ALAM MELAYU: Menyerlah Silat Warisan Nusantara
Poster Kejohanan Silat Nusantara. (Gambar ihsan: PERSISI)
SINGAPURA: Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) menjadi tuan rumah untuk melancarkan Kejohanan Silat Nusantara. Apakah erti di sebalik usaha besar yang melibatkan lima negara di rantau in? Mohd Raman Daud meninjau.
Kegigihan Persekutuan Silat Singapura (PERSISI) untuk menjadi tuan rumah bagi melancarkan Kejohanan Silat Nusantara minggu ini (26 Mei hingga 2 Jun 2025) dapat dianggap sebagai suatu anjakan paradigma.
Ini berlaku sesudah PERSISI mengalami antara krisis besar dalam penakatannya, antara lain, termasuklah skandal pegawai utamanya yang kesnya melibatkan pecah amanah dan pelbagai silap tadbir. Pucuk pimpinannya kini diketuai oleh Hj Abdullah Shafiie Mohamed Siddik, 66 tahun, yang berhasrat besar untuk menjuruskan pembaharuan kepada seni persilatan tanah air bukan sahaja dari segi kehebatan tanding tetapi juga adab pesilat yang mulia.
PERSISI merupakan pertubuhan Singapura yang terkini dalam menampilkan erti ‘Nusantara’ dalam rangka ikatan rumpun Melayu untuk melibatkan negara-negara rantau ini iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia dan selatan Thailand.
Seyogia, konsep Nusantara sebagai kerjasama warisan dunia telah dirintis oleh Angkatan Sasterawan ’50 menerusi Pertemuan Sasterawan Nusantara (PSN) yang pertama pada 1977; diikuti Pesta Drama Nusantara rintisan Persatuan Kemuning pada 1982; Pertemuan Guru Nusantara dipelopori Kesatuan Guru Melayu Singapura (KGMS) pada 1985, dan Pertemuan Wartawan Nusantara I (1988) yang dimulakan oleh Persatuan Wartawan Melayu Singapura.
Kehebatan silat telah diakui dunia kerana luasnya tebaran orang rumpun Melayu yang mengajarkan ilmu atau cabang peradaban ini sejauh Eropah dan Amerika Utara. Bahkan ada tempelan berlebihan seperti di YouTube dengan menyatakan ‘silat is the most brutal martial arts” (silat ialah seni bela diri paling kejam).
Silat atau adakalanya disebut pencak silat memanglah asal rumpun Melayu dari Gugusan Kepulauan Asia Tenggara. Istilah "pencak" merujuk kepada gerakan dasar bela diri dengan aturan, sementara "silat" pula memaparkan gerakan bela diri yang lebih menyeluruh dan berakar pada rohani.
Menurut Abdul Mubin Sheppard (mualaf atau nama asalnya, Mervyn Cecil ffrank Sheppard, 1905 –1994, perasmi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu II di Seremban, 1954) dalam adikaryanya, ‘Malay Arts and Crafts’, silat memancarkan akal budi Melayu yang tinggi. Ini kerana gerak silat mencontohi alam seperti gerak harimau sehingga burung. Pesilat bukan sahaja tahu membela diri atau menjadi pejuang, tetapi perlu memiliki sifat-sifat terpuji seperti berani, jujur, ikhlas dan berilmu serta rendah hati.
Sheppard dalam bukunya, ‘The Adventures of Hang Tuah’ (1949) telah menyusuri kehebatan laksamana dan tokoh pesilat yang luar biasa walaupun bersandarkan bukti-bukti yang terhad. Menurutnya tanpa Hang Tuah mungkin tiada Melaka.
Hang Tuah sebagai ‘wira’ Melayu memang di‘tengkarah’kan dalam wacana sastera Melayu. Kalangan sarjana Pengajian Melayu seperti Kassim Ahmad (1933-2017) sehingga Shaharuddin Maaruf (1951 - ) menilainya sebagai ‘pengangkat’ sistem feudal (hidup beraja) yang tidak sesuai bagi pembangunan peradaban Melayu.
Namun bagi Prof Ismail Hussein (1932-2014), Hang Tuah memancarkan nilai-nilai tinggi yang perlu ada pada pejuang Melayu walaupun kesetiaannya sebagai pahlawan telah disalah guna oleh sultan.
Dalam ‘Hikayat Hang Tuah’, misalnya Laksamana ini dikatakan berilmu tinggi dari segi zahir dan batin, boleh bertutur 12 bahasa, seorang duta dan pentadbir handalan. Menurut budayawan besar Riau, Dr Tenas Effendy (1936-2015), citra Hang Tuah wajar diteruskan dalam jiwa anak Melayu, terutama yang belajar persilatan agar sentiasa merendah hati di sebalik darjat besar. Hal ini terbentang dalam ungkapan:
Tuah sakti hamba negeri
Esa hilang dua terbilang
Patah tumbuh hilang berganti
Tak Melayu hilang di bumi.
CITRA POPULAR
Tetapi berapa ramaikah anak Melayu sudah membaca epik ‘Hang Tuah’? Pengalaman penulis sendiri mendapati ramai orang Melayu Singapura yang hanya tahu menerusi cerita lisan dan adakalanya tersasar dalam menangkap makna seperti ungkapan ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’ yang berunsur ‘derhaka’ terhadap kerajaan kerana rakyat sudah tidak tertahan dengan penindasan orang atasan (raja, pembesar negeri dan sebagainya).
Filem Melayu pertama dalam warna-warni oleh Shaw Brothers, Hang Tuah (1956, dibintangi P Ramlee dan Nordin Ahmad) telah cuba memaparkan kehebatan tokoh legenda ini. Dua budayawan besar Melayu, Buyong Adil (1907-1976) dan Mahmud Ahmad (1906-1976) yang kebetulan berbesan, telah diminta sebagai perunding cara bagi filem ini.
Beberapa tahun lalu, filem ‘Mat Kilau’, telah menarik perhatian luas tentang erti keperwiraan dan kesetiaan kepada raja dan putar belit penjajah British.
LALUAN PERSISI
PERSISI yang ditubuhkan pada 1975 dan didaftar setahun kemudian pernah menampilkan para tokoh masyarakat yang juga pesilat seperti Abdul Rahim Dayan, Johari Uriff sehinggalah ahli politik nusa seperti Dr Hj Yaacob Mohamed. Daripada sebuah persekutuan yang serba kekurangan, ia kemudian bangkit sebagai badan yang dihormati di persada silat jagat.
Namun, silap tadbir masih berlaku juga sehingga melemahkannya. Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924-2016) berulang kali berpesan bahawa sebagai orang Melayu, betapa hebat dan tinggi darjatnya, yang utama dinilai ialah budinya. “Ikut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi dan senantiasa menabur bakti dan jangan sekali-kali membawa malu pada bangsa sendiri,” ujarnya.
Harapannya bukan sekadar mengangkat pesilat nusa di persada jagat, tetapi lebih utama membina adab sebagai insan berilmu dan berakhlak.
“Kami akan pupuk anak didik atau pesilat kami agar bukan sahaja handal di gelanggang tetapi berjaya sebagai insan berilmu lagi beradab mulia. Doakan dan sokonglah kami,” dambanya.
Kejohanan Nusantara merupakan pembuka jalan bagi PERSISI yang amat mendambakan sokongan masyarakat untuk ia bangkit dan kembali memartabatkan warisan nusa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.