkumi simpulan bahasa, kiasan, perumpamaan, pepatah sehingga perbilangan memang dihasilkan sejak ribuan tahun lalu. Lazimnya tiada catatan mengenai siapa pengarang sesuatu peribahasa.
Orang dulu-dulu dikatakan tidak suka mendabik dada untuk mengakui sesuatu sebagai miliknya tetapi menjadikan kepunyaan sebagai milik bersama.
Peribahasa memanglah cabang sastera kerana asalnya ia berupa pengamatan tentang kehidupan manusia sesama manusia dan interaksinya dengan alam. Pengamatan itu kemudian disusunkan kata bernas untuk menjadi ayat yang singkat antara dua sehingga belasan perkataan sahaja demi mudah mengingatinya dalam menyampaikan pesan atau nasihat.
Contoh simpulan bahasa (dua perkataan): ‘air muka’ (harga diri), ‘kaki ayam’ (tidak memakai alas kaki) berbeza dengan perbilangan (madah panjang seperti dalam adat) seperti ‘adat bersendikan Syarak, Syarak bersendikan Kitabullah’.
Peribahasa jelas menunjukkan rapatnya orang Melayu dengan alam. Ini jelas dalam madah Minang yang menyatakan ‘Alam terkembang menjadi guru’. Jelaslah manusia belajar daripada alam untuk membina hidupnya.
SEJARAH
Peribahasa bukan dihasilkan asal suka-suka atau dengan ‘sewenang-wenang’ sahaja. Ada peribahasa menyangkut sejarah seperti berlaku di Aceh dalam zaman emas kesultanannya pimpinan Iskandar Muda Mahkota Alam (1593 - 1636) iaitu raja ke-12.
Beliau berharap sangat agar puteranya menggantikan tempatnya sebagaimana adat Aceh. Namun puteranya, Meurah Pupok, dilaporkan berzina dan setelah disiasat, terbukti benar. Memandangkan Aceh adalah kerajaan beragama Islam, maka putera itu dihukum bunuh dengan direjam batu.
Beliau dikatakan melafazkan satu ungkapan yang masyhur dalam Bahasa Aceh: “Mate aneuk meupat jeurat, gadoh adat pat tamita” yang bermaksud: “Mati anak ada kuburnya, hilang adat (hukum) di mana hendak digantikan.” Di sinilah lahirnya pepatah: “Biar mati anak, jangan mati adat”.
Pada awal 1970-an, akhbar setempat melaporkan seorang tokoh di Singapura mencetuskan tengkarah mengenai pentafsiran peribahasa tadi dengan menyatakan ia tidak masuk akal dan tidak memenuhi kehendak zaman. Sayangnya, tokoh itu telah dikritik kerana tidak ‘tahu sejarah’.
Peribahasa ‘sekali bah, sekali pantai berubah’ juga dikaitkan dengan Aceh yang menurut para sarjana bukan sekali mengalami tsunami (bah/gelombang besar) pada 2004. Rupa-rupanya kejadian tsunami sudah berlaku ke atasnya sejak zaman prasejarah iaitu kira-kira 7,400 tahun lalu. Data ini diperolehi berdasarkan kajian lapisan tanah di sebuah gua.
Itu baru Aceh. Bagaimana daerah lain di rantau rumpun Melayu Nusantara yang amat luas ini?
Ketika armada kerajaan Chola pimpinan Rajaraja menyerang balas Sriwijaya pada abad ke-10 Masihi, dikatakan serangan itu berlaku ketika air pasang tinggi sehingga dikenali sebagai ‘air pasang Keling’. Keling merujuk kepada kerajaan silam Kalinga di India. Ia bukanlah suatu istilah kesat atau menghina, tetapi neutral sebagai peringatan sejarah. Di Singapura, daripada enam atau tujuh tanjung terdapat Tanjung Keling (dieja rasmi: Tanjong Kling), dan begitu juga di Melaka.
UNGKAPAN MODEN
Apakah peribahasa dapat dimodenkan?
Menurut Pak Tenas Effendy (1936 - 2015), budayawan Riau, peribahasa yang lama memanglah abadi begitu sahaja, tetapi orang moden boleh menciptakan ungkapan bijaksana dan terpulang kepada masyarakat untuk mempopularkannya.
Misalnya, peribahasa ‘masuk bakul, angkat sendiri’ yang bermakna ‘memuji diri sendiri’ sudah ditukarkan dengan 'masuk lif, tekan butang sendiri'. Banyak lagi contoh boleh dideretkan seperti yang dituturkan anak muda metropolitan Singapura – ‘gereklah, brader’ (gerek = lagak) iaitu sering bermaksud tunjuk lagak dan ‘brader’ (Bahasa Inggeris, brother) bermaksud kawan lelaki. Seyogia, ‘gerek’ juga boleh bermaksud gerudi atau menebuk.
Biduan Ismail Haron (1946 - 2012) telah menonjolkan ungkapan ‘Minah Kental’ yang bermaksud wanita muda yang lasak dan sanggup ambil risiko berkahwin dengan pemuda kasar dalam nyanyian bersama Anita Sarawak, ‘Kisah Dol di Suatu Petang’.
Peribahasa mencerminkan ‘maruah’ masyarakat yang memilikinya. Ia gambaran kebijaksanaan sehinggalah pandangan hidup untuk bertahan, berjuang dan berjaya dalam apa jua lapangan. Kalangan sarjana seperti Prof Mohd Taib Osman (1934 - 2017), anak Singapura yang pernah menjadi canselor Universiti Malaya, berpendapat peribahasa Melayu yang kaya dengan nilai ‘budi’ boleh dianggap suatu khazanah tidak ternilai dunia.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.