ALAM MELAYU: Membentuk Cita dan Citra Melayu SG
Antara peserta dalam Perarakan Budaya Pesta Pecah Panggung, Taman Warisan Melayu. (Gambar: BERITAMediacorp/Nursyazwani Sanep; Athirah Karim)
Dalam sekali makna ucapan Perdana Menteri Lawrence Wong, baru-baru ini, dalam rangka merasmikan pembukaan semula Taman Warisan Melayu (TWM) selepas sekitar tiga tahun proses naik tarafnya.
Antara lain, ia menyangkut erti ‘jati diri’ (identiti) masyarakat Melayu Singapura yang menurut PM Wong kian ketara dan menyerlah. Pengamatannya memberikan isyarat penting dalam rangka membentuk identiti kebangsaan nusa ini yang berada di tengah-tengah lautan Melayu dan diapit dua gergasi Asia, India dan China, serta senantiasa berperanan aktif di persada antarabangsa.
TAKRIF SEMASA
Jati diri Melayu Singapura (SG) ditakrifkan melalui gabungan unik antara warisan silam Nusantara dan hakikat masyarakat kosmopolitan yang bertunjangkan prinsip meritokrasi serta berbilang kaum.
Menurut Pendeta Dr Muhammad Ariff Ahmad (@ Cikgu Ariff, 1924 - 2016), istilah ‘Melayu Singapura’ telah menyerap semua insan asal Gugusan Kepulauan Melayu yang juga dipanggil Nusantara.
Bahkan istilah ‘Melayu’ pula diperluas sehingga menyerap kaum asal benua kecil India dan rantau Arab yang beragama Islam, katanya. Ini berlaku kerana penggunaan luas bahasa Melayu, pengamalan budaya Melayu dan yang paling utama ialah penerimaan Islam sebagai agama penyatu.
Pandangan Cikgu Ariff terpapar dalam banyak makalah dan sejumlah bukunya, termasuk ‘Bicara Adat dan Tradisi’ (buku digital NLB, 2009) dan ‘NILAM’ (2007).
Takrif Melayu sebagai orang yang mengamalkan bahasa dan budaya Melayu serta beragama Islam tertuang dalam Perlembagaan Malaysia. Ini berlaku ketika Singapura menjadi antara negara Persekutuan Malaysia (1963 - 1965). Ini merupakan takrif perundangan. Namun ia tidak terhenti di sini.
Setelah Singapura merdeka, konsep Melayu dari segi perundangan terpapar dalam pemilihan calon Melayu untuk Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) iaitu sesiapa yang sama ada dari kaum Melayu atau tidak, tetapi menilai dirinya sebagai anggota masyarakat Melayu dan diterima oleh masyarakat itu sebagai anggotanya.
Menurut Cikgu Ariff yang pernah dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa (Penilai) Masyarakat Melayu: “Ada seorang dua yang memang pada kad pengenalan ternyata bukan orang Melayu tetapi mendakwa dirinya sudah ‘orang Melayu’. Tapi bila ditanya mana-mana tokoh Melayu yang dia kenal rapat, dia tidak dapat memberikan jawapan memuaskan. Maka itu, gugurlah haknya untuk disahkan sebagai ‘calon Melayu’.”
SIKAP KOSMOPOLITAN
Tampak Islam dinilai pada umumnya sebagai antara ‘penanda jati diri’ orang Melayu. Namun hakikatnya dari segi perangkaan Banci Penduduk 2020 menunjukkan bahawa ada segelintir orang Melayu yang bukan beragama Islam. Angka Melayu bukan Islam ini, ternyata kecil, sekitar 3 peratus.
Latar keberagamaan merupakan suatu yang unik di Singapura di sebalik pemodenan yang pesat, menurut makalah ‘Rising Religiosity in Singapore’ oleh Puan Rukhsana Bi Wahid, dalam majalah digital ‘Karyawan’ terbitan RIMA (cabang kajian Angkatan Karyawan Islam). Beliau menghujahkan bahawa tidak seperti di negara-negara Barat yang pemodenan menghakis pegangan agama, sebaliknya berlaku di Singapura.
Jelaslah nilai-nilai murni Islam membentuk peribadi dan etika kehidupan seharian orang Melayu Singapura.
BERADAB
Namun, hujah Cikgu Ariff bahawa aspek utama jati diri mulia ialah adab yang berisi kesantunan. “Biar miskin harta benda, jangan sekali-kali kita tidak beradab. Adablah yang menentukan antara manusia dan haiwan yang lain,” tambahnya.
Pada umumnya, masyarakat Melayu SG sangat menjunjung tinggi nilai kesantunan, hormat-menghormati, dan keperibadian yang mulia sebagai sebahagian daripada amalan etnik. Namun, kes-kes rosak moral seperti penagihan dadah, kebobrokan rumah tangga dan jenayah sehingga mengheret sesetengah anggota masyarakat kita ke penjara masih lagi berlaku. Ini seolah-olah membawa palitan atau stigma bahawa orang Melayu masih bermasalah bak dihuraikan secara panjang oleh sarjana setempat, Dr Hussin Mutalib, dalam buku klasiknya, ‘Singapore Malays: Being Ethnic Minority and Muslim in a Global City-State’ (2014).
Saya masih ingat wawancara saya bersama Saadon Ismail (1945 - 1987) dengan mantan Menteri Negara Kanan, Dr Hj Ya’acob Mohamed (1925 - 1989) pada 1986. Menurut Hj Ya’acob, masalah orang Melayu hanya dapat diatasi oleh orang Melayu sendiri tetapi dengan sokongan kuat dan jujur berterusan daripada pemerintah. Apabila masalah-masalah utama dapat diatasi, akan tumbuh identiti Melayu Singapura yang teguh lagi ampuh, diikuti dengan kejayaan membanggakan. Ini akan menaikkan imej atau citra Singapura di lautan Melayu rantau ini, hujahnya.
TWM tidak akan bermakna jika orang Melayu sendiri, terutama generasi mudanya, berasa kelu untuk bertutur bahasa ibundanya sesama sendiri dan apatah lagi di persada nasional, rantau dan antarabangsa.
Malah ada kalangan bahasawan Melayu berhujah cukuplah menguasai 1,200 sehingga 1,800 perkataan akar (kata dasar) Melayu, untuk seseorang fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu. Seyogia, Bahasa Melayu diiktiraf sebagai Bahasa Kebangsaan (Nasional) Singapura dan satu daripada empat bahasa rasminya.
Sebagai penduduk asli (indigenous), orang Melayu SG perlu berasa yakin akan jati dirinya tanpa perlu merubah nama untuk berniaga atau berdagang dengan kaum lain. Ini kerana pernah ada tinjauan menunjukkan jika seseorang usahawan menampilkan nama ‘Melayu’, beliau dikatakan sukar untuk membentuk ikatan niaga.
Kesetiaan nasional kita ialah menjadi warga Singapura yang maju atau progresif sambil mengekalkan warisan. Ertinya, terus melangkah dalam ekonomi moden tanpa mengabaikan jati diri asal.
Respons saya: “Silakanlah jika itulah yang meneguhkan jati dirimu!”
MENGENAI PENULIS
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.