Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Memupuk Pewaris MAS Untuk SG & Dunia

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Memupuk Pewaris MAS Untuk SG & Dunia
Almarhum Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Pada 6 Disember ini, genap 101 tahun usia Almarhum Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad yang telah mewariskan khazanah ilmu dan pesan untuk watan ini dan dunia. Mohd Raman Daud, antara ribuan anak didiknya, menilainya.

“Semua yang saya kumpul dan hasilkan ini adalah untuk masyarakat nanti.”

Begitulah ujaran lazim Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Dr MAS, 6 Disember 1924 - 23 Mac 2016) ketika ditanya tentang pustakanya.

Beliau lebih mesra disapa sejak zaman mudanya sebagai ‘Cikgu Ariff’.

Demikianlah antara catatan para pengunjung seperti (mantan) wartawan Berita Harian Nuryati Duriat sehingga pustakawan Juffri Supa'at (1967 - 2024) yang mendatangi rumahnya yang sederhana, teres dua tingkat di 16 Nemesu Avenue.

Rumah itu dirujuk Peta Google sebagai alamat rasmi Angkatan Sasterawan’50 (ASAS’50).

Pertubuhan inilah yang beliau dan 18 orang sahabatnya dirikan pada Ogos 1950 (iaitu di laman rumah sewanya, 24-H Henderson Road (@ Kampung Tiong).
KHAZANAH

Itulah rumah pertama dan satu-satu miliknya di Singapura yang bukan sahaja merumahkan isterinya Almarhumah Sarinah Hj Haniff (1930 - 19 Oktober 2025) dan empat orang anak mereka, malah sering menjadi tempat mesyuarat ASAS’50, beberapa pertubuhan sehingga masjid dan tumpuan pelajar.

Rumahnya memang ‘bersejarah’ bagi sebuah watan muda ini.

Sayangnya, ia agak jauh dari kawasan kemudahan seperti kedai fotostat.

Maka itu, beliau sediakan mesin fotostat sehingga alat tulis yang sering disambut syukur oleh mahasiswa sehinggalah bakal sarjana yang berguru dengannya sehingga jauh malam. Semua diberikan percuma, termasuk juadah dan teh bujang.

Malah kediamannya turut disinggahi segelintir pengunjung ternama dari luar Singapura, termasuk yang alih-alih muncul, antaranya Sasterawan Negara Malaysia, Shahnon Ahmad (1933 - 2017).

Alamat ini juga tertera dalam contoh surat (warkah) dalam siri buku ‘Bahasa Negara-Ku’ (Jilid I hingga Enam, terbitan Marican, tahun 1963) yang dihasilkan secara pacuan demi mengisi permintaan ‘semarak’ belajar Bahasa Melayu di Singapura yang bakal menyertai Persekutuan Malaysia (16 September 1963 - 9 Ogos 1965).

Sekitar 2006 - 2007, ketika saya terlibat sebagai pengerusi Jawatankuasa Pameran Aksara anjuran Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan baru sahaja membantu Dr MAS menghasilkan adi karyanya (magnum opus), NILAM, saya terlihat aura “muram dan kusam” koleksinya.

Di tingkat dua (loteng) rumahnya yang terdedah terik suria dan tempiasan hujan, terdapat bersusun-susun buku dan dokumen segala macam di rak-rak. Ada dimamah anai-anai atau ulat buku.

“Cikgu, buku dan semua dokumen ini rosak. Macam ni baik jual atau dermakan saja?” saran saya.

“Siapa yang nak?” Jeda. “Awak tolonglah uruskan,” balas Dr MAS. Saya termangu.

MODAL UNTUK ANUGERAH

Disingkatkan cerita. Koleksi Cikgu Ariff diperolehi NLB dengan sejumlah imbalan. Namun Cikgu Ariff berat hati menerimanya.

“Ini duit masyarakat. Awak pandai-pandailah manfaatkan dalam bentuk kegiatan yang sesuai,” nasihatnya.

Wang itu ditabungkan dalam akaun Majlis Pusat (1969 - 2024) untuk Anugerah MAS dalam empat kategori bakat muda terbaik dari kalangan guru, asatizah sehingga umum. Setelah tahun keempat penyampaiannya, didapati kian kurang calon yang layak ditampilkan.

Malah ada penerima tahun keempat yang menerima anugerah hampir serupa daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura. Maka itu, Cikgu Ariff telah menasihati agar ‘sagu hati’ itu digunakan untuk kegiatan lain.

Entah bagaimana, saya beranikan diri dengan mencetuskan saranan Kursi Profesor Pengajian Melayu Dr MAS dalam emel agak panjang kepada sahabat lama, Dr Hadijah Rahmat, ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU).

Cikgu Ariff pernah menjadi antara pensyarah kanan terlama di institut itu (1959 - 1979). Ia dahulunya Maktab Perguruan Singapura (TTC).

Dr Hadijah memperhalusi saranan tadi secara ilmiah untuk pertimbangan pihak NIE-NTU.

Kurang dua minggu, saranan itu diterima. Bahkan bukan ‘Kursi’ tetapi dianjurkan sebuah endowmen. Saya cermati bahawa ia yang pertama bagi anak Melayu SG!

Selepas mengkhabarkannya, Cikgu Ariff amat sebak. “Ini (penghargaan) terlalu tinggi...,” ujarnya menahan tangis.

TAHAP SETERUSNYA
Motif batik sido mulyo menghiasi buku ‘Permata Pendeta’ (NIE-NTU, 2024). (Gambar: Raman Daud)
Buku rampai sari esei, ‘Permata Pendeta’ (terbitan NIE-NTU, 2024) mengungkapkan aneka cebisan kisah bagaimana endowmen tadi dibentuk menerusi jerih payah Jamiyah Singapura sehingga Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) serta peranan ‘juru selamat’ mantan Presiden Singapura, S.R. Nathan (1924-2016).

Khazanah beliau dari foto, surat, manuskrip sehingga sijil atau pingat pencapaiannya turut dimanfaatkan sebuah hab sumber dan kajian atas namanya, MAS-RRH di Perpustakaan NIE. Berdasarkan kiraan kunjungan digital dari seluruh dunia, ia ternyata cukup popular.
(Gambar: Raman Daud)
Pusat ini bergandingan dengan koleksi di NLB, termasuk bibliografi beliau yang diusahakan rapi oleh pustakawan Juffri Supa'at dan para rakan kerjanya. Difahamkan pula jubah konvokesyennya semasa penerimaan Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris juga bakal menjadi koleksi Taman Warisan Melayu.

Apakah ertinya kepada SG dan dunia?

Impian Cikgu Ariff agar usaha, koleksi dan pesannya dimanfaatkan kian menyerlah. Biasiswa peringkat PhD dan sarjana, serta geran kajian telah diberikan atas namanya oleh pihak NIE-NTU yang juga telah melancarkan dua syarahan perdana serta Kursi Profesor yang pertama disandang Prof Dr Arndt Graf dari Jerman.

Hakikatnya, bakti Cikgu Ariff bukan di menara gading tetapi merakyat jelata sebagai pemuka budaya, bermadah di media massa sehingga menganjurkan kongres dan sebagai juri sastera serta pendidik masyarakat.

Beliau turut lama menyantuni pasangan suami isteri bermasalah di Lembaga Rayuan, Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), menyemarakkan masjid dan membimbing pelajar untuk menyelesaikan tesisnya.

Bakti dan ketokohan Cikgu Ariff sederetan gurunya, Pendeta Dr Za'ba (Zainal ‘Abidin Ahmad, 1895-1973) bagi Malaysia dan Prof Sutan Takdir Alisjahbana (1908-1994) bagi Indonesia.

Beliau telah mengangkat Singapura walaupun sebuah watan kecil dengan Inggeris sebagai bahasa penakatannya tetapi masih mewarisi bahasa dan kebudayaan Melayu.
eBuku 'Demi Bahasa' dilancarkan secara rasmi oleh tetamu terhormat Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman di The POD@National Library pada 18 Okt 2024. (Gambar: Nur Syafeera Sofian/BERITA Mediacorp)
eBuku 'Demi Bahasa' sanjung sumbangan Allahyarham Cikgu Ariff kepada bahasa dan budaya Melayu. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Memoir Muhammad Ariff Ahmad. (Gambar: Mediacorp)
Sejak karangannya (cerpen) ‘Mat Jamin’ (kebalikan cerita rakyat ‘Mat Jenin’) pada 1936 sehingga ufuk senja usianya, beliau terus berkarya.

Dek jejari kejang untuk menaip di komputer, beliau mengetik di telefon bimbitnya sehingga terhasil lebih 70 rangkap pantun, dan akhirnya dipanggil pulang oleh Yang Maha Pencipta.

Apakah bakti ‘merakyat’ ini akan dicontohi orang Singapura, terutama anak Melayu, pada masa depan? Soalan cepu permata. Bagi Abdul Samad Salimin (@ penyair Asmin), putera bongsu Almarhum, Muhammad Shahperi dan saya yang dilantik Dr MAS sendiri selaku pengamanah, tugas kami telah usai. Namun, semoga prakarsa ini terus tumbuh mekar berbuah. Sebabnya jelas:

kerana adanya para insan mulia berteladan, maka suburlah watan ini sebagai sebuah peradaban.

MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @ LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita