Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Mengapa Melayu ‘Terpikat’ Dek Wayang Parsi

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Mengapa Melayu ‘Terpikat’ Dek Wayang Parsi

Pengaruh Parsi teguh mengiringi gelombang kedatangan Islam ke Alam Melayu sejak abad ke-13. (Gambar: Medium/Father of History; NLB; Canva; Facebook/Lowongan Kerja Terbaru)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 27 Jun 2026 01:14AM
SINGAPURA: Gelora di rantau Timur Tengah turut mengocak debar rumpun Melayu? Selain faktor agama Islam, memang terdapat jalinan luas sejak dahulu kala. Mohd Raman Daud menyusuri ringkas untaian jiwa Melayu dan Parsi.

Kemelut Timur Tengah, khususnya Perang Amerika-Israel dengan Iran bak ‘wayang’ yang mendebarkan kalangan dalam Rumpun Melayu, Asia Tenggara.

Iran (sejak 1935) pernah sekian lama dikenali sebagai Parsi. Dan pengaruh ‘Parsi’ amat halus kesannya pada budaya Melayu – dari segi istilah bahasa sehingga fenomena bangsawan (opera) yang dahulunya dipanggil ‘Wayang Parsi’ iaitu rombongan persembahan pentas asal Parsi pada 1870-an bermula di Pulau Pinang dan dikatakan sampai ke Singapura sehingga Batavia (Jakarta). Ia mencetuskan era bangsawan tetapi terhenti setelah muncul filem (mulai 1930-an) di rantau ini.

JALINAN SILAM

Makalah ini lebih cenderung menilai jalinan budaya dan sejarah. Hakikatnya, Timur Tengah merupakan wadah utama tamadun awal dunia – bermula sejak Sumeria di Lembah Furat (Euphrates)-Dajlah (Tigris) di Iraq sekitar 5,000 tahun SM (Sebelum Masihi) sehingga kerajaan Firaun di Lembah Nil di Mesir.

Namun dari segi tamadun sinambung (continuous civilisation), Parsi sejak 3,200 SM merupakan tamadun tertua di dunia (lebih lama berbanding China atau India). Dengan adanya ilmu dan teknologi pelayaran di Laluan Sutera (darat dan laut), rantau Melayu Asia Tenggara (@ Nusantara) berada dalam jalinan antara Timur Tengah, India dan China.

Maka itu, rantau ini, terutama kawasan pesisir Selat Melaka, menerima kesan ketiga-tiga pengaruh tamadun tadi. Demikian dapatan Prof John N. Miksic (1946 - 2025) dalam adikaryanya, buku 520 halaman, ‘⁠Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300 – 1800’ (NUS Press, 2013).
Related article image
Prof John N. Miksic (1946 - 2025). (Gambar: Laman web NTU)
Related article image
Buku ‘⁠Singapore and the Silk Road of the Sea, 1300 – 1800’. (Gambar: Facebook/Singapore & the Silk Road of the Sea, 1300-1800)
Mendiang membuktikan wujudnya (bukan mitos atau dongeng) akan Sang Nila Utama dan kerajaan Singapura (Singapura Lama, abad ke-13M).

Buku ‘Sulat-us-Salatin’ atau lebih dikenali sebagai ‘Sejarah Melayu’ susunan Tun Seri Lanang, mendakwa bahawa raja-raja Melayu, berasal daripada titisan Iskandar Zulkarnain (ceritanya tertera dalam Surah Al-Kahfi) yang dipercayai sebagai ‘Cyrus the Great (Sirus Agung, 590 - 530 SM), pengasas Empayar Parsi.
Related article image
Buku Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) susunan Tun Seri Lanang (nama sebenar Tun Muhammad bin Ahmad, bendahara Johor) disunting oleh budayawan dan pendidik Melaka, Abdul Samad Ahmad. (Gambar: Mediacorp)
Siapakah Sirus @ Khorus? Dia dikisahkan mempercayai Keesaan Tuhan dan sebagai penguasa adil termasuk ke atas kaum primitif (termasuk yang hidup berpukas atau telanjang) sehingga memerdekakan kaum Yahudi daripada penindasan kerajaan Babil di Iraq.

Menerusi perdagangan, banyak hasil dari Nusantara dibawa ke Timur Tengah, termasuk Parsi dan begitulah sebaliknya. Misalnya, penggalian arkeologi di Lembah Bujang menunjukkan Kedah merupakan ‘negeri’ tertua di Asia Tenggara dari segi tamadun. Ini kerana adanya besi dari lembah ini yang dibawa sejauh Babil.

Demikian dapatan Prof Dr Mokhtar Saidin, mantan pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (CGAR) ⁠Universiti Sains Malaysia (USM) yang terlibat ke atas pelbagai penggalian penting dan pemetaan tapak (menjumpai 97 tapak), termasuklah penemuan tapak di Sungai Batu yang berusia sekitar 2,800 tahun.
Related article image
Prof Dr Mokhtar Saidin. (Gambar: Facebook/Icomos Malaysia)
Pengaruh Parsi turut teguh mengiringi gelombang kedatangan Islam ke Alam Melayu sejak abad ke-13. Kedatangan ini dibawa oleh para pedagang, ulama, dan ahli sufi dari wilayah Teluk Parsi.

JEJAK PERSURATAN

Banyak kata ambilan dalam Bahasa Melayu, terutama dalam penggunaan harian yang tanpa disedari, berasal daripada Bahasa Parsi. Kehadiran istilah ini membuktikan pengaruh Parsi masuk ke dalam sistem pentadbiran dan budaya Melayu.

Antara contoh: istana, dewan, bandar, anggur, kurma, piala, bazar, baju, saudagar, dan nakhoda. Malah dari segi istilah emosi dan pemikiran, kata-kata Parsi turut diserap iaitu gundah, serakah (asalnya kisah Suraqah yang memburu Nabi Muhammad ketika peristiwa Hijrah) dan biadab.

Persuratan Melayu klasik menerima kesan yang sangat besar daripada sastera Parsi menerusi penterjemahan cerita epik dan kisah kepahlawanan Parsi seperti Hikayat Amir Hamzah dan Hikayat Muhammad Ali Hanafiah.

Menurut ‘Sejarah Melayu’, ketika Melaka diserang Portugis, terdapat permintaan agar dibaca dua hikayat itu untuk membakar semangat pahlawan Melayu menentang musuh.

Aspek tadbir urus (governance) kerajaan terpapar dalam buku ‘Taj-us-Salatin’ (Mahkota Raja-Raja) karya Bukhari al-Jauhari. Buku ini dipengaruhi oleh konsep sistem pemerintahan beraja dari Parsi.
Related article image
Buku ‘Taj-us-Salatin’ (Mahkota Raja-Raja) karya Bukhari al-Jauhari. (Gambar: Facebook/Taman Pustaka)
Puisi klasik terutama syair dan nazam yang bersalut ajaran Islam dalam kaedah sufisme (tasawuf) menunjukkan pengaruh kuat dari Parsi. Tokoh sufi terkenal seperti Hamzah Fansuri (wafat 1590M) dari Aceh mendapat ilham daripada para penyair-pemikir Parsi.

ADAT-ISTIADAT

Budaya Parsi menyanjung tinggi institusi beraja. Menurut kajian Prof Diraja Dr Muhammad Naquib Al-‘Attas (1931 - 2026), konsep ini ditiru oleh kesultanan Melayu untuk mengukuhkan kedudukan raja.
Related article image
Prof Diraja Dr Muhammad Naquib Al-‘Attas (1931 - 2026). (Gambar: Bernama)
Pengaruh ini dapat dilihat dalam majlis rasmi istana dan perayaan masyarakat. Malah gelaran diraja seperti penggunaan ‘syah’ di belakang nama sultan merupakan asal Parsi.

Permainan catur dengan istilah ‘checkmate’ merupakan terjemahan daripada ‘shahmat’ (raja bakal dimatikan).

Dikatakan juga adat berinai sehingga duduk di pelamin dalam majlis perkahwinan Melayu mempunyai persamaan dengan budaya masyarakat Timur Tengah, khususnya Parsi.

Sementara muzik dari irama zapin (asal Yaman) dan ghazal (Parsi) dengan alat muzik seperti hadrah, kompang, dan gambus dibawa dari Timur Tengah dan diterima menjadi muzik tradisional Melayu.
Falsafah dan puisi rohani daripada Jalaluddin Rumi, Imam Al-Ghazali, Fariduddin Attar, dan Shams Tabrizi sangat dihormati dalam dunia Melayu. Antara lain, konsep pemikiran ini bertunjangkan usaha ke arah menjadi manusia sempurna (insan-ul-kamil).

Sasterawan mapan kita, Isa Kamari, mengakui betapa kuat pengaruh Attar pada penggubahan dua novelnya mengenai resmi burung mencari hakikat alam, iaitu ‘Tweet’ dan ‘Kicau’.
Related article image
Sasterawan, Isa Kamari. (Gambar: Isa Kamari)
JATI DIRI

Walaupun menerima pelbagai pengaruh asing, rumpun Melayu sebenarnya ‘anjal’ (elastic) dan ‘andal’ dalam mempertahankan jati diri atau identiti asalnya.

Sebaliknya, unsur asing termasuk Parsi diadun dengan bijak sehingga menjadi sebahagian daripada warisan unik kebudayaan Melayu yang kita kenali hari ini, contohnya pada petikan bait daripada ‘Syair Burung Unggas’ (@ Burung Pingai) karya Hamzah Fansuri, penyair agung Aceh yang pernah diangkat Prof Muhammad Naquib, sebagai ‘tokoh pembaharuan’ rantau ini:

Unggas itu bukannya nuri,
Berbunyi ia syahdu kala hari,
Bermain tamasya pada segala negeri,
Demikianlah murad insan sirri.

Unggas itu bukannya balam,
Nantiasa berbunyi siang dan malam,
Tempatnya bermain pada segala alam,
Di sanalah tamasya melihat ragam.

‘Burung Pingai’ ialah lambang bagi roh atau jiwa manusia. Konsep burung sebagai lambang jiwa yang mencari Tuhan dipadankan daripada karya agung penyair Parsi, Fariduddin Attar, yang bertajuk ‘Mantiq ut-Tayr’ (Musyawarah Burung).

Sejarah membuktikan jalinan kebudayaan Melayu dan Parsi atau mana-mana tamadun lain, bukanlah sekadar hubungan dagang biasa, malah ia mengundang satu proses penyerapan budaya yang boleh berlaku secara berhemat dan harmoni.
Related article image
Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ DR MAS atau Cikgu Ariff, 1924 - 2016). (Gambar: Mediacorp)
Yang utama, hujah Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (1924 - 2016) dalam menghadapi apa jua pengaruh: guna bestari akal agar kekal dan jangan ikut melulu rasa yang membawa binasa.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita