Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Menyerlah Ikatan Singapura dan Bugis

Dalam lipatan sejarah, jalinan kelautan antara Singapura dengan Sulawesi, iaitu tanah Bugis, sudah berlaku cukup lama. Ini terpapar pada pameran dan seminar mengenainya. Mohd Raman Daud mengupas.

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Menyerlah Ikatan Singapura dan Bugis

Manuskrip Bugis-Makassar yang berusia 200 tahun. (Gambar: NUS)

SINGAPURA: Dalam lipatan sejarah, jalinan kelautan antara Singapura dengan Sulawesi, iaitu tanah Bugis, sudah berlaku cukup lama. Ini terpapar pada pameran dan seminar mengenainya. Mohd Raman Daud mengupas.

Pada nama lama Singapura, iaitu Temasek (juga dieja Tumasek) sudah terpapar jalinan kelautan antara pulau ini dengan kepulauan Sulawesi, tanah air Bugis.

Menurut mantan Naib Presiden Indonesia, Muhammad Jusuf Kalla (ejaan ‘J’ dari zaman Belanda menjajah Indonesia; disebut ‘Y’), bahawa nama Tumasek atau Tomasek berasal daripada salah satu dialek Bugis iaitu ‘Tu’ bererti ‘orang’ dan ‘masek’ atau ‘tasek’ bererti laut. Ertinya, Orang Laut yang merupakan peribumi pulau ini.

Encik Yusuf, 82 tahun, merupakan satu-satunya tokoh yang menyandang jawatan Wakil (Naib) Presiden Indonesia sebanyak dua kali: ke-10 (2004-2009) dan ke-12 (2014-2019). Namanya harum di persada jagat kerana kebijaksanaannya menamatkan perang saudara Aceh sesudah tsunami pada 26 Disember 2004.

GALI SEJARAH

Menurut Pak Yusuf dalam ucapan ringkas berbahasa Inggeris, jalinan Singapura-Sulawesi Selatan (tanah Bugis yang menampung sekitar 9 juta jiwa dengan 6 bahasa daerah) perlu difahami demi membina hari muka.

“Sejarah penting untuk difahami dahulu, tetapi lebih utama difahami ialah bagaimana semangat sejarah dapat dimanfaatkan untuk mencorak masa depan,” katanya selaku tetamu kehormat bagi pameran dan seminar ‘Manuskrip, Kenangan dan Repositori Masyarakat Bugis-Makasar’ anjuran Perpustakaan Pusat Universiti Nasional Singapura (NUS), pada 7 Mei lalu.
(Gambar: Mantan Wakil/Naib Presiden Indonesia Hj Muhammad Yusuf Kalla bersama wakil keturunan keluarga diraja Singapura, Tengku Mohamad Shawal ibn Tengku Abdul Aziz)
Menurutnya, kaum Bugis memiliki empat ciri penting - iaitu macca (cerdas), warani (berani), magetteng (teguh) dan 'malempu' (lurus dan jujur) sebagai nilai luhur kepimpinan dalam budaya Bugis-Makassar.

“Jika ada cahaya, di situ ada orang Bugis,” katanya merujuk kepada tebaran secara harmoni orang Bugis di pelbagai ceruk Nusantara.

Beliau bersyukur kerana tertinta kerjasama antara NUS dengan Universiti Muslim Indonesia (UMI) yang menyediakan artifak Bugis, termasuk tulisan silam (dipanggil ‘lontara Bugis’). Menurutnya, NUS adalah antara universiti terbaik dunia dan wajar dicontohi UMI.

DAENG PADUPPA

UMI telah menyerahkan catatan Daeng Paduppa untuk dipulihara dan disalin dalam bentuk digital. Ia sedang diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.

Daeng Paduppa ialah seorang putera Bugis yang terkait dengan tokoh perintis Singapura, Hajah Fatimah Sulaiman, hartawan wanita, yang memiliki tanah dari Beach Road sehingga ke Siglap serta pendiri sebuah masjid yang dinamakan sempena beliau.

Hajjah Fatimah (ditaksirkan lahir di Melaka pada 1754 dan wafat di Singapura pada usia 98 tahun) dinikahi seorang putera Bugis, Daing Chanda Pulih, dari Sulawesi Selatan. Selepas kematian suaminya, beliau telah mengembangkan niaganya dan merupakan dermawan besar.

Kaum Bugis telah mengembangkan pengaruh mereka menerusi perdagangan dan penaungan ke atas sejumlah kerajaan Melayu. Hasilnya, jalur raja-raja Melayu termasuk Sultan Hussin yang pernah merajai Singapura mempunyai darah Bugis.

Menurut Dr Mohamed Effendy Abdul Hamid, sejarawan dan pensyarah kanan dari Jabatan Asia Tenggara (NUS), peranan kaum Bugis pernah amat menonjol. Tempoh yang dikatakan ‘Zaman Emas Bugis di Singapura’ berlaku antara 1819 hingga 1850.

“Mereka memberikan sumbangan besar kepada kemakmuran perdagangan di Singapura dan amat memelihara maruah atau ‘sirri’ yang tinggi,” katanya yang tertarik pada tamadun Bugis bermula ketika menyiapkan buku tentang silat gayong.

“Tulisan Daeng Paduppa merupakan manuskrip penting yang menceritakan perdagangan Bugis-Singapura,” tegas beliau yang berperanan dalam mengikat kerjasama NUS dan UMI.
Tarikh awal manuskrip Daeng Paduppa ialah Muharram 1301 bersamaan November 1883. Pada baris kedua tercatat hari Ahad dan bulan Masihi dalam tulisan Jawi. (Ihsan: Perpustakaan NUS.)
Kakitangan NUS kagum dengan manuskrip berusia 200 tahun (Gambar: NUS)
Menurutnya, manuskrip yang berusia 142 tahun itu amat rentan sehingga apabila tersentuh sahaja akan hancur. Banyak lagi manuskrip sedemikian terabai dan perlu diselamatkan, dambanya. Selain nama jalan sempena kaum Bugis di nusa ini, wang kertas Singapura pernah menampilkan perahu Bugis iaitu palari yang sering berlabuh di sini sehingga akhir 1950-an.
Wang Kertas S$10 Singapura.
MANTERA DAN PENJAJAH
(Gambar: Sejarawan Dr Muhd Effendy Abdul Hamid dan Pengerusi Perikatan Tulisan Jawi Singapura, Hj Supki Hj Sidek.)
Menurut Dr Effendy, 47 tahun, sejumlah manuskrip silam masih di tangan keluarga yang berat hati untuk meminjam atau menjualkannya kepada perpustakaan atau muzium. “Namun sikap begini hanya merugikan mereka kerana pusaka tadi akan reput.”

Kekuatan pedagang dan pelayar setempat, terutama Bugis, amat terjejas oleh kehadiran penjajah Barat – British, Belanda dan Portugis serta Sepanyol, ujar Dr Effendy. Penjajah cuba memastikan mereka dapat menguasai jaringan ekonomi Asia Tenggara.

Kepintaran orang Bugis sebagai pelayar dan pembina kapal memang dikagumi. Pelayaran langsung antara Sulawesi Selatan dan Singapura selama sekitar 11 hari – bergantung kepada tiupan angin monsun.

“Antara bahan dagangan Bugis termasuklah senjata api yang ditebarkan ke seluruh Nusantara, termasuk Bali,” kata Dr Effendy merujuk kepada catatan dalam Manuskrip Paduppa.

Selain nama Temasek/Tumasek, Singapura juga dikenali sebagai Pulau Ujong kerana ia terletak di hujung Semenanjung Tanah Melayu yang bersambung ke benua Asia. Ini tercatat dalam manuskrip itu.

“Saya dapati banyak mantera dalam catatan ini. Mengapa? Antara sebabnya ialah selepas teruk dikalahkan penjajah, pedagang dan pelayar tempatan terpaksa menggunakan magis sebagai pendiding mereka,” jelas Dr Effendy.

Manuskrip Paduppa mencatatkan bahawa dekad 1880-an merupakan zaman kehancuran kekuasaan Bugis dalam perdagangan Nusantara yang makmur. Penjajah Belanda terus mencengkam kedudukan mereka sehingga membawa kepada kekalahan yang menghinakan.

“Bagaimanapun, kita perlu belajar apakah strategi kaum Bugis yang terkenal berani dalam bertahan. Mereka juga meluaskan pengaruh menerusi persahabatan dan perkahwinan,” tambahnya.

Maklumat mengenai manuskrip ini dan kerjasama NUS-UMI boleh dilungsuri di laman Pustaka NUS. Selain itu, terdapat Persatuan Melayu Bugis Singapura (diasaskan pada 2017) yang menawarkan pengenalan kepada kebudayaan Bugis, termasuk mempelajari bahasanya.
Buku Amanna Gappa, perundangan kelautan ciptaan kaum Bugis digunakan sebagai asas undang-undang laut antarabangsa. Ia diwujudkan sezaman dengan Hukum Kanun (Laut) Melaka dalam abad ke-15M.

*Bagi maklumat lanjut, anda boleh merujuk kepada rencana bertajuk “200-Year-Old Bugis-Makassar Manuscript” terbitan NUS pada 11 Januari 2024.

MENGENAI PENULIS

Raman Daud. (Gambar: Raman Daud)
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita