ALAM MELAYU: Menyejagatkan Karya Sastera Kita
Encik Farihan Bahron (barisan hadapan, kanan), Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz (barisan hadapan, kiri) dan pengerusi majlis, penulis-penterjemah, Nur-El-Hudaa Jaffar (baris hadapan, tengah) menjayakan forum sederhana di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara pada 23 Ogos 2025. (Gambar: NLB)
Ketika sastera dunia dibilang, terbilangkah sastera Melayu semasa (contemporary Malay literature) asal Singapura?
Jawapan pasti: belum lagi.
Segelintir nama pengarang Melayu dari kota titik merah ini mungkin sudah dikenali di persada dunia bermula dengan Harun Mohamed Amin (@ Harun Aminurashid, 1908-1986) dengan novel klasiknya, ‘Darah Kedayan’ (1947, 94 muka, terjemahan Unesco pada 1960-an).
Tiga dekad kemudian, barulah muncul terjemahan Bahasa Inggeris bagi novel Suratman Markasan (1930-2024), Mohamed Latiff Mohamed (1950-2022) dan yang terkini Isa Kamari (1960- ) yang novelnya seperti ‘Satu Bumi’ dan ‘Tawassul’ telah diterjemahkan ke beberapa bahasa dunia termasuk Turki. Seorang lagi ialah Johar Buang (1958- ) yang ‘mengangkat’ puisi sufinya dalam terjemahan Bahasa Inggeris menerusi firma e-buku Amerika Syarikat, Lulu Press Inc.
Kegersangan ini telah dibincangkan dalam satu forum sederhana (dihadiri sekitar 25 peserta) di Bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada petang Sabtu, 23 Ogos lalu.
Tampil dua penceramah iaitu penulis-penerbit buku Farihan Bahron, 46 tahun, dan pendidik-pengkaji Dr Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz, 58 tahun serta pengerusi majlis, penulis-penterjemah, Nur-El-Hudaa Jaffar, 55 tahun, menyingkap cabaran untuk mengangkat karya sastera setempat ke tahap dunia.
PROMOSI DAN PEMASARAN
Encik Farihan bersama isterinya, Dr Noridah Kamari (pensyarah sambilan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS)) telah membangunkan syarikat penerbitan Unggun Creative, 10 tahun lalu dan berjaya menjejerkan 34 judul - novel, puisi, cerpen dan buku remaja/kanak-kanak.
Encik Farihan mengutarakan fenomena rancak penerbit bebas (indie publishers) di Malaysia yang berjaya memasarkan novel dari remaja sehingga dewasa tetapi bersifat picisan (murahan kerana kurang bermutu sastera dan lebih berkisar tentang cinta, skandal seks dan sebagainya). Namun suasana di Singapura belum lagi ke arah ini.
Beliau menggalakkan agar amalan ala Barat seperti majlis pelancaran buku, kelab buku sehingga peranan pempengaruh (influencer terutama di media sosial) dalam melariskan buku, disuburkan di sini.
Tambah Encik Farihan: “Cabaran Melayu minoriti Singapura dengan segelintir yang gigih membaca sastera adalah mewujudkan ekosistem yang merangsangkan. Ia meliputi peranan penulis, penggiat sastera, penggubal dasar, penjenamaan (branding), usaha memupuk pembaca terpengaruh oleh personaliti penulis, kempen di media sosial dan sebagainya untuk karya sastera dibaca dan digemari”.
MENGHARGAI SASTERA BERMUTU
Pembentangan Dr Pitchay agak bertindan dengan Encik Farihan dari segi promosi, pemasaran dan memupuk khalayak agar mencintai sastera. Namun, beliau menegaskan bahawa sastera di sini belum lagi dinilai sebagai ‘pengisi’ jiwa nusa. Lantaran itu, nilainya bak diremehkan.
Untuk menghasilkan karya bermutu yang boleh menembusi pasaran antarabangsa, Dr Pitchay menyarankan penulis setempat agar bersikap membina dalam menerima teguran dan menulis semula karyanya. “Karya besar dunia itu sudah melalui entah berapa kali semakan oleh penyunting. Malah ada rombakan sehingga 90 peratus!” tambahnya.
Beliau menyebut pengalamannya menguruskan novel, ‘Batas Langit’ iaitu karya klasik Mohamed Latiff Mohamed yang dialih ke Bahasa Inggeris menjadi ‘The Sky The Limit’. “Tapi seorang penyunting dari Amerika Syarikat yang digajikan penerbit Epigram, telah menyarankan agar judulnya diubah menjadi ‘Confrontation’. Mujurlah Cikgu Latiff bersetuju,” katanya.
BANTUAN AI
Bagaimanakah penulis hendak menakat dengan karya bermutu? Perlukah dengan bantuan kecerdasan buatan (AI) seperti Tim Boucher yang menghasilkan lebih 90 judul novel?
Dr Pitchay menunjukkan kecekapan AI (ChatGPT) yang dapat ‘bersastera’ dengan meniru gaya penulis ternama termasuk Sasterawan Negara Malaysia, Usman Awang, dalam menghasilkan puisi, cerpen sehingga novel.
“Seperti bidang-bidang lain, AI kian menguasai penerbitan persuratan di Barat. Jadi, apakah kita perlu ikut sama?” cuit Dr Pitchay yang menunjukkan contoh penulis wanita Jepun, Rie Qudan, yang berjaya meraih anugerah sastera di negara matahari terbit.
Reaksi hadirin berbaur mengenai hala tuju sastera Melayu semasa di negara ini. Ada semacam kesepakatan mengenai peri pentingnya menghasilkan karya sastera bermutu tinggi yang boleh dipersembahkan di persada sejagat.
Bagi penulis mapan (termasuk skrip drama TV), Hamed Ismail, 77 tahun, harus ada kesungguhan untuk menghasilkan karya sastera bermutu yang boleh diangkat ke pelantar penerbitan TV atau filem.
Memang sudah ada penulis setempat yang karyanya berjaya di pasaran serantau, jelas pengerusi forum Cik Nur-El-Hudaa. Tambahnya, sudah ada peluang memanfaatkan geran mengalihkan novel ke filem menerusi ‘runding usaha sama’ (pitching) antara penulis dengan penerbit dengan kerjasama Majlis Seni Kebangsaan Singapura (NAC).
Dan jika anda seorang penulis atau ingin jadi penulis, forum ini memancarkan seputar langkah hari muka – untuk berjaya di tanah air kemudian ke rantau dan seterusnya menyejagatkannya.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.