Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Mendukung ‘Majulah Singapura’

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Mendukung ‘Majulah Singapura’

Para penonton semasa Perbarisan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Syamil Ismail)

Diterbitkan : 15 Aug 2026 11:00AM Dikemas Kini : 15 Aug 2026 01:52PM
SINGAPURA: Tular di media sosial, baru-baru ini, semacam ‘kesepakatan’ bahawa ‘Majulah Singapura’ adalah Lagu Kebangsaan yang wajar diabadikan selagi ada Singapura.

Mohd Raman Daud menyusuri semangat kebangsaan dalam lagu yang menyelinap rasa cinta pertiwi.

Pernah suatu ketika dalam hayatnya, Pak Zubir Said (1907 - 1987) berdepan dengan tengkarah bahawa lebih wajar Lagu Kebangsaan Singapura, iaitu ‘Majulah Singapura’ gubahannya, dilantunkan dalam Bahasa Inggeris. Bayangkan betapa terhiris hatinya.
Related article image
Seorang penonton Perbarisan Hari Kebangsaan 2022 (NDP 2022) Azuan Tan mengalirkan air mata ketika menyanyikan Lagu Kebangsaan. (Gambar: Mediacorp)
Ketika itu, mula bersemarak lagu-lagu cinta negara yang dilaungkan dalam Bahasa Inggeris seperti ‘Count On Me Singapore’ (digubah pada 1986, oleh warga Kanada, Hugh Morrison, susunan muzik Jeremy Monteiro dan nyanyian Clement Chow).

Ternyata pendirian pemerintah, bak ditegaskan Menteri Kanan (mantan Perdana Menteri Pengasas) ketika itu, Lee Kuan Yew (1923 - 2015), ialah tidak berganjak. Malah Encik S. Rajaratnam (1915 - 2006), antara ‘bapa’ Singapura, menegaskan bahawa tidak susah pun untuk anak berusia lima tahun, kecuali yang rencat akal, untuk menyanyikan lagu itu dalam Bahasa Melayu!

Ternyata pasang surut sembang, adakalanya bahas sengit, tentang ‘Majulah Singapura’ masih mewarnai suasana. Apatah lagi sepanjang Ogos, apabila ia dilantangkan dengan gah lagi penuh semangat ketika Perbarisan Hari Kebangsaan dan majlis-majlis meraikan hari jadi negara ini.
Namun tular baru-baru ini di Instagram pula, semacam suasana ‘reda dan sepakat’ bahawa biarlah lagu keramat ini diabadikan selagi Singapura kekal sebagai nusa. Malah ada pengulas menyindir: “…jika warga muda Singapura boleh menyanyikan lagu ‘K-pop’ (lagu Korea), apalah susahnya mendendangkan ‘Majulah Singapura’…”

FALSAFAH PENAKATAN

Tinjauan media dari masa ke masa menunjukkan ‘Majulah Singapura’ tidak menyusahkan majoriti rakyat Singapura (SG) yang bukan Melayu.

Lagu ini diterima baik kerana liriknya ringkas, mudah dihafal, dan menjadi lambang perpaduan negara berbilang kaum yang berada di Alam Melayu.

Inilah teras pertimbangan saksama para bapa pembina SG pimpinan Encik Lee.

Dari segi sejarah dan perundangan, Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan yang ditetapkan dalam Perlembagaan Singapura sebagai penghormatan kepada penduduk asal atau peribumi iaitu orang Melayu (dari Orang Laut sehingga suku kaum yang lain dari Gugusan Kepulauan Melayu/Nusantara).

Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016), pemilihan Bahasa Melayu (BM) pada era pembentukan negara telah mengelakkan isu memilih sebelah pihak antara bahasa Cina atau Inggeris.

BM sudah lama dianggap ‘lingua franca’ (bahasa pengantar) oleh para sarjana Barat zaman penjajahan, termasuk Thomas Stamford Raffles yang dianggap ‘pembuka’ Singapura moden.

Oleh itu, Encik Lee dan barisan menteri kabinetnya telah menegaskan empat bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Inggeris yang juga bahasa kerja.

Tidak lama dahulu di Parlimen, Menteri Dalam Negeri K Shanmugam menyifatkan ketegasan pendirian itu telah “menyelamatkan” masa depan SG.

Oleh itu, BM bersifat neutral di rantau Asia Tenggara. Ia juga melambangkan keterikatan Singapura dengan rantau atau lautan berbahasa Melayu.

BITARA PENGGUBAH

Hakikatnya, ‘Majulah Singapura’ memanglah mudah atau polos, tetapi amat dalam falsafahnya. Menyusuri riwayat hidup dan warisan gubahan muzik/lagu Almarhum Zubir Said, terpapar kebitaraannya.
Related article image
Encik Zubir Said. (Gambar: Facebook/Zubir Said ‘Majulah Singapura’)
Beliau dikatakan telah menghasilkan lebih seribu lagu. Untuk ‘Majulah Singapura’ yang digubahnya pada 1958 untuk Dewan Bandar Raya, beliau telah memastikan melodi dan lirik ringkas supaya senang dinyanyikan oleh semua kaum.

Apabila beliau diminta lagi untuk ‘menaik taraf’ lagu ini menjadi Lagu Kebangsaan, beliau telah dibantu oleh beberapa orang, termasuk Cikgu Ariff yang menyesuaikan seni katanya.

Menurut Cikgu Ariff (seperti dalam esei saya dalam pojok ini pada Ogos tahun lalu), Pak Zubir merupakan cendekiawan yang mendahului zamannya. Bukan mudah mendapatkan irama atau melodi lagu yang dapat disiulkan oleh sesiapa sahaja, hatta kanak-kanak. Mentelah lagi, lagu ini memiliki kesan doa yang terasa kudus.
Sejak dahulu lagi, sudah ada terjemahan Lagu Kebangsaan ini dalam tiga bahasa rasmi. Hal ini sudah lama diketahui ramai. Apatah lagi dalam zaman kecerdasan buatan (AI), terjemahan mudah boleh dilakukan untuk lebih 150 bahasa dunia.

Hakikatnya, lagu kebangsaan setiap negara lebih sering ditulis dalam bahasa penduduk asli misalnya Bahasa Maori di New Zealand atau Bahasa Irish di Ireland. India, misalnya menampilkan ‘Jana Gana Mana’ dalam Bahasa Benggali (bukan Hindi) gubahan penerima Hadiah Nobel Sastera, Rabindranath Tagore seawal 1911 dan dirasmikan pada 1950.
Related article image
Penerima Hadiah Nobel Sastera, Rabindranath Tagore. (Gambar: Facebook/Ashok Kumar Mittal)
KHAZANAH LAGU PERTIWI

Dengan adanya semacam “kesepakatan” tentang peri perlunya ‘Majulah Singapura’ dilestarikan, maka tidak bermakna daya cipta terhenti untuk warga SG menggubah sebanyak-banyaknya lagu pertiwi.

Dalam kalangan negara jiran, Indonesia berjaya menampilkan banyak lagu pertiwi dari ‘Rayuan Pulau Kelapa’ karya Ismail Marzuki sehingga ‘Bengawan Solo’ karya Gesang yang amat popular sehingga menyerantau.
Related article image
Komposer Indonesia, Ismail Marzuki. (Gambar: Wikipedia)
Related article image
Pencipta lagu 'Bengawan Solo', Gesang Martohartono. (Gambar: Facebook/Gesang Martohartono)
Memanglah penduduk Indonesia jauh lebih besar daripada Singapura. Bakat alam mereka tentulah jauh lebih rencam dan luas. Tiga penggubah lagu Melayu tanah air iaitu Pak Zubir, Ahmad Jaafar (1919 - 2009) dan Wandly Yazid (1925 - 2005) berasal dari Tanah Minang (Sumatra Barat, Indonesia) tetapi menjadi warga di sini kerana “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

Oleh itu, potensi warga kita untuk menghasilkan karya seni bermutu, termasuk lagu, perlu terus dirangsangkan di sebalik tiada industri muzik di sini. Dengan bantuan AI, kian mudah menggubah muzik dan menyusun kata. Untuk tujuan ini, memang banyak aplikasi (apps) yang dapat dimanfaatkan, termasuk yang secara percuma.

Namun daya cipta manusia, anak Singapura seperti Iskandar Mirza Ismail (1956 - 2014), tetap didambakan untuk menjadikan lagu buatan kota Singa ini bersifat tulen, berisi lagi dapat mengaum merdu di persada antarabangsa.
Related article image
Maestro muzik Iskandar Mirza Ismail. (Gambar: Remembering The Music Man - Iskandar Ismail)
MENGENAI PENULIS
Related article image
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984 - 2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980 - 1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita