ALAM MELAYU: Menjana Duit Raya Sebagai Dana Umat
Amalan memberikan duit Raya kian menjadi tradisi atau budaya Melayu sepanjang bulan Raya (Syawal) iaitu tempoh menyambut Aidilfitri. Dapatkah amalan ini dijana secara kreatif untuk membina sebuah lagi dana masyarakat?

Seorang kanak-kanak lelaki menerima duit raya. (Gambar hiasan: Pixabay)
Sambutan Aidilfitri di nusa ini, antara lain, bermakna meraikan detik kesyukuran dalam menyebarkan kemeriahan dengan mengunjungi sanak saudara dan handai taulan.
Antara amalan yang turut disertakan ialah pemberian duit Raya. Sejak bilakah ia dimulakan?
Menurut Almarhum Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@Dr MAS, 1924-2016), tidak diketahui pasti bilakah amalan ini berlaku.
Tetapi perbuatan menggunakan sampul mungkin ‘mengambil iktibar’ daripada hongbao (angpau) yang bersampul merah oleh masyarakat Cina. “Orang Melayu budiman percaya apa jua pemberian ada santunnya seperti ‘berlapik’,” katanya. Bezanya sampul duit raya pula pelbagai warna, tetapi banyak berona hijau.

DUIT 'COLLECTION'?
Zaman tabur duit sudah berlalu ketika zaman kecil saya pada awal 1960-an. Sebaliknya, yang saya masih ingat ialah kesepakatan kawan-kawan untuk berkumpul dan ‘serbu’ rumah-rumah jiran, terutama yang tampak ‘berada’ pada 1 Syawal. Usaha ini dinamakan ‘koleksyen’ (dari kata Inggeris: collection).
Kami cuba mengunjungi seberapa banyak rumah jiran Melayu. Ada jiran yang ‘faham’ dan tanpa mengundang masuk, diberikan kami duit (tanpa sampul) dari 5 sen atau 10 sen. Waktu itu, duit sebanyak itu sudah dinilai cukup banyak – boleh beli sepiring mi siam di kantin sekolah.
Apabila duit Raya diberikan dengan bersampul seperti hongbao, pernah dimusykilkan apakah ia diizinkan Islam?
Kalangan ulama membahaskannya bahawa ia bukan ‘meniru’ perbuatan orang bukan Islam atau tasyabbuh. (تشبه ) iaitu sesuatu yang dilarang keras oleh Islam.
Hakikatnya, memberi duit Raya seumpama memberikan hibah (hadiah) atau sedekah (kepada fakir miskin atau golongan memerlukan). Ia memang digalakkan demi “menggembirakan” dan meringankan beban orang lain serta semangat berkongsi rezeki, menurut hadis terkenal.
Menurut satu makalah Dewan Tamadun Islam (22 April 2024), amalan memberi duit Raya bukan sahaja terdapat di rantau ini yang menampung kelompok Muslim terbesar dunia, malah sampai ke Afrika dan Timur Tengah.
MANFAAT
Namun hari ini, sejajar dengan arus deras teknologi, urusan wang dilakukan secara elektronik. Pihak bank gigih menggalakkan penggunaan Paynow dan Paylah untuk dijadikan hongbao. Memang ada juga kalangan Muslim setempat berbuat demikian tetapi dikatakan masih sedikit kerana “nikmat” pemberian duit raya bersampul amat luar biasa atau tiada gantinya.
Tetapi ada cabarannya: mahukah anda terus-menerus setiap tahun beratur di bank untuk mendapatkan wang kertas yang baharu? Adakah hal itu masih relevan ketika ini? Lagipun wang kertas dan sampul dianggap ‘pembaziran’ atau tidak mesra alam sekitar.
Namun rasional tadi alah oleh ‘adat yang teradat’ iaitu pemberian duit Raya secara tunai dengan bau helaian wang kertas baharu serta ramah mesra ketika berjabat tangan atau ‘cium tangan’ (antara muda dengan yang tua).

Bagi golongan berusia seperti penulis, pemberian duit Raya zahir memanglah dirindui. Ia bak menggamit kenangan zaman silam, tempoh cilik.
Ketika itu, kami pulang dari ‘koleksyen’ untuk hitung sekeping demi sekeping duit syiling atau sehelai demi sehelai wang kertas yang diterima. Alangkah terasa ‘kaya’ ketika itu! Alahai!
Ibu bapa kami amat hemat dan sering mendesak kami agar menabung duit Raya. Menurut pendapat kalangan asatizah seperti Ustaz Azhar Idrus, duit Raya adalah duit anak dan tidak boleh ibu bapa gunakan kecuali dengan restu si anak. Tapi dalam zaman sukar dulu, sering tabung anak dipecahkan bapa yang terdesak dek diberhentikan kerja dan sebagainya.
Menurut Dr MAS, memberi duit Raya perlu beradab untuk pemberi dan penerima. Si pemberi selalunya berkata: “Terimalah hadiah tidak berapa". Si penerima membalas: “Terima kasih. Semoga Allah SWT membalas jasa tuan/puan.”
Tampakkanlah wajah gembira dan syukur baik pada pemberi dan penerima kerana wang tadi bukan daripada kita tetapi kerana izin Tuhan.
Lazimnya ketika masa memohon maaf dalam keluarga atau sanak saudara yang rapat, si muda lazimnya tunduk ketika memberi atau menerima wang kepada atau daripada yang tua. Ini melambangkan adab yang digalakkan budaya Melayu dan tentulah agama Islam.
Yang utama, pesan Dr MAS, budaya pemberian duit raya hendaklah ikhlas tanpa dijadikan sebagai tekanan/paksaan atau bebanan. Berikanlah sekadar yang mampu.
DANA MASYARAKAT
Penulis masih ingat sekurang-kurangnya dua prakarsa (inisiatif) masyarakat dalam menghematkan ‘duit’ sempena perayaan yang boleh dianggap cukup berjaya dan boleh dijadikan legasi atau warisan nusa.
Pertama, Almarhum Syed Ali Redha Alsagoff (1929-1989) mendapat ilham untuk memanfaatkan derma orang ramai ketika sambutan Maulid sehingga tertubuh Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud yang baru saja menyambut ulang tahun ke-60.
Kedua, pada 1990-an pula, Menteri Negara Kanan Hj Sidek Saniff pula telah melancarkan usaha memanfaatkan keihsanan umat Islam ketika Ramadan sehingga tertubuh Tabung Amal Aidilfitri (TAA) yang masih mekar sehingga kini.

Jadi, bagaimana dengan duit Raya?
Dapatkah diadakan kempen agar ‘duit Raya’ terutama dari keluarga sederhana ke atas itu dijana menjadi sebuah lagi ‘dana masyarakat’ untuk tujuan pelaburan dalam kebajikan?
Ia bak sebuah lagi rizab (simpanan) umum yang boleh dijana untuk menghadapi zaman sukar mendatang, memandangkan masyarakat kita kian menua.
Kini sahaja kita amat terasa tekanan kos tinggi di kota raya yang sudah sedekad dinilai ‘termahal’ di dunia. Ia sudahpun diakui sebagai antara isu panas dalam musim Pilihan Raya Umum (GE2025) tahun ini. Fikirkanlah.
Waima, sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan hemat, bukan dengan pembaziran.
MENGENAI PENULIS

LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.