Skip to main content

Iklan

Iklan

Komentar

ALAM MELAYU: Memupuk Insan Peka Darjah Budaya

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Memupuk Insan Peka Darjah Budaya

Pelajar berpakaian etnik semasa Hari Keharmonian Kaum, 21 Julai, (Gambar: Koh Mui Fong / TODAY)

SINGAPURA: Peri penting menguasai dwibahasa dan memiliki takat budaya terpapar dalam ucapan penting Menteri Pendidikan Chan Chun Sing, baru-baru ini. Mohd Raman Daud meneroka ertinya dalam rangka pemerolehan ilmu dan kemahiran untuk pasca SG60.

Mengapakah ceramah atau program pengajaran bahasa-budaya kurang sekali diberi sokongan di Singapura? Apakah ia remeh berbanding kursus komputer atau seumpamanya?

Saya menjadi amat ingin tahu sehingga tertanya-tanya atau dalam istilah Indonesia, ‘penasaran’.

Sepekan lalu, saya diajukan peluang untuk mengikuti kursus kelolaan Dr Azhar Ibrahim Alwee, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS). Kos program empat bahagian sehari suntuk kelolaannya bernilai S$925. Tapi dengan potongan harga, kos bersih: S$654. Pun ia masih terlalu ‘mahal’ bagi seorang pesara seperti saya.

Alangkah baiknya jika prakarsa nasional, SkillsFuture yang dilancarkan sejak 2015, dapat membiayai penuh atau sekurang-kurangnya sehingga 90% program begini? Tentulah ia dapat dihadiri ramai orang terutama guru, penulis atau peminat bahasa, sastera dan budaya.

Sokongan SkillsFuture perlu diambil kira jika disandarkan pada inti pati ucapan merangsangkan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing baru-baru ini, sempena sambutan SG60. Ucapannya boleh dilungsuri di laman MOE.

(Gambar: MOE)
DARJAH ILMU HINGGA BUDAYA

Encik Chan telah menyusuri asas dan liku-liku pembangunan pendidikan nusa sejak tamat Perang Dunia Kedua. Hakikatnya, sistem pendidikan Singapura sudah dianggap antara yang terbaik di dunia. Tapi, apakah langkah selanjutnya selepas ini? Antara lain, beliau berpesan:

“Dalam zaman penyerpihan (fragmentasi) yang kian meningkat, dwibahasa dan berbilang bahasa adalah kunci untuk membantu Singapura membina jambatan merentasi dunia yang semakin berpecah-belah.

Nilainya bukan sekadar memiliki kebolehan berkomunikasi. Bahasa membuka jendela kepada pemahaman yang lebih mendalam tentang nuansa budaya, dan cara orang lain berfikir - motivasi, perspektif dan pandangan dunia mereka.

Lebih utama, dwibahasa menjadi teras identiti Singapura kita. Ia melangkaui usaha menggalakkan orang kita menggunakan pelbagai bahasa dalam kehidupan seharian mereka. Ia menandakan komitmen kita untuk terus berhubung dengan warisan budaya kita yang kaya dan berbeza.

Hari ini, Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa dominan bagi kebanyakan isi rumah Singapura. Kita mesti menggandakan usaha untuk memperkukuh dwibahasa. Ia akan menjadi cabaran perit tetapi genting dalam tahap persaingan seterusnya.”
Kanak-kanak semasa sambutan Hari Keharmonian Kaum. (Gambar fail: MOE)
Cakap mudahnya, Encik Chan menegaskan bahawa dwibahasa adalah tunjang pendidikan negara ini. Dan ia perlu dikekalkan untuk tahap selanjutnya.

Dengan dwibahasa atau menguasai berbilang bahasa, warga Singapura akan dapat terus berkomunikasi dengan seluruh dunia. Berbekal ilmu dan kemahiran relevan, setiap warga atau pekerja nusa ini akan terus diperlukan oleh jagat. Inilah teras penakatan Singapura, negara kerdil titik merah yang tanpa bahan semula jadi, untuk masa depan.

Para pemuka masa depan atau dipanggil futurologist seperti John Naisbitt (1929-2021) telah mengutarakan bahawa untuk berjaya seseorang insan perlu mempunyai empat pokok kemahiran asas iaitu:
• IQ (Intelligence Quotient atau Darjah Kecerdasan);

• EQ (Emotional Quotient – Darjah Emosi);

• AQ (Adversity Quotient atau Darjah Ketahanan menghadapi kesulitan), dan

• CQ (Cultural Quotient atau Darjah Peka Budaya iaitu keupayaan menyesuaikan diri dengan budaya yang berbeza)

Encik Chan telah menyusuri sistem pendidikan Singapura dan pimpinan nusa yang telah ‘mewariskan’ IQ, EG dan AQ. Tetapi adakah warga kita mempunyai cukup CQ untuk berjaya dalam persaingan yang kian sengit?

Mentelah lagi, penggunaan luas Bahasa Inggeris yang didapati oleh banyak kajian, telah menghakis kemahiran berbahasa ibunda atau bahasa-bahasa lain? Inilah persoalan runcing bagi kita untuk terus menakat.
DETIK Semasa | Mengasah Bahasa Melayu
MESIN BESAR BAHASA

Menurut Prof Emeritus Dr Awang Sariyan, walaupun Bahasa Melayu merupakan antara 10 bahasa ‘besar’ dunia, namun untuk rumpun Melayu dapat berjaya, perlulah dikuasai pelbagai ilmu dan teknologi yang menuntut penggunaan bahasa-bahasa lain.

Pengarang, Atlas Budaya Islam, almarhum Prof Ismail R. Faruqi (1921-1986), berketurunan Palestin dan lama mengajar di Amerika Syarikat, berpendapat bahawa walaupun Islam menerusi Bahasa Arab, telah menyumbang kepada tamadun dunia, namun ini dicapai kerana hasil penguasaan bahasa-bahasa bukan Arab dan memahami kebudayaan mereka iaitu CQ.

Tidaklah hairan kemunculan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence/AI) bersandarkan antara lain, bukan sahaja algoritma (kaedah matematik yang dihasilkan ilmuwan Islam zaman abad ke-9M, Al-Khwarizmi) tetapi juga keupayaan menjana mesin-mesin bahasa yang besar untuk menyerap, memahami dan mencerna kerencaman maklumat.

Namun AI hanyalah wahana (alat) atau pemudah cara. Ia bukanlah manusia yang sifatnya amat rencam dari segi bahasa, budaya, agama dan sebagainya. Itulah sebabnya Dunia Abad ke-21M dan selanjutnya akan menyaksikan kerencaman ini perlu disantuni dengan penuh peka lagi berhikmah agar tidak berlaku perpecahan yang merugikan umat manusia sendiri. Apakah warga Singapura memiliki cukup keupayaan CQ untuk tujuan ini?

IKTIBAR ASEAN-NUSANTARA

Diplomat terbilang Singapura, Prof Tommy Koh, pernah menyatakan bahawa antara sebab ASEAN dihormati dan teguh kerana ada kesantunan Melayu (CQ Melayu) yang antara lain, memaparkan rasa tenggang rasa (empati) untuk sanggup bermusyawarah walaupun sukar, demi kebersamaan dan mengurangkan perbezaan.

Inilah juga antara sebab rantau ini dapat menerima pelbagai kaum yang bukan Melayu untuk hidup di sela-sela mereka tanpa timbul reaksi penentangan atau penganiayaan bersifat ras seperti berlaku di Eropah atau Dunia Barat.
 
Oleh itu, kursus-kursus tentang bahasa dan kebudayaan pelbagai kaum, apatah lagi tentang rantau Kepulauan Melayu, wajar diikuti oleh warga Singapura dalam rangka mempertingkat CQ mereka. Memanglah sukar untuk membandingkan apakah kursus sedemikian boleh meningkatkan ‘kemahiran’ serupa kursus amali seperti mempelajari komputer atau undang-undang. Manalah sama oren dengan epal atau mangga dengan semangka?

Masuk sedekad tahun ini, SkillsFuture wajar dianggap sebagai peluang ‘lanjutan’ yang cukup bermakna untuk warga Singapura mempertingkat ilmu dan harga diri. Ia juga mencerminkan iltizam teguh pemerintah dalam rangka falsafah menimba ilmu seumur hidup untuk setiap warganya.

Sesungguhnya sebaik-baik anugerah ialah ilmu – untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan ke jalan yang terang. Oleh itu, amat wajar disemak bidang garapan SkillsFuture agar diperluas sehingga menyeluruh atau holistik sejajar dengan visi besar sebuah negara kecil. Jangan sekali-kali diabaikan aspek Darjah Peka Budaya (CQ) yang perlu disertakan dalam tahap selanjutnya penakatan watan ini.
MENGENAI PENULIS
Mohd Raman Daud ialah mantan wartawan kanan Berita Harian (1984-2016), mantan penulis tetap skrip drama televisyen Perbadanan Penyiaran Singapura (1980-1984), pengarang, aktivis masyarakat, editor sejumlah buku termasuk adikarya Pendeta Dr Muhd Ariff Ahmad, NILAM. Beliau juga antara anggota pengasas Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Setiausaha Jawatankuasa Dana MAS @LBKM.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan