ALAM MELAYU: Mencari Akar Diri Kakek
Ramai orang kian mencuba untuk menjejaki asal usul moyang, memahami campuran etnik, dan berhubung dengan saudara jauh, terutamanya di negara maju. (Gambar hiasan: Youtube/ORY CHANNEL; Canva)
Dalam sembang tentang jurai kaum Jawa di Taman Warisan Melayu (TWM) baru-baru ini, seorang wanita menceritakan sekelumit kisahnya mencari akar dirinya (keturunan) di wilayah Kendal, Jawa Tengah.
“Penat juga saya cuba cari keturunan bapak saya. Namun akhirnya, saya berdiri di gerbang wilayah Kendal, Jawa Tengah. Dan petik foto di situ,” katanya, disambut derai tawa.
CARIAN MENJAGAT
Trend mencari keturunan atau salasilah keluarga (genealogi) di tahap jagat terus meningkat pesat.
Mungkin juga ia dicetuskan oleh siri televisyen, ‘Roots’ (1976) yang dipadankan daripada novel Alex Haley, seorang warga Afrika-Amerika, pada 1977. Sayangnya, ada bahagian novel itu dituduh sebagai diciplak.
Namun nama tokoh utama, Kunta Kinte yang Muslim asal Afrika, dan ditangkap untuk menjadi hamba yang dijual di Amerika, telah menjadi semacam ‘ikutan’ dunia.
Ramai orang kian mencuba untuk menjejaki asal usul moyang, memahami campuran etnik, dan berhubung dengan saudara jauh, terutamanya di negara maju.
Adanya ujian DNA (singkatan: deoxyribonucleic acid: kimia baka) Keturunan (Ancestry DNA) dengan kit mudah membolehkan sesiapa sahaja yang mampu untuk mengetahui campuran etnik dan meramal risiko penyakit berdasarkan baka atau genetik.
Di gugusan kepulauan Asia Tenggara atau Nusantara, pencarian keturunan sering dikaitkan dengan penelusuran warisan leluhur, meliputi sejarah peradaban dan hubungan darah dengan tokoh masa lalu.
‘Nasab’ berasal dari bahasa Arab. Ertinya: menghubungkan kekerabatan, keturunan sehinggalah menyebutkan keturunan itu sendiri. Kalimat ‘tanasub’ bermakna hubungan, ikatan, kesamaan serta kesetaraan.
Menurut Kamus Dewan dan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) nasab adalah keturunan, terutama keturunan yang berasal dari pihak ayah. Pun ia bukan hanya keturunan sahaja, kata ‘nasab’ juga dapat digunakan untuk mentakrifkan pertalian darah secara horizontal contohnya seperti ibu dan bapa saudara, saudara sekandung dan sebagainya.
PANDANGAN ULAMA
Kalangan ulama mempunyai pandangan agak berbeza tentang nasab. Misalnya, Wahbah Mustafa Al-Zuhaili (1932 - 2015), sarjana Syria, berpendapat ‘nasab’ adalah suatu sandaran yang cukup kukuh untuk dapat meletakkan suatu hubungan kekeluargaan sesuai dengan kesatuan darah ataupun pertimbangan bahawa yang satu ialah bagian dari yang lainnya.
Menurut ahli tafsir Ibnu Athiyah (1088 - 1147M) dari Andalusia (kini Sepanyol), ‘nasab’ adalah seorang manusia yang berkumpul bersama-sama dengan lainnya di dalam suatu hubungan kebapaan atau keibuan, baik berupa jalinan dekat mahupun hubungan jauh.
Dari lelaman islam.com, sekurang-kurangnya ada empat sistem penentuan nasab:
- Bilateral iaitu sistem penentuan nasab adalah sistem bilateral atau parental yang bererti keturunan yang menganggap bahawa keturunan berasal daripada hubungan kekerabatan dari kedua-dua belah pihak orang tua, baik itu ayah atau ibu.
- Patrilineal (bapa) bersandarkan keturunan nasab didapatkan daripada hubungan kekeluargaan melalui pihak lelaki sahaja.
- Matrilineal adalah kebalikan daripada sistem patrilineal. Matrilineal (induk) seperti dalam masyarakat Berber dan Tuareg di Afrika Utara atau Minang di Sumatra dan Negeri Sembilan, merupakan sistem keturunan yang memperhitungkan hubungan kekeluargaan daripada pihak ibu atau pihak perempuan sahaja.
- Bilineal mengambil kira hubungan kekerabatan atau kekeluargaan daripada pihak ayah untuk beberapa hal tertentu dan dengan begitu, keturunan daripada pihak perempuan hanya berlaku untuk hal-hal tertentu sahaja.
Para ulama fikah berpendapat bahawa nasab di dalam agama Islam cenderung kepada sistem patrilineal, antara lain, berdasarkan maksud firman Allah dalam surah Al Ahzab, ayat 4. Hakikatnya, nasab merupakan hal yang penting dalam ajaran agama Islam, sebab nasab menentukan beberapa hal seperti hak waris (hukum faraid) dan lain-lain sebagainya.
TEBARAN JAWA
Sesi sembang jalur Jawa pada Ahad, 10 Mei lalu di TWM amat menarik isinya. Ketua sembang, Encik Suryakenchana Omar (sebelah kiri dalam gambar), merupakan wakil Singapura ke persidangan tebaran (diaspora) Jawa sejagat yang pernah mengadakan beberapa pertemuan di Yogjakarta. Menurutnya, ada pakar keturunan Jawa yang boleh mengkaji nama seseorang untuk mengetahui dari mana asal wilayahnya di Jawa.
Di Singapura, terdapat Persekutuan Jawa Al-Masakin (1901) yang bersifat khairat (kebajikan) kematian (urusan jenazah) dan Persatuan Jawa Singapura (2015) yang merintis pameran, Pusaka Jawa di TWM.
Kedua-dua badan sedang diaktifkan, menurut Encik Suryakenchana yang lahir di Singapura (SG) tetapi berasal daripada masyarakat Keraton (Istana) Jawa Tengah. Ramai juga pemimpin Melayu SG yang berdarah Jawa seperti Encik Abdullah Tarmugi (mantan menteri) dan Hj Sidek Saniff (mantan menteri negara kanan).
Peta Dunia menunjukkan tebaran kaum asal Jawa di seluruh dunia – dari sejauh Surinam di Amerika Selatan, Malagasy (dekat benua Afrika) sehingga kepulauan Pasifik.
Kaum Jawa merupakan majoriti dalam rumpun Melayu-Islam di nusa ini.
Namun dek ‘pembauran’ menjadi masyarakat Melayu, ramai yang ‘hilang’ atau pudar nama Jawanya dan digantikan nama ‘Arab-Melayu’.
Misalnya, Dr Muhammad Ariff punya kakek (datuk) sebelah bapanya bernama Karso yang mewariskannya pelbagai cerita Jawa.
Encik Suryakenchana menyarankan setiap yang hadir cuba menulis 100 perkataan tentang diri dan keturunan mereka sebagai pencetus kembara mencari susur galur. ‘Dolan adoh diwithi langkahi siji’ – jalan jauh dimulai satu langkah.
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.