Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Mengajar Bahasa Melayu Bersama AI

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Mengajar Bahasa Melayu Bersama AI
Kecerdasan Buatan (AI) kian meresap dalam pembelajaran. (Gambar: Facebook/MOE)

SINGAPURA: Kecerdasan Buatan (AI) kian meresap dalam pembelajaran. Setakat mana ia membantu guru Bahasa Melayu? Mohd Raman Daud merungkai isu ini.

Menepati visi Negara Bijak, hampir semua aspek kehidupan termasuk sistem pendidikan Singapura sedang dan akan menempuh arus AI.

Demikian pernyataan laman web GovTECH dengan Menteri Bertanggungjawab bagi Negara Bijak (2014 hingga 2021), Dr Vivian Balakrishnan memberi jaminan bahawa “pendidikan adalah interaksi dan tidak akan mungkin AI akan menggantikan guru”.

Related article image
Menurut Menteri Ehwal Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, manfaat yang dapat diraih kecerdasan buatan (AI) boleh menyuntik perubahan bagi pelbagai sektor. (Gambar: Mediacorp)

PENAKATAN CIKGU

Bagaimana dengan ‘penakatan’ guru Bahasa Melayu (BM) yang biasanya dipanggil ‘cikgu’?

Tahun lalu sewaktu dijemput kereta BMW dipandu seorang guru lelaki muda, saya diberitahu erti pepatah ‘alah bisa, tegal biasa’ dalam profesi guru:

“Kami tiada pilihan lain, tuan. Tapi kebanyakan kami dah terbiasa dengan peranti teknologi,” jawabnya.

Memerhatikan gayanya yang tampak berjaya, saya teringat dwizaman guru terdahulu iaitu Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff atau Pendeta Dr MAS, 1924-2016) dan muridnya, Mohd Naim Daipi (1950-2015).

Dalam eranya, Cikgu Ariff boleh dikatakan satu-satunya yang arif mengetik komputer berbanding sahabatnya, Cikgu Masuri Salikun (@ Dr Masuri, 1926-2005) yang masih mengetik mesin taip termasuk sajak terakhirnya yang belum siap.

Related article image
Almarhum Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Mediacorp)

Lain pula zaman Cikgu Naim yang mendapat gelaran ‘master teacher’ (guru pakar) yang pertama daripada kalangan cikgu. Beliau amat gigih menggunakan aplikasi seperti carta alir (flow chart) sehingga Powerpoint ketika mengajar dan melatih guru-guru senior atau sebayanya. Malah beliau juga mengendali laman web Saujana untuk menyuburkan BM di alam maya.

Cakap mudahnya, sama ada suka atau tidak, guru sebagai profesional perlu menguasai teknologi kalam terkini.

Namun AI berbeza sedikit kerana ia menampung maklumat luar biasa.

BATAS AI, KELEBIHAN INSAN

Penerima Hadiah Nobel bagi Fizik, Dr Saul Perlmutter, mahaguru di University of California, Berkeley, mengingatkan bahawa AI hendaklah digunakan untuk mendukung pemikiran kritikal (bernas) bukan menggantikan usaha intelektual insan.

Related article image
Dr Saul Perlmutter. (Gambar: Wikipedia/Christopher Michel)

“Maka itu, AI digunakan untuk mencuba kebarangkalian tetapi diterima secara curiga dan sering diperiksa kesilapannya,” kata beliau.

Ertinya, AI boleh menyerap apa jua maklumat tentang BM, persuratan atau pelbagai aspek kebudayaan Alam Melayu tetapi belum tentu ia boleh memberikan pandangan yang menyangkut makna ‘budi’ sehingga falsafah.

Seyogia, apa yang diperolehi AI hanyalah sejumlah maklumat yang mesti terlebih dahulu diproses dalam komputer dan diserap ke dalam data Internet. Padahal, masih banyak maklumat dalam jutaan buku mengenai Alam Melayu yang belum dicurahkan dalam internet.

Oleh itu, cikgu masih boleh menjadi perintis atau peneroka dalam menggali segala ilmu dari Alam Melayu – tidak sekadar mengajar perkataan, menyusun ayat, menjelaskan peribahasa dan sebagainya.

MELUASKAN UFUK

Teringat saya akan acara Sembang Pendeta anjuran Persatuan Guru Bahasa Melayu Singapura pada awal 2000. Ketika itu, Cikgu Ariff telah mengingatkan bahawa “jika cikgu tidak mahu dinilai sebagai guru cari makan”, maka dia perlulah berimpian besar dan gigih untuk menjadi “pendidik teladan sepanjang masa”. Inilah juga falsafah luhur guru, tegas beliau.

Itulah sebabnya, hujah Cikgu Ariff lagi, kalangan guru sezamannya terutama lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris, sering menjadi pemimpin sehingga ahli bahasa. Beliau bersyukur kerana segelintir daripada ribuan anak didiknya seperti Cikgu Naim, yang menjadi ‘pakar’ dalam BM dan dapat sama menerajui Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Jelaslah, kalangan cikgu hari ini juga boleh menggarap dan memiliki kecerdasan budaya (cultural intelligence, CI). Dengan latihan pedagogi (kaedah perguruan) yang bertepatan disaluti kesabaran dan kegigihan, mereka dapat menyalurkan CI kepada anak didiknya. Inilah juga aspek yang disebut peluasan ufuk kerana Bahasa Melayu terus berkembang.

Related article image
Para pelajar mengikuti kelas di sebuah bilik darjah di Singapura. (Gambar fail: CNA/Raj Nadarajan)

Ertinya, cikgu Bahasa Melayu – mengajar serta mendidik tentang budaya Melayu. Bukan hanya mengajar bahasa untuk lulus peperiksaan.

MASA DEPAN BM

Penggunaan Bahasa Ibunda (Mother Tongue) di Singapura, terutama di rumah, kian merosot. Demikian dapatan Banci Penduduk dari 1990 sehingga 2020.

Mengapa? Antara faktor utamanya ialah suasana dominan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa kerja di Singapura.

Gambaran mudah ialah wawancara spontan media elektronik – jelas sekali warga Singapura lebih selesa berbahasa Inggeris daripada bahasa ibundanya.

Bahkan di sesetengah rumah orang Melayu, apabila yang tua mengajak yang muda berbahasa Melayu, suasananya menjadi malap. Tapi apabila diubah ke Bahasa Inggeris, barulah sembang rancak semula. Hakikat ini disesali oleh pejuang BM seperti almarhum Suratman Markasan (1930-2024) yang sebak di depan ramai kerana khuatir kemungkinan BM terhakis di Singapura.

Related article image
Allahyarham Suratman Markasan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Memanglah masa depan BM bergantung kepada penggunanya dari cikgu, muridnya dan masyarakat.

Jika peluang atau suasana untuk menggunakannya tidak diwujudkan dan tidak pula ada rasa cinta, apatah lagi ghairah, maka kebimbangan Pak Suratman boleh berlaku.

Dengan bantuan AI dan daya kreatif sendiri, maka tugas cikgu bukan sekadar memastikan murid mereka lulus peperiksaan BM (kerana dimandatkan oleh Dasar Dwibahasa).

Bahkan, yang pertama dan utama, para cikgu perlu menumbuhkan azam dalam jiwa anak didiknya agar sayangkan Bahasa Ibunda dan tidak segan untuk menulis dan menuturkannya.

Apakah nanti Banci Penduduk 2030 menunjukkan penggunaan BM kekal mantap – setidak-tidaknya separuh atau lebih isi rumah Melayu masih menggunakannya?

Related article image
Gambar fail yang menunjukkan sebuah keluarga Melayu dengan anak kecil. (Gambar: Mediacorp)
Ini persoalan besar. Para cikgu tentu amat merasakannya kerana ia mengaitkan imej dan harapan mereka juga.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita