ALAM MELAYU: Menyongsong Zaman Supra Tua
(Gambar: Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee)
SINGAPURA: Antara isi penting ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025 (NDR2025) baru-baru ini ialah kehadiran penduduk lampau tua (super aged). Apakah ertinya pada penakatan nusa ini? Mohd Raman Daud menilainya dari sudut budaya.
Tahun depan, 2026, Singapura diunjurkan mempunyai penduduk Lampau Tua atau Supra Tua (Super Aged). Apakah ertinya?
Hal ini dibentangkan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025 (NDR2025) baru-baru ini.
Beliau juga menggariskan sejumlah langkah untuk membantu warga tua, termasuk menambah pusat jagaan warga tua di kawasan kejiranan perumahan awam.
Peringkat penuaan dalam lapisan penduduk berbeza-beza menurut sosiobudaya masyarakat. Namun mengambil pedoman daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), peringkatnya seperti berikut:
- Masyarakat Menua (Aging Population): Apabila 7 peratus atau lebih daripada penduduk berumur 65 tahun atau lebih.
- Masyarakat Tua (Aged Population): Apabila 14 peratus atau lebih daripada penduduk berumur 65 tahun atau lebih.
- Masyarakat Lampau Tua (Super Aged): Apabila seperlima (20 peratus) atau lebih daripada penduduk berumur 65 tahun atau lebih.
PUNCA TUA
Masyarakat menjadi lampau tua kerana adunan dua faktor: pertama, peningkatan jangka hayat dan kedua, penurunan kadar kelahiran (dek keluarga kian kurang mempunyai anak atau wanita enggan beranak).
Lazimnya lapisan usia penduduk – kanak-kanak, remaja, belia, dewasa hingga tua – dipaparkan bak piramid.
Pada rajah penduduk lampau tua: dasar piramid (golongan muda) semakin mengecut sedang puncaknya membesar – seolah-olah piramid akan tumbang! Inilah aspek yang dibimbangkan.
Antara lain, ia bermakna sistem kebergantungan sosial kian memberat, berlaku kekurangan tenaga kerja dan perkhidmatan penjagaan kesihatan semakin tertekan.
Hal ini terjadi di negara-negara maju (setaraf Singapura sebagai negara Dunia Pertama) seperti Jepun, Itali dan Korea Selatan.
Adat Melayu patuh Islam. Perbilangan Melayu daripada Adat Perpatih (Minangkabau), menyerlahkannya dengan cukup indah:
Adat bersendikan Syarak,
Syarak bersendikan Kitabullah.
Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924-2016):
“Dengan izin Tuhan, setiap kita akan tua. Cuma sejak muda, kita perlulah berbekal ilmu dan amalan akhlak yang baik agar hidup kita sentiasa berguna kepada orang lain dan dan diri kita sendiri kelak.”
Ujarnya lagi, masyarakat harus faham bahawa tiada yang tua, maka tiada yang muda. Maka itu, yang tua diutama; yang muda dimulia. Inilah teras hormat-menghormati dalam masyarakat. Orang tua, misalnya, diberi keutamaan ketika naik bas atau tren, sehingga yang muda ‘melepaskan’ tempat duduknya.
Dalam adikaryanya, ‘NILAM’ (2007), Dr MAS pernah memetik madah daripada ‘abangnya’, tokoh Islam ternama setempat, Ustaz Ahmad Sondhaji Mohamed (1922-2010) yang menuturkannya dalam Bahasa Jawa:
“Biarlah jadi orang tua yang empat, jangan jadi yang lima. Pertama, tuwo nutur (orang tua yang memberi nasihat). Kedua, tuwo nawur (orang tua yang menabur bakti seperti banyak bersedekah/menderma). Ketiga, tuwo ngatur (orang tua yang mengatur gerakan masyarakat). Keempat, tuwo nyembur (orang tua yang memberikan jampi serapah sebagai penawar untuk penyakit). Kelima, usah jadi tuwo njagur (orang tua yang negatif kerana masalah zahir seperti sakit melarat atau nyanyuk atau berperangai buruk).”
Jangka hayat (life span) tidak sama dengan jangka sihat (health span). Menurut beliau, biar usia pendek asalkan terus sihat sehingga ajal tiba menjemput. “Kesihatan adalah harta yang tiada tandingnya. Bila sihat, apa kerja boleh dibuat menjadi berkat,” tambahnya.
DOA PANJANG USIA
Dalam Alam Melayu, sudah dilazimkan atau ‘teradat’ adanya doa selamat yang memohon “semoga panjang umur”?
“Sebenarnya dalam Islam, setiap benda ada tarikh luputnya. Istilah Inggerisnya, ‘expiry date’. Begitulah adatnya ciptaan atau makhluk Tuhan. Hanya Tuhan yang kekal. Oleh itu, yang diadakan doa agar panjang usia sebenarnya sekadar pemanis kata,” ujar Dr MAS.
“Orang tua bukan bermakna orang yang sudah berumur lanjut. Yang muda boleh dituakan kerana ilmu, pengalaman dan akhlak luhurnya sebagai pemimpin atau ketua,” kata beliau dalam satu seminar di Singapura pada awal 2000-an.
“Namun sebaik-baik tua ialah orang yang memang sudah berumur tetapi memiliki sifat-sifat terpuji dari segi ilmu dan adabnya,” pesannya kepada saya. Beliau telah menghasilkan ratusan buku mengenai adat Melayu, terutama nilai luhur.
Antara lain, dalam buku adikaryanya, ‘Tunjuk Ajar Melayu’ (2004), Pak Tenas (nama sebenarnya Tengku Syed (juga dieja ‘Said’) Nasaruddin Syed Effendy Tengku Syed Umar Muhammad Aljufri), telah menghimpunkan madah atau petuah (nasihat) berikut sedutan ringkasnya:
Tua rumah membawa hikmah
Tua penghulu penghapus malu
Tua raja tegak daulatnya....
Tua disebut membawa tuah
Tua tidak tersia-sia
Tua ada tunjuk ajarnya
Tua umur tua pengalaman
Tua tempat meminta petuah
Tua teluk timbunan kapar....
(erti: barang yang hanyut di laut)
Tua menjadi tiang tuo
Tua menjadi tiang seri
Tua menjadi tunjuk langit
Tua menjadi pasak bumi
Tua pantang didurhakai
Adat bertua jadi ikutan...
SELAGI HAYAT DIKANDUNG BADAN
Penyair besar Singapura, Dr Masuri Salikun (@ Masuri SN, 1926-2005) sering berpesan bahawa senantiasa gigih berkarya (berusaha secara kreatif) biarpun usia lanjut seiring tubuh yang sakit-sakitan. Inilah yang sering disebut-sebutnya ‘selagi hayat dikandung badan’. Tujuan hidup, katanya “jangan nanti bila dibilang orang, awak tidak terbilang” iaitu meninggalkan nama yang baik sehingga senantiasa diingati generasi selanjutnya.
Saya masih ingat akan keakraban antara Dr MAS dan Dr Masuri. Mereka bersahabat setia dari sejak zaman Pendudukan Jepun, di Maktab Perguruan Sultan Idris, zaman menuntut kemerdekaan sehingga tua bersama.
Pada 1990-an, dalam satu seminar bahasa dan sastera di Malaysia yang membincangkan peranan Angkatan Sasterawan ’50 sebagai gerakan perintis kesedaran rakyat, seorang peneliti sastera ternama secara bersenda berkata:
“Jika Pak Masuri ikut jejak teman-teman lain hijrah ke Kuala Lumpur, tentu sudah dapat gelaran ‘doktor’ atau ‘datuk’.”
Dr Masuri tidak menjawab tetapi tersenyum meleret. Ketika kami kembali ke bilik hotel, beliau berkata:
“Jika orang macam saya dan Ariff (Dr MAS) tidak bertahan ke hari tua di Singapura, mana perginya harga diri masyarakat Melayu kita?”
Orang tua-tua kitalah yang membentuk Singapura yang ada kini. Itulah sebabnya pemerintah menamakan mereka sebagai Generasi Perintis (GP) yang azam dan kebijaksanaan melalui pahit getir menjadi teladan untuk zuriat selanjutnya. Golongan GP akan sirna dan digantikan Generasi Merdeka seperti saya, dan selanjutnya. Namun maruah Singapura perlu dipelihara biar sukar sungguh.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.