Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Menyirih Yang Dilupakan

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Menyirih Yang Dilupakan
Menyirih atau amalan makan sirih merupakan tradisi yang sangat berakar umbi dalam masyarakat Nusantara. (Gambar: Facebook/Ana Pastel)
SINGAPURA: Sempena pembukaan semula Taman Warisan Melayu pada April ini, apakah yang telah hilang dalam tamadun Melayu di SG? Mohd Raman Daud menyusuri sepintas lalu adat makan sirih yang pernah dijunjung dahulu.

Dahulu macam tidak sah majlis perkahwinan tanpa segala bentuk gubahan sirih – dari sirih lat-lat sehingga sirih junjung.

Kini sirih bak dilupakan, hatta dalam perubatan Melayu – semudah membacakan ayat syifa (penawar) pada air yang ditaruh di daun sirih lalu ditekap pada mata, telinga atau mana-mana bahagian tubuh yang sakit.

Ingatkah babak sirih pengasih Hang Tuah berikan kepada Tun Teja dalam filem ‘Hang Tuah’ (1956)? Atau makan sirih ‘berani’ menerusi lagu “Sekapur Sirih Seulas Pinang’ dalam filem ‘Semerah Padi’ (1957)?

Catatan sejarah menunjukkan menyirih (istilah Minang) atau amalan makan sirih merupakan tradisi yang sangat berakar umbi dalam masyarakat Nusantara. Malah, ia bukan sekadar tabiat, tetapi lambang adab dan penyatuan sosial.

MENYIRIH
Related article image
Tepak sirih berisi cembul untuk setiap bahannya. (Gambar: Instagram/wb.bridal)
Dikatakan amalan menyirih di rantau ini mungkin hasil pengaruh selatan India yang mengamalkannya sejak 400SM (Sebelum Masihi) dan kemudian dikaitkan dengan agama Hindu dan Buddha yang tersebar ke belahan dunia ini.

Demikian menurut kajian para sarjana ternama seperti Prof Mohamed Taib Osman (1934 - 2017), kelahiran Kampung Siglap, Singapura dan pernah menyandang Naib Canselor Universiti Malaya (1991-1994).

Pertama-tama, makan sirih melambangkan adab dan istiadat (kedudukan) Melayu – dari raja sehingga rakyat jelata. Cara raja atau orang bangsawan makan sirih menunjukkan ketinggian pekerti. Menolak pelawaan makan sirih yang dihidangkan dinilai biadap (menghina).

Kedua, dari segi perubatan: Masyarakat dahulu percaya sirih mempunyai khasiat nyah kuman atau penyakit (antiseptik). Ia digunakan untuk mengubati sakit gigi, bau mulut, dan masalah penghadaman.

Misalnya, air celupan daun sirih digunakan untuk mengubati masalah keputihan yang sering dialami wanita.

Seyogia, dapatan saintifik menunjukkan daun sirih mengandungi unsur-unsur penawar seperti antioksidan.

Ketiga, amalan makan sirih ibarat bersosial atau bergaul dalam masyarakat bak amalan "minum kopi" hari ini, orang tua-tua dahulu berkumpul sambil mengunyah sirih untuk berbual dan bertukar berita.

SEBAB DILUPAKAN

Terdapat beberapa faktor amali dan tanggapan yang menyebabkan tradisi ini ditinggalkan oleh generasi muda:

Pertama, kesan jijik atau tidak selesa kerana mengunyah sirih menghasilkan air liur berwarna merah pekat. Ia membekas pada gigi dan bibir. Demi kecantikan moden, gigi yang putih bersih lebih diutamakan berbanding gigi hitam atau kemerahan akibat sirih.

Dari kesihatan oral atau mulut: kajian perubatan moden mendapati campuran pinang dan kapur secara berlebihan boleh mengundang barah mulut dan menjejas tisu gusi.

Selanjutnya amalan ini dianggap ‘leceh’ dan tidak moden. Menyiapkan sepiak sirih perlu telaten iaitu menyapu kapur dan memotong pinang. Dalam zaman serba cepat, orang lebih gemar mengunyah gula-gula getah (chewing gum) atau pudina untuk kesegaran mulut.

Makan sirih kini sering dikaitkan dengan "orang lama" atau penduduk di kawasan pedalaman. Generasi muda menganggapnya sebagai amalan lapuk dan kotor kerana perlu meludah sisa sirih.

Kali terakhir saya terlibat gubahan sirih dalam majlis perkahwinan ialah sekitar akhir 1990-an. Sejak itu, hiasan hantaran berupa hadiah di atas dulang yang dirias bunga.

BAHASA DAN LAMBANG

Walaupun budaya makan sirih hilang, pengaruhnya tetap kekal dalam bahasa kita, contohnya:
 
  • Sirih Pulang ke Gagang: Bermaksud kembali ke tempat asal.
  • Sirih Berlipat: Sering digunakan sebagai tajuk puisi atau lagu untuk melambangkan keindahan budi pekerti.
Bahan-bahan di dalam tepak sirih bukan sekadar bahan kunyahan, tetapi setiap satunya membawa falsafah mendalam tentang sifat manusia dan keharmonian hidup bermasyarakat dalam budaya Melayu.
Related article image
Kedudukan cembul dalam tapak sirih. (Gambar: Perpustakaan Negara Malaysia)
  • Daun Sirih: Melambangkan sifat rendah hati, memuliakan orang lain, dan sentiasa menyesuaikan diri dalam masyarakat. Walaupun daun sirih tumbuh memanjat, ia tidak akan merosakkan junjungnya.
  • Kapur: Rona putih bererti hati tulus dan jernih. Namun, kapur juga mengingatkan bahawa seseorang yang tenang boleh menjadi agresif jika dicabar (merujuk kepada sifat kapur yang "tajam" jika berlebihan).
  • Pinang: Buahnya dipetik daripada pokok pinang yang teguh dan lurus ke atas – melambangkan ketinggian darjat, kejujuran, serta kesediaan untuk menerima tanggungjawab dengan hati yang terbuka.
  • Gambir: Rasanya kelat dan pahit melambangkan kecekalan hati dan ketabahan dalam menghadapi ujian hidup.
  • Cengkih: Melambangkan kebolehan seseorang untuk mengekalkan maruah dan nama baik, serta memberikan keharuman dalam pergaulan.
  • Tembakau: Lambang hati yang teguh dan kesediaan untuk berkorban demi membela prinsip atau maruah.
Penyatuan kesemua bahan tadi mempunyai pelbagai rasa (pahit, kelat, pedas, masin) yang mencerminkan ragam kehidupan masyarakat yang penuh warna tetapi boleh mencapai keharmonian jika bersatu padu.

Dalam tepak sirih, terdapat wadah logam kecil dipanggil cembul atau cupu/cepu (cembul ialah logo Taman Warisan Melayu rekaan S Mohdir).

TEPAK ATAU PUAN

Tepak sirih biasanya dibahagikan kepada dua bahagian: Atas (empat cembul): disusun dari kanan ke kiri mengikut urutan bahan yang diambil untuk dimakan:
 
  1. Pinang: Bahan pertama yang diambil.
  2. Kapur: Cembul kapur biasanya mempunyai bentuk sedikit berbeza (sering kali yang paling tinggi/besar).
  3. Gambir.
  4. Tembakau.
Bahagian Bawah: Digunakan untuk menyimpan:
 
  1. Daun Sirih: Dilipat kemas dengan ekor daun disembunyikan (kerana menunjukkan ekor daun dianggap kurang sopan).
  2. Cengkih.
  3. Kacip: Alat untuk memotong pinang.
Masyarakat dahulu percaya bahawa susunan yang salah atau tidak lengkap boleh membawa petanda yang tidak baik atau dianggap sebagai tidak menghormati tetamu.

Dalam majlis bertunang, letaknya tepak sirih di hadapan barangan hantaran lain adalah wajib sebagai simbol pembuka pintu perundingan.

DI RANTAU LAIN

Menyirih masih popular di beberapa bahagian rantau Asia Selatan iaitu selatan India dan Bangladesh.

Bahkan dalam perubatan Ayurveda yang ribuan tahun usianya, sirih masih sering digunakan untuk menghilangkan bau mulut (halitosis).

Namun dapatan saintifik menunjukkan menyirih membawa ‘ketagihan’ seperti mana tembakau, alkohol, dan kafein, yang berpotensi menyebabkan barah mulut.

Amalan menyirih yang kononnya menaikkan ‘nafsu’ juga masih berlaku di Taiwan dan selatan China.

Sebuah dokumentari CNA pernah menunjukkan kegiatan pegerai wanita berpakaian seksi menjual sirih dan pinang kepada para pekerja pengangkutan lori. Seperti di Taiwan, daun sirih dan bahan-bahannya digunakan sebagai perangsang di Filipina.

Berikutan tebaran para pekerja Asia, terutama dari Asia Selatan, menyirih juga berlaku sejauh Amerika Syarikat dan Britain. Amalan ini pula didakwa menimbulkan risiko barah mulut dalam kalangan pekerja hijrahan.

BUKAN ADAT KAWI
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ DR MAS, 1924 – 2016). (Gambar: BERITA Mediacorp)
Menurut Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 1924 - 2016), adat terdiri kepada empat – adat nan kawi (berlandaskan hukum Syarak) yang boleh dikatakan ‘kekal’ sedangkan amalan yang dinilai ‘adat diadatkan’, ‘adat teradat’ dan ‘istiadat’ termasuk menyirih terbukti pudar ditelan zaman.

Misalnya, adat merisik (mencari jodoh sambil menyirih) sudah lama kelam. Sejak adanya Internet – google sahaja, maka maklumat terbentang tentang bakal calon isteri/suami. Pacaran (Inggeris: dating) kini berlaku secara bebas di media sosial.

Begitulah dengan amalan makan sirih atau kehadiran tepak sirih dalam majlis bukanlah lagi dinilai sebagai adat kekal. Ia gugur dalam evolusi masyarakat Melayu, apatah lagi dalam suasana pesat perbandaran global seperti Singapura. Namun ia wajar dicatat atau diarkibkan sebagai kenangan zaman silam.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita