Skip to main content

Komentar

ALAM MELAYU: Membangun Warisan, Menjaga Amanah dan Maruah

Anggaran Waktu Membaca:
ALAM MELAYU: Membangun Warisan, Menjaga Amanah dan Maruah

Membangunkan warisan sesuatu kumpulan atau masyarakat adalah tanggungjawab setiap anggotanya. (Gambar: NHB; Mediacorp)

SINGAPURA:

Bila warisan ditegak amanah
Itulah bangsa bersegak maruah
Bila warisan dikendong sejarah
Anak bangsapun berbudi gagah
Kurangkan Artikel
Merawat dan membangunkan warisan sesuatu kumpulan atau masyarakat adalah suatu tanggungjawab kepada setiap anggotanya.

Kepimpinan masyarakat pula memberikan panduan arah dan kemudahan untuk melestarikan warisan sehingga ia bermakna kepada generasi masa kini dan selanjutnya. Dr Azhar Ibrahim Alwee menyelongkar kepimpinan yang dimaksudkan ini.

Sesuatu tempat atau bangunan warisan hadir bersama dengan sejarah masyarakat yang pernah hidup di sekitarnya. Warisan hanya akan bermakna sekiranya ia dipertalikan dengan sejarah, termasuk kepekaan terhadap keadaan masa kini.

Sejarah pula akan memberi peringatan dan ilham sekiranya ia cermat diteliti, adil dan bijaksana dalam menghadirkan pelbagai “cerita-cerita” atau memori yang wajar diperkirakan sebagai sejarah dan warisan.

Ini semua memerlukan kajian dan pengumpulan dokumentasi yang terencana. Pastinya juga ia memerlukan pembiayaan dana dan pengurusan warisan yang jitu.

Kita beruntung hidup dalam sebuah negara yang memberi premium kepada hal ehwal warisan. Dari warisan tempat (heritage site) hingga ke warisan budaya benda, sempai ke warisan tidak ternilai (intangible cultural heritage), banyak usaha dan sumber telah disalurkan sehingga berdirinya pelbagai pusat warisan atau muzium yang mewakili masyarakat Melayu, Cina, India, dan Baba Peranakan.
Pusat warisan ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan kepada sejarah Singapura yang bukan sahaja bersifat berbilang budaya, tetapi meletakkan tempat pada tradisi setiap kaum dan masyarakat agar ia menjadi salah satu tiang pembangunan dan jati diri masing-masing.

Dalam era dunia global yang pesat, keakraban kepada akar tradisi menjadi sangat penting agar masyarakat yang sedang membangun itu tidak tercabut dan terasing daripada akar budayanya sendiri.

Tradisi dan warisan, dalam erti kata lain, menjadi 'cultural ballast' agar dalam proses pembangunan pesat dan globalisasi, kita tidak tergeser atau tersasar arah.

Dengan mewujudkan pusat warisan, sejarah, budaya dan pengalaman sesebuah masyarakat itu, ia dapat “berumah”, dijaga, dirawat dan dihidupkan.

Pusat warisan sebegini bukanlah muzium yang hanya menyimpan sejarah yang terdahulu, tetapi menjadi gelanggang di mana sejarah dan budaya dapat dipamerkan dan diwacanakan, digembleng budayawan dan orang awam untuk saling kenal dan berhubungan, diberikan ruang pendidikan agar pelajar dan siswa kita boleh mendapat pengetahun dan inspirasi daripada bahan-bahan pameran, persembahan dan kegiatan wacana yang digerakkan dari semasa ke semasa.

Pentingnya Warisan

Warisan secara semantik boleh membawa pengertian kata nama atau kata kerja, mahupun sebagai kata kerja, atau amanah yang telah diturunkan kepada individu dan generasinya.

Dalam warisan itu terangkum amalan, ingatan, pemikiran dan pengalaman sesuatu kaum atau masyarakat.

Warisan itu merentasi sejarah, dan setiap generasi akan menghasilkan dan mewarisi warisan-warisan daripada generasi terdahulu.

Warisan Melayu yang kita warisi adalah daripada leluhur terdahulu yang merupakan hasil dari akumulasi penciptaan, amalan dan pengalaman masyarakat yang bergerak sepanjang sejarah.

Dari warisan Melayu sahaja, anak-anak bangsa kita pasti boleh melihat lapikan kebudayaan yang telah wujud dalam sejarah kita.

Dalam dunia Melayu atau Nusantara dapat melihat pusaran dan lapikan budaya peribumi, budaya India, Cina, Arab Parsi, dan Barat, selain pengaruh dalaman di rantau ini, yang mana unsur suku-suku Jawa, Bugis, Bawean, Minangkabau, Banjar dan Aceh membaur sehingga menjadi penciptaan budaya yang tersendiri.

Rencam Warisan

Warisan juga boleh dibahagikan dalam bentuk manifestasi dan kefungsiannya. Mungkin warisan ini boleh dibahagikan kepada:

(a) Sejarah politik dan organisasi sesebuah masyarakat yang telah melalui pelbagai fasa sejarah, baik dari zaman kedatuan, kerajaan, keresidenan penjajah, sehingga zaman Perang dan Kemerdekaan.

(b) Budaya benda yang merujuk kepada peralatan, ketukangan, atau apa sahaja yang ada kewujudan fizikalnya

(c) Budaya bukan benda, yakni bukan bahan objek yang boleh kita pegang. Ini termasuk dalam ranah penulisan, persembahan, kebahasaan, kelisanan, kepandaian mengenai ketukangan tertentu.
Related article image
Warisan boleh dibahagikan dalam bentuk manifestasi dan kefungsiannya. (Gambar: Mediacorp)
Dari warisan yang terkumpul, boleh kita membuat kesimpulan sejauh mana cita sempurna leluhur kita dalam melakukan dan menghasilkan sesuatu yang boleh dianggap sebagai ikhtiar budaya.

Juga dari lembaran warisan, dapat kita menjejaki kepiawaian tinggi dalam bertukang dan berilham. Itulah 'cultural genius'.

Setiap anak bangsa terpanggil untuk merasa bangga terhadap warisan dan budaya yang diwarisi. Namun budaya dan warisan tidak berhenti setakat pewarisan semata-mata.

Yang paling menarik ialah bagaimana warisan budaya itu dapat mengilhamkan anak bangsa untuk menafsirkan dan menghidupkan kembali warisan tersebut dengan ciptaan baharu. Ia kemudian dipersembahkan dan dipamerkan. Inilah kerja menganyam kebudayaan yang hasilnya akan menyemarakkan kebudayaan.
Related article image
Anak bangsa perlu menafsir dan menghidupkan kembali warisan dengan ciptaan baharu. (Gambar: Mediacorp)
Inilah sisi budaya dan warisan yang mesti hidup dan menjadi obor untuk meneroka kesempurnaan masyarakat dan bangsa kita dalam mengharungi perjalanan sejarah.

Amanah dan Maruah Berwarisan

Prasarana warisan boleh dibangunkan dengan sumber dan perancangan yang tersusun. Tetapi ia belum cukup untuk menjamin keberlangsungan yang baik.

Perlu wujud sikap memegang amanah agar warisan dapat terus hidup dan dilanjutkan seterusnya. Amanah pastilah ditanggung oleh kepimpinan dalam masyarakat dari pelbagai ranah agar dapat memastikan usaha mengumpul, merangkul dan akhirnya mengunggulkan warisan. Inti pati dari hal ini adalah kepimpinan yang peduli dan menghargai sejarah.

Kedua, wujudnya kepedulian yang bermaruah untuk melestarikan warisan dan budaya. Ia tidak kerdil, jauh lagi jengkel kepada sejarah dan budayanya sendiri. Sebaliknya ia berasa bangga terhadap warisan terdahulu, yang meninggalkan kita dengan khazanah bahasa, sastera, seni, adat istiadat, ketukangan dan kepandaian, serta tradisi keintelektualan dan kepercayaan.

Pendirian bermaruah ini wajar tersemat dalam kalangan kepimpinan mahupun masyarakat yang lebih luas. Dengan adanya sikap bermaruah, tidak mudah kita dikotak-katikkan kehormatan dan harga diri kita, ataupun kita hanya mengikuti arus yang dipaksakan ke atas kita. Sebaliknya kita mandiri dan bangga berdiri sebagai sebuah masyarakat yang mempunyai sejarah, tradisi dan wawasan. Itulah maruah.

Taman Warisan, Pohonan Budaya

Bagi Taman Warisan Melayu, Istana Kampong Gelam (MHC) akan dibuka selepas hampir tiga tahun ditutup kerana menjalani kerja-kerja pembaikan da pengubahsuaian.

MHC adalah mercu tanda warisan dan kebudayaan Melayu Singapura, yang letaknya di daerah paling bersejarah bagi masyarakat Melayu di Republik ini.
Related article image
Taman Warisan Melayu, Istana Kampong Gelam. (Gambar: NHB)
Ia pernah menjadi tempat bersemayam Sultan Hussein Shah dan keturunan baginda sejak pembukaan Singapura pada 1819.

Apabila tapak istana ini dijadikan Taman Warisan Melayu pada 2005, ia menjadi sebuah pewarisan serta amanah agar kawasan Istana ini menjadi benar-benar taman kebudayaan untuk masyarakat Melayu Singapura.

Ia adalah sebuah pewarisan dengan amanah, dan sepanjang dua dekad, MHC telah menjadi nadi kebudayaan Melayu, dengan pengurusan pusat ini oleh Lembaga Warisan Negara (NHB), dengan Yayasan Warisan Melayu (MHF) sebagai lembaga penaung dan penasihatnya.

Pengalaman dua dekad pastinya telah menjadikan Taman Warisan Melayu ini lebih cemerlang dan gemilang. Ia telah dapat menjadi tempat berkumpul penggiat seni, budaya, dan sastera untuk saling berbagi dan mengilhamkan hal dan kerja warisan.

Tambah lagi, letaknya di tengah-tengah kota Singapura yang pesat, Taman Warisan Melayu menjadi kebanggaan masyarakat Melayu Singapura yang mempunyai sejarah panjang baik dalam negara ini, mahupun serantau.

Kepada warga Singapura amnya, Taman Warisan Melayu adalah muzium yang membolehkan mereka mengenali dan mendalami sejarah dan budaya Melayu Singapura, selain tentang dunia Melayu yang mana Singapura terletak di tengah-tengahnya.

Tetapi khasnya kepada anak bangsa Melayu Singapura, ia lebih daripada sebuah muzium. Ia adalah pusat nadi kebudayaan dan warisan yang berfungsi dua sisi. Ia membolehkan mereka melestari warisan leluhur. Kedua, ia menjadi tempat mereka mencipta budaya, mengakrabkan tradisi, sehingga mereka dapat tampil menjadi peneroka zaman. Itulah sebenarnya amanah dari sebuah warisan.

Ternyata etos kebudayaaan kita, sering menyebut amanah dan maruah sebagai antara tanda kesempurnaan kehidupan kita dalam bermasyarakat.

Dalam ungkapan lama kita, terdapat banyak seruan dan pesan agar dapat kita menjaga amanah dan maruah. Kepada anak bangsa, terlantun kalimat hikmat: “Sifat Ingat dan Minat”. Pastinya ini sangat sesuai sekiranya kita mengaitkannya dengan pelestarian warisan. Amatilah anjuran dari leluhur kita terdahulu:

“Ingatkan tunjuk dengan ajar
Ingatkan amanah dengan petuah
Yang ingat tiada bersukat
Yang minat tiada bertempat
Minat kepada kaum kerabat
Minat kepada suku dan bangsa
Minat kepada alam sekitarnya
Minat membela saudara mara
Minat menjaga kaum dan warga
Minat memelihara tuah dan maruah
Minat menjunjung petuah amanah.”
Kurangkan Artikel
Dengan terbukanya kembali MHC, kita akan kembali cergas menguleti, meneliti, menghargai dan meminati warisan kita.

Kita yang sering disebut anak zaman adalah pewaris sebuah kebudayaan. Sesungguhnya warisan itu ada atau boleh berlangsung selagi ada pewarisnya. Hilang pewaris, lenyaplah warisan. Lenturnya maruah, tergugahlah sejarah. Jangan sampai ini terjadi.

Maka penting kita teguh bersama saling meraikan, membangunkan, menyumbangkan serta merencanakan agar warisan kita hidup, berseri dan berbakti untuk kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Semoga ke depan hari Taman Warisan kita ini menjadi hijauan yang subur, gelanggang yang makmur, selain menjadi punca sumur warisan yang sejuk dan mengalir. Seraya disebut orang Taman ini nanti sebagai “rindang daun tempat berteduh, besar batang tempat berlindung, kuat akar tempat bersila.”

Dapatlah nanti kita berkunjung dan menyanjungi tempat warisan yang bermakna ini.

MENGENAI PENULIS
Related article image
Dr Azhar Ibrahim Alwee ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, NUS. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura dan Ketua Perwakilan MASTERA Singapura. Dr Azhar juga merupakan Naib Pengerusi Yayasan Warisan Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita