ALAM MELAYU: Menyerlah Suasana Bahasa Ibunda Yang Mantap
Murid-murid mempelajari Bahasa Melayu dengan memanfaatkan teknologi, termasuk kecerdasan buatan (AI). (Gambar: BERITA Mediacorp/Hidir Ezat)
Mohd Raman Daud mencerakin – apakah ia bermakna mutu bahasa ibunda masih terpelihara?
Apabila generasi muda Melayu Singapura (SG) diwawancara di kaca televisyen, sering kelu sekali lidah mereka untuk bertutur bahasa ibunda.
Berdasarkan pengamatan kasar, boleh dikatakan separuh orang Melayu SG kian berdepan dengan masalah kefasihan bahasa ibunda. Tidak hairanlah, ‘industri’ tuisyen Bahasa Melayu terus mekar bagi pelajar Melayu dari sekolah rendah sehingga menengah. Padahal sekitar dua dekad lalu, keperluan sedemikian terasa ‘janggal’.
Jadi, apakah yang dapat dicerna daripada laporan terbaharu Institut Pengajian Dasar (IPS) yang menyimpulkan bahawa wujud suasana mantap berbahasa ibunda di sebalik peluasan penggunaan Bahasa Inggeris di nusa ini?
PENAKATAN
Isu bahasa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk memanglah peka lagi mencabar.
Menurut banyak kajian dunia, banyak negara gagal dalam menangani kemajmukan sehingga tercetus ketegangan dan sengketa berdarah.
Singapura, sesudah Australia, dilaporkan sebagai negara paling berjaya membina harmoni. Antara lain, ini disebabkan kecekapan tinggi pemerintah dalam melaksanakan dasar-dasar telus yang memberikan layanan setimpal dan menghindari pertikaian menerusi dialog dan kerjasama.
Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew telah menegaskan bahawa dengan Inggeris sebagai bahasa kerja, Singapura terjalin di persada antarabangsa untuk urusan kewangan sehingga perdagangan. Inilah antara rumus jaya penakatan watan ini.
Dapatan terbaharu tinjauan IPS pada 2024 ke atas 4,000 responden memaparkan BM kekal sebagai bahasa ibunda yang paling dikuasai di Singapura (93.2%), mengatasi bahasa Mandarin (80.9%) dan Tamil (68.8%).
Di sisi lain, tinjauan itu turut mendedahkan trend peningkatan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja dan Singlish (kacukan Inggeris dengan bahasa ibunda yang lain) sebagai antara tanda jati diri dalam kalangan generasi muda SG.
Bagi pelajar Melayu, dwibahasa memang perlu dijulang. Tahap kefasihan lisan yang tinggi bak kelebihan semula jadi dalam menguasai aspek komunikasi, apatah lagi dalam suasana lautan berbahasa Melayu rantau Asia Tenggara.
Melalui pelonggaran syarat Kementerian Pendidikan (MOE) mulai 2026, pelajar yang cemerlang dalam BM semasa Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) boleh terus mengambil Bahasa Melayu Tinggi (HMTL) di Menengah 1 tanpa terikat dengan markah keseluruhan.
Walaupun fasih bertutur, pelajar perlu mengimbangi penggunaan Singlish dan bahasa pasar agar tidak menjejaskan mutu penulisan dan pembacaan Bahasa Melayu baku.
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016) sering berpesan bahawa benteng utama kefasihan berbahasa ibunda ialah di rumah. Ibu bapa memikul tanggungjawab memastikan Bahasa Melayu tidak sekadar menjadi bahasa lisan, tetapi bahasa ilmu dengan menyediakan buku seperti pelajaran agama Islam.
Terdapat beberapa kajian berkala menunjukkan kecenderungan menggunakan BM merosot dalam kalangan kelompok yang berpendidikan tinggi (ijazah) berbanding lulusan ITE atau politeknik. Sikap elit Melayu perlu dirubah menerusi pendampingan oleh gerakan akar umbi Melayu sehingga ‘campur tangan’ Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) menerusi kesantunan para duta bahasanya.
Dengan kehadiran kecerdasan buatan (AI), guru BM tidak lagi boleh bergantung kepada kaedah pengajaran tradisional.
Memandangkan murid semakin selesa dengan Bahasa Inggeris, guru perlu menggunakan kaedah inovatif, termasuk memanfaatkan AI untuk menjadikan pembelajaran bermakna.
Sewaktu berusia enam tahun, cucu lelaki saya terasa sukar untuk bersembang rancak dengan moyangnya (ibu kepada isteri saya) dalam Bahasa Melayu. “I don’t know Malay,” katanya disambut derai tawa sanak saudara.
Bila ditanya lunak, cucu saya berkata bahawa BM itu “lebih sukar" berbanding Bahasa Inggeris. Insaflah kami: bahawa masanya untuk bertutur BM hanya ketika bersama saya dan isteri selaku ‘yai’ dan ‘neneknya’. Di tadika dan di rumahnya, masa berbahasa ibunda hampir tiada. Bahkan kelas ‘ngaji’ atau madrasah hujung minggunya juga dalam Bahasa Inggeris.
Menurut Cikgu Ariff, apa jua bahasa termasuk BM, menjadi fasih apabila ada peluang untuk digunakan secara tenang santai, rancak dan kreatif.
Bagi masyarakat Melayu, antara penanda jati dirinya ialah mampu berbahasa dan berbudaya Melayu dan mengamalkan Islam. Oleh itu, BM kekal sebagai komponen utama identiti dan faktor penyatuan masyarakat Melayu setempat dan untuk berinteraksi dengan negara-negara jiran.
PELAN TINDAKAN PRAKTIKAL
Sanggupkah ibu bapa Melayu kembali mengamalkan BM sebagai bahasa utama di rumah mereka?
Ini diserikan dengan kepelbagaian media seperti kandungan digital berkualiti dalam BM seperti audio siar (podcasts), animasi tempatan, atau lagu-lagu moden yang kaya dengan kosa kata.
Ibu bapa boleh menyediakan bahan bacaan ringan seperti komik bermutu atau novel grafik dalam BM sebelum beralih ke buku teks yang lebih formal.
Sejak semakan ke atas Kurikulum dan Pedagogi (kaedah pendidikan) BM oleh sebuah jawatankuasa pimpinan Prof Madya Hadijah Rahmat pada 2004/5, pengajaran dan pembelajaran BM di negara ini kian lebih tersusun.
Falsafah ‘Arif Budiman’ yang diterapkan telah membuahkan hasil yang baik, bukan sahaja dari segi pencapaian pelajar BM, tetapi guru mereka juga.
Oleh itu, guru BM perlu berkongsi idea dan kepakaran untuk menjadikan tugasan BM terkait dengan isu semasa atau budaya popular untuk menarik minat pelajar generasi digital.
Misalnya, drama radio atau pantomim boleh dihasilkan mengenai perkara-perkara yang memprihatinkan pelajar. Sekali gus, pendekatan ini boleh mempertingkat daya cipta pelajar BM.
BM di SG memang terhad pada penuturan, pembelajaran di sekolah dan kegiatan sastera. Maka itu, perlu ada sokongan kepada penulis dan penerbit buku Melayu tempatan dengan pelancaran buku atau temasya sastera yang lebih kerap.
Maklum sajalah amat terhad toko buku berbahasa Melayu di SG – selain Nurul Anwar (sejak 2017).
Pengukuhan ekosistem BM di SG boleh dicapai menerusi kempen Bulan Bahasa atau kegiatan bahasa yang relevan antara rangkaian M3 dan MBMS dengan menganjurkan lebih banyak acara hibrid (zahir dan maya) seperti ‘Katapella’ yang menarik ramai penonton televisyen.
Diharap ini boleh dilakukan sepanjang tahun (bukan sekadar sebulan dua sahaja). Sasarannya kepada golongan profesional muda sehingga murid tadika.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.